Elias Hj Idris

Apakah itu EM?

Effective microorganisms atau EM ialah campuran mikroorganisma anaerobik yang mempunyai kesan baik terhadap proses pembentukan produk pertanian. Contohnya, bakteria asid laktik yang menggalakkan proses penapaian bahan tanaman seperti rumput untuk dijadikan silaj. Selain itu, mikroorganisma Bokashi yang terhasil daripada pemeraman sisa buah-buahan dan sayur-sayuran pula boleh dijadikan baja cecair.
Mikroorganisma ini terdapat secara semula jadi dalam persekitaran. Bahan makanan boleh digunakan untuk membiakkan mikroorganisma tersebut untuk dijadikan campuran mikroorganisma bermanfaat.
Bakteria baik hasil kultur campuran dari mikroorganisma hidup ini membantu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen (mudah cakap – bakteria jahat) yang ada dalam ekosistem tanah.

Penghasilan EM

EM adalah campuran bakteria semula jadi yang dihasilkan daripada proses penapaian semulajadi yang terkawal. Tiada pengubahsuaian dari segi genetik ataupun kimia. EM selamat digunakan dan diakui 100% organik oleh OMRI dan sekarang ianya digunakan di lebih 120 buah negara.
EM terdiri daripada bakteria fotorop, bakteria laktik asid (boleh ditemui dalam bahan tenusu), yis (yang terdapat dalam roti), aktinomiset dan kulat penapaian. Mikroorganisma ini secara fisiologi sesuai antara satu sama lain dan hidup bersama dalam kultur cecair. Terdapat kajian menunjukkan bahawa inokulasi EM pada tanah mampu menaikkan kualiti tanah, kesuburan pokok dan hasil.

Bagaimana mikroorganisma dalam EM bertindak?

Secara ringkasnya, terdapat tiga kumpulan mikroorganisma dalam cecair EM iaitu bakteria fotosintetik (Rhodopseudomonas spp.), bakteria asid laktik (Lactobacillus spp.), dan yis (Saccharomyces spp.).
Kandungan EM mikrob baik
EM terdiri daripada tiga kumpulan utama mikrob baik iaitu bakteria fotosintetik, bakteria asid laktik dan yis. Masing-masing bekerjasama membentuk baja yang bagus.

Bakteria fotosintetik (PSB)

Bakteria fotosintetik (photosyntetic bacteria, PSB) adalah mikroorganisma yang boleh hidup sendiri. Mereka menyerap tenaga daripada matahari dan haba tanah sebagai sumber tenaga menukarkan cecair dari sistem akar, bahan organik tanah dan gas seperti amonia kepada bahan binaan sel. Bahan binaan sel ini boleh jadi asid amino, asid nukleik dan gula. Bahan-bahan ini seterusnya boleh diserap terus ke dalam tumbuhan bagi membantu tumbesaran tumbuhan. Manakala pada sistem tanah, hal ini membantu perkembangan mikroorganisma bermanfaat.
Rhodopsuedomonas palustris—kumpulan bermanafaat dalam memecahkan molekul dan mencerna sebatian toksik. Campuran mikrob yang unik ini menghasilkan antioksidan yang antaranya inositol, ubiquinon, saponin, polisakarida (low molecular polysaccharides), polyphenol, dan mineral-mineral lain. Antioksidan ini membantu sistem pertahanan semulajadi yang boleh menghalang pertumbuhan bakteria-bakteria yang tak bermanfaat. Hal ini menjadikan bakteria fototrop sebagai kunci utama dalam larutan EM.
Secara ringkasnya PSB berfungsi menghasilkan asid amino, asid nuklik, bahan bioaktif dan gula yang akan menggalakkan pertumbuhan tanaman.

Bakteria Asid Laktik (LAB)

Bakteria asid laktik (lactic acid bacteria, LAB) diketahui dalam menghasilkan asid laktik daripada gula dan karbohidrat hasil sampingan bakteria fotosintetik dan yis. Asid laktik mempunyai kesan steril (bebas kuman) dan kehadirannya mengganggu perkembangan nematod dalam tanah. Bakteria asid laktik juga terlibat dalam penguraian selulosa dan lignin dalam bahan organik tanah.
Berfungsi sebagai pelindung dengan membantutkan perkembangan mikrob dan serangga berbahaya seperti Fusanium dan Nematod. Juga berfungsi sebagai bahan penggalak pengkomposan bahan-bahan organik.

Yis atau Ragi

Yis menghasilkan hormon dan enzim yang dapat membantu pembahagian sel tumbuhan dan akar. Mereka menggunakan asid amino dan gula hasil sampingan daripada bakteria fotosintetik dan akar tumbuhan. Seterusnya membantu pertumbuhan bakteria asid laktik.
Berfungsi sebagai pengeluar hormon dan enzim yang bertindak sebagai bahan bioaktif untuk meningkatkan keaktifan sel tanaman dan akar.
Dapat kita simpulkan tiga genera mikrob tersebut (PSB, LAB, yis) bekerjasama secara semulajadi dan menghasilkan sebatian bermanafaat seperti vitamin, hormon, enzim, asid organik, mineral, bioaktif dan pelbagai lagi antioksidan apabila ia bertemu bahan-bahan organik.

Sejarah Penemuan EM

EM di temui oleh Dr. Teruo Higa iaitu seorang hortikultur biologist Ia mula dipasarkan di Jepun pada tahun 1982 untuk pertanian organik. Kini EM dihasilkan di 54 buah negara dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.
EM adalah trademark oleh sebuah syarikat di Jepun. Di Malaysia, syarikat EMRO Malaysia Sdn Bhd.

Sifat EM

Sifat EM secara amnya ialah cecair berwarna kuning coklat, berbau enak dan berasa masam. Ianya sangat sesuai digunakan dalam bidang pertanian dan penternakan untuk meningkatkan mutu dan hasil pengeluaran.

Kesesuaian Penggunaan EM

Ianya amat sesuai digunakan pada projek pertanian dan fertigasi, ternakan ikan darat, ternakan haiwan, tempat pelupusan sampah, saluran tandas yang berbau dan sebagainya. Bayangkan betapa banyaknya kegunaan EM ini.

Kebaikan dan Kelebihan EM Dalam Pertanian

Teknologi EM dalam pertanian adalah seperti berikut:
  • EM menggalakkan pertunasan, pembesaran, penghasilan dan keranuman dalam produk tanaman.
  • Menggalakkan pembungaan dan pembuahan
  • Menggalakkan tumbesaran, hasil dan kualiti tanaman.
  • Meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman.
  • Menukar bahan organik kepada baja dengan cepat.
  • Menambah daya tahan tumbuhan terhadap serangga dan penyakit.
  • Memulih dan menambah baik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah.
  • Konsep inokulasi membentuk persekitaran yang sesuai dan selesa untuk tanaman
  • Kesan sinergi daripada organisma yang hadir

Kebaikan EM dalam Penternakan

  • Mengurangkan bau busuk dalam kandang dan kolam.
  • Mengurangkan lalat, kutu dan serangga berbahaya.
  • Meningkatkan kesihatan dan daya tahan ternakan.
  • Meningkatkan kualiti produk dan kesegaran.
  • Menjadi bahan makanan tambahan kepada ternakan dan mengurangkan bau busuk dari bahan buangannya.
  • Mengurangkan kos ubatan dan rawatan ternakan.

Kebaikan EM Untuk Ikan, Akuarium, Tasik, Kolam dan Air Pancuran

Kolam buatan, tasik dan air pancuran memang banyak dibina di taman-taman reakrasi sebagai daya penarik selain untuk menenangkan minda ianya juga dapat menaikkan nilai perniagaan. Kolam ini bagaimanapun akan membina ekosistemnya sendiri dan ianya dengan mudah keluar dari kstabilannya(balance). Jika air terbiar statik dalam jangkamasa yang lama, jentik-jentik akan mulai mendominasi, alga mula wujud dalam air dan bau yang tak menyenangkan akan terhasil seterusnya mulai busuk. Menambah pengudaraan(water circulate) boleh mengurangkan masalah ini namun ianya bergantung pada kualiti air tersebut, kalsium dan alga tetap terbentuk.
Penggunaan EM aktif secara berkala akan memperbanyakkan mikrob bermanfaat. Hal ini seterusnya dapat mengawal perkembangan alga dengan mengurangkan kehadiran nutrien dan sentiasa mengawalnya pada paras yang rendah. EM aktif juga berkebolehan meneutralkan air iaitu bertindak sebagai klorinator semulajadi dan menghalang pembentukan lapisan kristal di atas permukaan air.
Kadar dos adalah 1:1000, iaitu satu bahagian EM (probac) bagi setiap 1000 bahagian air. Dos ini disarankan diberikan bagi setiap minggu. Penggunaan Mudball juga disarankan. Biarkan beberapa hari atau minggu untuk EM (probac) bekerja untuk anda. Jika tinggi bahan organik (sludge), kemungkinan akan terhasil suatu lapisan di permukaan dan ianya akan beransur-ansur hilang. Proses bioremediation semulajadi ini sedang berjalan dan biarkanlah EM bekerja.

Sukatan EM

Cara Pengunaan EM

  • Semburan pada tanah, pokok dan kawasan persekitaran.
  • Tambah EM dalam makanan dan minuman ternakan.
  • Sembur pada najis, lantai dan bangunan ternakan.
  • Masukkan EM dalam kolam ternakan.

Kandungan EM Tulen

  • N – 0.5%
  • P – 0.3%
  • K – 2.2%
  • Ca – 2.0%
  • Mg – 0.4%
  • Fe – 0.03%
  • Cu – 0.5%
  • B – 0.2%

Cara Aktifkan EM untuk Pertanian

Induk (EM Tulen) perlu diaktifkan terlebih dahulu dengan cara mencairkannya dengan kaedah pemberian cecair dan makanan kepada EM Tulen tersebut pada kadar 5%.
Bahan:
  • EM Tulen = 5ml
  • Molasses (Gula Merah) = 5ml
  • Air (Bebas Klorin) = 1 liter
Cara penyediaan:
  1. Campurkan bahan-bahan di atas di dalam satu bekas.
  2. Kacau sehingga sebati
  3. Perapkan selama 3 hingga 5 hari
  4. Apabila kulat putih telah terbentuk di bahagian atas permukaan campuran, ini menunjukkan EM tersebut telah aktif dan sedia digunakan.
Cara guna:
Siram EM aktif ke atas tanah atau lakukan semburan pada keseluruhan bahagian tanaman seperti daun, batang, bunga, buah termasuk juga di dalam polibag dan kawasan persekitaran kebun.
Kadar kekerapan semburan boleh dibuat seminggu sekali. Seeloknya disembur di awal pagi atau lewat petang. Elakkan menyembur di waktu tengah hari atau ketika pancaran matahari terik. Ini agar mikrob EM tidak mati.

Penggunaan EM dalam Penanaman Cendawan

Penggunaan EM dalam penanaman cendawan boleh mengurangkan kerosakan pada bongkah (PP) cendawan setelah melalui proses pemeraman. ‘Bacteria baik’ atau EM ini juga dapat meningkatkan tumbesaran cendawan dan menambah pusingan pengeluran 6-7 kali. Bongkah cendawan yang sudah lama dan tidak lagi hasilkan cendawan boleh ditukar kepada baja kompos yang berkualiti tinggi.
Kesan EM pada cendawan:
  • Meningkatkan pengeluaran hasil 10% ke 15%,
  • Kerosakan cendawan berkurangan sehingga 20%
  • Rasa cendawan lebih kenyal dan sedap
  • Kurang serangan serangga perosak
  • Cendawan dapat disimpan 6 hingga 7 hari

Perbezaan EM dan IMO / MOL

Mesti akan ada yang bertanya apakah beza antara EM dan IMO? Untuk leraikan kekusutan ini eloklah saya beri penerangan bagi setiap singkatan.
  • EM = effective microorganism
  • IMO = indigenous microorganisms = MOL = mikroorganisma lokal.
Istilah MOL ini digunapakai oleh negara jiran kita iaitu Indonesia sebagai terjemahan kepada IMO. Jadi jika kita bercakap pasal MOL maksudnya sama dengan IMO.
Istilah MOL mewakili sekumpulan mikrob baik yang berasal di kawasan ia diambil. Ini berbeza dengan EM yang dikultur di dalam makmal dengan tujuan membantu peningkatan ekosistem tanah. EM adalah trademark syarikat EMRO Jepun.
Perbezaan utama antara dua bahan ini adalah MOL diambil dari persekitaran semula jadi manakala EM dibuat oleh manusia. Walaupun begitu, kedua-duanya hampir sama kegunaan dalam pertanian. Dalam artikel lain ada saya beri penerangan lanjut berkaitan MOL.
EM boleh dibeli atau anda boleh belajar cara membuat EM sendiri.
1 Response
  1. IndukYati Says:

    Terbaik laa tuan,dpt info sebegini..