Elias Hj Idris

2


PAGI-PAGI lagi dia sudah bertolak dari rumahnya. Ketika itu segala isi rumahnya masih asyik dibuai mimpi. Apatah pula Zaidin didapatinya tiada dalam bilik. Suaminya itu tentu telah tertidur dalam pejabatnya akibat pulang lewat. Kalau tidak pun mungkin dia telah punya teman tidur yang  boleh dibawa pulang dari disko.

Jadi sebelum bertolak dia menjenguk ke pejabat yang terletak di tingkat bawah bahagian hadapan rumah mereka. Memang Zaidin ada di sana bersama dengan balaci dan tukang-tukang ampunya.

Tiada perempuan bersama mereka dan hatinya lega sekali.

Kali ini Aziriah tidak pergi ke rumah ibunya di Klang. Dia terus check-in di sebuah hotel dekat Shah Alam dan dari sana mudah baginya untuk berulang-alik ke hospital. Dengan cara itu dia berharap tidak akan ada sesiapa yang tahu dia di mana dan ke mana perginya? Tidakkan ada sesiapa yang akan bising-bising tentang kehilangannya? Setahu Omzi dan ibunya dia masih berada di Ipoh. Selepas pulang ke Ipoh nanti kalau ada yang bertanya pun dia sudah bersedia dengan beberapa jawapan dan alasan.

Selepas meletakkan beg dan barang-barang yang dibawanya bersama dalam bilik dia terus menuju ke hospital. Jarak perjalanan Shah Alam ke Klang cuma lima belas kilometer dan tidak pun sampai dua puluh minit dia telah berada di perkarangan hospital yang terletak berhadapan dengan mesjid di jalan besar menghala ke Banting. Pada dirinya doktor atau jururawat yang ada di situ pun sudah kenal biasa dengannya sejak beberapa kali ibunya dirawat di situ. Paling akhir ialah sebulan yang lalu apabila ibunya tiba-tiba pengsan di dalam bilik air. Hampir dua minggu juga ibunya dirawat di situ.

Kini dia berulang lagi ke hospital tersebut.

Kali ini giliran Azman pula. Namun hatinya lega kerana selama ini tidak sesiapa pun di situ yang tahu siapa suaminya yang sebenar. Sejak menghantar Azman ke situ mereka semua menyangka bahawa Azman itulah suaminya. Lagipun ketika Zaidin melawat ibunya di situ dahulu, dia tidak pernah ada bersama. Kalau ada pun sengaja dicubanya untuk mengelak daripada bertemu dengan Zaidin ketika berada di hospital. Jadi, abang-abang dan kakaknya sahaja yang melayani Zaidin apabila suaminya ke situ. Oleh yang demikian doktor dan jururawat tetap melayaninya serta melaporkan keadaan Azman sepanjang dua hari ketiadaannya itu. Mereka tidak pula bertanya ke mana dia menghilang sampai dua hari dan langsung tidak datang menjenguk ‘suami’nya. Namun dia bersyukur setidak-tidaknya Azman masih begitu juga; belum sedarkan diri lagi!

“Semalam pun begitu juga keadaannya,” rungut staff nurse yang agak berumur itu sebaik Aziriah menjengah di kaunter.

Aziriah tidak menjawab. Selain daripada menghadiahkan senyuman matanya yang asyik terpaku ke bahagian dalam wad itu, terarah ke katil tempat pembaringan Azman. Dia masih di katil yang sama dan terasing dari pesakit lain.

Berhampiran dengannya diletakkan sebuah kerusi dan meja untuk seorang jururawat khas yang memerhatikan perkembangannya. Aziriah puas hati. Apatah pula staff nurse itu nampaknya mudah mesra dan begitu mengambil berat.

“Kalau keadaan tak berubah juga mungkin kita refer kat Hospital Universiti,” jelas staff nurse itu. “Pemeriksaan lanjut terpaksa dibuat di sana kerana kita kekurangan kemudahan di sini. Observation pun lebih ketat.”
Aziriah cuma mengangguk apabila staff nurse yang bertahi lalat di pipi kiri itu mengiringinya masuk ke dalam. Dia juga diberitahu sebab mereka meletakkan seorang jururawat khas buat mengawasi Azman, terutama pada waktu malam. Boleh dikatakan pesakit istimewa ini diberi pengawasan sepanjang masa, 24 jam!

“Selalukah kejadian seperti ini, nurse?” Aziriah baru mula bertanya.

“Tak. Tak pernah lagi,” sahut staff nurse itu bersungguh-sungguh. “Inilah kes pertama setakat ini.”

“Kalau orang Melayu, mereka percaya ada kaitan errr...,” Aziriah cuba menduga.

“Ooo... tak. Tak mungkin. Tak mungkin..,” wanita berumur itu serius. “Kalau ya pun dia tentu meracau-racau. Ni tidak pula gitu....”
Aziriah seakan-akan bersetuju. Keadaan Azman pun tidak menunjukkan tanda-tanda ada kaitan dengan makhluk ghaib. Melihatkan keadaannya pada hari pertama dahulu, Azman sering menyebut kalimah-kalimah suci walaupun wajahnya berkerut seperti menahan sesuatu. Air mukanya pun kelihatan jernih dan menyeringai walaupun dia sedang dalam kepayahan. Tetapi, kenapa dengan Azman? Adakah unsur-unsur lain yang menjadi penyebabnya?

Aziriah mula berkira-kira di sekitar perhubungan mereka. Walaupun ia sesuatu yang cuba dielakkan untuk tidak terlintas dalam fikirannya namun ia terdetik juga di dalam hatinya.

Hingga ke hari itu dia mula tidak dapat mengelak daripada menjangkakan sesuatu yang cuba dielakkan, namun ia tetap datang terlintas bermain di kotak fikirannya.

Hatinya kuat mengatakan bahawa semua itu, mungkin disebabkan oleh keadaan perhubungan mereka! Azman jadi begitu disebabkan oleh perhubungan mereka dan dia gagal dalam mendepani jiwanya yang tertekan?

Ya, ia suatu kemungkinan. Dia seperti mahu mengiyakan!

Sejak kebelakangan itu pun, Azman dilihatnya tidaklah seceria dahulu. Azman sudah tidak seperti keadaan semasa hubungan mereka begitu intim. Pada masa-masanya, Azman dilihat seperti cuba melarikan diri; seperti ada sesuatu masalah besar yang menyesakkan di benaknya.

Seterusnya, Azman mengambil cuti panjang dan tidak pernah pula memberitahu tujuannya berbuat demikian. Azman tidak memberitahunya ke mana dia pergi sehingga dia pula yang tercari-cari. Dan dalam keadaan tertanya-tanya dan tercari-cari itu entah bagaimana hatinya tiba-tiba tergerak untuk mencari Azman di jeti.

Kemudian setelah menemuinya di sana Azman seperti tidak menghiraukan kedatangannya. Azman menyuruhnya pulang. Azman seperti menyindirnya kononnya dia ada keluarga dan tanggungjawab yang perlu diberikan perhatian.

Azman mahu pergi, tetapi ke mana? Hingga akhirnya dia pengsan dan dihantarkan ke hospital.
Dia cuba mengagak, tetapi tidak dapat memastikan. Adakah keadaan tersebut sama seperti yang dialami ketika Azman menghilangkan diri enam tahun yang lalu?

Adakah Azman sudah terlalu kecewa atau sudah terlalu fed-up dengan sikapnya selama ini?

Dari segi kejujuran, mungkin dia tidak begitu jujur terhadap perhubungan mereka. Dari segi kesetiaan jelas dia tidak setia walaupun telah sekian lama memaut kasih sayang dan perhatian Azman.

Di rumah, seperti selalunya dia tetap menerima dan menganggap Zaidin sebagai suaminya walaupun dia masih belum pasti kedudukan hubungan mereka. Dia masih membenarkan Zaidin melakukan apa sahaja terhadap dirinya; menyerahkan sesuatu yang amat memilukan hati Azman selama ini.

Tetapi dalam masa yang sama apabila di luar dia tidak pernah lepas daripada mencari Azman juga!

Fitrah kejadian seseorang lelaki memang mempunyai sifat cemburu. Keegoannya begitu menebal, terutama apabila berkait dengan diri seseorang yang amat disayangi.

Oleh sebab itu dalam kejadian Tuhan di atas muka bumi ini di kalangan haiwan sekalipun tidak pernah seekor jantan yang bermadu dalam mengongsi seekor betina. Inikan pula manusia yang bergelar insan.

Sebaliknya, dari segi fitrah kejadian dan hukum Tuhan seseorang wanita boleh dimadukan biarpun sehingga empat orang. Hakikatnya dapat dilihat akan dirinya sendiri. Sejak sekian lama dia masih dapat menerima Zaidin walaupun sudah berbelas-belas tahun suaminya itu bisa meniduri sekian ramai perempuan dan betina lain selain daripada dirinya.

Tiba-tiba Aziriah terkedu.

Oh Tuhan, kenapa dirinya harus dihadapkan dengan keadaan sedemikian? Kenapa itu yang harus ditempuhinya, menyiksakan jiwa dan batin orang yang disayanginya?
 
Keadaan telah menjadi lebih sulit sekarang. Apa yang dapat dibuatnya selain daripada melihat keadaan Azman yang terus terlantar begitu. Apa lagi yang dapat diterangkan buat memujuk hati kekasihnya itu?

“Macam mana keadaannya di rumah?” tiba-tiba staff nurse itu beralih kepadanya. “Ya la... tentang hubungannya dengan puan.”
Aziriah tersentak. Dia segera melarikan pandangannya ke arah luar wad. Masih tidak putus-putus kes kecemasan yang bertali arus. Sejak berada di situ sahaja, dia sudah lali melihat dan mendengar berbagai-bagai jenis kes kecemasan. Banyak juga kes yang serius dibawa ke situ dan tidak lama kemudian dibawa ke tempat bedah siasat. Dia mulai faham itu tandanya kematian yang mana ia selalunya berpunca daripada kes kemalangan.  Dan dia pun mula dapat mengerti bagaimana kakitangan di situ sentiasa kelihatan tenang. Alah bisa kerana sudah terlalu biasa, fikirnya.

“Tak ada la perubahan apa-apa,” Aziriah berdalih. “Lately ni dia lebih banyak bermenung... suka bersendiri.”
Staff nurse itu mengangguk lalu mengalihkan perhatiannya kepada Azman. Wajahnya sedikit berkerut lalu kembali menoleh kepada wanita muda yang anggun di sebelahnya.

“Mungkin itu puncanya.. tapi cik puan tau sebabnya?” staff nurse kembali serius. “Masalah rumahtangga atau mungkin kewangan. Kadang-kadang tu beban kerja atau sorry to say la... hutang pun boleh jadi penyebabnya juga.”
Aziriah tunduk lalu matanya terpaku pada kasut tumit tinggi yang dipakainya. Kasut warna hijau yang dibelinya ketika bersama Azman membeli-belah di Lot 10 dua tahun yang lalu. Dia kembali terbayang-bayangkan keindahan ketika mereka berdua memilih dan dia mencuba kasut tersebut.

“Susah nak cakap,” Aziriah cuba mengelak lagi. “Rasa-rasanya tak ada la sangat beban kerja. Jauh sekali tentang soal kewangan. Tapi tak tau la dengan keadaan kerjanya sebab dia ni orang surat khabar....”
“Ooo... suami puan ni wartawan.”

“Bukan. Dia ketua mereka. Editor surat khabar,”
Aziriah cuba membetulkan tanggapan staff nurse itu tentang kerjaya Azman yang dikaguminya selama ini.

“Banyak la orang di bawah dia...” 

“All those reporters!”

Aziriah mengangguk-ngangguk. Kemudian dia menoleh sambil tersengih.. Bangga. Sekurang-kurangnya layanan yang bakal diberikan nanti akan lebih baik berbanding dengan mereka orang biasa. Maklumlah orang surat khabar biasanya disegani oleh kakitangan birokrat. Selain itu dia berbangga kerana Azman dikenali ramai dan dihormati pula. Sebab orang surat khabar boleh lakukan apa sahaja kerana mata pena mereka yang cukup tajam.

Kemudian dia segera teringatkan teman-teman Azman di pejabat. Dia harus memberitahu mereka tentang keadaan Azman. Tetapi dia khuatir masalah lain pula nanti yang akan timbul. Melaluinya nanti isteri Azman akan tahu di mana suaminya berada? Rosmah akan datang dan mahu tidak mahu dia harus menjenguk atau menjaga dan memerhatikan Azman di situ. Kelak akan lebih ramai lagi mereka yang lain akan datang melawat dan berbagai-bagai kemungkinan lagi akan timbul. Lebih ditakutinya nanti ialah rahsianya yang akan terbocor di kalangan kakitangan hospital itu. Sedangkan sejak awal lagi mereka semua percaya bahawa dia adalah isteri Azman.

“I sengaja tak mau beritahu kat pejabatnya lagi,” jelasnya endah tak endah. “Dalam keadaan begini, biar la dulu. Kecoh pula nanti....”
Ia seperti amaran. Melaluinya pihak hospital tidak akan berani memandai-mandai dan menghubungi tempat Azman bertugas. Kalau tidak pun biar mereka mendapatkan kata putus daripadanya terlebih dahulu. Biar dia seorang sahaja yang menentukan tentang diri Azman. Tetapi, bagaimana pula dengan anak-anak Azman?

“Kalau ada apa-apa bantuan yang cik puan perlukan, beri tau la,” jelas staff nurse itu sebelum meminta diri untuk memeriksa pesakit yang lain pula.

“Baik la...,” Aziriah lega. “I akan ada di sini.”
Aziriah menghampiri katil Azman. Dia rapat ke birai katil sambil memerhatikan wajah teman lamanya itu. Ia masih sama seperti sebelumnya. Wajahnya berseri seperti orang sedang tidur. Dadanya berombak lembut, bermakna nadinya masih normal. Keadaannya agak banyak berubah. Penunjuk di layar monitor itu pun nampak normal pergerakannya tidak seperti pada hari pertama dan kedua dahulu.

Tangan Azman dicapai sambil meramas-ramasnya dengan lembut. Terasa benar akan kemesraan dan kelembutan di dalamnya. Walaupun Azman tidak membalas, tetapi dia bahagia sekali. Tangan itulah yang telah melahirkan sekian banyak denyut kasih yang membakar seluruh sanubarinya selama ini. Tangan yang telah mengikat hati dan perasaaannya. Tangan yang sering menguntaikan kata hati dan merobek seluruh jiwa dan raganya, yang selalunya tidak terucapkan. Sentuhan-sentuhan lembut yang tetap memukau perasaannya; yang mengikatnya daripada keinginan untuk menjenguk perasaan mana-mana lelaki lain.

Dia mencapai kerusi yang disediakan di situ lalu duduk. Diperhatikannya sekujur tubuh yang masih tidak bergerak. Sesekali dia merapatkan tangan itu ke pipinya. Terasa panasnya sentuhan yang sering menggetarkan itu. Cuma kali ini ia tidak memberi apa-apa makna lagi. Azman masih belum sedarkan diri.

Seketika itu juga air matanya bergenang. Lama-kelamaan ia menjadi tepu lalu tumpah perlahan berjurai melewati pipinya yang licin kemerah-merahan itu. Dia mencapai kertas tisu dari dalam beg tangan lalu dikesatnya.

Namun tumpuan perhatiannya masih pada buah hatinya itu.









0 Responses