Elias Hj Idris

Oleh: Syarifah Fauziah and SheeMa Naomi.

Di Yaman, tinggal seorang pemuda bernama Uwais Al Qarni yang berpenyakit sopak, tubuhnya belang-belang. Walaupun cacat, dia seorang pemuda yang soleh dan sangat berbakti kepadanya ibunya. Ibunya adalah seorang wanita tua yang lumpuh. Uwais senantiasa merawat dan memenuhi semua permintaan ibunya. Hanya satu permintaan yang sulit dikabulkannya.

"Anakku, mungkin ibu tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkan agar ibu dapat mengerjakan haji," pinta ibunya.

Uwais termenung, memandangkan perjalanan ke Mekah sangatlah jauh melesati padang pasir tandus yang panas. Orang-orang biasanya pergi menggunakan unta dan membawa banyak bekalan. Namun Uwais tersangat miskin dan tidak memiliki kenderaan.

Uwais terus berfikir mencari jalan keluar. Kemudian, dibelinyalah seeokar anak lembu. Agak-agak kita untuk apa anak lembu itu? Tidak mungkin untuk pergi haji naik lembu. Ya memang ternyata Uwais membuatkan kandangnya di puncak bukit. Setiap pagi beliau berulang-alik menggendong anak lembu itu naik turun bukit.

"Uwais gila, Uwais gila...," kata orang-orang.

Yeah, kelakuan Uwais itu memang sungguh aneh.

Tidak pernah ada hari yang terlewatkan melainkan dia mengendong lembunya itu naik turun bukit. Semakin hari anak lembu itu semakin besar, dan semakin besarlah tenaga yang diperlukan Uwais.

Namun disebabkan latihan dilakukan setiap hari, maka anak lembu yang membesar itu tidak terasa lagi beratnya. Setelah lapan bulan berlalu maka sampailah musim haji. Lembu Uwais telah mencapai beratnya 100kg, begitu juga dengan otot-otot badan Uwais yang semakin membesar. Ia menjadi kuat untuk mengangkat barang. Baru orang tahu akan apa tujuan Uwais mengendong lembunya setiap hari naik ke puncak bukit. Ternyata ia latihan untuk mengendong ibunya yang lumpuh itu.

Uwais pun mengendong ibunya dengan berjalan kaki dari Yaman ke Mekah. Subhanallah, alangkah besar cinta Uwais kepada ibunya. Dia rela menempuh perjalanan yang jauh dan menyulitkan demi memenuhi keinginan ibunya.

Di Mekah, Uwais berjalan tegap mengendong ibunya tawaf di Ka'bah. Ibunya terharu dan bercucuran air mata sambil membayangkan Baitullah dalam keadaan matanya yang buta. Di hadapan Ka'bah, ibu dan anak itu berdoa.

"Ya Allah, ampuni semua dosa ibu," kata Uwais.

"Bagaimana dengan dosamu?" tanya ibunya kehairanan.

Uwais menjawab, "Dengan terampunnya dosa ibu, maka ibu akan masuk surga. Cukuplah ridha daripada ibu yang akan membawa aku ke syurga."

Subhanallah, itulah keinginan Uwais yang tulus dan penuh cinta. Allah swt pun memberikan kurnia-Nya dan Uwais seketika itu juga disembuhkan daripada penyakit sopaknya itu. Hanya tertinggal bulatan putih di telapak tangannya. Tahukah kita apa hikmah daripada bulatan yang disisakan itu? Itulah tanda untuk Umar bin al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib, dua sahabat utama Rasulullah saw untuk mengenali Uwais kemudian nanti.

Beliau berdua sengaja mencari Uwais di sekitar Ka'bah kerana Rasulullah saw telah berpesan "Di zaman kamu nanti akan lahir seorang manusia yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua."

"Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kamu, durhaka pada ibu dan menolak kewajiban, dan meminta yang bukan haknya, dan membunuh anak hidup-hidup, dan Allah membenci padamu yang banyak bicara, dan banyak bertanya demikian pula memboroskan harta (menghamburkan kekayaan)." (HR. Bukhari dan Muslim)

Kehidupan Uwais al-Qorni 

Pemuda yang bernama Uwais Al-Qarni tinggal di negeri Yaman. Uwais adalah seorang yang terkenal fakir, hidupnya tersangatlah miskin. Uwais Al-Qarni seorang anak yatim. Bapanya sudah lama meninggal dunia, jadi da hidup bersama ibunya yang telah tua lagi lumpuh. Bahkan, mata ibunya telah buta. Kecuali ibunya, Uwais tidak mempunyai sanak keluarga sama sekali.

Dalam kehidupannya sehari-hari, Uwais Al-Qarni bekerja mencari nafkah dengan menggembala domba-domba orang pada waktu siang hari. Upah yang diterimanya cukup buat nafkah dia dengan ibunya. Bila ada kelebihan, terkadang-kadang dia gunakan untuk membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan seperti dia dan ibunya itu.

Uwais Al-Qarni terkenal sebagai seorang anak yang taat kepada ibunya dan juga taat beribadah. Uwais Al-Qarni sering kali melakukan puasa. Bila malam tiba, dia selalu berdoa, memohon petunjuk daripada Allah swt. Alangkah sedihnya hati Uwais Al-Qarni apabila setiap kali melihat tetangganya yang baru pulang dari Madinah. Mereka telah bertemu dengan Nabi Muhammad saw, sedangkan dia sendiri belum pernah berjumpa dengan Rasulullah saw.

Berita tentang Perang Uhud yang menyebabkan Nabi Muhammad saw mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempar batu oleh musuh-musuhnya, telah juga didengar oleh Uwais Al-Qarni. Maka Uwais pun mengetuk giginya dengan batu sehingga patah. Ia dilakukannya sebagai ungkapan rasa cintanya kepada Nabi Muhammmad saw, sekalipun ia belum pernah bertemu dengan baginda saw. Hari demi hari berlalu, dan kerinduan Uwais untuk menemui Nabi saw semakin mendalam. Hatinya selalu bertanya-tanya, bilakah dia akan dapat bertemu Nabi Muhammad saw dan memandang wajah baginda dari dekat? Dia rindu mendengar suara Nabi saw, kerinduan kerana iman.

Tapi bukankah dia mempunyai seorang ibu yang telah tua renta dan buta, lagi pula lumpuh?

Bagaimana mungkin dia bisa meninggalkan ibunya dalam keadaan yang sedemikian? Hatinya selalu gelisah. Siang dan malam fikirannya diliputi perasaan rindu memandang wajah Nabi Muhammad saw.

Akhirnya, kerinduan kepada Nabi saw yang selama itu dipendamnya sudah tidak dapat ditahan-tahannya lagi. Pada suatu hari dia pergi mendekati ibunya sambil mengeluarkan isi hatinya dan mohon izin daripada ibunya agar dia diperkenankan pergi menemui Rasulullah saw di Madinah.

Ibu Uwais Al-Qarni walaupun telah uzur, merasa terharu dengan ketika mendengar permohonan anaknya. Dia mengerti akan perasaan Uwais Al-Qarni seraya berkata, “Pergilah wahai Uwais, anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila telah berjumpa dengan Nabi, segeralah engkau kembali pulang.”

Betapa gembiranya hati Uwais Al-Qarni apabila mendengar ucapan ibunya itu. Segera dia berkemas untuk berangkat. Namun, dia tak lupa menyiapkan keperluan ibu yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar mereka dapat menemani ibunya selama dia pergi. Sesudah mengucapkan salam dan mencium ibunya maka berangkatlah Uwais Al-Qarni menuju ke Madinah.

Uwais Ai-Qarni Pergi ke Madinah

Setelah menempuh perjalanan jauh, akhirnya Uwais Al-Qarni sampai juga di kota Madinah. Dengan segera dia mencari rumah Nabi Muhammad saw. Setelah dia menemui rumah Nabi saw, maka diketuk pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Maka keluarlah seseorang seraya membalas salamnya. Segera saja Uwais Al-Qarni menanyakan Nabi saw yang ingin dijumpainya. Namun ternyata Nabi tidak berada di rumahnya. Baginda saw sedang berada di medan pertempuran. Uwais Al-Qarni hanya dapat bertemu dengan Siti Aisyah r.a, isteri Nabi saw. Betapa kecewanya hati Uwais. Dari jauh ia datang untuk berjumpa langsung dengan Nabi saw, tetapi Nabi saw tidak dapat dijumpainya.

Dalam hati Uwais Al-Qarni bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi saw dari medan perang. Namun bilakah masanya Nabi saw akan pulang? Sedangkan masih terngiang-giang di telinganya akan pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakit itu agar dia cepat pulang ke Yaman, “...engkau harus lekas pulang”.

Akhirnya, dek kerana ketaatan kepada ibunya maka pesan ibunya itu telah berjaya mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi saw. Ia tidak mungkin lalu  Uwais Al-Qarni dengan terpaksa memberitahu kepada Siti Aisyah r.a untuk segera pulang kembali ke Yaman. Dia hanya mengirimkan salamnya untuk Nabi saw.

Setelah itu, Uwais Al-Qarni pun segera berangkat menghayunkan langkahnya dengan perasaan yang amat haru.
Sebaik peperangan telah selesai dan Nabi saw pun pulang menuju ke Madinah. Sesampainya di rumah, Nabi saw menanyakan kepada Siti Aisyah r.a tentang orang yang mencarinya. Nabi mengatakan bahwa Uwais Al-Qarni adalah seorang anak yang taat kepada ibunya. Dia adalah penghuni langit. Mendengar perkataan Nabi saw, Siti Aisyah r.a dan para sahabat terpegun. Menurut keterangan Siti Aisyah r.a, memang benar ada orsng yang mencari Nabi saw dan segera pulang kembali ke Yaman, disebabkan ibunya ysng sudah tua dan sakit-sakit sehingga dia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Nabi Muhammad saw melanjutkan keterangannya tentang Uwais Al-Qarni, penghuni langit itu, kepada para sahabatnya., “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah dia mempunyai tanda putih di tengah telapak tangannya.”

Sesudah itu Nabi saw memandang kepada Ali ra dan Umar ra seraya berkata, “Pada suatu ketika apabila kamu bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya; dia adalah penghuni langit, bukan orang di bumi.”

Waktu terus berganti, dan Nabi saw kemudian wafat. Kekhalifahan Abu Bakar pun telah digantikan oleh Umar bin al-Khattab. Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi saw tentang Uwais Al-Qarni, si penghuni langit itu. Beliau segera mengingatkan kembali sabda Nabi saw itu kepada sahabat Ali bin Abi Thalib r.a. Sejak itu setiap kali ada kabilah yang datang dari Yaman, Khalifah Umar r.a dan Ali r.a selalu menanyakan tentang Uwais Al Qarni, si fakir yang tak punya apa-apa itu. Kerjanya hanya menggembalakan domba dan unta setiap hari? Mengapa khalifah Umar r.a dan sahabat Nabi, Ali r.a selalu menanyakan tentang dia?

Rombongan kabilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais Al-Qarni turut bersama mereka. Rombongan kalifah itupun tiba di kota Madinah. Melihat ada rombongan kabilah yang baru datang dari Yaman maka segera Khalifah Umar r.a dan Ali r.a mendatangi mereka dan bertanyakan apakah Uwais Al-Qarni turut bersama mereka.

Rombongan kabilah itu mengakui bahawa Uwais Al-Qarni memang ada bersama mereka, dia sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawaban itu, Khalifah Umar r.a dan Ali r.a segera pergi menjumpai Uwais Al-Qarni.

Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, khalifah Umar r.a dan Ali r.a memberi salam. Namun rupa-rupanya Uwais sedang solat. Setelah mengakhiri solatnya dengan salam, Uwais menjawab salam khalifah Umar r.a dan Ali r.a sambil mendekati kedua sahabat Nabi saw itu dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Sewaktu berjabatan, Khalifah Umar r.a dengan segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais seperti yang pernah dikatakan oleh Nabi saw. Memang benar! Tampaklah tanda putih di telapak tangan Uwais Al-Qarni.

Wajah Uwais Al-Qarni tampak bercahaya. Benarlah seperti sabda Nabi saw bahawa dia adalah penghuni langit. Khalifah Umar r.a dan Ali r.a menanyakan namanya, dan dijawabnya, “Abdullah.” Apabila mendengar jawaban Uwais, mereka tertawa dan mengatakan, “Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenar?”

Uwais kemudian berkata, “Nama saya Uwais Al-Qarni”.

Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahawa ibu Uwais Al-Qarni telah meninggal dunia. Itulah sebabnya baru dia dapat turut bersama rombongan kabilah dagang yang datang pada masa itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan Ali r.a memohon agar Uwais membacakan do'a dan istighfar untuk mereka. Uwais enggan dan dia berkata kepada Khalifah, “...sayalah yang harus meminta do'a daripada kamu.”

Mendengar perkataan Uwais, khalifah berkata, “Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda.” sama seperti yang dikatakan Rasulullah saw  sebelum wafatnya baginda. Oleh sebab desakan desakan kedua sahabat itu, Uwais Al-Qarni akhirnya mengangkat tangan, berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu Khalifah Umar r.a berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari Baitul Mal kepada Uwais untuk jaminan kehidupannya.

Segera saja Uwais berkata, “Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”

Fenomena Ketika Uwais Al-Qarni Wafat


Beberapa tahun kemudian, Uwais Al-Qarni pun pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia hendak dimandikan, tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut-rebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafani, di sana pun sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafannya. Demikian pula ketika orang hendak pergi  menggali kuburnya, di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa sekali banyaknya orang yang berebut-rebutan untuk mengusungnya.

Meninggalnya Uwais Al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang mereka tidak kenal datang untuk menguruskan jenazah dan pengkebumiannya padahal Uwais Al-Qarni cuma seorang fakir yang tidak dipedulikan orang. Sejak dia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu.

Penduduk kota Yaman tercengang kehairanan. Mereka saling tertanya-tanya, “...siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais Al-Qarni? bukankah Uwais yang kita kenal itu hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa, yang kerjanya sehari-harian hanyalah sebagai penggembala domba dan unta? Tapi, ketika hari wafatmu, engkau menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya. Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk menguruskan jenazah dan pemakamanmu.”

Berita meninggalnya Uwais Al-Qarni dan keanehan-keanehan yang terjadi ketika wafatnya telah tersebar ke mana-mana. Pada ketika itulah baru penduduk Yaman mengetahui tentang siapakah sebenarnya Uwais Al-Qarni? Sedangkan selama itu tidak ada orang yang mengetahui siapa sebenarnya Uwais Al-Qarni disebabkan oleh  permintaannya kepada Khalifah Umar r.a dan Ali r.a, agar merahsiakan tentang dirinya. Barulah di hari wafatnya mereka mendengar sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi saw, bahawa Uwais Al-Qarni adalah penghuni langit.

Subhanallah.
0 Responses