Elias Hj Idris
A. Muqaddimah

Seribu lima ratus tahun adalah satu jangka waktu yang panjang. Gunung-gunung telah menjadi busut. Sungai-sungai telah pun kering. Bumi kehilangan wajah aslinya namun warisan amalan Nabi صلى الله عليه وسلم tetap teguh. Tali Allah yang Nabi hulurkan tetap menjadi pegangan sebahagian ummat yang cintakan Baginda. Allah tetap akan memelihara agamaNya.

Istilah-istilah tariqat sufiah, ahli-ahli sufi, ilmu tasawwuf adalah di antara amalan Nabi صلى الله عليه وسلم yang menjadi bahan perhitungan sepanjang zaman. Ada yang mencemuh, ada yang menghina, ada yang salah gunakannya, ada pula yang mengambil kesempatan di atas kelebihannya.
Penyerahan diri...

Sangat sedikit manusia yang berjalan di atasnya dengan kebenaran!

Banyak huraian yang telah dibuat sebelum ini oleh pelbagai pihak untuk merungkai masalah ini. Dalam kesempatan ini kita cuba untuk melihat apa itu tariqat sufiah yang sebenar. Dari mana pengambilannya. Apa amalan-amalannya secara praktikal, tanpa berlebih-lebihan pada istilah yang sukar dengan cara yang paling mudah untuk difahami.

B. Tafrif Tariqat Sufiah

Sekalian ulama arif billah, ulama ahlus sunnah yang haq telah mengemukakan berbagai istilah dalan mentakrifkan tariqat sufiah. Kita cuba untuk melihat sebahagian daripadanya;

i) Tariqat Sufiah adalah ilmu mengerjakan zikrullah, muraqabah (tafakkur/merenung) dan musyadah (syuhud/menyaksikan) sehingga seseorang menjadi hamba Allah yang benar dalam tauhidnya serta menjadi ubudiah dengan sebenar ubudiah.

ii) Tariqat sufiah menerangkan cara-cara seseorang itu menjalani jalan ketuhanan sehingga menjadi hamba Allah yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Allah.

iii) Tariqat sufiah adalah ilmu melatih jiwa seseorang hamba Allah sehingga ia bercahaya dengan cahaya Rabbaniah. Dengan demikian membebaskan dirinya daripada sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat kekejian) kemudian menghiasinya dengan segala sifat mahmudah (sifat-sifat kepujian) serta menyucikan hatinya dari segala macam syirik khafi (syirik yang tersembunyi)".

iv) Tariqat sufiah adalah satu disiplin ilmu kerohanian yang tersusun terdiri daripada berbagai latihan kerohanian berdasarkan kitabullah dan sunnah RasulNya. Dengan bersungguh-sungguh menjalani latihan ini seseorang hamba bakal dibukakan oleh Allah Ta'ala (dengan rahmatNya) kepada hakikat Islam, iman dan ihsan.

Ada banyak lagi makna serupa yang diberikan oleh sekalian arifin billah yang kesemua itu tidak bertentangan. Sebaliknya ia menuju kepada satu matlamat, iaitu kembalikan jiwa seseorang hamba kepada fitrah (asal kesucian diri) bebas daripada segala sesuatu selain Allah. Sehingga hanya Allah yang bertahta di dalam hatinya.

C. Adakah Ia Bersumberkan Al-Quran dan Sunnah Nabi?

Seluruh ilmu dan amalannya adalah diambil dari perjalanan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang bersumberkan wahyu Ilahi. Asas ilmu ini diterima dari Nabi صلى الله عليه وسلم. Para sahabat Nabi dan ulama-ulama yang mengikuti mereka kemudiannya menunjukkan cara-cara dan kaedah beramal.

Di zaman Nabi masih hidup, amalan-amalan yang berkaitan dengan kerohanian ini wujud tanpa nama. Maksudnya tariqat dan tasawwuf adalah amalan Nabi صلى الله عليه وسلم , tetapi belum diberi nama dengan nama tertentu!

Sebagaimana juga disiplin ilmu-ilmu Islam yang lain, istilah tariqat sufiah mula diperkenalkan oleh para ulama pada kurun pertama dan ke-2 Hijrah sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun. Mereka telah menghimpunkan seluruh ilmu kerohanian ini menjadi satu ilmu Islam yang tersusun dengan menunjukkan beberapa cara mengamalkannya dengan betul beradasarkan petunjuk Nabi saw.

D. Apakah Latihan-latihan Kerohaniannya serta Dalilnya?

Berikut kita cuba bentangkan amalan-amalan pokok dalam tariqat sufiah ini yang semuanya bersumberkan wahyu Ilahi serta diamalkan oleh Nabi dan para sahabat Baginda.

1. Taubat dengan taubat yang benar.

Inilah unsur paling penting dan amalan yang terus menerus yang dikehendaki oleh si salik (orang yang menuju Allah) melakukannya. Kerana sifat manusia sentiasa lalai dan lupa kepada Allah Ta'ala. Sentiasa melakukan dosa dan maksiat zahir dan maksiat batin. Maka wajib membersihkan diri bersungguh-sungguh dengan taubat.
Firman Allah:  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُواْ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحاً

"Wahai orang-orang yang beriman! Taubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang sungguh) " -  At-Tahrim :8 

Firman Allah:  إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَبِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang mensucikan diri."  -  Al-Baqarah : 222

2. Zikrullah dengan zikir yang banyak-banyak

Ini adalah asas kepada semua tariqat sufiah. Zikirnya berperingkat-peringkat bermula dari jihar (lafaz dengan lidah) sehingga keperingkat ke dalam hati.

Firman Allah:  أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tetap. (tenang, tenteram)"  -  Ar-Ra’d : 28

Firman Allah:  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اذْكُرُواْ اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً

"Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya."  -  Al-Ahzab (33) : 41

Firman Allah:  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تُلْهِكُمْ أَمْوَلُكُمْ وَلاَ أَوْلَـدُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْخَـسِرُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." -  Al-Munafiqoon, (63) : 9

Zikir adalah penyuci kepada hati. Dengan banyak-banyak zikrullah hati seseorang akan suci sedikit demi sedikit dari kekotoran duniawi lalu bercahaya dengan cahaya Rabbaniyyah. Melalui cahaya ini seseorang akan dibukakan oleh Allah kepada ketuhanan, yang menerbitkan tauhid dan keimanan yang teguh kepada Allah Ta'ala.

3. Suluk, khalwah, atau uzlah

Amalan ini berdasarkan sunnah Nabi berkhalwah, iaitu mengasingkan diri di Gua Hira' Jabal Nur. Amalan ini telah diakui oleh seluruh ulama muktabar sebagai amalan yang sangat berkesan ke dalam hati dan roh.
Seseorang yang ingin menyucikan dirinya daripada segala kekotoran jiwa serta segala aghyar (selain Allah) perlu mengasingkan dirinya beberapa waktu dari manusia untuk beribadat, berdoa dan munajat kepada Allah.

Keheningan dari keriuhan dunia akan memberikan ketenangan jiwa dalam menghadap Rabbul Jalil. Dengan ketenangan itu seseorang akan dapat memusatkan ingatan dan rohnya kepada Allah Ta'ala.

4. Banyakkan selawat

Kebanyakan kita telah mengetahui perintah Allah Ta'ala supaya bersolawat atas Nabi صلى الله عليه وسلم .

Ramai di antara kita yang mengamalkannya untuk mendapatkan berbagai kelebihan sama ada kebaikan dunia atau kebaikan akhirat.
Menurut pandangan ahli makrifat/ahli sufi, selawat atas Nabi adalah menempati zikrullah, iaitu ia menyucikan hati dan menerbitkan cahaya keimanan di dalam hati. Cahaya keimanan ini membukakan hati kepada alam ketuhanan dan tauhid serta menerbittkan taqwa yang tinggi serta kasih kepada Allah dan RasulNya yang tiada berbelah bahagi. Maka benarlah kata Nabi, orang-orang yang paling banyak berselawat atas Baginda akan berada bersama Baginda di akhirat kelak.

Firman Allah Ta'ala;

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. -  Surah Al-Ahzab: 56

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah Ta'ala akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”.  - riwayat Muslim

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku”. - riwayat at-Tirmizi

Dari Anas Radiyallahu 'Anhu, sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

"Barangsiapa yang berselawat ke atasku (Nabi) dengan sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh selawat, dan menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan diangkat pula sepuluh darjat -  riwayat oleh Ahmad, Nasa'ie dan Al-Hakim.

Dari Abi Darda' Radiyallahu 'Anhu, bersabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa beselawat ke atasku (Nabi) sewaktu pagi sepuluh kali dan sewaktu petang sepuluh kali maka engkau akan mendapatkan syafaat pada hari Kiamat" - riwayat Attabrani

5. Perbanyakkan solat sunnat

Paling utama adalah solat taubat dan solat tahajjud. Dalil-dalil tentang kelebihan dan kebaikan solat sunnat juga telah diketahui umum.

Bagi kebanyakan orang awam, solat sunnat dilakukan dengan tujuan tertentu sama ada untuk mendapat pahala atau untuk kebaikan di dunia.

Di sisi ahli makrifat ia bukan sahaja bertujuan untuk mendapat kebaikan bahkan ia dijadikan sebagai suatu ibadah untuk mensyukuri nikmat Allah yang terlalu banyak serta munajat dan menyungkur sujud di hadapan Allah menyatakan kehinaan mereka sebagai hamba Allah - di hadapan Tuhan Rabbul Jalil Yang Maha Agung!

Bangun di tengah kesunyian malam menghadap Allah ketika insan lainsedang lena, menimbulkan ketenangan berhubung dan bermunajat kepada Allah.

6. Bermujahadah melawan keinginan nafsu kekejian.

Melatih diri dengan bermujahdah secara berungguh-sungguh melawan hawa nafsu yang suka kepada kekejian dan bersedap-sedap pada keduniaan dengan cara;

*  mengurangkan makan;
*  mengurangkan bercakap. Hentikan bercakap yang tiada faedah dan sia-sia;
*  mengurangkan tidur; dan
*  mengurangkan pergaulan yang tidak perlu.

Kurangkan bercakap, banyak zikir... pergaulan yang tidak perlu!

Nafsu manusia memang inginkan kesenangan, suka berpoya-poya dengan segala keindahan dan keseronokan duniawi. Seseorang yang mengikuti hawa nafsunya akan merosakkan hati dan imannya. Akibatnya seseorang akan jauh dari rahmat Allah dan akhirnya membinasakan diri sendiri.

Menuruti segala kemahuan hawa nafsu kejahatan yang cenderung kepada keduniaan adalah dicela dan dikeji dalam syara’.

Firman Allah:  أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً

"Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? - Al-Furqan : 43

Firman Allah:   وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَـهُ بِهَا وَلَـكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الاٌّرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـثَايَـتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."  - Al-Araf (7) : 176

Sebaliknya Allah Ta’ala memuji hamba-hambaNya yang sentiasa menyucikan hatinya serta mengengkari kemahuan nafsu kejahatan hatinya.

Firman Allah: وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى - فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِىَ الْمَأْوَى

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya." -  An-Nazi’at (79) : 40, 41

Firman Allah: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَبِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang mensucikan diri." -  Al-Baqarah : 222

7. Lazimkan membaca Al-Qur'an

Latihan asas sejak zaman kaanak-kanak

Banyak kelebihan dan keistimewaan diberikan oleh Allah Ta'ala kepada mereka yang berjinak-jinak dan memuliakan kalam Allah.

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم .

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkan” -  Riwayat Bukhari

“Siapa saja yang membaca satu huruf Al Qur’an, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan menjadi sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan bahawa alif-lam-mim itu satu huruf, melainkan alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf” - riwayat at-Tirmizi - hasan shahih

Menurut pandangan ahli makrifat, Al-Quran adalah cahaya dan menerangi hati mereka yang membacanya dengan tadabbur dan penuh khusyu'.

Demikian kami bentangkan sebahagian dari amalan-amalan penting dalam tariqat sufiah. Kita melihat kesemua amalan tersebut adalah bersumberkan Al-Qur’an dan Hadis Nabi صلى الله عليه وسلم .

Kita cuma sebut secara umum tanpa perincian yang panjang, terutama dalam amalan zikrullah yang menjadi asas kepada didikan kerohanian ini, terdapat banyak sekali tingkatan zikir dan bentuk-bentuk zikir yang berlainan. Mulai dari zikir lisan kemudian disusuli zikir hati, zikir nafas, zikir ruh dan lainnya. Kemudian ini disusuli pula dengan berbagai tingkatan muraqabah dan musyahadah. Semua ini mengambil masa yang sangat panjang serta memerlukan kesungguhan dan istiqamah. Perkara ini akan di bincangkan pada masa akan datang jika perlu.

E.  Unsur-unsur Penting dalam Tariqat Sufiah

i). Syeikh atau imam atau dipanggil juga mursyid yang memimpin tariqat sufiah.

Seorang syeiikh adalah seorang mukmin yang telah mendapat limpahan hikmat Ilahiyyah serta mahir dalam ilmu kerohanian mendidik jiwa manusia. Dan beliau ini mestilah telah mendapat ijazah daripada Syeikhnya atau imam yang memimpinnya sebelumnya sambung-menyambung silsilah perguruan ini hingga sampai kepada Rasulullah saw.

Untuk melihat syarat-syarat lengkap seorang syeikh sila rujuk;
http://tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=694&start=0

ii). Sistem pendidikan kerohanian yang tersusun dan lengkap.

Setiap amalan/wirid/zikir/latihan kerohanian mempunyai adab, peraturan dan kaifiyyat (susunan cara mengerjakannya) tertentu yang mempunyai kesan yang sangat kuat kepada hati.

iii). Zikrullah sebagai teras dan asas kepada didikan jiwa dan roh.

Seluruh ahli makrifat/syeikh tariqat sufiah bersepakat mengatakan unsur zikrullah adalah menjadi unsur terpenting dalam didikan hati, penyucian hati dan roh sehingga ia bercahaya dengan cahaya Rabbaniyyah, memperoleh tauhid yang benar dan tahqiq serta melaksanakan ubudiyyah kepada Allah dengan penuh keikhlasan.

Firman Allah:  اتْلُ مَا أُوْحِىَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَـبِ وَأَقِمِ الصَّلَوةَ إِنَّ الصَّلَوةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”


0 Responses