Elias Hj Idris
Perbincangan mengenai kejadian Nabi Adam perlu juga dikaitkan dengan kejadian Siti Hawa. Sebahagian ulama berpendapat Siti Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam a.s berdasarkan sabda Nabi saw yang bermaksud;

“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian atas.” –   riwayat Bukhari dan Muslim.

Antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini adalah sahabat Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas'ud, Imam Mujahid, Ibn al-Munzir, Ibn Humaid dan ramai lagi. Namun apabila al-Quran dirujuk berhubung perkara ini, kita tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini.

Sebagai contoh, berhubung dengan kejadian Siti Hawa, dalam surah an-Nisak ayat 1, Allah menjelaskan;

“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu daripada satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”


Hawa diciptakan daripada rusuk Adam a.s

Dalam ayat ini dan yang seumpamanya kejadian Siti Hawa tidak langsung dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi Adam a.s.

Berhubung dengan isu ini, Hamka berkata, “Ahli-ahli ijtihad tidak membantah hadis yang sahih ini (iaitu hadis yang mengatakan wanita tercipta daripada tulang rusuk lelaki), namun ia tidak boleh dijadikan alas alasan yang tepat bagi mengatakan Siti Hawa terjadi daripada tulang rusuk di sebelah bawah dan kiri Nabi Adam a.s. Jelas sekali kaum wanita kesemuanya bukan terjadi daripada tulang rusuk apatah lagi tulang rusuk suaminya. Apa yang menjadi pertikaian adalah mengenai Siti Hawa (sama ada beliau terdiri daripada tulang rusuk Nabi Adam a.s ataupun tidak). Oleh kerana Islam adalah satu-satunya agama yang memberi kebebasan berijtihad kepada mereka yang ahli (atau mampu), maka tidak ada salah sekiranya terdapat perbezaan pendapat (dalam hal ini). Justeru, tidak dihukum keluar daripada Islam sekiranya seseorang itu berkeyakinan, berdasarkan penyelidikannya bahawa Siti Hawa tidak terjadi daripada tulang rusuk Adam a.s. Tidak ada salahnya sekiranya umat Islam turut memberikan perhatian bagi menyelidiki teori-teori yang berkaitan (dengan persoalan) berapa tahunkah manusia sudah berada di dunia ini.”

Kenyataan ini dilaporkan di dalam kitab Tafsir al-Azhar.


Yakin akan kejadian Adam a.s dan Siti Hawa

Apa yang jelas adalah Nabi Adam a.s dan Siti Hawa merupakan ibu-bapa kita yang asal. Al-Quran menyatakan Nabi Adam a.s dijadikan daripada tanah liat, tetapi tidak diperincikan berkenaan asal-usul kejadian Siti Hawa. Berhubung dengan Siti Hawa, Al-Quran sekadar mengatakan, “Dan daripadanya (iaitu Adam) Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”

Apa yang penting adalah manusia diizinkan Allah swt bagi mengkaji asal-usulnya. Dalam surah al-Ankabut ayat 20, Allah menyatakan;

“Katakanlah, ‘Berjalanlah di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan manusia dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi (di akhirat).”

sumber:  maktabah-ilmu.blogspot.com
1 Response
  1. Anonymous Says:

    ... ASAL KEJADIAN "HAWA" ...

    Tiada Bapak tiada Ibu - itulah asal kejadian Nabi Adam AS.
    Ada Bapak tiada Ibu - itulah asal kejadiannya Siti Hawa.
    Tiada Bapak ada Ibu - itulah asal kejadian Nabi Isa AS.
    Ada Bapak ada Ibu - itulah asal kejadian kita, Bani Adam....

    Allahu'alam...