Kekejaman tentera Bintang Tiga ini mendapat liputan meluas Utusan Melayu sehingga memaksa orang Melayu mengasah parang dan ‘mengasap kemenyan’ selain memakai selempang merah bagi mempertahankan diri masing-masing daripada keganasan tentera Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) atau Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (TAJRM).
Menurut Ishak Haji Moha­mad dalam bukunya Me­moir Pak Sako Putera Gunung Tahan (1997), Perang Parang Panjang merupakan kebangkitan orang Melayu menentang keganasan tentera Bintang Tiga yang bermaharajalela ketika itu.
Ishak menceritakan, sejurus Jepun men­yerah kalah, maka sekonyong-konyong ke­luarlah askar bintang tiga memakai uniform, bertopi tiga bucu lengkap dengan senapang dan bom tangan sambil mengarak seekor babi panggang untuk me­nunjukkan kekuatan. Selepas itu tentera Bintang Tiga mulalah menangkap orang Melayu dan India yang kononnya telah me­lakukan ke­salahan.
“Di antara kesalahan-kesalahan yang kononnya boleh mereka itu tangkap, bicarakan dan diputuskan dengan hukuman-hukuman berat ialah ‘tidak membayar hutang seringgit dua’ kepada para peniaga dan peraih-peraih iaitu hutang-hutang kecil yang lama sepuluh dua puluh tahun yang lampau” (Ishak Haji Muhamad 1997:181).
Menurut Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka (1982), ‘Perang 14 Hari’ itu timbul akibat syak wasangka orang Cina terhadap kejujuran orang Melayu yang sengaja ditiupkan oleh pihak komunis.
“Dalam masa 14 hari itu tentera Bintang Tiga mengamuk, bertindak kejam de­ngan membunuh orang-orang Melayu yang didakwa mereka menjadi polis rahsia Jepun.
“Mereka membalas dendam tanpa berperikemanusiaan sekali pun orang Me­layu yang dibunuh itu adalah jiran mereka. Ada antara kejadian-kejadian tersebut tentera Bintang Tiga menyeksa orang-orang Melayu kerana anjingnya dibunuh” (Abdul Samad Idris: 1982:360).
Akibatnya, sebilangan besar orang Melayu merasakan perbuatan orang-orang Cina dalam tentera Bintang Tiga itu seolah-olah ‘ayam jantan berkokok’ yang menyombong di kampung orang.
“Mereka terlupa bahawa mereka adalah kaum pendatang yang seharusnya berterima kasih kepada orang-orang Melayu kerana membenarkan menumpang di negara ini” (Abdul Samad Idris 1982:360).
Akibat diprovokasi me­lampau, orang Me­layu pun bangkit menentang sehingga tercetusnya ‘Perang 14 Hari’ sekitar bulan Ogos 1945. Perang itu mula tercetus di Batu Pahat (Johor), Kuala Pilah (Negeri Sembilan) November 1945, Parit dan Teluk Intan (Perak) 24 Disember 1945, Batu Malim (Pahang) 11 Februari 1946 dan Kuala Kangsar (Pe­rak) 6 Mac 1946.
Di Batu Pahat, muncul Kiyai Salleh atau Panglima Salleh (Selempang Merah) memimpin orang-orang Melayu menentang keganasan orang-orang Cina yang dipengaruhi komunis. Nama sebenar beliau ialah Dato’ Penghulu Haji Muhammad Salleh Haji Abdul Karim.
Orang-orang Melayu Batu Pahat di bawah pimpinan Kiyai Salleh berperang habis-habisan menggunakan parang panjang melawan orang-orang Cina komunis yang lengkap dengan peralatan senjata mo­den.
Abdullah CD dalam bukunya Memoir Abdullah C.D: Zaman Pergerakan Sehingga 1948 menceritakan semua penduduk Lambor di Perak turut menganggotai kumpulan parang panjang yang dikatakan mahu ‘perang sabil’.
“Mereka memakai selempang merah dan bersenjatakan parang panjang serta mengamalkan ilmu kebal” (Abdullah CD 2005: 113).
Selepas itu berlakulah pertempuran sengit antara orang Cina dan Melayu di Lambor.
“Mereka yang terkorban itu dianggap mati syahid dan diadakan upacara pengebumian secara besar-besaran,” cerita Abdullah CD.
Pergaduhan perkauman itu dapat diredakan apabila pihak Inggeris memaksa MPAJA menyerahkan senjata dan membubarkan tentera Bintang Tiga yang dikuasai komunis.