Elias Hj Idris
Tempoh perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat sekelian penuh dengan usaha besar mendakwahkan agama Islam ke dalam dan luar negara. Di dalam negara ia mencelah ke segenap pelosok tanah Arab hingga 1,000km jauhnya. Ke luar negara pula ia menjangkau hingga ke Kaisar Rumawi Timur, Kisra Parsi Raya, Muqauqis Mesir dan Negus di Ethiophia dsb. Seruan ke daerah kafir dan penentang Islam merupakan pekerjaan yang besar dan teramat sukar.

Sama dengan keadaan sekarang, di mana amat sukar untuk kita menyampaikan Islam kepada kalangan kafirin. Malah orang yang sudah Islam pun menolak agama suci ini! Hinggakan Nabi terpaksa membela dakwah baginda apabila dihalang musuh sampai 100 kali dan baginda menyertai perang besar 9 kali.

Usaha dakwah ini memerlukan kebijaksanaan, keberanian dan keahlian yang benar-benar berat. Pun begitu cuma seorang sahabat yang dibunuh apabila menyampaikan utusan dakwah baginda kepada Raja Busra. Jadi, dari sejarah Nabi saw sejak di Mekah - hampir 13 tahun dan di Madinah, kurang sedikit 10 tahun (22 tahun + 2 bulan + 22 hari + 81 hari setelah ayat al-Quran yang terakhir turun, kesemuanya dijiwai oleh pengajaran ruhaniah dalam Islam yang di kemudian hari, setelah pelbagai ilmu lahir lalu disebut ilmu tasauf.

Maka di sini timbul persoalan dari mana datangnya unsur tasauf dalam Islam, jika dilihat pada kesibukan baginda dalam kerja dakwah? Sedangkan ketahanan  mental, kesungguhan dan kesabaran menghadapi kesukaran adalah titip-titip jiwa tasauf.

Perlu diingat, pada zaman baginda, segala macam ilmu belum dikenali dengan namanya masing-masing. Ia hanya dikenali dengan Islam saja.

Persoalannya, segala kejayaan itu tidak akan menjadi kenyataan jika tidak tersisip di jiwa mereka unsur tasauf yang tinggi - disertai dengan rahmat Allah swt jua. Maka rentetan itu dinamakan oleh ulama-ulama terkemudian sebagai tasauf, yang tidak terpisah daripada ilmu yang lain dalam anggota ilmiah Islam.

"Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu (Islam), dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu dan telah redhalah Aku Islam itu menjadi agama kamu."  - Surah al-Maiidah: 3.

Apabila turun saja ayat ini bererti Islam itu telah sempurna, dan sesudah itu tiada lagi ayat-ayat hukum yang turun. Dan baginda pun wafat selepas 81 hari ayat ini turun.

Jelas sifat sekelian kaum muslimin dan muslimat dalam setiap aspek kehidupan yang diredhai Allah itulah dalam aspek kehidupan Islam. Biar di mana-mana kitab pun, semua menjelaskan bahawa kepatuhan sekelian sahabat adalah pada Islam seluruhnya. Mereka semua muslim yang abid, hidup dengan cukup sederhana dan perlu diingat - itulah asas tasauf; iaitu yang mencintai Allah dan Rasul lebih daripada mencintai diri dan ahli keluarga!

Seluruh perkembangan fikiran mereka hidup semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt dan Rasul-Nya. Mereka membesarkan Allah pagi-petang, siang dan malam tanpa putus biarpun sejenak waktu. Di samping para sahabat dan mereka yang lain menurut contoh kehidupan Rasulullah saw sepenuhnya. Lihat saja bilik isteri baginda yang sembilan itu beserta dua orang jariahnya; seluas 4m x 4m berdindingkan kulit kambing dsb dengan bejana makanan dan pakaian yang cukup sederhana.

Jauh kan dengan selera kita ni....

Ia menunjukkan tujuan hidup mereka bukan didasarkan dan menuju ke arah kebendaan yang dikumpul atau didambakan. Ia berkisar pada nilai ibadat yang semakin menaik disertai akhlak yang semakin murni dan tulus; bak padi yang semakin berisi, tunduknya. Soal kebendaan dilemparkan jauh, agak berbeza dengan majoriti sikap orang Melayu Islam hari ini (Sila waspada dengan gejala kebiasaan di kalangan kita itu, jika mahu selamat - penulis).

Bagi para sahabat, dunia ini mudah - bukannya rebutan. Ada juga yang kuat keduniaannya pada awal Islam seperti Abu Sufyan dan kedua-dua anaknya, maka Rasulullah berikan mereka selembah kambing. Kepada pemeluk Islam yang lain pun begitu seolah-olah ia tidak bermakna apa-apa kepada baginda! Dan baginda pulang tanpa seekor pun kambing atau secarik pakaian untuk keluarganya.

Dengan sikap begitu, pembesar Quraisy yang menentang sejak 20 tahun itu mulai sedar memang benar baginda adalah Rasul Allah yang sebenar. Sebab jika pada baginda ada terselit sikap dan perasaan 'raja' atau sang penguasa tentu dapat dilihat sikapnya yang cenderung kepada kebendaan dan harta dunia. Pada baginda, selembah kambing itu bak nilai satu sen (dirham!).  Malah ada yang meminta tambahan lalu diberikan baginda.

Sikap begini akhirnya menyedarkan kalangan sahabat. Mereka yang cenderung kepada keduniaan dan harta dunia mulai mengendur dan malu sendiri. Akhirnya, Abu Sufyan yang turut sama berperang sehingga sebelah matanya buta. Apabila diadukan, Rasulullah bertanya, "Apakah engkau suka kiranya aku mendoakan supaya matamu kembali pulih atau kamu lebih suka dengan sibiji mata yang baik di syurga?"

Abu Sufyan lalu meminta mata yang di syurga!

Ini semua memudahkan Islam itu digerakkan tanpa sengketa di kalangan para sahabat. Tiada perebutan harta, apabila semuanya aman disebabkan jiwa mereka dibalut kepada keikhlasan dan mencari keredhaan, bukan balasan kebendaan dan keduniaan. Harta dunia akan kehabisan apabila dibahagi-bahagikan, tetapi tidak dengan khairat, waqaf dan ilmu. Ia semakin berkembang menjadikan pembahagian di alam ruhaniah begitu lapang sekali - tanpa sengketa.

Ada falsafah di kalangan sahabat yang berbunyi, 'Sesiapa yang menuntut mati akan beroleh kehidupan; tetapi sesiapa yang menuntut kehidupan akan dihina oleh kehidupan itu sendiri.'

Ahli sufi yang tulen adalah mujahid yang berjuang untuk menyelamatkan dirinya, yang berjuang untuk meninggikan agamanya, tetapi merendahkan dirinya kepada sesama mukmin; keras terhadap sekelian orang kafir dan tidak peduli cerca orang yang mencercanya dalam menegakkan kebenaran!

Nota:  Patut ia menjadi iktibar kepada kita yang kiranya telah agak jauh menyimpang. Pada hari ini, soal kebendaan telah menjadi masalah titik-bengik sehingga menimbulkan permusuhan dan masam muka. Ada yang dihina dan dipandang rendah!
0 Responses