Susunan: Tok Kelana
1.0 Siapakah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah?
Seluruh Ummat Islam sudah tahu istilah Ahlus-Sunnah wal-Jamaah. Semua berharap dan mengaku mereka Ahlus-Sunnah. Namun siapakah sebenarnya Ahlus-Sunnah wal-Jamaah? Adakah ia merupakan jamaah atau kumpulan tertentu? Apakah ciri-ciri mereka?
Ahlus-Sunnah wal-Jamaah adalah satu-satunya golongan yang mendapat jaminan dari junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagai golongan yang selamat!
Mereka adalah yang berpegang kepada Nabi saw dan sunnah khalifah baginda serta bersatu dalam jamaah muslimin. Sementara golongan-golongan yang lain telah tersesat dan terkeluar dari jamaah muslimin atau jamaah Rasulullah ini - iaitu mereka terkeluar dari jamaah yang diwariskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم .
Dari Abu Hurairah Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda;
"Bangsa Yahudi telah terpecah menjadi 71 golongan, kaum Nasrani telah terpecah menjadi 72 golongan, dan Ummatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semuanya masuk neraka kecuali satu". Kemudian para sahabat bertanya, "Siapa mereka Ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Mereka yang mengikutiku dan sahabat-sahabatku." - Hakim, Ibnu Majah
Dalam sebuah hadis lain pula;
Daripada 'Irbad bin Sariyah katanya, bahawa pada suatu hari selepas sembahyang pagi (iaitu lepas subuh) Nabi Salla Allahu 'Alaihi WaSallam menyampaikan pengajaran yang cukup maksudnya, maka dari itu keluarlah air mata orang ramai, dan hati mereka pun menjadi takut, maka (dalam hal itu) berkatalah seorang lelaki,
"Sesungguhnya nasihat itu adalah seperti nasihat mengucap selamat tinggal, apakah yang tuan hamba ingin mewasiatkan kepada kami wahai Rasulullah?"
Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
"Aku berwasiat kepada kamu sekelian supaya bertaqwa kepada Allah, supaya mendengar dan taat, walaupun dia seorang hamba abdi bangsa Habsyi (yang diangkat menjadi ketua kamu sekelian); maka sesungguhnya sesiapa dari kalangan kamu yang hidup (bila sampai masanya) dia akan melihat berlaku perselisihan yang banyak, dan bendaklah kamu berjaga-jaga daripada (mengadakan) perkara-perkara baru (dalam urusan agama), maka sesungguhnya itu adalah kesesatan; maka sesiapa di kalangan kamu yang mendapat perkara demikian itu hendaklah dia mengikuti sunnahku dan sunnah para khulafa' ar-rasyidin yang mendapat hidayat daripada Allah, dan hendaklah kamu berpegang kepada sunnah itu dengan gigi geraham kamu". - Riwayat Tirmizi - Hadith hasan sahih
Berdasarkan pemerhatian ulama billah Nabi saw telah memberikan beberapa petunjuk yang jelas di dalam hadis-hadis yang di atas, berkenaan dengan ciri-ciri umum golongan yang selamat, di antaranya;
Kunci pertama : Mereka yang mengikuti sunnahku;
Kunci kedua : Mereka yang mengikuti sunnah sahabatku.
Kunci ketiga : Tinggalkan bid'ah
Kunci Keempat : Golongan atau Jamaah
Sunnah Nabi sebahagian besarnya sudah pun jelas, dan semua golongan mengakui akan kebenarannya. Salah satu perkara yang menjadi pokok perselisihan adalah berkenaan wasiat Nabi saw, "sunnah khalifahku" Di sinilah bermulanya perpecahan. Hanya orang-orang yang terbuka hati akan melihat siapa yang sebenarnya yang dimaksudkan Nabi saw dengan "sunnah sahabatku."
Sementata kebanyakan orang melihat makna "sahabat Nabi" sebagai umum; ahli ma'rifat melihatnya sebagai pewaris Nabi yang menerima ilmu sahabat nabi secara musyafahah dari satu generasi ke generasi berikutnya tidak putus hingga ke akhir zaman ini,
Apa yang dimaksudkan dengan bid'ah (mengada-ngadakan perkara baru) dalam agama yang tersebut di dalam hadis di atas adalah isyarat Nabi saw kepada golongan-golongan yang memisahkan diri jamaah kaum muslimin dan membuat bid'ah fahaman sendiri yang sesat. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain.
Golongan yang pertama sekali memisahkan diri jamaah kaum muslimin adalah kaum Khawarij, kemudian diikuti oleh kaum Jabariyah. Kemudian timbul Mu'tazilah, Mujassimah, Rafidah dll yang kesemuanya berjumlah semuanya 72 golongan yang memisahkan diri. Inilah golongan-golongan bid'ah, iaitu golongan yang mengadakan fahaman-fahaman yang menyimpang dari fahaman Ahlus-Sunnah.
Bukanlah maksud "bid'ah" tersebut sebagaimana kupasan sesat kaum wahabbiyah di zaman ini mengatakan tawassul, ziarah kubur dsb sebagai bid'ah, sedangkan semua amalan tersebut adalah bersandarkan hadis Nabi saw.
Sementara itu yang dimaksudkan dengan "jamaah" bukanlah bermakna satu-satu jamaah tertentu, tetapi ia umum jamaah muslimin yang berpegang kepada ciri-ciri ummat Islam yang disebutkan oleh ulama2-ulama Mu'tabarah dahulu.
Raudhah: di antara taman-taman syurga...
2.0 Bagaimana mengenali golongan yang selamat ini?
Bagaimana mengenali Ahlus-Sunnah wal-Jamaah? Apakah ciri-ciri mereka?
Pada zaman ini banyak pihak mendabik dada konon merekalah Ahlus-Sunnah wal-Jamaah sedangkan perbuatan dan ucapan mereka menyimpang jauh dari pegangan Ahlus-Sunnah wal-Jamaah. Ini termasuklah puak Wahabbiyyah, Talafiyah, Takrifiyah. Pada hakikatnya golongan ini adalah 'penjelmaan' semula daripada fahaman sesat mujassimah.
Orang awam yang tiada ilmu akan mudah terpengaruh dengan dakwaan dan hujjah-hujjah batil mereka. Kesesatan tersebut disemarakkan lagi dengan terbitnya golongan pelajar-pelajar muda lulusan agama. Dengan hanya membekalkan Iilmu syari'ah atau beberapa hadis yang mereka pelajari di bilik-bilik kuliah, mereka mula mencabar ilmu ulama-ulama mu'tabarah terdahulu.
Jadi bagaimana cara untuk menyelamatkan iman dari "kuman bahaya wahabbiyyah" dan juga fahaman sesat yang lain? Jadi kita perlu mentelaah secara saksama dari perkataan-perkataan ulama mu'atbarah yang diakui oleh seluruh ummat Islam seperti Imam Jailani, Shaikh Ibnu Ata'illah, Imam Al-Ghazali, Imam Hanbali, Imam Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan lain-lainnya.
Berikut adalah himpunan ciri-ciri penting pendirian Ahlus-Sunnah wal-Jamaah yang dipetik dari
Kitab Al-Ghunyah Li Talibil Haqq dan
Ihya Ulumuddin serta kitab-kitab mu'tabar yang lain. Mudah-mudahan bermanafaat.
1. PENGERTIAN IMAN
Iman adalah meyakini dengan hati, mengucapkan dengan lisan dan memanifestasikannya dengan amal perbuatan. Iman bererti pembenaran oleh hati yang disertai pengetahuan tentang apa yang dia benarkan itu.
Sedangkan menurut syari'at, iman bererti pengetahuan tentang Allah dan sifat-sifatNya disertai ketaatan atas semua hal yang wajib dan yang sunnat dan menghindari berbagai larangan dan maksiat. Atau iman bererti agama, syari'at dan millah, kerana agama bererti suatu yang dianuti disertai dengan ketaatan dan penghindaran dari larangan dan segala yang haram. Itu merupakan sifat iman.
Islam juga termasuk dalam iman. Setiap iman adalah Islam, tetapi bukan setiap Islam itu iman, kerana Islam bererti penyerahan diri dan ketundukan. Setiap mukmin pasti menyerahkan diri dan tunduk kepada Allah, tetapi tidak setiap yang berserah diri beriman kepada Allah. Kerana dia menyerahkan diri kerana takut pedang. Dengan demikian iman merupakan nama yang mencakup berbagai sebutan, baik dalam wujud perbuatan mahupun ucapan, sehingga mencakup segala bentuk ketaatan.
2. IMAN DIPERKUAT DENGAN ILMU DAN DIPERLEMAH OLEH KEBODOHAN.
Firman Allah :
فَأَمَّا الَّذِينَ ءامَنُواْ فَزَادَتْهُمْ إِيمَـناً وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
"Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). - At-Taubah, 9 :124
3. IMAN DAPAT BERTAMBAH DAN BERKURANG.
Ahlus-Sunnah berpendirian iman bertambah dengan ketaatan dan menjauhi segala larangan Allah. Sementara ia berkurang dengan berkurangnya ketaatan dan bertambahnya maksiat seseorang.
Firman Allah :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَـناً وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. - Al-Anfal, 8 : 2
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Abu Hurairah serta Abu Darda' , mereka berkata :
"Iman itu dapat bertambah dan berkurang."
4. IMAN BUKAN MAKHLUK
Berdasarkan kata Imam Ahmad Bin Hambal apabila ditanya orang, apakah iman itu makhluk? Beliau menjawab,
"Barangsiapa mengatakan bahawa iman itu makhluk bererti dia telah kafir, kerana demikian bererti dia telah menentang Al-Qur'an"
Iman adalah
cahaya Ilahi yang melimpah ke dalam hati seseorang hamba. Wadah yang menanggung iman, iaitu hati adalah makhluk, tetapi zat iman bukan makhluk.
5. DILARANG BERKATA : "AKU PASTI MU'MIN"
Seorang mu'min tidak boleh mengatakan
"Aku pasti mu'min". Tetapi katakanlah : "Aku ini orang mu'min InsyA Allah." Ini akan menolak pendapat Mu'tazilah yang mengatakan, "Aku pasti mu'min".
Pendapat kami berdasarkan kata-kata Sayyidina Umar,
"Barangsiapa mengaku dirinya mu'min (yakni pasti mu'min), bererti dia telah kafir!
6. PENGERTIAN ISLAM
Islam merupakan ungkapan dari dua kalimat syahadat yang disertai dengan ketenangan hati dan diiringi menjalani semua kewajipan. Perintah Allah yang wajib dikerjakan dengan sungguh-sungguh dan sempurna. Segala tegahan Allah yang haram ditinggalkan tanpa rasa berbelah bahagi.
Kewajipan asas adalah; Mendirikan rukun Islam yang lima: i) Mengucapan dua kalimah syahadat dengan keyakinan; ii) Mendirikan solat; iii) Berpuasa di bulan Ramadhan; iv) Menunaikan zakat; v) Mengerjakan haji bagi yang bekuasa.
Selain daripada kewajipan asas tersebut, banyak lagi kewajipan lain yang perlu ditunaikan mengikut ukuran dan tingkatan tuntutannya; iaitu
- Berbakti kepada ibu-bapa
- Berkhidmat kepada guru atau ulama pewaris Nabi
- Berda'wah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
- Berjihad fisabilillah dan lain-lain.
Kemudian wajib pula menjauhi segala yang diharamkan; iaitu
- Berzina
- Minum arak
- Berjudi
- Bertenung nasib
- Membunuh jiwa tanpa hak
- Menipu
- Merampas harta tanpa hak
- Menganiaya atau menzalimi makhluk Allah
- Mengumpat
- Khianat dan banyak lagi.
7. PENGERTIAN IHSAN
Ihsan adalah penghambaan yang tulus ikhlas kepada Allah yang tiada sedikitpun syirik di dalam penyembahannya. Ibadahnya semata-mata kerana Allah, kerana kasihnya, kerana cintanya; bukan kerana menuntut atau mengaharap sesuatu sama ada duniawi atau ukhrawi.
Dalam tasawwuf, maqam ihsan dilihat sebagai maqam tertinggi bagi seseorang hamba Allah dalam penghampirannya kepada Allah. Ini berdasarkan Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
"Hendaklah engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau." - riwayat Bukhari
Hadis ini tidak dapat ditafsirkan dengan pengetahuan akal semata-mata. Ia adalah penghayatan hati dan ruh yang terhasil daripada mujahadah di jalan Allah sebagaimana yang ditunjukkan oleh para imam, sheikh toriqat Sufiyyah!
8. WAJIB BERPEGANG KEPADA SALAH SATU MAZHAB FIQH
Pendirian Ahlus-Sunnah wal-Jamaah adalah: Wajib bagi seseorang yang belum sampai ke taraf mujtahid, berpegang kepada salah satu mazhab fiqh yang diakui oleh ulama-ulama Ahlus -Sunnah. Sebaik-baiknya berpegang kepada salah satu daripada mazhab fiqh yang masyhur, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Shafie atau Hanbali.
Seseorang yang belum bertaraf mujthaid, hanya boleh berpegang kepada salah satu mazhab pada suatu masa dalam mengerjakan ibadahnya. Dan disyaratkan dia mesti mengetahui, iaitu telah mempelajari selok-belok mazhab tersebut. Apa yang cuba disampaikan adalah: Harus seseorang berpindah kepada mazhab lain dengan syarat dia mengetahui selok-belok hukum di dalam mazhab tersebut; bukan kerana ikut-ikutan sahaja.
Mujtahid adalah; Seseorang yang alim di dalam ulmul Qur'an, mengetahui nasikh-mansuh, alim dalam hadis Nabi, mengetahui hadis sahih - hadis maudhu', ilmu usul, berbagai lughah bahasa Arab dan banyak lagi disiplin ilmu yang berkaitan sehingga melayakkan dia untuk menerbitkan hukum untuk dirinya sendiri.
Beberapa kemusyklian:
Ada golongan yang mendakwa mereka hanya merujuk al-Qur'an dan hadis Nabi dan tidak berpegang kepada mazhab fiqh. Alasan mereka ialah Nabi tidak bermazhab, di mana sahabat juga tidak bermazhab.
Jawapan:
(i) Sahabat Nabi hidup bersama Nabi, semua kemusykilan mereka ajukan kepada Nabi untuk penjelasan. Tiada perbezaan pendapat kerana sumbernya satu, iaitu kata-kata Nabi. Apabila zaman berlalu, sahabat-sahabat telah bertebaran di seluruh dunia, ilmu yang sampai kepada generasi berikutnya berbeza-beza di sebabkan adanya perbezaan periwayatan sahabat. Inilah yang menjadikan berlakunya perbezaan pendirian imam-imam mazhab, iaitu ijtijhad mereka sesuai dengan apa yang mereka terima menurut pandangan masing-masing.
(ii) Al-Qur'an adalah kalamullah yang suci. Setiap perkataannya mengandungi makna-makna yang jelas dan mudah difahami dan juga makna-makna yang tersembunyi. Ada
ayat-ayat yang bersifat umum, ada yang bersifat khusus, ada ayat-ayat muhkamat dan ada ayat-ayat mutasyabihat. Untuk memahami semua jenis ayat-ayat Allah yang suci ini, seseorang perlu memiliki ciri-ciri penting yang melayakkan dia untuk mentafsirkannya; Di antara yang paling penting ialah bersifat taqwa, telah hafal seluruh Al-Qur'an dan hafal juga hadis-hadis Nabi berkaitan, mengetahui berbagai lugah bahasa Arab dan lain-lain lagi.
(iii) Hadis-hadis Nabi berjumlah ratusan ribu bahkan mungkin mencecah sampai juta hadis. Untuk menerbitkan sesuatu hukum, seseorang perlu memahami hadis-hadis Nabi yang banyak dari berbagai periwayatan. Orang awam yang jahil tidakkan dapat melakukannya.
(iv) Semua Mazhab yang masyur dan diakui adalah pada hakikatnya pancaran Al-Qur'an dan hadis Nabi juga. Para imam cuma menghimpunkannya menjadi satu disiplin ilmu yang tersusun agar orang-orang awam dapat mengamalkan Islam dengan mudah tanpa tercari-cari akan hukumnya. Sebagai contoh yang mudah - untuk mengerjakan solat kita hanya perlu merujuk kepda kitab fiqh dalam bab solat. Di sana ada dijelaskan hukum halal haram, sah batal dsb.
(v) Kita cuba tanya orang-orang mendakwa bahawa mereka cuma rujuk Al-Qur'an dan hadis Nabi dan tidak mahu mengikut mazhab - bagaimana agaknya mereka melakukan wudhu? Bagaimana mereka mengerjakan solat? Cuba tunjukkan di manakah dalam Al-Qur'an atau hadis Nabi yang menunjukkan tentang rukun solat yang 13 dan wudhu yang 6 itu? Cuba tunjukkan di mana sah dan batalnya solat? Cuba keluarkan hukum-hukum tersebut dengan sendiri. Boleh?
Jika perkara-perkara asas agama seperti solat pun, mereka tidak dapat keluarkan hukum dengan sendiri, maka akurlah dengan pegangan dan anjuran ulama Ahlus-Sunnah. Jangan terpedaya oleh tipu-daya syaitan dan nafsu sendiri!
9. WAJIB MENGAMALKAN TASAWWUF
Seluruh ulama AhlusSunnah berpendirian
wajib bagi setiap muslim mengamalkan tasawwuf. Tasawwuf adalah ilmu yang membicarakan tentang ehwal hati, segala penyakit hati, sifat-sifat tercela dan sifat-sifat terpuji, sekalian syirik khafi serta menunjukkan jalan membaiki hati tersebut melalui zikrullah dan mujahadah. Seluruh ilmu ini adalah bersumberkan Al-Qur'an dan Hadis Nabi صلى الله عليه وسلم
Ilmu tasawwuf yang wajib diamalkan ada diterangkan dalam kitab-kitan ulama Ahlus-Sunnah seperti
Ihya Ulumuddin, Minhajul Abidin, I'anatut-Talibin, Sirrus-Salikin dan Hidayatus-Salikin.
Berkata Imam Ghazali رضي الله عه :
"Bermula ilmu tentang qalbu dan mengenal penyakitnya berupa iri hati, riya' dan semisalnya adalah fardhu 'ain."
Seseorang muslim tidak akan dapat menjadikan dirinya sebagai hamba Allah dengan hanya mengamalkan ilmu fiqh semata-mata. Adalah wajib baginya menghimpunkan kedua-duanya; iaitu ilmu fiqh dan ilmu tasawwuf untuk kesejahteraan zahir dan batin.
Seperti kata Imam Malik رضي الله عه :
"Sesiapa yang mengamalkan fiqh tanpa tasawwuf, maka dia fasiq. Sesiapa mengamalkan tasawwuf tanpa fiqh, maka dia zindiq. Mengimpun keduanya itu yang haq."