Elias Hj Idris
Kisah yang membawa kepada terjadinya murtad bermula apabila tidak solat. Teman mengambil berat dalam soal-soal sebegini kerana kepentingan solat dalam kehidupan beragama. Cuba ikuti petikan dari muka surat 619-623 novel 'Kembang Tak Jadi' terhadap seorang anak pensyarah kanan di UM yang menjadi Hindu.

                                             
“Actually, I dah terlanjur dengannya,” jelas gadis anak pensyarah itu sambil tunduk. “I dah rosak....”

Dr. Heikal menarik nafas panjang. Dia mula mengerti. Maka tidak salah daripada kajian yang dibuat mendapati kebanyakan kes lain juga berpunca daripada angkara zina. Apatah pula seks bebas begitu menular dalam masyarkat hari ini. Semuanya berpunca daripada tiada didikan agama. Kalau ada pun agama itu secara sistematik diperkecilkan peranannya.

Seterusnya, apabila mereka mengulangi zina, ia akan tiba ke suatu peringkat di mana keasyikannya melampaui alam lamunan. Ia menjadi ketagih dan rasa asyik itu terus dibuai oleh syaitan terlaknat. Bagi mereka pasangannya itu adalah segala-galanya. Mereka baru menemui cinta sejati! Mereka akan menolak segala yang menjadi penghalang, termasuk agama.

‘... buang emak, buang saudara’
kerana asyik aku turutkan
persetankan saja agama turunan!

Apabila semuanya dirasakan manis belaka serta dengan iman senipis kulit bawang, apa lagi yang dapat diharapkan? Agama sudah dikira tidak penting dan boleh ditolak sahaja ke tepi. Akhirnya, mereka pun bernikah dengan mengikut agama pasangannya.

Di sini, pihak berkuasa agama tidak berbuat apa-apa. Para muftinya tidak bersuara, sebab dalam banyak kes melibatkan campurtangan politik. Ada permainan tarik tali, sedangkan pemimpin yang ada terlalu lemah untuk bertelagah dan berhujah. Mereka bimbang timbul polemik yang bakal menjejaskan populariti. Dan demi mengekalkan status quo dan terus berada di tampuk kuasa, maka pemimpin parti kebangsaan MelayDeutro terpaksa beralah dan tutup mata.

“Itu sebab agama kita menetapkan rotan seratus kali bagi yang belum bernikah dan direjam sampai mati bagi yang pernah berumahtangga,” jelas Dr. Heikal sambil menggeleng. “Sebab kerosakannya itu... tak termasuk lagi dengan kelahiran anak luar nikah, cemburu, dendam dan pertelingkahan di kalangan anggota keluarga.”

Rizal memerhatikan riak di wajah temannya itu. Kemudian dia menjeling Sariah yang sedang tunduk. “Err... kata Rafiq Baba, makan luar ni sedap.”

“Apa pula makan luar? Zina la tu,” sergah Dr. Heikal lalu bangun. “Tengok la kes dalam novel ‘KEHILANGAN’ yang dapat anugerah ‘Novel Terbaik’ tu. Betapa parahnya apabila isteri orang bercinta dengan suami orang lain! Cinta bersilang....”

Sariah menoleh. “Err... betul ke?”

Rizal hanya mampu tersenyum apabila melihat gelagat Dr. Heikal. Lelaki itu baru tersedar yang dia  menimbulkan kisah kelabu itu dengan kehadiran Sariah, seorang gadis yang masih tidak tahu apa-apa?

“Err... saya minta maaf.” Dr. Heikal kembali tersandar di kerusinya sambil Sariah bangun menuju ke tempatnya.

Apabila diselak lagi akan asas masalah ini timbul, ia melibatkan pihak berkuasa juga. Hukum-hakam agama diremehkan. Agama itu dibenci dan secara giat cuba disisihkan daripada pengetahuan umatnya sendiri. Kalau ada mufti pun, Dr. Heikal percaya mufti di negerinya sahaja yang berani bersuara. Ada pula mufti yang mengarut juga... yang melarang penguatkuasaan agama daripada membenteras gejala maksiat di bilik-bilik hotel. Sedangkan mereka tidak sedar betapa ramai anak gadis MelayDeutro yang menjadi simpanan tauke-tauke besar di merata-rata kondominium.

Seterusnya, gerakan mengelirukan agama pun hebat juga. Penulis-penulis upahannya berselerak dan bebas menulis di mana-mana media arus perdana. Mereka menghina dan mempersoalkan integriti agama yang mereka sendiri berada jauh daripadanya. Suara sumbang para orientalis diperpanjangkan ke tengah-tengah masyarakat. Maka timbullah golongan anti hadis, Islam liberal, Islam moden termasuk Islam sekular. Mereka ghairah bercakap mengenai Islam mengikut acuan kepala otak mereka yang telah sedia kelabu itu.

Hirsi Ali

Hirsi Ali, seorang murtad dari Somalia telah dijadikan penghias muka depan di sebuah majalah Islam. Penulis jahatnya, Stora Jubo menyiarkan temubual berkait dengan kemurtadan gadis tersebut. Penulis yang sama juga sebelumnya menuduh ulama sebagai merapu. Dia juga turut menyokong saranan agar ibu tunggal dibolehkan melacur dalam keadaan terdesak! Anehnya, pihak berkuasa membiarkan sahaja ‘Abdullah Ubai’ Stora Jubo ini daripada terus-terusan mengelirukan orang ramai mengenai Islam.

Anehnya, mereka ini bersolat pun tidak! Sebagaimana tersebut hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad bahawa; ‘Sempadan di antara seorang muslim dengan yang kafirnya adalah solatnya.’

Menurut Ahmad dan Ashabus-sunan sebagaimana kata Nabi Besar Muhammad saw; ‘Tanda-tanda yang membezakan kita dengan mereka (orang kafir) adalah solat. Maka barang siapa yang meninggalkannya, maka kafirlah dia.’

Menurut ijmak ulama, seseorang yang meninggalkan solat kerana mengengkari kewajipan atau mengejek akan kesuciannya maka orang itu adalah kafir dan murtad. Perbuatan mengengkari dan meremehkan kewajipan ini bererti mendustakan Allah dan Rasul-Nya. Kekafiran ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah swt dalam Surah Al-Maidah: 58;

‘Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) solat, mereka menjadikannya bahan ejekan dan permainan. Yang demikian itu adalah kerana mereka benar-benar kaum yang tidak mahu menggunakan akal.’

“Tidak mahu menggunakan akal di sini sama tarafnya dengan haiwan,” kata Dr. Heikal lalu meninggalkan Rizal. Dia pergi mendapatkan Sariah yang nampak asyik dengan draf laluan lebuhraya pesisir pantai yang kerap kali dipinda itu.



0 Responses