672 muka surat
RM 29.90
Tema: Cinta romantik; Kisah keluarga & rumahtangga; Erti persahabatan dan nilai murni.
Objektif: Memecahkan tembok perkauman dan keegoan yang merobek kewarasan. Cinta tanpa batasan ras memaut pengorbanan di mana agama menjadi pertaruhan. Cinta sejati bisa memecahkan tembok halangan itu, tetapi ia tetap tertakluk kepada pilihan.
Pada waktu cuti sekolah, Amran lebih senang merayau-rayau dalam kebun orang kampung memanjat pohon jambu, rambutan atau mengintai pokok durian bengala. Jika ada buah betik yang masak turut menjadi habuannya juga. Orang kampung tidak marah sebab mereka sudah tidak terlarat makan lagi. Sambil itu dia mengendap burung merbah buah dengan lastik di tangan.
Setiap kali mendapat burung merbah, Amran tidak lupa memberinya kepada Siew Lan, anak Ah Beng yang berniaga runcit di kampung itu. Anak Cina itu sama sedarjah dengan adiknya di sekolah yang sama dan berkawan baik sejak lama. Dia membawa burung itu kepada guru al-Qurannya untuk disembelih. Siew Lan gembira apabila menerimanya.
Apabila masuk ke sekolah menengah, Siew Lan dihantar ayahnya belajar di Bandaraya - tinggal bersama bapa saudaranya. Tujuannya untuk memisahkan anaknya daripada Amran. Dia tidak mahu tradisi keturunannya dicemari sekiranya Siew Lan jatuh hati dan berkahwin dengan anak orang Melayu. Sentimennya sejak zaman komunis masih membekas (walaupun dia mencari rezeki di kampung Melayu!).
Sebelum berpisah, Amran berikan sehelai sapu tangan warna merah buat pengesat air mata bila Siew Lan menangis. Mereka cuma berhubung melalui surat, tetapi semua surat di kampung itu diletakkan posmen di kedai Ah Beng dan dia mungkin kenal tulisan Siew Lan. Apabila setiap kali surat dikirim, Amran tidak pernah mendapat balasannya.
Bila tamat tingkatan lima, Amran mencari kerja di Bandaraya untuk membiayai pengajian seterusnya. Walaupun tidak dapat bertemu, tetapi dia berharap akan berada dekat dengan anak gadis Cina, temannya itu. Pada masa yang sama dia mengambil STPM, kemudian pengajian luar kampus. Sesekali dapat juga dia bertemu dengan gadis itu.
Apabila tamat pengajian, Amran dapat bekerja di sebuah syarikat akhbar terkemuka. Mereka semakin kerap bertemu, walaupun Siew Lan sibuk dengan kuliahnya. Daripada pertemuan itu Amran dapat merasakan bahawa kemanjaan Siew Lan terhadapnya sudah bukan dari seorang kawan yang sama sekolah atau sekampung lagi. Sedangkan pada masa yang sama Ah Beng telah merancangkan perkahwinan anaknya dengan anak saudaranya, Kuan Meng yang kaya-raya di Australia. Dia tidak mengizinkan hubungan Siew Lan-Amran berterusan apabila dia bertegas ketika anaknya pulang bercuti di kampung.
Kemudian, Amran pula ingin dijodohkan oleh orang tuanya dengan Ustazah Jamilah, anak tuk ketua kampung. Dalam masa yang sama tugasnya semakin membebankan. Banyak assignments selain daripada menulis rencana di akhbar. Dia semakin jarang bertemu dengan temannya itu, selain tidak ingin mengganggu persiapan akhir anak Cina itu menghadapi peperiksaan semester akhir.
Hanya pada satu hari, dia menerima surat daripada Siew Lan - yang memberitahu bahawa dia sudah berada di Melbourne, Australia. Siew Lan mengingatkan Amran agar tidak menyimpan apa-apa harapan memandangkan pemergiannya tidak diketahui berapa lama. Mungkin untuk selama-lamanya. Amran terduduk dan hatinya diamuk sayu. Ditatapnya surat itu berkali-kali, memang itulah maksud yang tersirat; perpisahan tanpa rela! Dia mulai terasa betapa hati dan perasaannya dikhianati. Oleh siapa, sedangkan dalam pertemuan mereka yang terakhir di tepi sebuah tasik, si gadis itu ada berbisik yang dia tidak akan melupakan Amran! Jelas ia angkara Ah Beng, si ayah yang anti-Melayu itu.
Lantaran dia sendiri tidak berkesempatan meluahkan hasrat yang terpendam di hatinya selama itu.
Semakin dicuba untuk membuang jauh ingatannya terhadap gadis itu, fikirannya menjadi semakin kacau. Dicuba untuk menafikan gerak hatinya, namun Siew Lan telah benar-benar mempengaruhi apabila jiwanya semakin meronta. Dalam kesayuan itu, dia dipetemukan dengan Noor Hazah, anak seorang kaya dan ternama; Tan Sri Azam Sulaiman. Dia pernah menolong gadis yang sedang kesugulan di tengah malam buta akibat tayar kereta sportnya pancit. Dari pertemuan itu dia dijemput datang ke rumah.
Sementara itu tanpa disedari Amran telah menjalinkan hubungan dengan isteri kedua bekas bosnya. Dia ditegur oleh ketuanya, tetapi wanita itu membantunya mendapatkan saham syarikat ternama melalui pengaruh suaminya. Amran mulai aktif dan berjaya dalam perniagaan apabila memiliki syer dalam syarikat korporat. Dengan bantuan si suami - Encik Khalid, Amran sudah menjadi ahli lembaga pengarah di syarikat tempatnya bekerja. Mereka juga menguasai saham di stesen televisyen terkemuka.
Kejayaannya telah menarik minat Tan Sri Azam Sulaiman untuk mengekspolit kedudukan Amran sebagai CEO stesen tv dan tokoh muda perniagaan. Noor Hazah dijadikan pertaruhan dan dapat dikahwinkan kemudiannya.
Namun peranan akhbar dan stesen tv itu tidak selari dengan kerakusan Tan Sri Azam dalam perniagaan. Sekelian anggota keluarga masuk campur sehingga menimbulkan masalah. Ipar-duai bekalkan filem dan mahukan projek yang tidak munasabah. Apabila Noor Hazah mengandung, dia dikehendaki tinggal bersama mereka kononnya Amran tidak ambil berat. Amran lebih pentingkan kerjaya. Apabila bersalin, anak itu tidak boleh dibawa pulang. Cuma Noor Hazah yang berulang-alik dan lama-kelamaan isterinya juga ikut terpengaruh apabila dihasut. Akhirnya, Noor Hazah terpaksa memilih dan dia diceraikan Amran atas kehendak ibu-bapa. Noor Hazah kembali liar dengan kehidupan modennya. Sementara Amran cuma dibenarkan bekas mertua membawa keluar anaknya sekali pada hujung minggu.
Ketika memilih baju untuk anaknya di sebuah kompleks beli-belah, Amran ternampakkan seseorang yang seakan dikenali; bertudung, dan lembut gerak-gerinya turut memilih baju untuk dua orang anak yang masih kecil. Siew Lan yang dulu menegurnya. Mereka pergi ke sebuah gerai lalu berceritakan kisah masing-masing. Pada mulanya Amran menyatakan kesal kerana ditinggalkan terkapai seorang. Tetapi Siew Lan menyanggah; sebaliknya dia yang terpaksa mengikut kehendak bapanya berkahwin dengan sepupu yang masih Buddha, sedangkan dia telah pun memeluk Islam ketika di universiti. Di Australia, dia tiada tempat mengadu selain terpaksa menyukai orang yang dibenci. Namun secara sembunyi-sembunyi dia tetap mengamalkan agamanya; Islam. Dia hanya kembali ke tanah air apabila suaminya mati kemalangan ketika bersama perempuan lain menuju ke tempat percutian.
Siew Land dan Amran berkawan semula. Dalam pada itu Siew Lan turut menghadiri kuliah agama dan kelas fardu 'ain di Mesjid Negara dan bakal menunaikan haji. Imran terperanjat besar apabila mendapati Siew Lan masih menyimpan sapu tangan yang diberikannya dahulu.
D rumah, anak Amran sering mengigau ketika tidur sambil menyebut 'auntie'. Noor Hazah mula mengesyakki dan hatinya diamuk rasa cemburu. Dia cuba menyiasat, tetapi gagal. Cuma yang ketara apabila bekas suaminya datang mengambil atau menghantar anak, Amran tidak pernah bertanya tentang dirinya. Hatinya sayu. Namun apabila Tan Sri Azam Sulaiman meninggal dunia, kemudian diikuti isterinya yang sakit barah Noor Hazah dapat melihat betapa prihatinnya Amran yang lebih bersusah-payah.
Perebutan harta oleh kakak dan abang ipar telah menyedarkannya. Mereka yang kerap bertandang pun sudah tidak kelihatan membuatkan rumah di Bukit Perdana itu lengang. Noor Hazah benar-benar terasa kesunyian. Dia sudah banyak berubah, tetapi malu untuk berterus-terang dengan bekas suaminya. Kemudian dia terserempak Amran bersama Siew Lan yang baru kembali dari tanah suci itu di sebuah kompleks beli-belah. Hatinya sayu melihat kemesraan mereka lantaran wanita Cina itu bertudung litup, sedangkan dirinya langsung tidak terpelihara auratnya.
Daripada pertemuan itu Siew Lan sedar betapa Noor Hazah lebih memerlukan bimbingan Amran berbanding dengan dirinya. Lagipun mereka telah punya anak yang masih tidak mengerti apa-apa. Dia pasrah, biar Amran memilih bekas isteri; bukan dirinya yang telah cukup yakin dan redha dengan segala ketentuan Ilahi.