Bintang Tiga balas dendam dalam ‘Peristiwa 14 Hari’
Kekejaman tentera Bintang Tiga ini mendapat
liputan meluas Utusan Melayu sehingga memaksa orang Melayu mengasah
parang dan ‘mengasap kemenyan’ selain memakai selempang merah bagi
mempertahankan diri masing-masing daripada keganasan tentera Malayan
People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) atau Tentera Anti Jepun Rakyat
Malaya (TAJRM).
Menurut Ishak Haji Mohamad dalam bukunya Memoir
Pak Sako Putera Gunung Tahan (1997), Perang Parang Panjang merupakan
kebangkitan orang Melayu menentang keganasan tentera Bintang Tiga yang
bermaharajalela ketika itu.
Ishak
menceritakan, sejurus Jepun menyerah kalah, maka sekonyong-konyong
keluarlah askar bintang tiga memakai uniform, bertopi tiga bucu lengkap
dengan senapang dan bom tangan sambil mengarak seekor babi panggang
untuk menunjukkan kekuatan. Selepas itu tentera Bintang Tiga mulalah
menangkap orang Melayu dan India yang kononnya telah melakukan
kesalahan.
“Di antara kesalahan-kesalahan yang kononnya
boleh mereka itu tangkap, bicarakan dan diputuskan dengan
hukuman-hukuman berat ialah ‘tidak membayar hutang seringgit dua’ kepada
para peniaga dan peraih-peraih iaitu hutang-hutang kecil yang lama
sepuluh dua puluh tahun yang lampau” (Ishak Haji Muhamad 1997:181).
Menurut Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun
Merdeka (1982), ‘Perang 14 Hari’ itu timbul akibat syak wasangka orang
Cina terhadap kejujuran orang Melayu yang sengaja ditiupkan oleh pihak
komunis.
“Dalam masa 14 hari itu tentera Bintang Tiga
mengamuk, bertindak kejam dengan membunuh orang-orang Melayu yang
didakwa mereka menjadi polis rahsia Jepun.
“Mereka membalas dendam tanpa berperikemanusiaan
sekali pun orang Melayu yang dibunuh itu adalah jiran mereka. Ada
antara kejadian-kejadian tersebut tentera Bintang Tiga menyeksa
orang-orang Melayu kerana anjingnya dibunuh” (Abdul Samad Idris:
1982:360).
Akibatnya, sebilangan besar orang Melayu
merasakan perbuatan orang-orang Cina dalam tentera Bintang Tiga itu
seolah-olah ‘ayam jantan berkokok’ yang menyombong di kampung orang.
“Mereka terlupa bahawa mereka adalah kaum
pendatang yang seharusnya berterima kasih kepada orang-orang Melayu
kerana membenarkan menumpang di negara ini” (Abdul Samad Idris
1982:360).
Akibat diprovokasi melampau, orang Melayu pun
bangkit menentang sehingga tercetusnya ‘Perang 14 Hari’ sekitar bulan
Ogos 1945. Perang itu mula tercetus di Batu Pahat (Johor), Kuala Pilah
(Negeri Sembilan) November 1945, Parit dan Teluk Intan (Perak) 24
Disember 1945, Batu Malim (Pahang) 11 Februari 1946 dan Kuala Kangsar
(Perak) 6 Mac 1946.
Di Batu Pahat, muncul Kiyai Salleh atau Panglima
Salleh (Selempang Merah) memimpin orang-orang Melayu menentang keganasan
orang-orang Cina yang dipengaruhi komunis. Nama sebenar beliau ialah
Dato’ Penghulu Haji Muhammad Salleh Haji Abdul Karim.
Orang-orang Melayu Batu Pahat di bawah pimpinan
Kiyai Salleh berperang habis-habisan menggunakan parang panjang melawan
orang-orang Cina komunis yang lengkap dengan peralatan senjata moden.
Abdullah CD dalam bukunya Memoir Abdullah C.D:
Zaman Pergerakan Sehingga 1948 menceritakan semua penduduk Lambor di
Perak turut menganggotai kumpulan parang panjang yang dikatakan mahu
‘perang sabil’.
“Mereka memakai selempang merah dan bersenjatakan parang panjang serta mengamalkan ilmu kebal” (Abdullah CD 2005: 113).
Selepas itu berlakulah pertempuran sengit antara orang Cina dan Melayu di Lambor.
“Mereka yang terkorban itu dianggap mati syahid dan diadakan upacara pengebumian secara besar-besaran,” cerita Abdullah CD.
Pergaduhan perkauman itu dapat diredakan apabila
pihak Inggeris memaksa MPAJA menyerahkan senjata dan membubarkan tentera
Bintang Tiga yang dikuasai komunis.