WSJ tidak takut amaran Najib....Mereka mempunyai bukti kukuh berbillion di pindah ke akaun Najib
Walaupun
dinafikan perdana menteri, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) tampil
mempertahankan laporannya semalam yang mendakwa berbilion ringgit
dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, dengan berkata ia
bersandarkan maklumat siasatan dan dokumen kukuh.
Bercakap kepada
CNBC, Ken Brown, ketua biro WSJ di Hong Kong, berkata pihaknya sangat
cermat sebelum menerbitkan laporan itu memandangkan ia melibatkan
seorang ketua kerajaan.
"Kami amat
berhati-hati dan kami percaya dokumen yang ada pada kami adalah kukuh
dan bersumberkan siasatan yang boleh dipercayai, bukan siasatan berniat
politik."Ia merupakan laporan penting dan kami serius mengenainya.
"Bila-bila ada
ketua sesebuah negara... atau ada bukti menunjukkan wang dimasukkan ke
akaun, akaun peribadi, dan berkait urusan kerajaan, ia menjadi penuh
drama," Brown memberitahu CNBC.
Tambahnya, dokumen yang ada padanya sudah dilihat Peguam Negara dan juga perdana menteri sendiri.
Ditanya
mengenai respons Pejabat Perdana Menteri (PMO), Brown berkata ia cuma
menjawab perdana menteri tidak menggunakan sebarang dana bagi tujuan
peribadi.
"Dan mereka menuduh musuh politik mereka yang mencipta cerita ini bagi menyerangnya.
"Begitu juga
kenyataan mereka terhadap laporan kami mengenai 1MDB sebelum ini,
mengenai cara dana syarikat itu digunakan oleh perdana menteri dalam
kempen pilihan raya yang lepas, jadi reaksinya sama," kata Brown.
Ditanya sama
ada beliau tahu sumber dana tersebut, Brown berkata pihaknya "tahu apa
yang mereka tahu", sambil menambah sebahagian dana berasal daripada
sebuah unit Kementerian Kewangan, manakala sebahagian lagi menerusi
sebuah bank swasta yang ada kaitan dengan Abu Dhabi, yang menurut Brown
mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia dan menyokong bon 1MDB.
"Ke mana
perginya wang itu, kami tidak tahu. Aliran yang ada pada kami berakhir
di akaun bank yang padanya ada nama perdana menteri."
Semalam, PMO
menyifatkan pendedahan WSJ itu sebagai sabotaj politik dan usaha
segelintir individu mahu menghancurkan keyakinan terhadap ekonomi
Malaysia, memburuk-burukkan kerajaan dan menjatuhkan seorang perdana
menteri yang dipilih secara demokratik.
Dalam laporan
mereka semalam, WSJ dan laman Sarawak Report memetik dokumen siasatan
1MDB yang dijalankan kerajaan Malaysia, dengan Sarawak Report mendakwa
Peguam Negara sedar mengenai maklumat itu.
Dokumen
berkenaan menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi
kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB sebelum akhirnya masuk ke akaun
peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.
Ia juga
menunjukkan transaksi terbesar bernilai AS$620 juta, manakala sebuah
lagi akaun menerima AS$61 juta pada Mac 2013, 2 bulan sebelum pilihan
raya umum dijalankan.