Elias Hj Idris
Pada dasarnya, dalam pandangan ilmu tasauf tiada beza apa-apa di antara syariat dan hakikat atau di antara zahir dan batin. Kalau ada pun ia cuma dalam lafaznya yang berlainan - namun ia menyempurnakan yang lain. Ini dapat dilihat daripada kata-kata ini; "Syariat itu pohon dan hakikat itu buahnya." Pohon dan buah jelas tidak dapat dipisahkan. Tidak ada orang yang akan menanam sebatang pohon kerana mengharapkan pohonnya itu sahaja. Ia mesti bertujuan untuk mendapatkan buahnya. Dan buahnya itu (tasauf) tidak akan keluar sebelum ada syariat.

Seorang pengarang sufi yang terkenal, Tasy Zadah dalam kitabnya 'Miftahus Sa'adah' telah menghuraikan hal berkenaan. "Ketahuilah bahawa semuanya muafakat bahawa kebahagiaan abadi dan kemuliaan yang abadi tidak akan sempurna tanpa ilmu dan amal. Kedua-duanya kembar dan tujuannya ada dua;

Pertama: yang sudah pun termasyhur iaitu apabila kedua-duanya dipisahkan maka masing-masing jadi sudah tidak berharga. Ilmu tanpa amal menjadi wabal (siksaan) bagi yang punya ilmu dan amal tanpa ilmu menjadi sesat seperti firman Allah dalam al-Quran, surah Fatir:10; "Kepadanya naik kata-kata yang baik dan amal yang soleh menaikkannya lagi." Dengan demikian kalimah-kalimah yang baik itu adalah ilmu dan apabila ilmu itu diamalkan maka orangnya akan semakin naik lagi (bertambah bijak!).

Kedua: Masing-masing menjadi buah bagi yang lainnya. Misalnya, apabila seseorang itu mahir mengusahakan ilmu dan telah begitu ahli dalam bidangnya maka pastilah dia telah melakukan amalnya (praktis) kerana jika tidak diamalkan maka ilmunya itu tidak akan jadi sempurna. Satu contoh lain, seseorang itu melakukan suatu amal dengan segala kesungguhan dan dia melatih dirinya mengerjakannya menurut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Maka hasilnya nanti maka bercucuranlah segala ilmu nasri sebagai hasil daripada amalnya itu - bertepatan dengan kata Allah dalam Surah Al-Ankabut: 69; "Ada pun orang yang bersungguh-sungguh pada Kami, maka Kami akan tunjuki mereka itu kepada jalan-jalan Kami."

Kedua jalan di atas itu - pertama jalan mencari dalil sementara yang kedua jalan musyahadah. Jalan pertama itu adalah darjat ulama yang rasikhin - mendalam ilmunya dan darjat orang siddiqin. Kedua-dua darjat itu bisa sampai kepada darjat temannya itu, di mana ia bertemu di hulunya.

Orang yang menempuh jalan menuju kebenaran melihat banyak sekali jalan yang bakal ditempuhnya. Demikian dengan jalan keluarnya - pun banyak juga. Kalau disimpulkan ia terbahagi kepada dua; Pertama memulai berjalan menempuh jalan ilmu untuk menuju jalan pengetahuan, dari jalan musyahadah menuju kepada yang ghaib.

Kedua, orang yang ternyata kepadanya yang hak dengan tarikan ketuhanan. Jadi ilmunya dimulai dengan yang ghaib, kemudian terbuka kepadanya alam yang lahir ini. Kata sesetengah orang arifin di kalangan sufi, jalan yang pertama itu mirip dengan jalan yang telah pernah ditempuh oleh Ibrahim al-Khalil. Dia mula mencari dalil adanya Tuhan dengan terbenamnya matahari, bulan, dan akhirnya dia mengetahui adanya Tuhan Rabbul Alamin.

Kedua, jalan Al-habib - orang yang mengasihi sesuatu, iaitu dimulai dengan senang dan cinta akan yang dicintainya itu, terbuka baginya kesucian wajah Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar. Ia terbakar dalam cintanya itu sehingga pupus dan lenyap yang lain-lainnya, tidak ada kecintaan lain pada dirinya maka dia pun tenggelamlah dalam mencintai Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Besar.

Inilah yang disebut dalam Surah Al-Qasas: 88: "Setiap sesuatu itu akan binasa melainkan wajah-Nya." Oleh yang demikian, kedua-dua martabat itu akan bertemu pada tujuannya.

Kemudian, ahli-ahli nazar mengatakan yang utama ditempuh iaitu jalan nazar kerana jalan tasauf itu sukar sekali untuk sampai ke sana. Ia berat dan untuk sampai kepada tujuan rasanya jauh sekali. Sebab kesukaran menghapuskan sekelian hubungan kita secara manusia. Kemungkinan besarnya, maksud itu tidak akan tercapai disebabkan was-was yang paling kecil dan khuatir hati yang paling sedikit.

Apatah pula selama melakukan musyahadah (perjuangan melawan nafsu malas, lemah dsb) itu berkemungkinan terjadi hal-hal yang merosakkan tabiat manusia atau mengacau fikiran manusia - dengan ditambah latihan yang berat-berat. Ini adalah alasan yang sering ditimbulkan oleh orang-orang yang menempuh jalan syariat sahaja.

Pokoknya... penyerahan diri sepenuhnya dan, keikhlasan

Pada orang-orang sufi ilmu yang terhasil dengan jalan nazar pada umumnya tidak menjadi bersih daripada bercampur dengan waham dan ia tidak bebas untuk dicampuri oleh khayalan. Maka dengan sebab itu selalu orang kiaskan yang ghaib atas yang hadir - mereka sesat lagi menyesatkan seperti apa yang berlaku terhadap kebanyakan mereka yang bermazhab Mu'tazilah dan pengikut i'tiqad batal yang lain. Lantaran mereka daripada pelbagai munazarah dan bahasanya tidak akan terlepas daripada mengikuti hawa, nafsu dan adat kebiasaan.

Ia berlainan pula dengan tasauf yang tujuannya ialah pembersihan rohani, mengilapkan jiwa, mensucikan hati daripada sekelian nafsu, membersihkan hati daripada segala syak waham dan khayalan. Sedangkan tujuan tasauf cuma menanti limpahan-limpahan ilmu Ilahi yang hakiki, yang akan masuk ke dalam rohaniahnya.

Apabila ini semua datang, maka terbukalah kepada orang itu ilmu-ilmu Ketuhanan dan pelbagai ma'rifat Rabbani serta pelbagai ilham yang datang melimpah. Ada alasan yang mengatakan bahawa jalan yang ditempuh oleh orang sufi itu sukar, jauh sekali jaraknya tidaklah menjadi halangan bagi orang yang kuat keyakinan dan benar pengetahuannya. Dan perlu diingat, segala yang sukar akan menjadi mudah dengan izin Allah dan yang jauh itu akan menjadi dekat dengan limpahan rahmat Allah.

Ini dapat dilihat dengan perjalanan dan perjuangan para Nabi yang sangat berat, besar, jauh dan sukar yang mana tidak mungkin bagi orang biasa dapat melakukannya. Namun mereka bisa melakukannya dengan baik dan tenang sehingga tercapai cita-cita mereka sekelian. Jadi, para pengikut para Nabi dan Rasul juga akan mendapat limpahan dan kekuatan daripada Allah. Ulama-ulama besar Islam, menurut salah satu riwayat sama dengan Nabi-nabi Bani Israil.

Ada suara sumbang yang mengatakan selama berada dalam latihan itu akan berlaku perubahan sifat dan kelakuan mereka yang bermujahadah, namun ia dapat diubati dan dipulihkan umpama doktor penyakit jiwa yang mampu menyembuhkan jiwa yang sakit dan roh yang terganggu. Demikian halnya dengan gangguan pada tubuh manusia. Apatah pula dalam menjalani mujahadah itu syarat-syarat telah ditetapkan dalam menjalani latihan berkenaan. Ia terdiri daripada adab-adab dan hal-ehwal yang memberikan ketenangan kepada jiwa daripada segala yang merosakkan; dari gangguan takut, terkejut, malas dan sebagainya.
5 Responses
  1. H.Sakinah Says:

    Salam Pakcik Elias,

    Menarik tulisan ni. Syariat = Hakikat. Kemudian, Pakcik tulis tang ilmu & amal. Dan seterusnya jalan-jalan menuju kebenaran. Kalau boleh, nak minta pakcik terangkan jalan Nazar(lebih mudah daripada jln Tasuf?)


  2. Wlkm-slm.
    Jalan nazar tu jalan biasa org2 yg beramal dgn syariat; secara zahir (takde batin). Klu wirid tu just wirid, tanpa penghayatan atau menelusuri hakikat di sebalik wirid yg dilakukan. Contoh mudah, cara org tabligh.


  3. H.Sakinah Says:

    terime kaseh...baru faham


  4. Anonymous Says:

    adakah zat Allah boleh dikenal?


  5. Unknown Says:

    Assalamualaikum boleh saya minta izin untuk share.