Elias Hj Idris
Hubungan amal manusia setiap hari ada hubungan dengan ruhaniatnya. Ruhaniat itu sifatnya suci dan meminta pekerjaan yang suci. Pekerjaan suci yang tertinggi sekali ialah menyembah Allah dan mengesakan-Nya. Dalam hadis-hadis Rasulullah ada menyebut, "Afdhalul 'amal Laa-ilaaha-illallah", iaitu amal yang paling utama ialah Laa-ilaaha-illallah.

Bagaimana mungkin ia menjadi ucapan paling utama? Ia memang tersangat penting dan cukup perlu bagi ruhani manusia supaya mereka menemui keperibadiannya yang sebenar. Ia pasti dan tidak boleh dirobah. Hanya kita perlu menyelidikinya supaya dapat memahami bukan untuk merobah ketentuannya.

Hidup beribadat dan memuji-muji Allah swt itu meminta ruhaniat manusia berada dalam keadaan suci. Ia bermakna keadaan kehidupannya juga suci. Cara-cara untuk hidup suci ini mempunyai ketentuan-ketentuan yang luas - dan ia berkait dengan bidang tasauf. Tujuannya supaya setiap apa jua pekerjaan manusia itu akan menambahkan suci hatinya kepada Tuhannya. Ini kerja tasauf.

Tasauf telah pun dilaksanakan oleh jutaan umat manusia. Pengalaman mereka, maju mundur setiap unsur tasauf itu diperpanjangkan kepada teman-teman - di mana sekelian yang baik akan diteruskan dan sebaliknya, ia terus disingkirkan. Ia disebabkan oleh unsur tasauf itu bersumberkan al-Quran dan ada yang datang daripada syari'at Nabi saw dalam bentuk unsur, bukan nas, bukan ayat dan bukan juga dalam bentuk hadis.

Ayat-ayat yang bernas menyatakan adanya ilmu tasauf sebagai satu bentuk cabang ilmu tersendiri memang tidak ada sama sekali. Hadis-hadis yang menyuruh agar orang-orang bersifat tasauf pun tidak ada. Kita akan jadi pendusta dan pembohong yang besar sekali dosanya jika beria-ia mengatakan ada ayat atau hadis yang meminta dan menyuruh umat Islam bertasauf. Apa yang ada cuma tuntutan dan ajaran-ajaran tasauf itu - ada unsurnya dalam al-Quran dan hadis.


Perbezaan pendapat di antara ahli tasauf terletak pada nilai pengetahuan mereka tentang jumlah unsur-unsur tasauf di dalam al-Quran dan hadis. Mana-mana cabang yang paling kanan akan menenggelamkan syariat Islam yang pelbagai itu - dengan memandang hanya tasauf yang benar, sementara yang lain-lainnya kurang! Tasauf golongan yang sederhana meletakkan kedudukan syariat Islam pada kedudukan yang sebenar, serta meletakkan tasauf itu pada tempat yang wajar.

Penyelidik sejarah yang ulung, walau apa pun kebangsaan dan agamanya akan mendapati bahawa masyarakat yang dinaungi oleh unsur-unsur agama itu adalah masyarakat yang paling baik. Ia masyarakat yang kuat agama yang lebih suka menganut jiwa agama itu lebih daripada mengutamakan keinginan dan kesenangan nafsu syahwatnya. Dia akan terpelihara daripada pelbagai malapetaka yang tidak disangka-sangka. Oleh sebab itu, sekelian penganut yang mencintai mazhab tasauf menghendaki keseimbangan antara ruh dan jasad; tanpa mana-mana pun yang memperkosa pihak yang lainnya - sehingga boleh menimbulkan kepincangan dalam masyarakat.

Mazhab tasauf memang terdapat beza-beza warnanya, caranya, falsafah dan sebagainya, mengikut keadaan umat yang mengikutinya. Semua mencintai tasauf. Ada pun yang ingin hidup cara tasauf dan ingin sekali cara hidup itu berkembang di kalangan umat ramai.

Pada taraf pertama, manusia itu telah mengalami pelbagai kesulitan dan tidak dapat menentukan peratus kemenangan dalam rencana-rencana khidupannya seharian lalu memandang besar sekali akan erti hidup dalam dunia ini. Kemudian baru dia sedar yang hidup itu adalah dirinya sendiri. Namun pihak yang menentukan kedudukannya bukan dia atau masyarakat sekeliling. Hidupnya itu adalah dirinya sendiri. Namun yang menentukan cara hidupnya bukan dia sendiri atau masyarakat. Masyarakat hanya menimbulkan kesangsian yang akhirnya tidak membina apa-apa.

Manusia hanya dapat melihat hasil usahanya daripada usaha yang cukup sederhana, mendatangkan hasil yang lebih daripada yang diharapkan. Hasil usahanya itu bukan pula perbuatan atau bukan ketentuannya sendiri, tetapi ada lagi yang lebih kuasa daripada dirinya yang menentukan dengan perincian tersendiri yang biasanya lain sama sekali daripada kehidupan manusia lainnya.
0 Responses