Elias Hj Idris
Nabi saw berkata kepada Abu Hurairah r.a, "Hai Abu Hurairah, mahukah aku perlihatkan kepada kamu dunia seluruhnya dengan isinya sekali?'

'Baik, ya Rasulullah," jawabnya.

Rasulullah lalu menarik tangan Abu Hurairah seraya membawanya ke satu lembah di antara lembah-lembah di Madinah. Maka terlihatlah oleh Abu Hurairah di satu kawasan yang banyak terdapat kepala manusia, tahi, kain dan tulang.

"Wahai Abu Hurairah, kepala manusia itu dahulunya mempunyai banyak harapan seperti kamu sekarang dalam dunia ini, iaitu banyak angan-angan. Sekarang hanya tinggal tulang tanpa kulit, kemudian menjadi abu. Tahi ini dulu pelbagai aneka makanan mereka yang diperoleh melalui pelbagai usaha. Kemudian makanan itu dimasukkan ke dalam perut, kemudian ia menjadi seperti yang kamu ketahui - benci akannya. Perca-perca itu dulu terdiri daripada pakaian manusia yang indah dan cantik serta mahal, kemudian ia menjadi buruk. Tulang yang kelihatan itu adalah daripada haiwan kenderaan yang mereka naiki menjelajah ke segenap penjuru negeri. Oleh sebab itu jika sesiapa yang ingin menangisi dunia, maka elok ditangisi mulai sekarang."

Seorang lelaki membawa hadiah kepada Rasulullah. Baginda lalu mencapai satu bejana untuk dipindahkan hadiah itu, tapi tidak ditemui. Maka baginda perintahkan sahaja agar hadiah itu dicurahkan ke tanah. Kemudian baginda ambil sedikit lalu dimakan sambil berkata,

"Saya makan sama seperti hamba yang makan dan saya minum pun sama seperti hamba yang meminumnya. Kalau sekiranya dunia ini ada nilainya di sisi Allah sekadar sehelai sayap nyamuk. Ia tidak akan memberi minum orang kafir biar sesauk air juga."

Pada waktu yang lain Rasulullah berkata, "Adapun perumpamaanku dan dunia ini ibarat seorang yang berkenderaan pada hari yang panas. Kemudian orang itu pergi meninggalkan kenderaan tersebut."

"Ada pun dunia ini di akhirat tidak lebih daripada misal salah seorang kamu meletakkan anak jarinya ke dalam laut, maka baiklah diperhatikan berapa hasil yang akan dibawanya kembali daripada air laut yang melekat pada jarinya itu."

Pada suatu hari Umar ibnu Khattab masuk menemui Rasulullah yang dilihat sedang berbaring di atas sehelai tikar yang kasar, yang memberi  bekas kepada rusuk baginda. Umar menangis.

Kata Rasulullah, "Apa sebab engkau menangis?"

Saya tengok kisra dan kaisar duduk di atas sutera halus dan kasar, sedangkan tuan saya lihat tidur di atas tikar yang kasar ini."

Rasulullah terus marah, "Apakah engkau ingin menjadi kisra-kisraan pula, hai Umar?"

Pada suatu hari Rasulullah berkata, "Celaka hamba dirham, celaka hamba emas dan celakalah hamba pakaian."

Oleh sebab itu mengertilah kita kenapa Rasulullah berdoa, "Ya Allah, hidupkanlah aku miskin, matikanlah aku miskin dan himpunkanlah aku pada himpunan orang-orang miskin."

Pernah juga Rasulullah mengatakan, "Aku bersama orang-orang yang pecah hatinya."

Muaz bin Jabal berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, wasiatkan saya."

Jawab baginda, "Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihatnya, hitunglah dirimu dalam golongan orang yang mati. Kalau kamu suka aku khabarkan kepadamu apa yang lebih berbahaya daripada sekelian ini...," lalu baginda menunjukkan lidahnya.

Uqbah bin Amir berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, apakah keselamatan itu?"

Jawab baginda, "Tahan lidah kamu, hendaknya rumah kamu telah cukup luas bagimu dan tangisilah akan kesalahan-kesalahanmu."


Ini adalah sebahagian kecil daripada pesanan baginda tentang dunia dan bahaya yang berpunca daripadanya yang kaum sufi pergunakan sebagai panduan dan ikutan seharian yang disusun mengikut tertib agar mudah dilaksanakan.
3 Responses
  1. hsakinah Says:

    Salam,
    Saya suka dengan cara penerangan En.Elias mengenai ilmu tasauf dengan mengaitkannya terus dengan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Mudahlah kita faham asas tasauf. Terima kasih dan semoga terus diberikan-Nya kekuatan untuk menulis, InsyaAllah. Harapnya lepas ni, dapat diterangkan pula bagaimana kita umat akhir zaman dapat berterusan dalam mengamalkan ajaran-ajaran nabi sedangkan cabaran yang dihadapi amat besar (apa lagi cabaran yang anak-cucu kita hadapi - itupun jika sempat kita beranak-cucu). Kita yang di hujung zaman ni, rasanya, agak lemah dan terkeliru, terutama dek acuan bangsa kita sendiri mahupun akibat arus globalisasi.
    Terima kasih.


  2. Salam. Segala masalah yang timbul berpunca apabila kita lari drp landasaan. Budaya hedonisme kita begitu melampau - ia diverted fokus kita kpd yg lagho.

    So, kita kena kuat iltizam; jgn peduli orang - belajar untuk memahami erti Islam dan destinasinya. InsyaAllah.


  3. hsakinah Says:

    Benar! InsyaAllah...