Elias Hj Idris
Gejala murtad telah heboh diperkatakan oleh Mufti Negeri Perak. Pada tahun 2006 sahaja sudah terdapat 250,000 si murtad dari kalangan orang Melayu. Malah apa yang disuarakan itu langsung tidak mendapat apa-apa reaksi daripada pihak berkuasa. Kerajaan pun turut mendiamkan diri seolah-olah merestui tindakan murtad oleh sebilangan masyarakat Melayu. Berikut ini petikan daripada muka surat 623-617 novel di atas.


GEJALA murtad telah menjadi begitu serius. Ia berkait dengan aqidah umat Islam dan musibah ini memang dirancang dan dibiayai oleh musuh Islam di dalam dan luar negara yang menyamar sebagai aktivis hak asasi manusia.
Kemudian Majlis Bukan Islam pernah menghantar memorandum kepada Majlis Loyar Buruk menuntut agar orang Islam diberi hak murtad tanpa permohonan dibuat kepada mahkamah syariah. Mereka mahu supaya kes murtad tidak dikendalikan oleh mahkamah yang menaungi orang-orang Islam itu.

Terbaru sebuah Majlis Antara Agama (IFC) pula mahu ditubuhkan dengan tujuan untuk menukar ajaran mana-mana agama yang menyekat hak asasi manusia termasuk dalam kes murtad. Mereka sendiri yang akan memproses permohonan seseorang Islam yang mahu murtad.

Alasannya, norma-norma antarabangsa tidak membezakan di antara orang Islam dan bukan Islam. Jadi bagi seseorang Islam norma kehidupan mereka bukan lagi atas nama Islam, tetapi berlandaskan norma ciptaan manusia. Setiap ajaran Islam yang bertentangan dengan norma antarabangsa mesti dihapuskan. Ini bermakna Allah swt akan terpaksa tunduk kepada kehendak norma antarabangsa!

Jadi mereka mahu status seseorang Islam itu bukan ditentukan oleh Tuhan lagi. Orang Islam bebas untuk murtad dengan kehendak masyarakat antarabangsa. Firman Allah swt dalam surah an-Nahl: 106;

‘Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur), sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.’

Dalam tuntutan Majlis Antara Agama (IFC) itu bukan setakat memudahkan orang Islam untuk keluar dari agamanya, tetapi agama lain juga bebas didakwahkan kepada orang-orang Islam. Jadi, dengan itu perkara murtad sudah jadi perkara biasa. Mereka mahu menafikan sekatan yang ada pada Artikel 11(5) dalam perlembagaan negara.

“Mereka mahu seseorang Islam yang ingin murtad cukup sekadar kemukakan permohonan kepada mereka, iaitu orang-orang bukan Islam ini dan diluluskan,” jelas Sariah sambil menolak ke tepi peta-peta laluan lebuh raya yang dicadangkan.

“Ni la yang dikatakan campur tangan pihak-pihak yang tidak berkenaan,” tegas Dr. Heikal sambil bertenggek di birai meja Sariah. Dari jauh dia memerhatikan nun di seberang sana jalan pada kereta yang berduyun-duyun menuju destinasi. “Jabatan pendaftaran sudah tiada kuasa menolak permohonan menukar nama kepada bukan Islam. Jika tidak ia dianggap menjejaskan keharmonian dan menyekat kebebasan beragama!”

“Kalau ditolak, ia boleh diheretkan ke mahkamah pula sebab tidak menghiraukan keputusan Majlis Antara Agama,” tingkah Rizal sambil menarik kerusi di sebelah Dr. Heikal.

“So, jelas la bahawa majlis ni sebuah suruhanjaya yang anti-Islam,” sahut Sariah pula sambil memerhatikan Rizal yang mendongak memerhatikan Dr. Heikal.

“Presiden kata penubuhan suruhanjaya tu ditangguhkan,” jelas Dr. Heikal lalu bangun menuju jendela. “Ini memberi implikasi bahawa beliau akan berikan kebenarannya.”

“Hahh... tunggu bila nak dekat pilihanraya,” tingkah Rizal sambil mendepangkan tangannya. “Apa saja yang dituntut orang pasti ditunaikan.”

“Ya la... sebab orang yang menyokong penubuhannya pun datang dari kalangan jemaah eksekutif MelayDeutro juga. Jemaah eksekutif yang ada terlalu banyak duit tu...,” Dr. Heikal menepuk-nepuk bahu Rizal sambil tertawa. “Permit teksi pun semua disapunya....”

Campur tangan seperti ini amat berbahaya. Sedangkan segala yang berkaitan dengan Islam mesti ditangani oleh mereka yang arif dan berkelayakan sahaja. Itu sebab maka mahkamah syariah diadakan.

“Ini jugalah yang diperjuangkan oleh Ladies In Islam tu kan!” Sariah teragak-agak.

“Hahh... yang ni kena tanya Dr. Heikal sebab wifenya dah terkena minyak guna-guna mereka kat dalamnya,” sindir Rizal pula sambil menjeling temannya itu. “Dia dah jadi geng baik dengan Surinah, Sylvia Youseff, Marianne dan anak Presiden sekarang tu juga.”

Dr. Heikal menggeleng. “Kes dah dibawa ke mahkamah syariah.”

“Nak buat apa?” Rizal terperanjat.

“Err... dia nak tuntut cerai,” sahut Dr. Heikal sambil menarif nafas panjang. “Kesian Amiera, anak aku tu.”

Sariah dan Rizal berpandangan.

“Masih sekolah lagi kan!” Sariah bersuara.

“Setakat ni, mak dia masih hantar ke sekolah agama kendalian Ustaz Syahir tu,” sahut Dr. Heikal lalu pergi ke coffee master di tepi dinding.

“Err... you nak ke? Biar saya ambilkan,” Sariah menawarkan diri.

“Boleh juga,” sahut lelaki bujang itu pula.

Perbualan mereka termati di situ apabila kemudiannya Sariah menerima panggilan daripada setiausaha peribadi Dato’ Tamrin. Ada perkembangan terbaru berkait dengan Tiang Longgar Bhd.

“Kenapa? Dah berjaya!” Dr. Heikal tidak sabar.

Sariah mengangguk. “Err... Dato’ Tamrin nak jumpa. Mungkin ada berita baik sebab kita sedang tunggu jawapannya saja.

“Ooo... tahniah,” seru Dr. Heikal. “Kita akan ada sebuah rangkaian pasaraya lepas ni nanti.”

“Dan tak lama lagi cik abang kita ni kena tolong kat sana.”

“Siapa? Myself...,” Rizal kehairanan.

“Elok sangat la tu...,” tingkah Dr. Heikal dengan wajah gembira. “Kau jaga pasaraya pula. Jangan dok berkait dah dengan orang politik, terutama yang jadi dubuk lapar tu.”

“Tapi err....”

Dr. Heikal merenungnya. “Aku mau kau tolong Sariah. Okey!”


0 Responses