Elias Hj Idris
*** Petikan drp buku ASAL PEJUANG DARI HUTAN dalam siri 'Selangkah ke Alam Jin'.

Perjanjian Pangkor telah membahagikan kawasan perlombongan bijih di Klian Pauh (Taiping) kepada puak Hai San. Kawasan perlombongan Klian Baru (Kemunting) diberikan kepada puak Ghee Hin. Puak Ghee Hin tidak berpuas hati kerana mahukan kawasan perlombongan Klian Pauh yang ada lebih banyak deposit bijih (Nota: Mereka inilah asal puak kongsi gelap yang ada di negara ini sekarang).

Ngah Ibrahim terpaksa akur dengan pentadbiran British apabila menerima seorang Residen untuk negeri Perak. Bagi jajahan Larut, Ngah Ibrahim terpaksa menerima Kapten Tristam Speedy sebagai Penolong Residen. Pada mulanya, Ngah Ibrahim tidak begitu gusar kerana Kapten Tristam Speedy adalah kakitangannya sendiri sewaktu mentadbir Larut.

Untuk mendapatkan hasil bagi mentadbir negeri Perak, JWW Birch telah mengenakan cukai ke atas perlombongan dan perniagaan bijih di Larut. Antara lain, kuasa Ngah Ibrahim memungut hasil dan cukai disekat. Hak itu beralih ke tangan Residen British.

Ini menimbulkan kemarahan Ngah Ibrahim kerana ia bertentangan dengan persetujuan Pangkor di mana dia berkuasa ke atas jajahan Larut. Namun Kapten Speedy lebih taat kepada pihak British walaupun Ngah Ibrahim adalah majikannya dan menguatkuasakan perintah pemungutan cukai. Ngah Ibrahim tidak dapat berbuat apa-apa apabila Kapten Speedy juga berkuasa ke atas polis bersenjata (yang diwujudkan oleh Ngah Ibrahim, tetapi digantikan oleh Kapten Speedy dengan polis Sepoi dari Punjab).

Perasaan marah Ngah Ibrahim berhubung pengutipan cukai oleh Residen British mendorong beliau menyokong kumpulan pembesar Melayu yang menentang pentadbiran British di Perak. Ngah Ibrahim disokong pula oleh Laksamana Mohamad Amin, bapa mertuanya.

Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam ialah seorang pembesar kelapan Perak yang merupakan pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya, tetapi dia dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri.

Dia seorang keturunan Daeng Salili, anak Raja Bugis dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran “Dato’ Maharaja Lela Tan Lela”, dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya.

Pandak Lam kemudian merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan menentang British di Perak. Ia berpunca apabila JWW Birch sebagai Residen British terlalu banyak mencampuri hal-ehwal adat-istiadat orang Melayu. Dia berlaku biadab dengan orang Melayu.

Birch memperkenalkan banyak pembaharuan secara mendadak tanpa mempertimbangkan perasaan orang Melayu. Dia menamatkan hak Sultan Abdullah dan pembesar dalam hal pengutipan cukai. Dia memberikan perlindungan kepada hamba abdi yang melarikan diri. Sedangkan adat hamba hutang ini adalah adat resam Melayu.

Pembaharuan ini telah melemahkan kedudukan Sultan dan pembesar apabila ketiadaan hasil pendapatan. Ia menjadikan hubungan dengan Birch telah semakin tegang. Baginda telah memerintahkan Dato' Maharaja Lela membunuh Birch dan berusaha untuk mengusir British. Segala senjata dan keperluan disiapkan oleh baginda bersama dengan Raja Ismail.

Bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin yang lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja yang dikenali sebagai Dato’ Sagor dan Ngah Kandin, Dato' Maharaja Lela merancang satu pakatan untuk membunuh Birch. Keputusan itu diluluskan dalam satu mesyuarat di Durian Sebatang yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar-pembesarnya termasuk Pandak Indut, Kulup Ali, Ngah Jabor dan Panjang Bur pada 21 Julai 1875.

Tugas itu dilaksanakan oleh Siputum dengan menetak Birch yang sedang bermain sabun ketika mandi sungai Perak pada 2 November 1875 di Pasir Salak.

Long Jaafar menemui bijih yg melekat
pada badan gajahnya yg hilang bernama 'Larut'
Elias Hj Idris
Beliau seorang tabi'in yang tidak bertemu dengan baginda Rasulullah saw. Beliau cuma dapat belajar dengan sahabat-sahabat baginda maka ia digelar tabi'in - satu gelaran yang amat mulia. Dia murid Huzaifah dan anak murid yang lain ialah Malik bin Dinar, Thabit al-Banani, Ayub al-Sakhtiani dan Muhammad bin Wasi.

Keempat-empat mereka adalah ulama besar dan imam tasauf pada abad 1 dan awal 2 Hijriah. Hassan al-Bisri mengajar murid-muridnya sekitar khuatir (ragu) hati dan amalan-amalan yang binasa serta tentang was-wasa nafsu manusia. Abas bin Umar ada menyatakan bagaimana Hassan al-Bisri menyeru;

"Ajaklah hati kamu itu berbicara kerana ia cepat binasa dan menghilang. Ia mempunyai sifat tidak malu dan kalau kamu turuti saja akan kemahuannya, ia akan membawa kamu jatuh ke dalam kancah kejahatan yang tidak berkesudahan."

"Pernah engkau melihat seorang faqih dengan mata engkau sendiri? Orang yang sebenarnya faqih, iaitu orang yang zuhud dalam dunia ini, mengetahui agamanya dengan benar dan berkekalan menyembah Tuhannya Azza-wajalla," katanya kepada Imran al-Qasir.

Abu Talib al-Makki pula memberitahu bahawa, "Hassan al-Bisri adalah orang yang pertama sekali membawa jalan ilmu tasauf dan membawa lidah untuk memperkatakannya serta berbicara menghuraikan maksud-maksudnya, dan beliaulah menyiarkan cahaya ilmu ini sehingga terbuka dengan terang.

Orang pernah bertanya beliau bahawa penjelasannya terang berkenaan dengan huraian-huraian yang tidak pernah didengar daripada orang lain. Jawabnya, "Aku mendapatnya daripada Huzaifah bin al-Yaman."

Hassan al-Bisri tidak mendirikan madrasahnya di Madinah, tetapi di Basrah. Di sana sudah timbul golongan-golongan yang berkedudukan dalam Islam bertindak memecah-belahkan umat Islam agar terbahagi kepada mazhab dan fahaman-fahaman yang bertentangan.

Kesannya, maka Saidina Ali Abi Talib bertindak mengunjungi mesjid dan pusat-pusat pengajian untuk mendengar sendiri penyelewengan mereka. Ramai yang telah dihalaunya dan ada di antara pusat-pusat pengajian itu yang dibubarkan. Katanya, "Ini bid'ah mungkar".

Saidina Ali sampai ke pusat pengajian Hassan al-Bisri sambil mendengarnya dengan teliti; bahasa dan perkatannya baik dan indah belaka. Maka Saidina Ali bertanya, "Cuba khabarkan kepadaku apakah yang membaikkan agama Islam dan apa pula yang mungkin merosakkannya?"

Jawabnya, "Yang membaikkannya adalah wara' dan yang merosakkannya adalah tamak."

"Engkau benar, sila teruskan berbicara kerana orang seperti engkau ini baik untuk menerangi manusia yang ramai," kata Saidina Ali.

Hassan al-Bisri adalah seorang yang amat takut akan Allah swt. di mana beliau pernah tidak ketawa sehingga empat tahun lamanya. Apabila berbicara, dia seakan-akan melihat hal-hal akhirat dengan mata kepalanya sendiri. Kemudian apabila diam, seakan-akan neraka itu menjalar di antara kedua-dua matanya, menurut kata Abu Talib al-Makki.

Ada yang sering menegur kerana dia asyik berdukacita. Maka jawabnya, "Apakah yang dapat memberiku rasa aman terhadap Tuhanku, yang telah melihat apa yang tidak disukai-Nya dalam sebahagian perbuatanku lalu Dia marah dan tidak sudi untuk mengampuninya."

Selain Basrah, di Iraq juga terdapat madrasah yang dipimpin oleh Said Ibnu Musayab. Di antara muridnya yang terkenal adalah Abu Hamzah as-Sufi termasuk ulama besar tasauf di Baghdad.

Madrasah yang ketiga diwujudkan di Khurasan dipimpin oleh Ibrahim bin Adham. Madrasah ini telah menjelaskan kepentingan tasauf dalam menepis pelbagai unsur yang mengharu-birukan umat Islam dalam kefahaman terhadap agama. Setelah ia berjaya memperbetulkan keadaan, tumpuan perhatian telah menyebabkan timbul pula musuh-musuh yang iri hati dengan kegemilangan tasauf Islam. Mereka adalah dari kalangan ulama fiqh dan ulama Kalam sendiri yang tidak senang dengan kewujudan madrasah-madrasah ilmu tasauf. Pihak lain juga tidak terkecuali termasuk dari kalangan mazhab dan para ilmuan di Iraq yang tempatnya agak jauh dari Madinah.

Namun perkembangan ilmu tasauf ini terus tidak terhalang sejak di Madinah, kemudian madrasah Hassan al-Bisri di Basrah, diteruskan oleh Sa'ad al-Musayab seorang ulama tafsir, hadis, fiqh dan dikembangkan lagi oleh Hamzah as-Sufi serta Ibrahim Adham.

Lambang Kekayaan Melayu Terkaya di Larut - Ngah Ibrahim
Elias Hj Idris
Tasauf pada zaman baginda Rasullullah masih bersifat umum. Ia belum dikenali sebagai satu cabang ilmu yang khusus. Ia tidak bernama, tetapi telah ada isi dan pengajarannya yang diamalkan oleh baginda dan sekelian para sahabat yang dibuat atas nama Islam sahaja. Sama halnya dengan ilmu fiqh, tetapi para sahabat telah pun mempelajari fiqh agama dan fiqh ibadat.

Demikian dengan ilmu tafsir, tetapi para sahabat telah mempelajari setiap ayat yang dihafal turut difahami makna dan huraiannya. Malah mereka telah mempelajari hubungan antara satu ayat dengan yang lain, serta bagaimana untuk melaksanakan saranan daripada ayat-ayat tersebut.

Pada masa ini ada ilmu yang dikenali dengan nama sejarah al-Quran, sejarah tasyri' Islam, ada ilmu tafsir al-Quran atau asbabun-nuzul. Semua ini dipelajari oleh para sahabat dalam mempelajari agama Islam. Corak kehidupan mereka seharian juga begitu; masih sama. Tidak ada tasauf, tiada taqasysyuf, dan tiada juga filsafat walaupun mereka tahu hikmat daripada setiap ayat al-Quran menurut yang diajarkan Nabi saw.

Huzaifah bin al-Yaman; sahabat dan imam tasauf pertama

Beliau adalah orang yang pertama memfilsafatkan ibadat dan menjadikan ibadat dengan cara tariqat yang khusus. Beliau telah menyampaikan ilmu-ilmu, membuka jalan dan mencipta teori yang kemudian dikenali dengan nama tasauf.

"Tuan sering mengeluarkan kata-kata yang tidak pernah kami dengar daripada para sahabat, dari mana tuan peroleh?" dia ditanya oleh para sahabat yang lain.

"Rasulullah telah menentukannya. Orang banyak bertanya baginda akan segala yang baik-baik, sedangkan saya tanyai baginda dengan yang jahat-jahat," jawabnya. "Apakah yang jahat itu; dengan tujuan untuk mengetahui agar dapat dijauhkan diri daripadanya. Sesiapa yang tidak mengenal kejahatan pasti tidak akan mengenal apa itu kebaikan."

"Banyak orang bertanyakan Rasulullah tentang pahala mengerjakan sesuatu. Mereka bertanya tentang fadilat-fadilat amalan - apakah yang merosakkan amalan?"

Kata seorang ulama tasauf, Abu Talib al-Makki; "Huzaifah bin al-Yaman telah ditentukan mempunyai ilmu mengenai orang munafiqin. Dia mengetahui sifat-sifat munafiq, rahsia ilmu dan segala fahaman yang halus, dengan mempunyai ilmu tentang keyakinan-keyakinan tersembunyi di antara para sahabat."

Khalifah Umar al-Khattab tidakkan mahu menyembahyangkan seseorang yang mati kalau dilihatnya Huzaifah tidak berbuat demikian. Ia disebabkan Huzaifah mempunyai pengetahuan tentang ilmu batin. Dia tahu siapa yang munafiq ataupun tidak.

Di sekeliling Huzaifah juga telah wujud satu madrasah kecil yang terdiri daripada sahabat-sahabat seperti Wasibah. Dia terkenal dengan ungkapan ini; "Aku mendatangi Rasulullah sebab aku tidak akan biar sesuatu kebaikan dan kejahatan melainkan akan bertanya Nabi saw. Aku langkahi orang lain untuk sampai kepada baginda."

Para sahabat menegur, "Jauhlah engkau hai Wasibah daripada Rasulullah."

"Biarkan aku mendekati baginda kerana beliaulah manusia yang paling aku cintai," sahut Wasibah.

Kemudian kata Rasulullah, "Hai Wasibah, akukah yang patut mengkhabarkan maksud kedatangan kamu atau kamu yang akan bertanya sendiri?"

"Tuanlah yang mengkhabarkan kepadaku," jawab Wasibah.

"Engkau datang untuk bertanyakan tentang kebaikan dan dosa," kata baginda.

"Benar, ya Rasulullah," jawab Wasibah.

Rasulullah menjemputkan jari-jari baginda seraya menggaru ke dada Wasibah sambil berkata, "Tanyalah hatimu hai Wasibah kerana setiap yang baik itu (al-birru) ialah yang tenang dalam hati dan yang dosa itu selalunya bolak-balik dalam dada manusia, walaupun orang banyak memberikan fatwa kepada engkau dan engkau pun begitu juga."

Hadis ini termasuk satu daripada tiang utama ilmu tasauf - sebab tasauf itu sebahagian besarnya berkait dengan soal perasaan hati manusia. Namun begitu madrasah yang didirikan oleh Huzaifah al-Yaman itu belum dikenali dengan tasauf kerana ia masih terlalu sederhana - tidak seperti apa yang berlaku di abad kedua Hijriah apabila ilmu mengenai tasauf sudah mulai tersebar.

Namun al-Hassanul Bisri seorang ulama besar tabi'in itu adalah murid beliau hasil keluaran daripada madrasah tersebut.
Elias Hj Idris
Akibat terlalu kusyuk beribadat kepada Allah - dapat dihidu bau limpa Saidina Abu Bakar yang terbakar daripada mulutnya. Punca, kerana takut akan Allah. Pada waktu malam dia membaca al-Quran sepanjang malam, sehingga sewaktu di Mekah kaum musyrikin merayu Rasulullah agar melarang Saidina Abu Bakar daripada membaca ayat-ayat suci itu. Suaranya yang menangis dan mendayu itu telah cukup untuk menggoda hati sesiapa, terutama wanita musyrik yang mendengarnya. Mereka mudah terpengaruh.

Pada satu peristiwa dia makan benda yang syubhah lalu segera dia mengorek tekaknya untuk dikeluarkan. Malah sewaktu perang Tabuok, baginda meminta sekelian muslimin mengorbankan harta mereka untuk jihad fi-sabilillah. Maka datang Saidina Abu Bakar lalu menyerahkan segala hartanya. Dia ditanyai Rasulullah, "Apa lagi yang engkau tinggalkan bagi anak-anakmu, hai Abu Bakar?"

"Jawabnya sambil tertawa, "Aku tinggalkan bagi mereka Allah dan Rasul-Nya."

Malah berkait dengan makanan dia pernah berkata, "Tidak pernah aku inginkan sesuatu makanan melainkan aku halangi diri daripadanya. Sesungguhnya, tidak ada sesuatu yang akan membinasakan diri manusia selain daripada syahwatnya"

Malah di rumahnya sentiasa pula ketiadaan makanan walaupun asalnya dia seorang yang kaya-raya di kota Mekah. Katanya, "Di dalam ibadat itu ada kekayaan bagi sesiapa yang menghendakinya."

Pada satu ketika dia melihat Nabi menolak pemberian orang - air dan madu. "Kenapa ya Rasulullah?"

"Ia dunia yang menjelma kepadaku dengan segala isinya," jawab baginda.

Dia pun begitu, tetapi katanya, "Demi Allah, sekiranya tuan dapat berlepas diri daripadanya, tetapi orang-orang yang di belakang hari nanti tidak akan terlepas daripadanya. Jadi aku takut yang dunia akan mengejarku."

Saidina Umar pun begitu sikapnya. Dia berjaya menghancurkan segala kemegahan Empayar Rom dan Parsi termasuk dalam bab tradisi bermegah-megah dan beria-ia dengan adat, pakaian dan makanan ala Rumawi Timur dan Parsi. Dia melarang komandan-komandannya memakai segala yang mewah tinggalan empayar tersebut. Dia tidak mahu tradisi bermegah-megah itu menjangkiti budaya masyarakat Islam.

Dia pernah mendapat permadani indah buatan Parsi, tetapi dipotong-potong lalu diberikan kepada mereka yang berhak. Tujuannya, supaya rasa bangga memiliki keindahan itu dapat dihindarkan. Dia pun hanya duduk di atas tanah dan berbaring di atas tikar. Malah dia membawa minyak untuk mengubati sendiri unta-unta zakat yang sakit. Dia turut membetulkan bangunan dengan kaki dan tangannya sendiri.

Pada suatu hari dia berjalan dengan beberapa orang sahabat lalu tiba di sebuah limbah najis. Katanya, "Inilah dunia yang yang kamu sering berlumba untuk memilikinya." Ia menunjukkan bahawa dunia yang dikejar orang itu seumpama najis yang busuk dan meloyakan.

Malah dia mengambil sikap bersedia untuk susah dengan banyak anak; kesukaran itu baginya seseorang akan lebih banyak berhubungan dengan Allah swt.

Apabila Saidina Umar berjaya meluaskan jajahan takluknya, banyak pihak membawakan persembahan berupa harta rampasan. Dia menetapkan semua orang bertugas dalam bidang agama dan diberikan imbuhan. Ummul Mukminin Aisyah r.a. diberikan 12,000 dirham setahun. Ibu-ibu Islam yang lain 10,000 dirham, komandan perang 9,000 dirham tiap seorang dan peserta perang Badar dan Hudaibiyah diberikan 5,000 dirham. Malah anak-anak muhajirin dan ansar pun diberikan 200-400 dirham seorang.

Sedangkan untuk dirinya, tidak pula ditentukan berapa walaupun dia seorang khalifah. Keadaan ini menyebabkan banyak pihak termasuk sahabat berasa gusar. Dia berkata, "Apakah benda yang halal bagi dirinya dengan harta milik umat lainnya?" Mereka mahukan dia hidup selesa sesuai dengan tarafnya sebagai seorang khalifah. Dia sekadar meminta dua persalinan; satu untuk musim sejuk dan satu lagi untuk musim panas. Dia meminta sedikit belanja untuk pergi mengerjakan haji setakat yang mampu dibawa sendiri atas belakangnya. Makanan? Cukup dengan setaraf perbelanjaan seorang Quraisy yang ikut sama.

Masing-masing berbicara; Kenapa untuk orang lain Saidina Umar sedia memberikan sejumlah bayaran tetap yang boleh dikira lumayan - beribu-ribu dirham. Sebaliknya, untuk dirinya dan keluarga dia begitu berkira, terutama segala yang datang dari baitulmal.

Inilah Umar Ibnu Khattab yang pada pandangan kaum sufi seorang imam yang besar sekali.

Saidina Ali bin Abi Thalib pun begitu. Dia pahlawan besar yang menakluki Khaibar, tetapi hanya makan tiga butir kurma setiap hari. Sementara di dalam rumahnya cuma ada pedang, baju rantai dan sehelai kain. Jika kain itu dijadikan pelapik tidurnya dengan Saidatina Fatimah, mereka sudah ketiadaan kain untuk selimut! Dia menumbuk tepung sendiri - segenggam dan dimasak lalu dibahagi dua dengan Fatimah dan tidak berbaki lagi untuk sepanjang hari.

Dhirar as-Sudaai dari Yaman pernah menghuraikan sifat Saidina Ali r.a; Dia tinggi sekali dengan cita-cita, kuat tubuhnya dan apabila berkata perkataannya jelas dan terang dan apabila menghukum, hukumnya tersangat adil.

Setiap perkataan yang dituturkan bagaikan ilmu dan dari segala hukumnya keluar pelbagai hikmat. Daripada perkataannya, beliau seolah-olah berasa liar dengan dunia ini. Dia senang dengan malam hari yang gelap-gelita; banyak berfikir dan bagus sekali tamsil ibaratnya. Makanan yang digemari, segala yang kasar dan sederhana, kalau pakaian - yang pendek.

Dia mencintai orang-orang miskin dan memuliakan ahli agama. Aku pernah melihat sewaktu bintang-bintang telah lenyap, sedang dia masih menangis dengan sendunya bak orang kesusahan sambil berkata;

"Wahai dunia, terperdayalah orang lain daripada aku. Apakah kamu masih mahu mendekati aku? Jauh... pergi jauh. Aku sudah ceraikan engkau dengan talak tiga. Keadaanmu amat hina-dina, ajalmu pendek dan bekal masih amat sedikit dan jalan yang akan ditempuh amat jauh sekali."

Apabila menyertai Nabi sejak awal Islam, para sahabat telah memupuk sifat-sifat terpuji;
i)  Zuhud terhadap dunia;
ii)  Tidak menghadapi hayat dunia ini dengan sepenuhnya, seperti yang dikehendaki dalam istilah kehidupan;
iii)  Mereka mencintai mati sama seperti mencintai hidup ini;
iv)  Mereka benci akan harta dan segala perhiasan dunia;
v)  Mereka cinta untuk segera menemui Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Inilah rahsia besar yang telah memberikan kemenangan besar kepada perjuangan sahabat dan tabi'in pada zaman Rasulullah dan para sahabat sehingga seluruh tanah Arab, Parsi, Syria dan Mesir semuanya Islam dalam masa 10 tahun di zaman nabi, 2 tahun di zaman Abu Bakar dan 10 tahun lagi di zaman Saidina Umar.

Jika sifat-sifat khalifah, gabenor dan komandan perang tidak demikian suci maka tentulah akan lahir banyak rintangan untuk melahirkan kemenangan yang besar kesan perebutan yang biasa terjadi.

Apabila diteliti akan sifat-sifat yang ditunjukkan oleh sekelian para sahabat, ternyata mereka tempuhi jalan tasauf itu secara berperingkat. Pertama sekali mereka mesti zuhud. Kedua mereka bersifat qana'ah, taat, beribadat kepada Allah, menarug rasa cinta kepada Allah dan Rasul, sedia menjadi penebus pada setiap yang dituntut oleh Allah dan terakhirnya, ketujuh melakukan jihad fi-sabilillah dengan erti yang sesungguhnya demi untuk meninggikan kalimah Allah.

Ketujuh-tujuh rangkai ini tidak terpisah. Ia diperlukan dalam pengajian tasauf yang sadiq, baik dan sempurna. Dan jalan ini tidak boleh dirobah sebab ia akan menyeleweng dari yang hak.

Satu lagi contoh. Pada suatu hari Nabi keluar bersama dengan Abu Bakar dan Umar dalam keadaan perut yang lapar sebab ketiadaan makanan di rumah masing-masing. Pun begitu amal mereka tidak pernah terjejas jauh sekali daripada berkurang. Di pertengahan jalan mereka temui seorang ansar yang mudah mengerti melihat daripada riak baginda bertiga. Dia lalu mengajak mereka ke rumah lalu dijamu dengan kurma dan air sejuk.

Selepas makan, Nabi bersuara, "Sebenarnya, kamu akan ditanyai pada hari kiamat nanti dari hal nikmat yang telah diberikan kepada kamu itu."

Orang kaya Melayu pada hari ini perlukan sebuah jet peribadi....

... dan 5-6 wanita lawa seperti ini!

Nikmat itu akan ditanya dari mana ia diperoleh dan ke mana ia dimunafaatkan? Demikian pendirian Nabi dalam pengawalan nafsu dan pembinaan ketaatan dalam mengembangkan agama suci ini.



Nota:  Ada Melayu kaya yg pergi karaoke malam Jumaat, balik 3.30pagi! Mata juling dgn GRO... yang sebaya anak di rumah.
Elias Hj Idris
Tempoh perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat sekelian penuh dengan usaha besar mendakwahkan agama Islam ke dalam dan luar negara. Di dalam negara ia mencelah ke segenap pelosok tanah Arab hingga 1,000km jauhnya. Ke luar negara pula ia menjangkau hingga ke Kaisar Rumawi Timur, Kisra Parsi Raya, Muqauqis Mesir dan Negus di Ethiophia dsb. Seruan ke daerah kafir dan penentang Islam merupakan pekerjaan yang besar dan teramat sukar.

Sama dengan keadaan sekarang, di mana amat sukar untuk kita menyampaikan Islam kepada kalangan kafirin. Malah orang yang sudah Islam pun menolak agama suci ini! Hinggakan Nabi terpaksa membela dakwah baginda apabila dihalang musuh sampai 100 kali dan baginda menyertai perang besar 9 kali.

Usaha dakwah ini memerlukan kebijaksanaan, keberanian dan keahlian yang benar-benar berat. Pun begitu cuma seorang sahabat yang dibunuh apabila menyampaikan utusan dakwah baginda kepada Raja Busra. Jadi, dari sejarah Nabi saw sejak di Mekah - hampir 13 tahun dan di Madinah, kurang sedikit 10 tahun (22 tahun + 2 bulan + 22 hari + 81 hari setelah ayat al-Quran yang terakhir turun, kesemuanya dijiwai oleh pengajaran ruhaniah dalam Islam yang di kemudian hari, setelah pelbagai ilmu lahir lalu disebut ilmu tasauf.

Maka di sini timbul persoalan dari mana datangnya unsur tasauf dalam Islam, jika dilihat pada kesibukan baginda dalam kerja dakwah? Sedangkan ketahanan  mental, kesungguhan dan kesabaran menghadapi kesukaran adalah titip-titip jiwa tasauf.

Perlu diingat, pada zaman baginda, segala macam ilmu belum dikenali dengan namanya masing-masing. Ia hanya dikenali dengan Islam saja.

Persoalannya, segala kejayaan itu tidak akan menjadi kenyataan jika tidak tersisip di jiwa mereka unsur tasauf yang tinggi - disertai dengan rahmat Allah swt jua. Maka rentetan itu dinamakan oleh ulama-ulama terkemudian sebagai tasauf, yang tidak terpisah daripada ilmu yang lain dalam anggota ilmiah Islam.

"Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu (Islam), dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu dan telah redhalah Aku Islam itu menjadi agama kamu."  - Surah al-Maiidah: 3.

Apabila turun saja ayat ini bererti Islam itu telah sempurna, dan sesudah itu tiada lagi ayat-ayat hukum yang turun. Dan baginda pun wafat selepas 81 hari ayat ini turun.

Jelas sifat sekelian kaum muslimin dan muslimat dalam setiap aspek kehidupan yang diredhai Allah itulah dalam aspek kehidupan Islam. Biar di mana-mana kitab pun, semua menjelaskan bahawa kepatuhan sekelian sahabat adalah pada Islam seluruhnya. Mereka semua muslim yang abid, hidup dengan cukup sederhana dan perlu diingat - itulah asas tasauf; iaitu yang mencintai Allah dan Rasul lebih daripada mencintai diri dan ahli keluarga!

Seluruh perkembangan fikiran mereka hidup semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt dan Rasul-Nya. Mereka membesarkan Allah pagi-petang, siang dan malam tanpa putus biarpun sejenak waktu. Di samping para sahabat dan mereka yang lain menurut contoh kehidupan Rasulullah saw sepenuhnya. Lihat saja bilik isteri baginda yang sembilan itu beserta dua orang jariahnya; seluas 4m x 4m berdindingkan kulit kambing dsb dengan bejana makanan dan pakaian yang cukup sederhana.

Jauh kan dengan selera kita ni....

Ia menunjukkan tujuan hidup mereka bukan didasarkan dan menuju ke arah kebendaan yang dikumpul atau didambakan. Ia berkisar pada nilai ibadat yang semakin menaik disertai akhlak yang semakin murni dan tulus; bak padi yang semakin berisi, tunduknya. Soal kebendaan dilemparkan jauh, agak berbeza dengan majoriti sikap orang Melayu Islam hari ini (Sila waspada dengan gejala kebiasaan di kalangan kita itu, jika mahu selamat - penulis).

Bagi para sahabat, dunia ini mudah - bukannya rebutan. Ada juga yang kuat keduniaannya pada awal Islam seperti Abu Sufyan dan kedua-dua anaknya, maka Rasulullah berikan mereka selembah kambing. Kepada pemeluk Islam yang lain pun begitu seolah-olah ia tidak bermakna apa-apa kepada baginda! Dan baginda pulang tanpa seekor pun kambing atau secarik pakaian untuk keluarganya.

Dengan sikap begitu, pembesar Quraisy yang menentang sejak 20 tahun itu mulai sedar memang benar baginda adalah Rasul Allah yang sebenar. Sebab jika pada baginda ada terselit sikap dan perasaan 'raja' atau sang penguasa tentu dapat dilihat sikapnya yang cenderung kepada kebendaan dan harta dunia. Pada baginda, selembah kambing itu bak nilai satu sen (dirham!).  Malah ada yang meminta tambahan lalu diberikan baginda.

Sikap begini akhirnya menyedarkan kalangan sahabat. Mereka yang cenderung kepada keduniaan dan harta dunia mulai mengendur dan malu sendiri. Akhirnya, Abu Sufyan yang turut sama berperang sehingga sebelah matanya buta. Apabila diadukan, Rasulullah bertanya, "Apakah engkau suka kiranya aku mendoakan supaya matamu kembali pulih atau kamu lebih suka dengan sibiji mata yang baik di syurga?"

Abu Sufyan lalu meminta mata yang di syurga!

Ini semua memudahkan Islam itu digerakkan tanpa sengketa di kalangan para sahabat. Tiada perebutan harta, apabila semuanya aman disebabkan jiwa mereka dibalut kepada keikhlasan dan mencari keredhaan, bukan balasan kebendaan dan keduniaan. Harta dunia akan kehabisan apabila dibahagi-bahagikan, tetapi tidak dengan khairat, waqaf dan ilmu. Ia semakin berkembang menjadikan pembahagian di alam ruhaniah begitu lapang sekali - tanpa sengketa.

Ada falsafah di kalangan sahabat yang berbunyi, 'Sesiapa yang menuntut mati akan beroleh kehidupan; tetapi sesiapa yang menuntut kehidupan akan dihina oleh kehidupan itu sendiri.'

Ahli sufi yang tulen adalah mujahid yang berjuang untuk menyelamatkan dirinya, yang berjuang untuk meninggikan agamanya, tetapi merendahkan dirinya kepada sesama mukmin; keras terhadap sekelian orang kafir dan tidak peduli cerca orang yang mencercanya dalam menegakkan kebenaran!

Nota:  Patut ia menjadi iktibar kepada kita yang kiranya telah agak jauh menyimpang. Pada hari ini, soal kebendaan telah menjadi masalah titik-bengik sehingga menimbulkan permusuhan dan masam muka. Ada yang dihina dan dipandang rendah!
Elias Hj Idris
Nabi saw berkata kepada Abu Hurairah r.a, "Hai Abu Hurairah, mahukah aku perlihatkan kepada kamu dunia seluruhnya dengan isinya sekali?'

'Baik, ya Rasulullah," jawabnya.

Rasulullah lalu menarik tangan Abu Hurairah seraya membawanya ke satu lembah di antara lembah-lembah di Madinah. Maka terlihatlah oleh Abu Hurairah di satu kawasan yang banyak terdapat kepala manusia, tahi, kain dan tulang.

"Wahai Abu Hurairah, kepala manusia itu dahulunya mempunyai banyak harapan seperti kamu sekarang dalam dunia ini, iaitu banyak angan-angan. Sekarang hanya tinggal tulang tanpa kulit, kemudian menjadi abu. Tahi ini dulu pelbagai aneka makanan mereka yang diperoleh melalui pelbagai usaha. Kemudian makanan itu dimasukkan ke dalam perut, kemudian ia menjadi seperti yang kamu ketahui - benci akannya. Perca-perca itu dulu terdiri daripada pakaian manusia yang indah dan cantik serta mahal, kemudian ia menjadi buruk. Tulang yang kelihatan itu adalah daripada haiwan kenderaan yang mereka naiki menjelajah ke segenap penjuru negeri. Oleh sebab itu jika sesiapa yang ingin menangisi dunia, maka elok ditangisi mulai sekarang."

Seorang lelaki membawa hadiah kepada Rasulullah. Baginda lalu mencapai satu bejana untuk dipindahkan hadiah itu, tapi tidak ditemui. Maka baginda perintahkan sahaja agar hadiah itu dicurahkan ke tanah. Kemudian baginda ambil sedikit lalu dimakan sambil berkata,

"Saya makan sama seperti hamba yang makan dan saya minum pun sama seperti hamba yang meminumnya. Kalau sekiranya dunia ini ada nilainya di sisi Allah sekadar sehelai sayap nyamuk. Ia tidak akan memberi minum orang kafir biar sesauk air juga."

Pada waktu yang lain Rasulullah berkata, "Adapun perumpamaanku dan dunia ini ibarat seorang yang berkenderaan pada hari yang panas. Kemudian orang itu pergi meninggalkan kenderaan tersebut."

"Ada pun dunia ini di akhirat tidak lebih daripada misal salah seorang kamu meletakkan anak jarinya ke dalam laut, maka baiklah diperhatikan berapa hasil yang akan dibawanya kembali daripada air laut yang melekat pada jarinya itu."

Pada suatu hari Umar ibnu Khattab masuk menemui Rasulullah yang dilihat sedang berbaring di atas sehelai tikar yang kasar, yang memberi  bekas kepada rusuk baginda. Umar menangis.

Kata Rasulullah, "Apa sebab engkau menangis?"

Saya tengok kisra dan kaisar duduk di atas sutera halus dan kasar, sedangkan tuan saya lihat tidur di atas tikar yang kasar ini."

Rasulullah terus marah, "Apakah engkau ingin menjadi kisra-kisraan pula, hai Umar?"

Pada suatu hari Rasulullah berkata, "Celaka hamba dirham, celaka hamba emas dan celakalah hamba pakaian."

Oleh sebab itu mengertilah kita kenapa Rasulullah berdoa, "Ya Allah, hidupkanlah aku miskin, matikanlah aku miskin dan himpunkanlah aku pada himpunan orang-orang miskin."

Pernah juga Rasulullah mengatakan, "Aku bersama orang-orang yang pecah hatinya."

Muaz bin Jabal berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, wasiatkan saya."

Jawab baginda, "Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihatnya, hitunglah dirimu dalam golongan orang yang mati. Kalau kamu suka aku khabarkan kepadamu apa yang lebih berbahaya daripada sekelian ini...," lalu baginda menunjukkan lidahnya.

Uqbah bin Amir berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, apakah keselamatan itu?"

Jawab baginda, "Tahan lidah kamu, hendaknya rumah kamu telah cukup luas bagimu dan tangisilah akan kesalahan-kesalahanmu."


Ini adalah sebahagian kecil daripada pesanan baginda tentang dunia dan bahaya yang berpunca daripadanya yang kaum sufi pergunakan sebagai panduan dan ikutan seharian yang disusun mengikut tertib agar mudah dilaksanakan.
Elias Hj Idris
Kalangan ulama ahli tasauf menjadikan pekerjaan seharian nabi saw sebagai dasar utama mereka. Baginda adalah imam besar bagi sekelian ahli tasauf. Ini disebabkan setiap hari Nabi akan beristighfar 100 kali. Jumlah jam solat baginda dua pertiga malam - itulah solat tahajjudnya. Ia tidak termasuk solat fardu dan rawatibnya yang memakan masa beberapa jam. Solat dhuha baginda tetap 8 rakaat sehari, dan menjadi tetap biar di mana dan ke mana sekali pun.

Perlu diingat, kesemua solat Rasulullah panjang berdirinya, sempurna ruku' dan sujudnya. Tahajjud baginda tidak lebih 11 rakaat, tetapi setiap kali sujud sama dengan tempoh sahabat membaca 50 ayat! Ia memerlukan 5 halaman al-Quran dan apabila dibaca dengan tartil memakan masa 2 minit/halaman. Ini bermakna 10 minit setiap kali sujud baginda!

Solat witir baginda tetap 11 rakaat dengan 22 kali sujud. Setiap kali sujud 10 minit bererti sujudnya sahaja sudah 2 jam. Tempoh ruku'nya separuh daripada sujud - 1 jam. Berdiri membaca ayat al-Quran lebih lama daripada ruku' dan sujud - tentunya tidak kurang daripada 3 jam. Ini bermakna untuk melakukan solat witir itu sahaja sudah 6 jam. Ia adalah ukuran biasa.

Maka inilah yang disebut dalam banyak kitab bahawa dek kerana panjangnya solat malam baginda, sampai bengkak kedua kakinya! Jika pada malamnya terganggu solat baginda, maka keesokan paginya ia digantikan dengan segera. Maka dengan demikian solat baginda hampir tidak pernah terganggu.

Rasulullah saw sering menangis kerana takut akan Allah dan baginda sering menggeletar apabila berdoa dengan penuh khusyu' dan tadharru' pada malam hari, terutama selepas solat waktu sahur, pada waktu petang dan pagi hari. Sabda baginda;

"Demi Allah, kalau kamu mengetahui daripada Allah apa yang saya ketahui, nescaya kamu berebut-rebut pergi ke kuburan."

Ummul-mukminin Aisyah r.a berkata bahawa Nabi melakukan solat malam hingga pecah-pecah kaki baginda. Lalu kata Aisyha r.a: "Ya Rasulullah, kerana apa lagi tuan lakukan ini, sedangkan Allah telah mengampunkan dosa tuan baik yang terdahulu atau yang terkemudian."

Jawab baginda, "Apalah salahnya aku menjadi seorang hamba yang tahu mengenang budi dan bersyukur kepada Tuhannya."

Ini adalah sekelumit daripada ikutan para ahli tasauf.


Elias Hj Idris

Menyampaikan al-Quran adalah di antara tugas ahli tasauf. Oleh itu mereka perlu menghafalnya, membaca dan meneliti makna dan maksud al-Quran di samping merenung setiap pengajaran ayat. Paling utama ialah ayat-ayat tentang keesaan Allah, kebesaran-Nya dsb.

Setiap ayat meminta pembacaan, penghafalan dan menuntut si pembaca itu melaksanakan isinya. Pelaksanaan isinya meminta perubahan dari sesuatu yang tidak baik dalam masyarakat kepada yang lebih baik. Ini semua yang dilakukan oleh baginda Rasulullah sehingga segala kemungkaran yang ditentang al-Quran telah berjaya disapu bersih dari kalangan masyarakat.

Penyapunya itu adalah al-Quran. Oleh yang demikian, al-Quran itu dibaca, dihafal oleh orang dengan segala kesungguhan. Sebab tanpa membaca dan menghafal, kekuatan ingatan kita untuk mengubah masyarakat buruk dan busuk itu lama-kelamaan akan menjadi lemah dan tidak bermaya.

Ada banyak lagi kerja baginda yang tidak akan kita sentuh di sini. Cuma apa yang penting, ia berkait dengan ayat-ayat al-Quran yang menjadi penting dalam usaha mendapatkan keberkatan dan rahmat untuk menjadi seorang ahli sufi.
Elias Hj Idris
Sebaik menerima wahyu dan kerasulan, maka situasi ruhani baginda menjadi semakin kuat, jernih, mengilap dan menangkap. Kemudian baginda melaksanakan tugas menyampaikan al-Quran selama hampir 23tahun. Perlu diingat, tugas menyampaikan al-Quran pada setiap hari di kalangan sahabat di tengah-tengah ancaman musuh sama seperti meletakkan leher biar dipenggal General Yamashita, Jepun! Lantaran musuh utama bagi sang musuh Islam adalah al-Quran itu.

Kerja seterusnya, ialah menyampaikan kepada sahabat - dengan membaca dan menerangkan dan terus melaksanakan tanpa berlengah-lengah. Jika tidak dapat disampaikan di sekitar tempat dekat Ka'abah, baginda beralih ke mana-mana bahagian kota Mekah, di pinggirnya atau dibawa ke rumah Al-Arqam bin Abul Arqam. Kalau perlu mereka dibawa ke kaki gunung dan berkumpul di sana setengah hari atau lebih.

Baginda menerangkan tentang ayat yang baru turun, maksudnya, menerangkan hubungan ayat-ayat baru turun dengan ayat sebelumnya. Baginda menerangkan di mana letak ayat dan di surah yang mana? Sekiranya ayat-ayat itu ayat perintah atau larangan, baginda menerangkan cara untuk melaksanakan perintah dan larangan itu. Dan ia terus dilaksanakan.

Sama ada di Mekah ataupun Madinah, baginda terus menyampaikannya secara berterusan tidak kira di waktu aman atau perang, ayat pendek atau panjang - ada yang terus lebih satu juzu' seperti Surah al-Baqarah. Ia dilaksanakan dengan sebaik-baiknya pada waktu itu juga. Sekiranya di waktu musafir 2,000 orang maka pergerakan dihentikan. Baginda bertindak menyampaikan kepada sahabat-sahabat, ketua-ketua kumpulan secara bertangga. Ketua-ketua ini pula akan menyampaikan kepada anggota kumpulannya pula sehingga kesemuanya hafal dan faham maksud dan saranannya.

Baginda turut memerintahkan jurutulis wahyu yang sentiasa ada bersama menuliskan 1-2 naskhah dokumentasi al-Quran di atas kulit-kulit nipis yang telah disamak, pada pelepah tamar, di atas tulang-tulang nipis, perca dsb. Seterusnya, apabila tiba di destinasinya, ia akan ditulis semula di atas kulit yang lebih baik di mana baginda menerangkan tentang nombor surahnya sekali.

Apa yang dijelaskan ini cuma sebahagian daripada tugas baginda Rasulullah saw. Jika hendak diambil kira, tugas menyampaikan selama hampir 23 tahun ini pun sudah terlalu berat buat seorang manusia biasa. Namun kekuatan ruhaniah baginda yang telah dilatih Allah swt sejak kecil dan di lima tahun terakhir kerasulan di Gua Hira' telah menyebabkan baginda mampu melaksanakan tugas dengan baik sekali.
Elias Hj Idris
Tahannuth Muhammad saw di dalam Gua Hira' merupakan cahaya pertama dan utama bagi nur tasauf. Itulah benih pertama bagi kehidupan ruhaniah yang disebut dengan ilham hati atau renungan ruhaniah.

Penghidupan Nabi Muhammad saw merupakan gambaran lengkap sang sufi yang sebenarnya. Dari Gua Hira' itu baginda melupa dan memutuskan hubungan ingatan sama sekali dari segala makhluk lainnya. Menurut ahli sufi, ia adalah laluan pertama yang utama untuk sampai kepada kasyaf, untuk memperoleh limpahan ilham dan untuk beroleh isyraaq atau pancaran nur dari Allah swt. Kebesaran dan kemuliaan Nabi saw itu telah menjadi sempurna di tempat itu.

Lapangan dan Tingkatan Tasauf

Tasauf itu ibadah, taharah dan zuhud. Ia lalu naik memperoleh kasyaf, memperoleh faidhullah (limpahan-limpahan Allah), kemudian isyraaq beroleh pancaran nur Allah yang menerangi langit dan bumi. Kemudian pada tingkat ketujuh barulah seorang itu berhubungan dengan al-Khaliqul A'zam, pencipta, pemelihara dan perahmat seluruh alam ini, dan isi seluruh alam ini terdiri daripada tiga, iaitu ayat-ayat yang hak, kebaikan dan keindahan.

Sebelum Nabi menjadi rasul terlelbih dahulu Allah swt mendidiknya dengan sebaik-baiknya, walaupun pahit. Ayahanda baginda wafat sewaktu masih dua bulan dalam kandungan. Dalam usia enam tahun, ibunya pula wafat. Maka menangislah segala isi langit melihat akan yatim-piatunya Nabi Muhammad saw. Namun Allah menghendakinya begitu agar ia lebih membaikkan baginda. Dalam kehidupan ini, didikan ibu dan masyarakat cuma mempengaruhi sahsiah seseorang itu setakat 50% sahaja. Sementara bakinya datang daripada wasathah atau darah keturunan yang mengalir pada dirinya daripada akhlak ayah, ibu, nenek dan kerabat lain yang dekat.

Jadi Allah menjadikan Nabi manusia paling mulia, menjadi rasul untuk merahmati seluruh alam dalam masa tiada batas. Biar setara mana baik pun ayah dan ibu serta neneknya, kekuatan apa yang ada pada mereka masih tidak cukup untuk menolong baginda menjadi rasul. Jadi, dengan sebab itu ayah dan neneknya diwafatkan. Kemudian pengalaman pahit sewaktu kanak-kanak, zaman muda dsb adalah dalam usaha pembentukan itu juga.

Dan lima tahun sebelum kerasulan, baginda menjalani latihan paling keras - iaitu beribadat di Gua Hira'.

Bersambung...
Elias Hj Idris
Dalam mengikut jejak baginda ini, ada yang cuba mendapatkan kekuatan ruhaniah dengan pergi bertapa. Demikian juga jika berhajat untuk menemukan sesuatu keinginan yang sudah tentu di luar izin Nabi saw adalah tidak diizinkan. Ada yang jadi gila dan isim di sepanjang hidupnya. Namun kita digalakkan untuk melakukan solat malam yang panjang - minimum sepertiga malam; normal setengah malam dan maksimum dua pertiga malam. Ia boleh dilakukan sendiri atau bersama anggota keluarga - di mesjid ataupun di rumah.

Cuma perlu diingat, Allah swt takkan memberi seperti apa yang telah diberikan kepada baginda Rasulullah saw di Gua Hira'. Namun apa yang dapat ditarik daripada peristiwa itu ialah sifat tekun sendirian menyembah dan memuji Allah, terutama di tempat-tempat suci, di tengah malam, dalam rumah sendirian dsb.

Apa yang diperoleh Nabi saw di sepanjang baginda bertahannuth di Gua Hira';

i)  Melatih jasmani banyak berjalan di atas bumi dan selalu menggerakkan tubuh;
ii)  Melatih akal dan fikiran untuk memikirkan apa yang menjadi rahsia alam ini;
iii)  Melatih akal dan fikiran untuk memikirkan apa yang dalam batas maksimum, sehingga baginda melupakan segala yang lain?;
iv) Melenyapkan erti takut keseluruhannya daripada perasaan dan pemikiran;
v)  Menimbulkan ingatan dan cinta yang bulat kepada Allah swt.

Inilah fakta yang oleh kaum sufi dijadikan unsur paling penting bagi peribadatan mereka; iaitu menyediakan waktu-waktu untuk bulat menghadapi Allah swt dengan cara yang telah ditentukan syariat Islam.
Elias Hj Idris
Dalam melimpahkan kurnia-Nya sebagai zat Yang Maha Kuasa, Allah swt telah menetapkan bahawa setiap apa jua yang ada di langit terserah kepada budi bicara malaikat. Sementara hal-hal di bumi, Allah swt serahkan kepada budi bicara malaikat untuk melepaskannya. Jadi, Jibril telah menyerahkan segala hal di bumi kepada jin. Oleh yang demikian segala khazanah yang terpendam dalam bumi, terletak di bawah bidang kuasa jin.

Jin ini pun ada 7 jenis, mengikut taraf juga yang menjaga di empat penjuru alam, pagi-petang, siang dan malam yang tidak berwaktu selama-lamanya; maknanya sentiasa - tanpa leka dan lalai. Namun jin ada kelas-kelasnya yang ditugaskan buat menjaga di sesuatu kawasan. Kalau ia dari jenis yang baik (ya la... baik selayak taraf jin!) segala kerja akan menjadi lebih mudah. Dengan amalan yang tertentu, dia sudah dapat disisihkan dari setiap khazanah dalam bumi jagaannya.

Perlu diingat, sejarah awal setiap khazanah dalam bumi mesti berkait dengan Nabi Allah Sulaiman. Jadi, jika berusaha untuk mendapatkan khazanah-khazanah jenis demikian kita perlu memanjatkan selawat kepada baginda; 'Innahu-min Sulaimani....'

Persoalan pokoknya, walau apapun ia tetap perlu kembali kepada punca segalanya; iaitu Allah swt biar Dia yang memutuskan; agar Jibril mengarahkan ketua jin yang kemudian akan memberikan arahan kepada anak-anak buahnya. Melalui amalan tahlil yang diadakan, bererti kita benar-benar mentauhidkan Allah swt sambil meletakkan diri ke dalam 'kota' Tuhan. Kalau dalam ilmu jabat, kita berada dalam kandungan kalimah Zat Allah. Kesan kekuatan ruhaniah si mukmin boleh menggerunkan sekelian jin yang berdekatan/berkawalan di situ. Sebab ruh akan bertemu dengan ruh. Iblis jauh sekali; tidak berupaya apa?

Melalui kekuatan ruhani itu, kita berharap sekelian jin yang menjaga khazanah berkenaan tidak akan mengganggu-gugat khazanah berkenaan - biar dia duduk jauh sambil memerhatikan sahaja. Cuma itu la... jin tetap nakal; di mana dia akan mengusik dengan tiupan angin yang kuat. Tiupan sekuat itu, jika ia dari jin tidak akan membinasakan walau sebatang pokok pun. Tetapi jika angin itu datang dari Allah swt dalam bentuk ribut maka kita akan dapat melihat kebinasaannya.

Namun untuk melawan gangguan jin dalam bentuk angin ini mudah; tutupkan saja hidung. Sekejapan sahaja angin itu pun akan berlalu.

Jin dari kalangan low class adalah ifrit. Hantu raya, pocong, langsuir dsb termasuk dalam kelas ini.


Untuk lebih jelas, elok ditelusuri Surah al-Fatihah bagaimana di sana Allah swt tunjukkan tentang kehadiran 7 malaikat dan 7 jin dalam 7 ayat yang diulang-ulang itu!
Elias Hj Idris
Kunjungan Nabi saw pada setiap Ramadhan di lima tahun sebelum kerasulan baginda ke Gua Hira' merupakan satu latihan ruhani dan latihan jiwa untuk menghadapi agenda yang lebih besar selepas itu. Antara latihannya ialah membiasakan hidup tanpa rasa takut kepada makhluk atau apa pun jua. Baginda membiasakan diri hidup dalam keadaan kasar - hidup secara sederhana di mana saban waktu mesti dihabiskan dengan berzikir dan mengingat akan Allah swt.

Latihan intensif ini mengingatkan kita bahawa ruh Islam itu tidak datang dengan sendiri sebaik sahaja beriman. Ia kena diusahakan dengan kekuatan fikiran, kekuatan iman dan tanpa rasa takut selagi berkait dengan agama. Itulah yang diperoleh baginda sepanjang bertahannuth di gua itu. Maka latihan mesti secara tetap dan itulah amal-amal sufi yang telah memilih hidup sederhana, tetapi penuh dek daftar kerja dengan ibadat.

Umat muslim hari ini pun telah jauh tersasar apabila melupai peristiwa Gua Hira' itu kesan dambakan pengaruh kebendaan dan keduniaan. Mereka sudah tidak terfikirkan soal ruhaniah. Mereka sudah tidak sampai ke tahap apabila takut akan Allah swt dalam erti sebenar-benar takut. Ada la mungkin 1%! Mereka masih terikat dengan sikap berjiwa hamba - menakuti sesama makhluk atas kepentingan tertentu; tanpa penyerahan diri yang tuntas kepada Khaliq, Penciptanya.

Umat muslim sudah tidak betah untuk mengikut jejak baginda berkhalwat di Gua Hira'. Usahkan nak berkhalwat, untuk naik ke situ pun sengaja disukarkan oleh kerajaan Saudi kerana benci lalu disebut bid'ah. Rentetan daripada itu kesannya kita boleh amalkan di rumah atau di mesjid yang sekarang sudah tidak ada. Malah untuk umat muslim beri'tikaf 10 hari dalam mesjid pada akhir Ramadhan pun sudah terlalu berat.

Memang ia bukan perkara wajib. Namun kebanjiran faham kebendaan/materelaisme itu telah menghakis segala nilai murni agama dalam diri sekelian umat. Sedangkan satu hadis baginda ada menyatakan; "Jika benar kamu cinta akan Allah, maka ikutlah akan aku, nanti Allah akan menyintai kamu." Mengikut Nabi itu bererti meniru segala hal-ehwal baginda termasuklah dengan peristiwa berkhalwat ini.

Untuk mencapai segala yang hakiki dalam hidup bagi menyelamatkan kita di alam ini tidak memadai sekadar omong-omong dan agak-agak saja. Ia perlu datang dengan yang hak daripada Allah swt. Apabila Nabi saw memimpin umatnya, penderitaan mereka itu tidak kekal lama - ia menjadi semakin mudah. Nabi saw pernah berkata bahawa musuh-musuh tidak akan berani memukul-mukul kamu lagi selepas itu; dan ia didapati benar.

Ilham ruhaniah ini cuma datang kepada kaum mukmin yang sempurna imannya. Sempurna di sini bermakna dia mesti menyintai saudaranya sama seperti dia menyintai dirinya. Manakan ada lagi? Ia sudah terlalu sukar kerana pengaruh kebendaan yang memecah-belahkan. Lihat saja, sekarang jika seseorang itu menuntut ilmu hanya untuk kepentingan dirinya seorang. Kalau dia mencari harta, maka kesenangan itu hanya untuk dirinya juga malah jadi semakin berkira dan tamak pula.

Malah kalau ada kuasa, kuasa itu digunakan untuk mengepung segala kepentingan buat dirinya jua. Ia dibuat sudah bukan atas kepentingan ummah; tetapi menjadi enau di dalam belukar!

Jarang dapat ditemui seorang muslimin yang mengorbankan segala kesenangan dan fikirannya untuk kepentingan umat. Kalau ada pun ia sudah dikira pelik. Sama dengan peristiwa nabi-nabi terdahulu yang dituduh gila, terkena sihir dsb kerana menyeru tauhid dan kebaikan. Pada hal semua umat tahu bahawa seruan mereka itu adalah benar, tetapi untuk mengamalkannya ramai yang keberatan.

Kaum muslimin tahukan rahsia besar ini, tetapi tidak cukup kuat untuk ikut mengerjakannya. Dengan berseorangan diri di tempat sunyi, penuh bahaya dan menakutkan dalam hutan tebal, di pulau-pulau yang terrpencil dsb untuk mencari hakikat; untuk berhubungan dengan Tuhan al-Khaliq semoga Dia mengurniakan ruhaniah yang kuat dan benar kepada kita hanya dapat dilakukan oleh mereka yang empunya jiwa nan besar dan ruh yang kuat.

Sudah timbul kecenderungan pada hari ini suara rakyat yang mengatasi segalanya. Ia demokrasi kononnya walaupun ia bertentangan dengan yang hak - menjadikan umat Islam semakin menderita dan terhimpit. Ia sudah bukan suara yang timbul daripada munajat atau ilham ruhaniah yang hanya boleh didapati melalui khalwat dan ibadat kepada Allah swt. Ia adalah suara yang dirancang oleh satu golongan untuk kepentingan mereka sendiri. Itu sebab demokrasi merupakan penghancur jemaah.

Kehadiran baginda di Gua Hira' pada setiap Ramadhan untuk menunjukkan kepada kita bahawa untuk mencari kebenaran, jangan dicari orang lain. Carilah ia ke dalam diri sendiri, gali dalam iman dan ibadat dengan mengadakan hubungan tulus ke hadrat Ilahi. Hubungi Tuhan al-Khaliq, Yang Maha Kaya dan berkuasa lagi Maha Mengetahui dan dituntut keredhaan-Nya. InsyaAllah, Dia akan mendengar sejauh mana kesungguhan kita terhadap-Nya. Dan apabila telah berjaya maka laksanakan ia dengan sebaik-baiknya, bukan dijadikan modal duniawi yang mengalpakan.

... biar sehingga keletihan begini!
Bersambung...
Elias Hj Idris
Saya tamat SPM 1968. Sementara menunggu keputusan tu dok melahu la kat kampung. Masa itu saya sudah mulai alim. Setengah jam sebelum masuk waktu saya sudah bersedia dengan wudhu' ternanti-nantikan waktu solat diumumkan di radio; macam hebahan waktu berbuka puasa - ikut zon. Dulu takde azan pun.

Tu la... nak jadi alim dengan ilmu dan fahaman sendiri. Nak cari tuk guru manakan ada? Kat sekolah cuma yang ada ustaz yang tak pernah pakai songkok. Ustaz pun cuma mengajar bab feqah, tauhid tak pernah sampai separuh tiap tahun. Pemahaman ayat ada le 5-6 termasuk ayat tentang 7 dosa besar dan ayat perihal puasa.

Bagusnya, sebab pernah tinggal di asrama di dua tahun yang akhir. Jadi, saya berpeluang temui rakan yang sebaik-baik pekerti hingga ke peringkat 'malaun'. Saya tidak nakal. Jadi, pembelajaran dalam kelas dapat dihayati (klu tak takkan dalam practical exam dapat top student!). Dan mereka yang baik-baik itu menjadi sumber inspirasi.

Daripada keluarga, rasanya jauh la. Cuma dari segi keturunan tu ada le. Siapa yang tidak kenal tuk guru Saad Beruas di kalangan orang tua-tua di Kedah? Dia tuk guru yang cukup dikenali dan hebat di sana. Di sebelah ibu pun datang dari kalangan tuk alim. Kemudian, tuk sedara di Perak itu pula jadi tuk guru agama yang cukup dikenali juga. Tukwan (lelaki) pun alim dan lurus orangnya. Jadi, sesuai dengan kifarah balasan - saya mungkin mendapat sedikit daripada tempiasnya (takde le niat nak tinggikan diri!).

Nak diharapkan ayah, tiap malam dia keluar dengan motosikal besarnya - AJS, Triump, BSA, Norton. Dia dengan geng memudanya. Dia akan hanya pulang pada jam 1.00 malam.

Cuma saya tabik dengan arwah ibu. Kerjanya teruk - menoreh getah (sayalah orang yang biasa menolongnya apabila cuti sekolah - anak yang setia) dan menanam padi. Dia juga menjaga kami adik-beradik 9 orang. Jadi, malam-malam kami pergi mengaji al-Quran dengan tuk guru - jauh juga dari rumah, pakai lampu minyak tanah. Bila angin kuat terus lampu padam dan merabalah kami di dalam gelap! Pastu masing-masing berkelahi sebab adik-adik saya yang lain (ada tiga adik perempuan di bawah) penakut belaka. Semua nak pegang lengan tangan atau baju saya pun jadi la. Si abang ni pulak nakal - jadi saya lari dalam gelap tu tinggalkan mereka biar terjerit-pekik!

Apabila kami mengulangi bacaan di rumah, ibu yang sedang mengasah pisau toreh itu di dapur boleh menegur setiap bacaan yang salah. Dia tegur penuh satu ayat untuk kami ikuti/fahami. Selalunya, ayah pun kena tegur juga sebab bacaannya merangkak dan main langgar (Ari ni kalau disebut, ayah tak mengaku dia pernah kena tegur. Heh... jatuh 'standard' tuk guru, kan!). Namun, alhamdulillah sebaik ayah pencen mata hatinya terang; dia boleh mengaji dengan lancar dan mampu mengajar anak-anak kampung pula sampai 15-20 orang.

Jadi, apabila berlaku peristiwa 13 Mei, 1969 orang Melayu mula kelam-kabut mencari ilmu. Segala macam mak-nenek ilmu yang dituntut, termasuk yang top masa tu dari Sheikh Osman di Lenggong. Timbullah kisah di Sungai Manek, Batu Pahat dan sebagainya. Pada masa yang sama ayah pula mula menggiatkan ilmu jabatnya yang dituntut pada usia 19 tahun (saya menuntut lagi muda - 17 tahun! Heh...).

Maka penuhlah rumah kami dengan penuntut ilmu jabat, sedangkan tuk gurunya takde di situ. Cuma ayah saya jadi anak murid yang lebih dipercayai (bukan murid tua). Apabila sudah mahir baru mereka itu serah bekas sirih (ambil tauliah) daripada tuk guru yang tinggal di Temerluk, jalan ke Taiping. Malah ketika kejadian berdarah itupun ada entah siapa yang datang untuk membawa tuk guru ke KL. Dia enggan, tetapi dia buatkan 25 azimat (yang terdiri daripada wafak tertentu) untuk mereka.

Sebagai anak muda, saya kagum dengan kebesaran ilmu Allah swt. Pada adat dan pada orang yang tidak mengaji di banyak bidang akan secara mudah mencebik fadilat di sebalik amalan ilmu ini. Masakan tidak, apabila secara terang-terangan ilmu ini menafikan kuasa iblis dalam usahanya berdoa akan kebinasaan! Yakni kita berusaha biar iblis gagal dalam permohonan untuk mencedera dan merosakkan anak-cucu Adam a.s ini.

Nanti kan ada yang kata di zaman Nabi kenapa sekelian para sahabat dan panglima perang tidak dibekalkan dengan segala ilmu yang 'miracle'? Kenapa mereka juga luka dan mati syahid?

Jadi, saya nak tanya pula kamu dah kenal ke iblis dan khoddamnya? Elok belajar dengan menyelak lagi sekelian perbendaharaan Allah swt. Seterusnya sudah ke khatam dengan seluruh ilmu Allah Taala yang bak lautan luasnya itu? Biar jangan nampak 'wajah' sumbing dan hodoh sendiri! (Maaf ler jika terkasar bahasa yeak!).

Paling bebal pun mari belajar la; untuk mengetahui wafak zikir dan amalannya.

Nota:  Bebalnya orang muslim kebelakangan ini hinggakan wirid selepas solat pun dikira bid'ah. Biadabnya kerajaan Wahabbi tajaan Barat di Arab Saudi bertindak memadamkan segala tinggalan baginda Nabi Muhammad saw. Tempat lahir baginda pun ditutup. Atas alasan, bid'ah. Hasilnya, lihat sahaja gelagat orang-orang Arab yang berpeleseran di serata tempat sosial dunia dengan kekayaan yang ada. Itu tidak pula dikira maksiat dan bid'ah (bid'ah kekayaan)!

Depa berkira dengan Allah swt, tetapi tamak bila sampai ke bab balasan - nakkan syurga paling atas aje!
Elias Hj Idris
Apabila berada di Gua Hira', baginda Nabi tidak tinggal di luar. Ada satu gua yang untuk memasukinya kena merangkak dan untuk tinggal di dalamnya tidak sesiapa pun bisa berdiri. Ia muat hanya untuk baginda duduk. Untuk berbaring jauh sekali. Pada orang yang biasa tinggal di gunung atau bukit mungkin akan arif akan apa itu erti gunung dan bukit? Tidak ada kesenangan dan keselesaan apa-apa di sana.

Di kejauhan nampak bukit-bukit batu yang tidak mendamaikan. Jadi, Nabi Muhammad saw bukan duduk bersenang-senang di dalam gua tersebut. Entah apa yang dikerjakan baginda tiada siapa yang tahu? Hanya apa yang dapat disimpulkan bahawa baginda nabi menahan nafsunya (beribadat) di sana. Baginda tidak memuja tempat itu, tetapi baginda memuja Allah swt. Cara dan ucapan baginda tiada riwayat yang menyatakan.

Sejak kecil lagi Nabi saw sudah bencikan berhala dan segala yang ada hubung kait dengan berhala. Baginda ingin sekali mengetahui yang hak dan baginda mencari jalan untuk ke sana. Menurut kata Dr Hussein Heykal lagi, beliau telah mendaki dan berdiri di banyak gunung yang indah dan besar. Beliau juga pernah berdiri di corong pengkaji bintang sambil menyaksikan kebesaran Allah saw di sana. Akan tetapi apabila dia berdiri di depan Gua Hira', lain sekali rasanya.

Dari tempat itu Nabi Muhammad saw mengikuti perjalanan ruh yang suci, yang maha kuat dan akan turun buat merobah sejarah umat buat selama-lamanya, di samping menyelamatkan sejumlah besar umat manusia yang tidak diketahui jumlahnya, selain daripada Allah swt.

Dari sana kelihatan besarnya alam Tuhan ini. Ayat-ayat Allah swt kelihatan lebih hebat, dahsyat dan lebih cantik daripada yang disangkakan sewaktu berada di bawah. Dari Gunung Hira' itu kelihatan Baitullah yang suci didirikan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail, tempat orang melakukan tawaf, ruku' dan sujud. Semakin besarlah Allah swt dalam iman dan pemandangan mata kita melihat kekayaan dan keindahan alam yang dicipta-Nya.

Untuk masuk ke dalam, kena merangkak dan ada dua batu besar penghalang. Apabila melepasinya ia akan mendinding segala pemandangan yang di luar. Tiada apa yang kelihatan selain daripada gelap biarpun siang atau malam, dengan batu-batu besar di sekeliling; diulit suasana sunyi dan menyeramkan. Tiada satu pun yang menarik di situ, tetapi itulah tempat yang paling dicintai baginda Nabi sepanjang lima tahun sebelum kenabian baginda.

Keadaan di sana menyerlahkan jiwa besar baginda tanpa sebarang rasa takut. Suasana gelap itu menunjukkan sinar matahari dan gelap malam itu sama sahaja baginya. Malah bagi orang yang punya cahaya hati, cahaya malam gelap gelita itu terlebih baik daripada sinar terang cahaya siang yang banyak membawa manusia terpedaya olehnya.

Itulah tanda kekuatan jiwa baginda.
Elias Hj Idris
 Masjid Beruas sekarang.

Bagi menunjukkan kawasan Beruas ini bekas sebuah pelabuhan ternama di suatu masa dahulu, kulit kerang dapat ditemui di mana-mana sahaja kawasan rendah dan berpaya. Ia adalah laluan air laut dari Kuala Muda (maka di sana terbentuk kerajaan Lembah Bujang dan Batu Pahat di Merbok) menuju Krian terus ke Beruas dan masuk ke Selat Melaka melalui Bagan Datuk.

Satu daripada tinggalan klasik yang masih ada ialah kolam 'Mani Dendang' yang sekarang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan Gangga. Seingat saya sejak kami bersekolah di sana, majlis bandaran cuba menimbusnya dengan menuangkan segala sampah dan bahan buangan. Ia tetap kekal begitu dan airnya tidak pernah kering (susut pun tidak) walaupun di musim kemarau yang panjang. Itulah pelabuhannya.


 Masjid lama yang hilang.

Apa yang lebih menarik ialah tapak mesjid pekan Beruas yang ada sekarang. Dulu di sini ada satu laluan air dari bukit. Sebahagian kawasan telah dijadikan kampung tersusun, sementara satu kawasan di tepi jalan dibina sebuah mesjid. Ketika dalam pembinaan lagi sesuatu yang agak ganjil telah berlaku. Ketika penggerudian dibuat, hanya pecahan kulit kerang dan selut laut sahaja yang dapat dibawa naik. Kemudian setiap 'piling' menerobos terus ke bawah dengan sekali hentak sahaja. Dua lapis batang 'piling' pun masih belum cukup.

Ada pihak yang mengingatkan bahawa pembinaan mesjid akan menjadi masalah dengan keadaan tersebut. Namun disebabkan rasuah, pihak jurutera berkeras untuk meneruskan juga projek pembinaan mesjid berkenaan walaupun 'piling' masih tidak sempurna. Maka sebuah mesjid baru dan tersergam indah pun dibina, meninggalkan mesjid lama tidak berjemaah lagi. Itupun tidak lama apabila dua tahun kemudian mesjid baru itu mulai retak.

Masjid lama Beruas

Enam bulan kemudian, mesjid yang baru dibina itu langsung tidak boleh digunakan apabila lantai dan tiang dindingnya mulai terbenam; bahagian kubah sudah menyembah ke lantai dan keseluruhan bangunan mesjid mula membenam. Anehnya, tiada siasatan dibuat, tiada laporan, tiada tindakan dan mesjid itu pergi seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku; tanpa pertanggungjawaban sedikit pun.

Dan mesjid yang ada sekarang adalah mesjid baru dibina atas runtuhan bangunan mesjid lama yang menyembah bumi itu. Mesjid yang dibina atas laluan air laut.
Elias Hj Idris
 

Dua hari kami menghabiskan masa di tempat yang gah ke seluruh dunia - bekas tapak di antara kerajaan tertua - Gangga Nagara. Selepas kerajaan Hindu itu timbul pula Kerajaan Beruas dan Kerajaan Shamsul Bahrin yang terletak di lingkungan 40km persegi pekan Beruas yang ada sekarang.

Banyak penemuan yang kami lakukan - ia belum termasuk dalam proses cari gali kesan tinggalan. Kami menemui mereka yang arif dan tahukan ceritanya. Agak malang apabila ramai di antara mereka yang tua sudah tiada lagi. Ia termasuk pengasas Beruas yang ada sekarang - Uda Lambuk. Cerita hanya diperolehi daripada generasi ke-4 dan 5 sahaja; itupun berdasarkan riwayat dari mulut ke mulut.

Tapak perbendaharaan kerajaan Samsul Bahrin
dalam gua yang terletak di Jalan Kg Kota, Beruas

Cuma agak meyakinkan apabila banyak penemuan yang kami diperlihatkan oleh penduduk kampung. Ia terdiri daripada khazanah lama yang tidak ternilai harganya. Itupun mereka seakan-akan cemburu, kerana sebelumnya telah puas ditipu oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.

Tujuan asal kami ke sana adalah berkaitan dengan ura-ura penerbitan siri buku 'SELANGKAH KE ALAM JIN'. Apabila manusia di sesebuah tamaddun itu pupus, jin yang panjang umur itu bertindak mengambil-alih tugas menjaga segala khazanah; menjadi hak-milik mereka.

Jadi, terpaksa diadakan beberapa cara untuk menerjah ke alam tersebut. Ia termasuk dengan wirid atau melalui mereka yang ada hubungan dengan masyarakat jin. Kita akan dapat mengenalinya, di samping mengelakkan daripada unsur syirik yang terlalu tebal menjadi pegangan kalangan orang Melayu.

Kadang-kadang Allah swt tu seakan-akan tidak berfungsi dibuat dek kepercayaan bebal orang-orang kita. Memang ada orang yang meninggal dunia ketika mencari khazanah ini, tetapi segera dikaitkan dengan 'orang di tempat keras itu'!

Ada yang dilempang dan teleng mukanya - angkara jin yang menjaga di sesuatu kawasan. Macam mana ni? Sedangkan, kita tahu bahawa masyarakat jin jauh lebih rendah tarafnya daripada manusia mukmin.

'SELANGKAH KE ALAM JIN' ini akan merongkai segala misteri di sebalik kehidupan makhluk jin untuk kita lebih memahami - dan menjauhi gejala syirik; dosa yang tidak diampunkan Allah swt. Apabila syirik mati masuk neraka. Na'uzubillah.
Elias Hj Idris
AL-FATIHAH

Itulah Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badli yang saya kenali pada 1997 ketika mengasas dan menerbitkan majalah humor 'DIN BERAMBOI'.

Gambar di atas ketika pelancaran majalah tersebut.

Daripada Dia kita datang dan jangan sesekali lupa yang kepada-Nya jua kita akan dikembalikan. Jangan sampai kita pun termasuk di kalangan orang-orang yang merugi, pesan Allah swt. Demikian dengan saudara ini. Amin.
Elias Hj Idris
Kita akan dapat melihat bagaimana Nabi Muhammad saw beribadat di Gua Hira' dengan meninggalkan seluruh alam ini. Baginda berkhalwat dengan seluruh hati dan jiwa; dengan membaca Kitabul-wujud seraya membalikbalikkan rahsia yang terdapat pada seluruh wujud ini. Pandangannya dihalakan ke luas padang pasir yang tenang, diam dan penuh dengan pelbagai gunung yang besar dan gagah itu.

Bila malam baginda mengalihkan perhatian pada langit luas yang dipenuhi bintang berkerelipan. Baginda memerhatikan perhubungan kesatuan alam ini antara satu sama lain; tanpa puas-puas mencari fakta untuk mendapatkan keimanan yang lebih mesra terhadap Tuhan pencipta alam ini. Baginda tidak henti-henti mencari jalan yang lebih dekat dan mesra dengan al-Khaliqul A'zam.

Kemudian kita akan mendapati baginda tenggelam dalam memuliakan dan mensucikan Allah swt. sehingga baginda tidak dapat melebihkan yang lainnya daripada kecintaan baginda itu walaupun tidak pernah leka dengan urusan rumahtangga dan keluarga.

Alangkah hebatnya rahsia di sebalik perulangan-alik baginda selama 5 tahun ke Gua Hira' dan tinggal di sana seorang diri sehingga 5 hari 5 malam baru pulang ke rumah mengambil bekal dan naik semula untuk tempoh yang sama lagi. Anak dan isteri baginda, Khadijah tidak pernah berasa sangsi dengan perubahan besar dalam sikap baginda itu. Mereka tidak pernah bertanya atau cuba mengendurkan kecenderungan itu. Kalangan masyarakat di kota Mekah pun begitu - banyak pihak menyatakan bahawa, "Muhammad sedang asyik kepada Tuhannya."


Dr. Muhammad Hussein Heikal, pengarang besar yang pernah menziarahi Gua Hira' itu menulis;

"Bagi orang yang mengerjakan haji, Ka'abah dan Mesjid-il Haram adalah tujuan perhatiannya yang pertama dan utama. Apabila mereka telah menyelesaikan syiar-syiar haji seperti tawaf dan sa'i, maka perhatian mereka tetap tertumpu kepada Ka'abah dan Tanah Haram. Mereka menziarahi kubur-kubur permakaman anggota keluarga baginda. Mereka menghargai perjuangan keluarga Nabi, malah Allah swt sendiri mensucikan mereka seperti yang tersebut dalam Surah al-Ahzaab: 33.

Sayang apabila orang-orang Nejed menguasai Mekah dengan menggunakan nama pemerintah Sa'udi - langkah utama mereka ialah menafikan pandangan bersejarah sekelian kaum muslimin; seolah-olah bersalah dan berdosa kerana memuliakan anggota keluarga baginda! Maka mereka runtuhkan segala binaan dan tanda-tanda sejarah yang dibangunkan sejak zaman awal Islam di atas kuburan tersebut - sama ada dalam bentuk qubah ataupun mesjid. Semuanya diratakan di samping meletakkan anggota polis buat mengawal kunjungan orang ramai yang datang menziarah - tidak boleh hampir!

Penulis sendiri pernah kena halau oleh polis yang menjaga kuburan Saidina Hamzah di Uhud. Sedangkan jarak saya dengan bahagian kuburan yang telah diratakan itu masih terlalu jauh. Mereka mengira bahawa iman dan 'iktiqad kita sama dengan nilai iman mereka - yang mahu menyembah kuburan! Pada hal tidak mungkin bagi mana-mana para hujjaj yang akan menyembah kuburan. Mereka datang untuk melihat sejarah, mengucapkan salam kepada Saidina Hamzah - untuk berziarah sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. Dengan menziarahi kubur itu akan segera mengingatkan kita akan mati.

Segala macam taktik politik yang dikenakan oleh pemerintah Sa'udi, namun ia tetap tidak dapat menghalang penziarah daripada memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar mengampuni dan merahmati anggota keluarga baginda Rasulullah saw. Mereka melahirkan rasa terhutang budi pada sekelian anggota keluarga yang banyak berjasa dalam mengembangkan agama bersama baginda; di samping melahirkan rasa marah terhadap kebiadaban penguasa Sa'udi yang mengawal tempat-tempat berkenaan.

Apabila ini telah selesai maka perhatian para hujjaj akan tertumpu kepada Gua Hira' yang terletak 3km di utara kota Mekah. Ia terletak dalam perjalanan ke  Arafah dan Mina. Mereka yang pergi ke al-Ma'ala pun bisa melihatnya. Kunjungan ramai juga telah sangat berkurangan apabila pemerintah Sa'udi meruntuhkan kubah yang terdapat di atas gua tersebut. Dulu ada kedai kopi di atas sana, berhampiran mata air yang mengalir dari himpunan kumpulan hujan dan embun dari puncak gunung berkenaan. Namun ia telah pupus akibat kunjungan orang yang terlalu berkurangan.

Para penyelidik sejarah dan pencinta Nabi Muhammad saw berpendapat bahawa ziarah mereka ke Mekah dan Madinah belum sempurna tanpa menziarahi Gua Hira'; tempat suci yang penuh dengan segala rahsia - tempat turunnya wahyu yang pertama, tempat baginda mencari hakikat 5 tahun sebelum kenabian. Selepas 14 abad tempat itu baginda tinggalkan, tiada apa-apa perubahan pada gua tersebut. Ia masih tetap seperti keadaan di zaman baginda.

Sebenarnya, sesiapa juga yang melihat Gua Hira' dari jauh pasti akan merasai dalam kalbunya akan timbul banyak persoalan. Dengan ketinggiannya kita akan dapat menancap betapa kuat dan gigihnya jiwa baginda mendaki gunung itu berkali-kali - ratusan banyaknya. Sedangkan turunnya wahyu adalah sesuatu yang amat besar maknanya. Sebab ia datang daripada Allah swt. Apabila di situ turunnya wahyu yang pertama, dengan sendirinya ia memaparkan betapa istimewa dan mulianya gunung tersebut.

Bagi sang muslim yang arif tetap berasakan bahawa ia sebuah tempat suci yang pertama dalam Islam. Tanpa Gua Hira', al-Quran mungkin tidak turun dan segala yang lainnya juga tidakkan ada. Oleh itu pada setiap pencinta Nabi Muhammad saw pasti akan merindui tempat yang sangat dicintai oleh baginda itu. Ia tempat Nabi berkunjung waktu demi waktu sebelum menerima tanggungjawab kerasulan.

Inilah fakta pertama tentang ilmu tasauf daripada pekerjaan yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah saw.
Elias Hj Idris
Kehidupan Rasulullah sebagai pembawa agama Islam - orang yang paling dimuliakan Allah di seluruh alam ini adalah sumber utama ikutan para ahli sufi.

Sepanjang umur baginda 35-40 tahun, baginda terus-menerus melakukan hidup yang suci dengan menghabiskan seluruh waktunya untuk beribadat dan berhubungan dengan Allah swt. Malah sebelum itupun baginda melalui kehidupan sebagai taqasysyuf, secara seada-adanya dan sangat zuhud dalam erti kata yang sebenar.

Kehidupan baginda amat asing daripada persoalan kebendaan kerana asyik dengan memuja dan memuji Tuhannya. Untuk itu baginda tidak pernah duduk atau singgah di mana-mana kedai di seluruh kota Mekah. Cuma ada satu riwayat yang mengatakan baginda ada sekali berhenti di tepi kedai seorang tukang besi; untuk apa baginda di situ pun tidak dicatatkan. Malah baginda tidak pernah lalu di depan ramai, iaitu di mana-mana tempat sibuk di kota Mekah.

Baginda banyak berkelana di serata kaki gunung apabila keadaan rumahtangga baginda aman, tetapi tidak memberi sumber ilham kepada ruhaninya. Dengan tidak menggembala kambingnya baginda menyusuri padang gersang - lari dari hiruk-pikuk ramai dan menjijikkan. Baginda mencari ilham ruhaniah yang lebih tinggi nilainya, tanpa sesiapa yang menunjukkinya selain daripada Tuhannya.

Kira-kira 3km ke utara Mekah kedapatan banyak gunung kecil yang dapat didaki dalam masa sejam-dua. Bentuknya sama sahaja dan di atas sana tidak ada apa-apa pun yang menarik hati orang. Namun dengan petunjuk Allah swt, baginda tahu sahaja memilih sebuah daripadanya - iaitu Jabal Hira' (yang kemudiannya dikenali sebagai Jabal Nur), iaitu tempat wahyu al-Quran yang pertama turun.

Kali pertama baginda naik ke sana pada usia 35 tahun. Tiada sesiapa yang mengajar baginda; sekali naik beberapa hari kemudian baru baginda turun. Bekalnya, bahan yang tahan lama - tamar dan sawik, iaitu sejenis makanan daripada tepung kasar. Jika terkena air, cepat ia mengenyangkan. Di puncak Jabal Hira' itu ada sebuah gua yang hanya muat untuk duduk seorang manusia. Dan berdekatan dengannya ada satu mata air yang tidak pernah putus airnya.

Dengannya baginda perolehi air dan dapat tinggal beberapa lama selagi bekalannya belum kehabisan. Adalah keterlaluan jika dikatakan baginda terlalu mementingkan bekalan. Sebab sepanjang sejarah baginda menjadi Rasul pun tidak pernah dicatatkan baginda dengan persediaan membawakan bekalan ke mana-mana perang yang lama dan jauh seperti Tabouk atau Mu'tah. Apa yang ada baginda memerintahkan sahabat agar bertolak segera - tidak pernah disebut dalam riwayat baginda mengarahkan mereka membawa bekalan.

Perjalanan ke Tabouk memakan masa sebulan pergi dan sebulan balik, iaitu kira-kira 700km. Ia akan menempuh laluan 8 hari dan 8 malam tanpa menemui air - di kawasan yang asalnya terdiri daripada negara-negara besar yang telah dihancurkan Allah oleh kederhakaan umat masa lampau.

Jerman yang gagah itu, umpamanya kalah perang kerana kekurangan bahan makanan apabila musuhnya menyekat bekalan gandum dan tenteranya tidak berdaya untuk melawan. Belum ada sesiapa pun yang dapat menafikan betapa pentingnya bekalan makanan dalam waktu perang. Namun ia agak berlainan dengan sejarah Nabi Besar ini. Ia bukan menjadi keutamaan, dan inilah bezanya baginda sebagai seorang Rasul dengan mana-mana raja di atas muka bumi ini.

Bagi ahli-ahli sufi tauladan yang dilihat bukan pada jasmani, tetapi ketahanan ruhaninya. Ruhani itupun ada bermacam-macam yang berkait rapat dengan hubungan Tuhan Yang Maha Kuasa. Baginda tidak pernah mengeluh dek kesukaran mendapatkan bahan makanan. Baginda selalu sahaja lapar dan tidak punya apa-apa, namun ia tidak pernah mengganggu pergerakan baginda. Ini mengingatkan kita bagaimana Nabi Isa a.s. pernah berkata secara sungguh-sungguh kepada murid-muridnya, "Bukan roti saja yang mengenyangkan, tetapi memuji Allah juga mengenyangkan."

Ini mengingatkan kita kepada orang yang berpuasa - tanpa makan dan minum, tetapi kekuatan tenanganya sama dengan mereka yang tidak puasa. Malah dalam banyak hal mereka lebih tahan dalam banyak aspek. Dalam aspek berjalan jauh, bekerja seharian dalam apa jua bidang, melakukan solat dan memuja-memuji Allah, orang yang berpuasa itu lebih bertenaga dan kuat daripada mereka yang tidak puasa!

Baginda pernah tinggal sebulan bulan Ramadan di Gua Hira' tanpa  menghiraukan makanan dan minuman, pakaian atau apa pun kesenangan lain - dan ini yang menjadi perhatian para ahli tasauf buat mendekati ruhaniah suci dan murni baginda.

Perlu diingat, untuk beribadat - di mana sahaja mungkin belaka. Namun dengan menghadapi kesulitan dan kesusahan hidup, jauh berbeza dengan ibadat yang dilakukan dalam keadaan enak dan selesa. Tidak dinafikan oleh sesiapa pun, hubungan dengan Tuhannya akan lebih terasa sewaktu dalam keadaan sulit dan berbahaya daripada ketika kita dalam suasana tenang dan senang.

Kita tahu, dalam keadaan sulit tidakkan ada sesiapa lagi yang diharapkan selain daripada Allah swt.

Namun pada Nabi saw, hubungan baginda yang intim dengan Allah swt bukan kerana meminta sesuatu kepentingan untuk diri baginda atau untuk menolak sesuatu kesusahan atau keperitan, tetapi dek kerana cintanya akan Allah swt. Hubungan kasih itu pula dibina bukan untuk dirinya, tetapi memohon rahmat dan rahim Allah buat sekelian makhluk demi kasih-sayangnya.

Perlu juga diingat, rahmat yang datang tanpa ujian dan usaha yang berat mungkin kurang dihargai orang. Maka dengan sebab itu baginda melakukan ibadat di tempat sesukar Gua Hira' yang jauh terasing itu.