Elias Hj Idris
Ada kalanya seseorang murid yang mengikuti jalan tasauf ini akan diuji dengan kemiskinan, kepapaan dan kesempitan hidup. Sayugia hendaklah dia bersyukur kepada Allah swt kerana dia harus mengira bahawa itu adalah takdir Allah swt yang menjadikannya miskin, papa, dan sempit itu sebagai sebesar-besar nikmat.

Perlu diingat, dunia itu adalah 'seteru' Allah swt. Dia menggembirakan seteru-seteruNya dengan keindahan dunia, dan melindungi para auliaNya daripadanya. Jadi sekelian murid yang mengikuti jalan ini harus mensyukuri Tuhan yang telah menyamakan kamu dengan para anbiya, para auliya dan sekelian hambaNya yang solehin.

Adalah tidak kena jika sampai memiliki sebuah jet peribadi
siap dengan segala perhiasan yang eksklusif sekali

Bukankah Nabi Muhammad saw yang merupakan penghulu dari sekelian Rasul dan sebaik-baik makhluk Allah di atas muka bumi ini pun pernah mengikat batu di perutnya disebabkan terlalu lapar. Ada kalanya berlalu dua bulan berturut-turut, atau lebih sedang di dapur rumah baginda tidak berasap. Nabi dan ahli keluarganya memadai dengan makan sedikit kurma dan minum air sejuk sahaja.

Sekali peristiwa seorang tetamu datang ke rumah baginda, maka baginda meminta orang pergi bertanyakan makanan ke rumah-rumah isteri baginda yang sembilan orang itu.  Malangnya, tidak ada sebuah rumah pun yang ada menyimpan makanan. Demikian juga pada hari baginda wafat, baju besinya masih tergadai kepada seorang Yahudi, kerana membeli beberapa gantang gandum, sebab di rumahnya tiada apa-apa lagi yang hendak dimakan, kecuali segenggam gandum.

Oleh itu wahai sahabat dan murid sekelian, ambillah dari dunia itu sekadar sekeping kain lusuh buat menutup auratmu dan tidak lebih daripada beberapa suap makanan untuk menghilangkan laparmu. Dengan syarat makanan itu mestilah dari sumber yang halal.

Awas kamu daripada racun yang akan membinasakan diri kamu; iaitu jangan sampai terpengaruh dengan kenikmatan dunia sehingga kamu dipermain-mainkan oleh tarikan syahwat. Seterusnya kamu akan berasa dengki terhadap orang-orang yang dikurniakan Allah kenikmatan dan kelazatan dunia itu.

Ingatlah bahawa mereka itu akan disoal tentang kenikmatan tersebut, dan akan diperhitungkan terhadap semua yang mereka peroleh dan telah bersenang-senang dengan syahwatnya. Andainya kamu dapat bayangkan betapa beratnya tanggungan yang mereka rasakan, dan betapa besar tanggungjawab yang akan mereka hadapi, di samping menanggung duka-nestapa di hati serta ketidak-tenteraman di dada dalam mengejar dunia, dan berlumba-lumba untuk menambahkan harta kekayaan serta amat sayang untuk membelanjakannya; maka kesemua itu akan membuatkan mereka rela hidup lebih susah dan berat daripada apa yang mereka rasakan apabila menikmati kelazatan dunia (itupun kiranya boleh dikatakan ia satu kelazatan!).

Memadailah dengan firman Allah swt yang mencegah kamu daripada mencintai dunia dan menganjurkan kamu supaya hidup berzuhud terhadapnya, iaitu;

"Dan kalaulah tidak manusia itu semua menjadi umat yang satu (semuanya gila kekayaan) nescaya Kami buatkan untuk orang-orang yang tiada percaya kepada Tuhan Pemurah atap rumah dan tangga tempat naik mereka, semuanya dari perak. Dan pintu-pintu rumahnya dan ranjang tempat mereka bersandar (daripada perak juga). Dan dibuatkan juga perhiasan keemasan. Bahawa semua itu hanyalah keindahan hidup di dunia, sedang akhirat itu disediakan oleh Tuhanmu bagi orang-orang yang bertaqwa."  -  Az-Zukhruf: 33-35

Sabda Rasulullah saw;
"Dunia itu adalah penjara orang mukmin, dan syurga orang kafir. Sekiranya dunia itu dipandang berharga di sisi Allah senilai sayap seekor lalat sahaja, nescaya Dia tidak akan memberi minum kepada orang kafir itu walau seteguk air sekalipun."

Ketahuilah, bahawa Allah swt tidak pernah pandang kepada dunia itu sejak hari ia diciptakan.
1 Response
  1. Black Ops Says:

    Nabi Isa AS sebatang karah hadapi ujian dialah Nabi
    paling fakir papa kedana sekadar cukup makan..
    Nabi Musa AS tinggal diistana terima ujian Nabi paling
    banyak terima dugaan Tuhan menggegarkan iman..
    Nabi Muhammad SAW yatim piatu lulus ujian Tuhan
    akhirnya Penutup Kenabian serba melengkapkan..
    Imam Mahdi AS ditaqdirkan pikul beban dunia dialah
    Juru Penyelamat dibangkitkan diAkhirul Zaman..
    Banyaknya jalan2 tapi jalan manakah yg mahu diikut
    diturut segalanya telah ditentu ditaqdirkan Tuhan..
    Pasrah kepada-Nya nescaya dibimbing-Nya kejalan2-
    Nya cukup mencukupkan dgn penuh keredhoan...