Elias Hj Idris
Walaupun tinggal serumah, tujuh orang teman serumah kami jarang dapat bersama selalu. Jika dua orang ada di rumah, lima lagi entah di mana? Paling jarang dapat bersua muka ialah dengan Cikgu Roshidi yang mengajar di Sekolah Menengah Sains - sekolah elit yang terulung di Kota Bharu. Ia di antara sekolah menengah Sains yang terawal dibuka di negara ini. Dia guru pendidikan jasmani yang pakar dalam sukan ragbi - yang ditukarkan dari MCKK, Kuala Kangsar - seorang cikgu veteran. Jadi, bidangnya sukan maka dia tidak pernah pakai 'smart' selain daripada track-suit dan T-shirt.

Landmark utama pekan Kota Bharu - mesjid

Dek kesibukan itu, dia jarang-jarang pulang ke rumah. Selain, mungkin dia tidak betah untuk bergaul rapat dengan guru-guru muda - sekitar 24 dan 26tahun, sedangkan dia sudah punberusia 35 tahun. Lantaran di sekolah itupun ada bilik gurunya sendiri untuk berihat yang bertempat di kawasan asrama.

Cikgu Samad dan Azra'ei memang dapat dicamkan jadualnya sebab mereka sama-sama mengajar di satu sekolah - Jelawat. Cikgu Hassan walaupun mengajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, tetapi dia mesti sering berada di rumah dalam menyusun aktivitinya. Dia seorang pendidik yang langsung tidak tahu berdikari dan tidak boleh menghadapi masalah. Dia mudah pening dan serabut. Jadi, dia perlukan Cikgu Fatah, yang lebih cekap dengan selok-belok di bandar dan persekitarannya serta dengan perancangan mereka setiap malam. Demikian juga sebaliknya, Cikgu Fatah perlukan Cikgu Hassan kerana masalah kenderaan.

Cikgu Hassan ada kereta Mini Cooper S warna biege serta berbumbung petak hitam-putih; top of the list sebagai kereta mat remeo di pekan KB. Manakan orang tidak tergoda dan terpukau dengan bunyi ekzos yang lemak dan mengancam. Itulah satu-satunya kereta yang boleh dikira sport yang sering berlegar di sekitar bandar. Selalunya, dia akan bersama Cikgu Fatah yang sentiasa 'smart' penampilan mereka - baju 'Arrow' mahal - RM24 dan RM28. Seluar mesti ada sait tajam, cuma pakai sendal tali silang. Kasut kulit jarang-jarang dipakai, melainkan apabila ada mesyuarat besar.

Seorang lagi ahli dari dalam klik ini adalah Cikgu Shuhaili berasal dari tempat yang sama dengan Cikgu Hassan di Telok Anson - kaki 'Arrow' yang rajin membeli. Cermin mata 'Ray-ban' warna cokelat tidak pernah tanggal. Badan kering, tidak banyak bercakap. Minyak rambut mesti dari jenis 'Tancho' hijau tu. Jadi, mereka ini selalunya keluar bersama - pergi makan dan apabila malam mesti pergi jalan-jalan - meronda ke segenap ceruk.

Sebagai orang baru, teman tidak jelas dengan kehidupan di bandar ini. Memang teman biasa dengan kehidupan di bandar Johor Bahru, itupun sebab latihan yang diterima itu di sana. Bukan bermakna teman sering keluar - kecuali semasa Cikgu Tin sedang 'mengorat' teman. Jadi, kebanyakan masa tinggal dalam kawasan maktab, berkawan dengan pelatih maktab. Oleh kerana teman seorang yang aktif dengan segala jenis persatuan dan pertubuhan, selain daripada bersukan jenis padang pada setiap petang - jadi masa senggang untuk santai itu jauh sekali.

Jadi, teman banyak memerhatikan keadaan dan gerak laku mereka di rumah itu; pada setiap individu. Kalau dalam istilah pendidikan, teman sedang mengalami proses pembelajaran. Cuma pada waktu-waktunya teman berasa bingung. Apa tidaknya, selain daripad kami bertujuh terkadang-kadang ada perempuan yang tidak dikenali di rumah itu; tentunya bukan mereka itu datang sendiri. Mereka dibawa pulang oleh kengkawan pada waktu malam - selepas pulang dari berjalan-jalan; di waktu teman sedang nyenyak tidur di bilik tengah.

Hanya pada keesokan harinya baru nampak kelibat mereka sebaik bangun tidur; jam 11.00pagi selepas Cikgu Hassan pergi ke sekolah. Cikgu Samad dan Azra'ei pun sudah bertukar mengajar ke sessi petang meninggalkan teman mengajar di sessi pagi. Jadi, teman perlu menumpang kereta Cikgu Hassan ke pertengahan jalan sebelum mengambil bas atau kereta sewa untuk ke sekolah di Seri Gunung.

Ia keadaan yang amat menyeronokkan memandangkan si Jamilah itu masih di sana. Cuma di antara kami sudah dibatasi rasa segan-silu apabila kisah kami sebelumnya sudah menjadi buah mulut orang. Bubur asyura punya pasal, kami berdua terlekat 'getah'nya; punca teman berpindah tinggal di Kota Bharu.

Jadi di rumah itu, eadaan agak meriah hanya apabila di hujung minggu. Masing-masing baru dapat berkumpul dan rancak berbual tentang pengalaman mereka sepanjang minggu. Pengalaman di sekolah dengan murid-murid atau dengan Guru Besar. Entah kenapa cikgu-cikgu ini, termasuk teman juga begitu anti dengan Guru Besar! Kenapa?

Ada Guru Besar yang berkelulusan ijazah - tanpa pengalaman sudah dilantik menjadi Guru Besar sekolah (pada masa itu pengetua sekolah menengah masih dipanggil Guru Besar). Ada sesetengahnya baru 1-2 tahun pengalaman mengajar, tetapi sudah dapat naik pangkat dengan cepat disebabkan oleh kelulusan mereka. Rata-rata kalangan manusia yang rajin belajar ini (hingga masuk ke universiti) biasanya tidak pernah ada aktiviti luar. Sebelumnya, mereka cuma mengajar (kebanyakannya dari kalangan guru biasa) dan apabila malam mereka belajar matapelajaran tingkatana enam di sekolah swasta dan kemudian apabila lulus masuk ke universiti. Mereka belajar lagi.

Ada pula Guru Besar yang berpengalaman mengajar - naik pangkat dek kerana pengalaman itu. Cuma skel gajinya jauh berbeza daripada guru berijazah yang kurang pengalaman itu. Jadi, kedua-dua jenis Guru Besar ini menghadapi masalah penyesuaian diri - 'feel inferior' dengan guru-guru yang ada, tetapi berkebolehan. Itu masalah yang dihadapi oleh Cikgu Rashidi - pakar dalam bidang sukan di sekolah yang terbaik dihantar dek kementerian ke kawasan pantai timur. Cikgu Samad pun sama - pun aktif dalam sukan. Kemudian Cikgu Fatah, seorang guru yang handal dalam permainan hoki. Seterusnya, Cikgu Shuhaili, Cikgu Hassan dan Cikgu Azra'ei yang memang handal dalam permainan sepak takraw dan bola sepak.

Teman pula, selain daripada aktif dalam di hampir kesemua persatuan, aktif juga dalam sukan acara padang - melempar cakera, melontar peluru dan merejam lembing. Maka inilah jenis manusia yang dihantar oleh kementerian konon untuk mendidik anak-anak murid dan orang tempatan agar berjinak-jinak dengan bidang berkenaan. Dan seperti biasa, kelebihan yang ada ini bukan sahaja tidak disenangi oleh Guru Besar, tetapi oleh orang tempatan juga. Mereka teramat sensitif dengan kelebihan tersebut! Tunjuk agah, kata deme.

Jadi, selalunya apabila masing-masing berkumpul - Guru Besar adalah sasarannya. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Itupun ada benarnya juga, Guru Besar adalah orang tempatan di mana guru-guru yang berkebolehan ini datangnya dari luar. Ada perbezaan taraf di situ, di mana Guru Besar akan berasa tercabar apabila pendapat bodoh mereka dibantah. Mereka 'ulat buku', tetapi dihadapkan dengan kerenah orang yang jauh lebih aktif. Itu puncanya. Dan ia tidak habis di situ - akan ada unsur balas dendam dan 'penderaan' halus oleh Guru-guru Besar berkenaan; dari pelbagai aspek.

Sebagai orang berkebolehan, guru-guru ini apa peduli dengan segala tindakan balas dendam dan 'penderaan' itu? Ia biasa dihinguskan sahaja. Senang cakap, 'pegi mampus la sama lu...'. Dan inlah yang berlaku di mana cikgu-cikgu ini hanya bertugas sekadar makan gaji - ada kerja, ada gaji. Nak berlebih-lebih, selain daripada tidak disenangi akan timbul kemudian diskrimninasi dan soksek-soksek iri hati. Ia akan menjalar jadi buah mulut dan fitnah juga. Jadi, guru-guru yang tertekan ini akan mencari jalan 'pelarian'nya. Maka timbullah gejala hiburan malam seperti yang dilalui oleh cikgu-cikgu muda yang tinggal serumah dengan teman ini.

Dan teman masih memerhatikan.

Tiba-tiba pada malam itu kedengaran riuh-rendah di ruang tamu. Jam menunjukkan 3.00 pagi. Kereta yang dipinjam dek Cikgu Hassan (apabila keretanya dihantar servis) terkena batu. Ada orang baling dengan batu besar ke keretanya ketika masuk ke kawasan perumahan itu.

"Cemas la tak kena kat cermin... kalau tidak berderai le muka aku," sayup-sayup kedengaran suaran Cikgu Hassan dengan gaya kelam-kabutnya itu.

Ia hanya kedengaran di hujung-hujung telinga. Dek kerana masih diulit mimpi, jadi teman tidak berhasrat untuk bangun mengetahui apakah kisahnya yang diriuhkan? Esoknya, apabila bangun pagi baru keadaan agak jelas.

Memang kereta mereka dibaling batu besar apabila membawa pulang perempuan jalanan ke rumah. Untung kereta Cikgu Samad tidak kena walaupun ia kereta tidak berbumbung - MG Midget Sports.

"Depa menyorok dalam hutan... di balik pokok nangka dekat simpang tu," Cikgu Hassan dengan gaya beria-ia dengan gelagatnya sekali. "Tau-tau nampak gelap aje ketul tu berdentum kat pintu."

"Aku ingatkan apa benda," sahut Cikgu Shuhaili dengan gaya selamba sambil membetulkan sunglass 'Ray-ban'nya itu. "Kau pi tengok lekuk kemek tu."

"Abih, nepa tak berhenti? Kejar la depa tu...," sahut Cikgu Azra'ei dengan serius.

"Kamu nak mampus... tu dua ekor mata ayaq dok ada sama - duduk kat belakang," jelas Cikgu Hassan.

"Err... salah engko orang la. Dok bawa pompuan tu watpe?" Azra'ei membebel.

"Kalau aku pun takkan berhenti. Nak mampus kat tempat orang," sahut Cikgu Samad sambil tersengih. "Ni bukan baru sekali diaorang 'mark' kita ni. Tentu dah banyak kali."

Teman cuma mendengarkan, tidak boleh nak kata apa-apa sebab mereka itu pun kawan sendiri juga. Salahnya pun ada... angkut pompuan jalanan bawa balik ke rumah.

"Mana pompuan tu semua?" Azra'ei mengerutkan keningnya sambil jalan mundar-mandir di ruang tamu. "Korang tak introduce kat aku pun."

"Dah... kami dah hantar depa balik malam tadi tu juga. Bagi naik teksi," sahut Cikgu Hassan sambil mengerutkan keningnya.

"Kenapa? Takut ke?" Azra'ei mengusik.

"Huh... buatnya depa bawa tuk imam datang ke mari, hah lagi haru," Cikgu Hassan mengomel. Dia memang risau sebab tunangnya sedang menunggu tarikh pernikahan mereka yang belum ditentukan di kampung sana.

"Kau takut ye, Asan?" Azra'ei tersengih. "Kau takut tunang kau tau betapa nakalnya kau kat sini."

"Ah, itu cite orang tua-tua... aku pun tak ready lagi. Camne nak nikah ada anak-bini?"

"Haa... cuba kau buat macam aku. Takde sape yang yang nak ditakutkan... tunang takde, bini jauh sekali," jelas Cikgu Samad sambil menyerongen.

"Kau Li... bila nak pergi Golok lagi?" Azra'ei menujukan soalannya pada Cikgu Shuhaili pula yang asyik termenung di muka pintu.

Cikgu yang kurus kering itu menjeling. Dia jenkel apabila hal peribadinya diperkatakan di hadapan ramai walaupun dia bukan dari jenis rewang. Dia hanya suka keluar makan dan minum-minum, khayal sendiri. Gerakannya kerap secara tertutup. Dia pun nakal, tetapi tidak di kawasan ramai yang jadi tumpuan orang. Jadi, tempat regularnya tentulah di pekan Golok sana.

Mekong pun murah sahaja.
0 Responses