Elias Hj Idris
Kalangan ulama ahli tasauf menjadikan pekerjaan seharian nabi saw sebagai dasar utama mereka. Baginda adalah imam besar bagi sekelian ahli tasauf. Ini disebabkan setiap hari Nabi akan beristighfar 100 kali. Jumlah jam solat baginda dua pertiga malam - itulah solat tahajjudnya. Ia tidak termasuk solat fardu dan rawatibnya yang memakan masa beberapa jam. Solat dhuha baginda tetap 8 rakaat sehari, dan menjadi tetap biar di mana dan ke mana sekali pun.

Perlu diingat, kesemua solat Rasulullah panjang berdirinya, sempurna ruku' dan sujudnya. Tahajjud baginda tidak lebih 11 rakaat, tetapi setiap kali sujud sama dengan tempoh sahabat membaca 50 ayat! Ia memerlukan 5 halaman al-Quran dan apabila dibaca dengan tartil memakan masa 2 minit/halaman. Ini bermakna 10 minit setiap kali sujud baginda!

Solat witir baginda tetap 11 rakaat dengan 22 kali sujud. Setiap kali sujud 10 minit bererti sujudnya sahaja sudah 2 jam. Tempoh ruku'nya separuh daripada sujud - 1 jam. Berdiri membaca ayat al-Quran lebih lama daripada ruku' dan sujud - tentunya tidak kurang daripada 3 jam. Ini bermakna untuk melakukan solat witir itu sahaja sudah 6 jam. Ia adalah ukuran biasa.

Maka inilah yang disebut dalam banyak kitab bahawa dek kerana panjangnya solat malam baginda, sampai bengkak kedua kakinya! Jika pada malamnya terganggu solat baginda, maka keesokan paginya ia digantikan dengan segera. Maka dengan demikian solat baginda hampir tidak pernah terganggu.

Rasulullah saw sering menangis kerana takut akan Allah dan baginda sering menggeletar apabila berdoa dengan penuh khusyu' dan tadharru' pada malam hari, terutama selepas solat waktu sahur, pada waktu petang dan pagi hari. Sabda baginda;

"Demi Allah, kalau kamu mengetahui daripada Allah apa yang saya ketahui, nescaya kamu berebut-rebut pergi ke kuburan."

Ummul-mukminin Aisyah r.a berkata bahawa Nabi melakukan solat malam hingga pecah-pecah kaki baginda. Lalu kata Aisyha r.a: "Ya Rasulullah, kerana apa lagi tuan lakukan ini, sedangkan Allah telah mengampunkan dosa tuan baik yang terdahulu atau yang terkemudian."

Jawab baginda, "Apalah salahnya aku menjadi seorang hamba yang tahu mengenang budi dan bersyukur kepada Tuhannya."

Ini adalah sekelumit daripada ikutan para ahli tasauf.


2 Responses
  1. Anonymous Says:

    Teruskan tulisan2 mengenai tasauf. Sesuai untuk yang baru nak bertatih dalam mencari diri.


  2. InsyaAllah, jika terus diberikan kekuatan.