Apakah itu EM?
Effective microorganisms atau EM ialah campuran
mikroorganisma anaerobik yang mempunyai kesan baik terhadap proses
pembentukan produk pertanian. Contohnya, bakteria asid laktik
yang menggalakkan proses penapaian bahan tanaman seperti rumput untuk
dijadikan silaj. Selain itu, mikroorganisma Bokashi yang terhasil
daripada pemeraman sisa buah-buahan dan sayur-sayuran pula boleh
dijadikan baja cecair.
Mikroorganisma ini terdapat secara semula jadi dalam persekitaran.
Bahan makanan boleh digunakan untuk membiakkan mikroorganisma tersebut
untuk dijadikan campuran mikroorganisma bermanfaat.
Bakteria baik hasil kultur campuran dari mikroorganisma hidup ini
membantu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen (mudah cakap –
bakteria jahat) yang ada dalam ekosistem tanah.
Penghasilan EM
EM adalah campuran bakteria semula jadi yang dihasilkan daripada
proses penapaian semulajadi yang terkawal. Tiada pengubahsuaian dari
segi genetik ataupun kimia. EM selamat digunakan dan diakui 100% organik
oleh OMRI dan sekarang ianya digunakan di lebih 120 buah negara.
EM terdiri daripada bakteria fotorop, bakteria laktik asid (boleh
ditemui dalam bahan tenusu), yis (yang terdapat dalam roti), aktinomiset
dan kulat penapaian. Mikroorganisma ini secara fisiologi sesuai antara
satu sama lain dan hidup bersama dalam kultur cecair. Terdapat kajian
menunjukkan bahawa inokulasi EM pada tanah mampu menaikkan kualiti
tanah, kesuburan pokok dan hasil.
Bagaimana mikroorganisma dalam EM bertindak?
Secara ringkasnya, terdapat tiga kumpulan mikroorganisma dalam cecair EM iaitu
bakteria fotosintetik (
Rhodopseudomonas spp.),
bakteria asid laktik (
Lactobacillus spp.), dan
yis (
Saccharomyces spp.).
EM
terdiri daripada tiga kumpulan utama mikrob baik iaitu bakteria
fotosintetik, bakteria asid laktik dan yis. Masing-masing bekerjasama
membentuk baja yang bagus.
Bakteria fotosintetik (PSB)
Bakteria fotosintetik (photosyntetic bacteria, PSB) adalah
mikroorganisma yang boleh hidup sendiri. Mereka menyerap tenaga daripada
matahari dan haba tanah sebagai sumber tenaga menukarkan cecair dari
sistem akar, bahan organik tanah dan gas seperti amonia kepada bahan
binaan sel. Bahan binaan sel ini boleh jadi asid amino, asid nukleik dan
gula. Bahan-bahan ini seterusnya boleh diserap terus ke dalam tumbuhan
bagi membantu tumbesaran tumbuhan. Manakala pada sistem tanah, hal ini
membantu perkembangan mikroorganisma bermanfaat.
Rhodopsuedomonas palustris—kumpulan bermanafaat dalam memecahkan
molekul dan mencerna sebatian toksik. Campuran mikrob yang unik ini
menghasilkan antioksidan yang antaranya inositol, ubiquinon, saponin,
polisakarida (low molecular polysaccharides), polyphenol, dan
mineral-mineral lain. Antioksidan ini membantu sistem pertahanan
semulajadi yang boleh menghalang pertumbuhan bakteria-bakteria yang tak
bermanfaat. Hal ini menjadikan bakteria fototrop sebagai kunci utama
dalam larutan EM.
Secara ringkasnya PSB berfungsi menghasilkan asid amino, asid nuklik,
bahan bioaktif dan gula yang akan menggalakkan pertumbuhan tanaman.
Bakteria Asid Laktik (LAB)
Bakteria asid laktik (lactic acid bacteria, LAB) diketahui dalam
menghasilkan asid laktik daripada gula dan karbohidrat hasil sampingan
bakteria fotosintetik dan yis. Asid laktik mempunyai kesan steril (bebas
kuman) dan kehadirannya mengganggu perkembangan nematod dalam tanah.
Bakteria asid laktik juga terlibat dalam penguraian selulosa dan lignin
dalam bahan organik tanah.
Berfungsi sebagai pelindung dengan membantutkan perkembangan mikrob
dan serangga berbahaya seperti Fusanium dan Nematod. Juga berfungsi
sebagai bahan penggalak pengkomposan bahan-bahan organik.
Yis atau Ragi
Yis menghasilkan hormon dan enzim yang dapat membantu pembahagian sel
tumbuhan dan akar. Mereka menggunakan asid amino dan gula hasil
sampingan daripada bakteria fotosintetik dan akar tumbuhan. Seterusnya
membantu pertumbuhan bakteria asid laktik.
Berfungsi sebagai pengeluar hormon dan enzim yang bertindak sebagai
bahan bioaktif untuk meningkatkan keaktifan sel tanaman dan akar.
Dapat kita simpulkan tiga genera mikrob tersebut (PSB, LAB, yis)
bekerjasama secara semulajadi dan menghasilkan sebatian bermanafaat
seperti vitamin, hormon, enzim, asid organik, mineral, bioaktif dan
pelbagai lagi antioksidan apabila ia bertemu bahan-bahan organik.
Sejarah Penemuan EM
EM di temui oleh Dr. Teruo Higa iaitu seorang hortikultur biologist
Ia mula dipasarkan di Jepun pada tahun 1982 untuk pertanian organik.
Kini EM dihasilkan di 54 buah negara dan digunakan secara meluas dalam
pelbagai bidang.
EM adalah trademark oleh sebuah syarikat di Jepun. Di Malaysia,
syarikat EMRO Malaysia Sdn Bhd.
Sifat EM
Sifat EM secara amnya ialah cecair berwarna kuning coklat, berbau
enak dan berasa masam. Ianya sangat sesuai digunakan dalam bidang
pertanian dan penternakan untuk meningkatkan mutu dan hasil pengeluaran.
Kesesuaian Penggunaan EM
Ianya amat sesuai digunakan pada projek pertanian dan fertigasi,
ternakan ikan darat, ternakan haiwan, tempat pelupusan sampah, saluran
tandas yang berbau dan sebagainya. Bayangkan betapa banyaknya kegunaan
EM ini.
Kebaikan dan Kelebihan EM Dalam Pertanian
Teknologi EM dalam pertanian adalah seperti berikut:
- EM menggalakkan pertunasan, pembesaran, penghasilan dan keranuman dalam produk tanaman.
- Menggalakkan pembungaan dan pembuahan
- Menggalakkan tumbesaran, hasil dan kualiti tanaman.
- Meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman.
- Menukar bahan organik kepada baja dengan cepat.
- Menambah daya tahan tumbuhan terhadap serangga dan penyakit.
- Memulih dan menambah baik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah.
- Konsep inokulasi membentuk persekitaran yang sesuai dan selesa untuk tanaman
- Kesan sinergi daripada organisma yang hadir
Kebaikan EM dalam Penternakan
- Mengurangkan bau busuk dalam kandang dan kolam.
- Mengurangkan lalat, kutu dan serangga berbahaya.
- Meningkatkan kesihatan dan daya tahan ternakan.
- Meningkatkan kualiti produk dan kesegaran.
- Menjadi bahan makanan tambahan kepada ternakan dan mengurangkan bau busuk dari bahan buangannya.
- Mengurangkan kos ubatan dan rawatan ternakan.
Kebaikan EM Untuk Ikan, Akuarium, Tasik, Kolam dan Air Pancuran
Kolam buatan, tasik dan air pancuran memang banyak dibina di
taman-taman reakrasi sebagai daya penarik selain untuk menenangkan minda
ianya juga dapat menaikkan nilai perniagaan. Kolam ini bagaimanapun
akan membina ekosistemnya sendiri dan ianya dengan mudah keluar dari
kstabilannya(balance). Jika air terbiar statik dalam jangkamasa yang
lama, jentik-jentik akan mulai mendominasi, alga mula wujud dalam air
dan bau yang tak menyenangkan akan terhasil seterusnya mulai busuk.
Menambah pengudaraan(water circulate) boleh mengurangkan masalah ini
namun ianya bergantung pada kualiti air tersebut, kalsium dan alga tetap
terbentuk.
Penggunaan EM aktif secara berkala akan memperbanyakkan mikrob
bermanfaat. Hal ini seterusnya dapat mengawal perkembangan alga dengan
mengurangkan kehadiran nutrien dan sentiasa mengawalnya pada paras yang
rendah. EM aktif juga berkebolehan meneutralkan air iaitu bertindak
sebagai klorinator semulajadi dan menghalang pembentukan lapisan kristal
di atas permukaan air.
Kadar dos adalah 1:1000, iaitu satu bahagian EM (probac) bagi setiap
1000 bahagian air. Dos ini disarankan diberikan bagi setiap minggu.
Penggunaan Mudball juga disarankan. Biarkan beberapa hari atau minggu
untuk EM (probac) bekerja untuk anda. Jika tinggi bahan organik
(sludge), kemungkinan akan terhasil suatu lapisan di permukaan dan ianya
akan beransur-ansur hilang. Proses bioremediation semulajadi ini sedang
berjalan dan biarkanlah EM bekerja.
Sukatan EM
Cara Pengunaan EM
- Semburan pada tanah, pokok dan kawasan persekitaran.
- Tambah EM dalam makanan dan minuman ternakan.
- Sembur pada najis, lantai dan bangunan ternakan.
- Masukkan EM dalam kolam ternakan.
Kandungan EM Tulen
- N – 0.5%
- P – 0.3%
- K – 2.2%
- Ca – 2.0%
- Mg – 0.4%
- Fe – 0.03%
- Cu – 0.5%
- B – 0.2%
Cara Aktifkan EM untuk Pertanian
Induk (EM Tulen) perlu diaktifkan terlebih dahulu dengan cara
mencairkannya dengan kaedah pemberian cecair dan makanan kepada EM Tulen
tersebut pada kadar 5%.
Bahan:
- EM Tulen = 5ml
- Molasses (Gula Merah) = 5ml
- Air (Bebas Klorin) = 1 liter
Cara penyediaan:
- Campurkan bahan-bahan di atas di dalam satu bekas.
- Kacau sehingga sebati
- Perapkan selama 3 hingga 5 hari
- Apabila kulat putih telah terbentuk di bahagian atas permukaan
campuran, ini menunjukkan EM tersebut telah aktif dan sedia digunakan.
Cara guna:
Siram EM aktif ke atas tanah atau lakukan semburan pada keseluruhan
bahagian tanaman seperti daun, batang, bunga, buah termasuk juga di
dalam polibag dan kawasan persekitaran kebun.
Kadar kekerapan semburan boleh dibuat seminggu sekali. Seeloknya
disembur di awal pagi atau lewat petang. Elakkan menyembur di waktu
tengah hari atau ketika pancaran matahari terik. Ini agar mikrob EM
tidak mati.
Penggunaan EM dalam Penanaman Cendawan
Penggunaan EM dalam penanaman cendawan boleh mengurangkan kerosakan
pada bongkah (PP) cendawan setelah melalui proses pemeraman. ‘Bacteria
baik’ atau EM ini juga dapat meningkatkan tumbesaran cendawan dan
menambah pusingan pengeluran 6-7 kali. Bongkah cendawan yang sudah lama
dan tidak lagi hasilkan cendawan boleh ditukar kepada baja kompos yang
berkualiti tinggi.
Kesan EM pada cendawan:
- Meningkatkan pengeluaran hasil 10% ke 15%,
- Kerosakan cendawan berkurangan sehingga 20%
- Rasa cendawan lebih kenyal dan sedap
- Kurang serangan serangga perosak
- Cendawan dapat disimpan 6 hingga 7 hari
Perbezaan EM dan IMO / MOL
Mesti akan ada yang bertanya apakah beza antara EM dan IMO? Untuk
leraikan kekusutan ini eloklah saya beri penerangan bagi setiap
singkatan.
- EM = effective microorganism
- IMO = indigenous microorganisms = MOL = mikroorganisma lokal.
Istilah MOL ini digunapakai oleh negara jiran kita iaitu Indonesia
sebagai terjemahan kepada IMO. Jadi jika kita bercakap pasal MOL
maksudnya sama dengan IMO.
Istilah MOL mewakili sekumpulan mikrob baik yang berasal di kawasan
ia diambil. Ini berbeza dengan EM yang dikultur di dalam makmal dengan
tujuan membantu peningkatan ekosistem tanah. EM adalah trademark
syarikat EMRO Jepun.
Perbezaan utama antara dua bahan ini adalah MOL diambil dari
persekitaran semula jadi manakala EM dibuat oleh manusia. Walaupun
begitu, kedua-duanya hampir sama kegunaan dalam pertanian. Dalam artikel
lain ada saya beri penerangan lanjut berkaitan MOL.
EM boleh dibeli atau anda boleh
belajar cara membuat EM sendiri.