Elias Hj Idris
Ilmu tasauf bukan jenis ilmu ikutan lahir seperti ilmu syariat atau ilmu teori yang dipelajari sekadar untuk faham sahaja. Jika ilmu sains dan teknologi itu merupakan satu ilmu tajribah dan eksperimen maka ilmu tasauf adalah sejenis ilmu dalam erti yang sama - mesti dipraktik dan dicuba sendiri. Kemudian hasil yang diperolehi daripada pengalaman tersebut atau natijahnya hendaklah didedah dan diceritakan kepada guru untuk ditinjau dan ditarbiahkan (dididikkan) seterusnya sehingga beroleh kejayaan yang cemerlang.

Proses tarbiah nafsu dari ammarah ke lawwamah dan seterusnya atau perkembangan kesucian nafsu dari peringkat rendah ke peringkat tinggi bukanlah suatu perkara mudah. Hanya melalui keazaman yang kuat dan tenaga yang berani untuk berjuang melawan godaan nafsu syaitan dan dengan bersungguh-sungguh kuat beribadat di bawah pimpinan guru mursyid sahajalah baru sesuatu jalan itu terbuka bagi mencapai ke maqam wali.
zikir....

Perlu diingat bahawa sifat-sifat kerohanian dan budi kesusilaan sufiah yang terpuji tidak akan berhasil kecuali apabila tercapai peringkat kesucian maqam. Kesucian maqam itu mustahil tercapai jika tidak dengan berjihad dan beribadat dengan bersungguh hati.

Sebagai tanda mula-mula sekali yang menunjukkan adanya harapan bagi mencapai kejayaan berkenaan ialah dengan berolehnya 'nur' atau 'warid' ketika bermujahadah, bersuluk dan beribadat wirid zikir yang ditalqinkan (diterima) daripada guru.

Apabila seseorang itu didatangi oleh 'nur' maka kekarutan hati yang kotor dengan sifat-sifat yang dicela itu akan terkikis secara automatik - dihapuskan oleh 'nur' dan 'warid' itu. Manakala hatinya sedang di dalam keadaan yang suci itu maka menunggu ia akan kedatangan 'zauk hakikat' (syuhud) yang menjadi pokok pangkal wali seseorang itu.

Berhubung dengan 'nur' berkenaan, maka ia tidak akan berhasil tanpa amalan wirid yang ada persambungan wayar dengan tariqat sufiah yang disahkan oleh guru mursyid yang arif dan kuat bermujahadah dalam melawan godaan nafsu syaitan.


'Nur' atau 'warid' itu dari Allah swt

Setelah menjalani amalan wirid tariqat yang diajarkan (ditalqin) serta juga latihan-latihan jihad nafsu yang diatur oleh guru maka menunggulah sang murid akan kedatangan habuan nasibnya (nur - warid), iaitu suatu perkara 'kedatangan' atau 'kedapatan' dalam perasaan hati yang akan dicampak oleh Allah swt kepada murid yang mengekali amalan wirid tariqat guru berkenaan.

Tibanya suatu perkara 'kedatangan' dalam perasaan hati itu dinamakan 'warid' atau 'waridah' ataupun dinamakan juga 'nur' atau 'hal' ataupun 'sirr' dan yang lain-lain sebagaimana yang diistilahkan oleh tasauf.

Kedatangan 'nur atau 'warid' ke dalam hati seseorang murid itu ada bermacam-macam gaya dan cara. Kadang-kadang ia cepat, ada yang lambat; memakan masa berbulan-bulan, bertahun, belasan dan puluhan tahun. Ia mengikut habuan masing-masing.

Demikian pula dengan kedatangan 'nur' ke dalam hati murid itu bukan tetap atau boleh tinggal lama. Bahkan bagi seseorang yang baru menjalani seloka, 'nur' itu boleh secara tiba-tiba sahaja hadirnya; tiba-tiba hilang, kemudian datang kembali; kengkadang tinggal selama seminggu, kemudian ia pergi dan hilang - lalu datang kembali. Demikian tabiat dan halnya yang bermacam-macam fesyen. Inipun bergantung selama mana murid itu berlum sampai kepada martabat 'al-maqam' atau 'al-istiqomah' (tetap dan kejap).

Imam Al-Ghazali

Apakah 'nur' itu dan tanda-tandanya?

'Nur' ialah suatu soal rasa yang dicampakkan oleh Allah swt ke dalam hati dengan sebab bersih hatinya itu. Bersih itu berkekalan atas amal wirid yang ada hubungan wayar dengan tariqat guru. Wirid pula ialah amalan-amalan yang mengandungi zikir, selawat dan istighfar yang mesti diijazahkan dan ditalqin (diajar) oleh guru kepada murid sebagai tugas wajib harian atau malaman untuk diamalkan dalam tempoh tertentu.

Mana-mana amalan wirid yang tidak diterima ijazah atau talqin guru, umpama zikir atau amalan-amalan biasa yang dibuat kerana menuntut pahala akhirat, maka ia tiada mendapat tempat untuk mendapatkan 'nur' atau 'warid'. Apa yang diperoleh cuma pahala akhirat kerana 'nur' itu mempunyai hubungan usul-silsilah dari Nabi saw. Kemudian ia diambil oleh para sahabat, ia diambil oleh tabi'in, kemudian oleh tabi'in at-tabi'in, seterusnya hingga ke akhir dunia ini.

Berapa banyak ulama fuqaha yang kuat beribadat, tetapi malangnya di hati mereka itu kosong daripada kesan-kesan 'nur' atau 'warid' yang dibicarakan itu, iaitu warid' seperti datangnya sifat taqwa, khauf, zahid dan tawakkal dengan sebenar-benarnya. Kenapa?

Jawabnya, kerana ibadat mereka tidak ada persambungan wayar yang langsung kepada tariqat sufiah yang mendatangkan 'nur' dan 'warid'. Hendaklah kita faham bahawa ibadat fuqaha itu hanya bertujuan menuntut pahala akhirat jua - bukan ibadat sebagai alat pembersih hati. Sedangkan ibadat tariqat sufiah adalah alat pembersih hati (bukan kerana menuntut pahala akhirat). Jadi, zikirnya sama ketika mereka berzikir bahkan terdapat satu macam nada sebutan, tetapi zikir tariqat ke lain tujuannya, dan zikir fuqaha lain pula matlamatnya - bahkan ia tidak ada langsung persambungan wayar dengan tariqat sufiah.

Satu perkara yang harus difahami, bahawa apa yang dimaksudkan dengan tariqat itu ialah perubahan hati atau proses perkembangan kesucian hati dalam usaha menjalani latihan mujahadah dan ibadat zikir jua. Bukan sebagaimana tariqat yang biasa difahami seperti mengadakan satu bentuk istiadat menari-nari, menggeleng-gelengkan kepala dan menghayun-hayunkan punggung sewaktu menjalani ibadat zikir berkenaan. Ia adalah satu rekaan baru yang dibawa masuk ke dalam zikir tariqat!

Oleh yang demikian maka terkenallah istiadat-istiadat seumpama itu sebagai tariqat - pada hal makna tariqat yang sebenar adalah 'perjalanan hati', misalnya sewaktu dahulu dia bersifat bakhil, tetapi kemudian ini setelah masuk ke dalam tariqat sifatnya telah berubah menjadi begitu pemurah.

Apabila Allah swt mencampakkan 'nur' ke dalam hati seseorang murid, maka dirasainyalah keadaan diri yang luar biasa dari masa sebelumnya; hatinya serasa lapang, otak fikiran yang asyik memikirkan perkara-perkara bersih (otaknya cerah), sihat jiwanya, berseri cahaya di mukanya melambangkan hati yang murni, lazat dan seronok berzikir kepada Allah. Dia berasakan dirinya sebagai orang yang paling beruntung dan bertuah dalam kehidupannya. Dia berasakan bahawa barang kedapatan hatinya itu tidak mungkin dapat dijual biar dengan tawaran emas sebesar dunia ini sekalipun.

Apabila 'nur' itu masuk ke dalam hati maka segala-gala sifat hati yang buruk seperti tamak, hasad-dengki, khianat dan sebagainya akan terkikis sendiri. Ia segera diganti dengan sifat-sifat budi yang baik seperti 'iffah, tawakkal, sabar dsb.

... melahirkan hamba dengan segala sifat terpuji

'Nur' atau 'warid' yang dirasa dengan perasaan gembira itu dinamakan 'al-bast' ditajallikan Allah kepada hamba-Nya dengan sifat 'jamil'. Sebaliknya, jika terdapat perasaan sedih atau kecut hati maka ia dinamakan warid 'al-kabadh' ditajallikan Allah kepada hamba-Nya dengan sifat 'jalal'.

Di sana ada bermacam-macam 'nur' atau 'warid' sebagai minuman bagi orang-orang yang bersih hati (sufi). Jika dikumpulkan warid itu secara kasar maka terdapat 99 jenis sebagaimana 99 'asma-ul-husna Allah malah ada masanya tidak terhingga pula banyaknya.

Segala macam 'warid' yang Allah swt campakkan rasanya ke dalam hati hamba yang wali (yang dikehendaki-Nya) seakan-akan rasa pada pelbagai jenis buah-buahan yang ada bermacam-macam rasanya itu - dengan keistimewaan yang tersendiri.
0 Responses