Elias Hj Idris
































NASIHAT TENTANG AKHIR ZAMAN DARI CUCU TOK KU PALOH

Ada pendapat ulama' feqah tentang umur umat akhir zaman ialah selama 1500 tahun selepas kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Cucu Tok Ku Paloh, Habib Ustaz Syed Omar حفظه الله تعالى berpesan:
Jangan tinggal beramal dengan membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 7 kali pada waktu pagi dan 7 kali pada waktu petang.

Dan kami meminta 3 nasihat daripadanya. Maka ketiga-tiga nasihat beliau ialah Al-Qur'an, Al-Qur'an dan Al-Qur'an. Tambah guru yang mulia lagi, kalau ditanya apakah yang ke-4, ke-5, ke-6 dan seterusnya, maka jawapannya tetap ialah Al-Qur'an.

Begitulah juga ketika diminta nasihat, bagaimana kami mahu mengatasi perasaan malas dalam menuntut ilmu. Jawapannya ialah Al-Qur'an.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم wafat pada tahun 11 Hijrah, dan sekarang sudah masuk ke tahun 1440 Hijrah.

Bermakna masih berbaki lebih kurang 71 tahun.

Kemudian, ditolak lagi dengan tempoh Islam kembali memerintah dunia dengan aman selama 40 tahun (Fasa Imam Mahdi dan Nabi Isa), bermakna jumlahnya berbaki lebih kurang 31 tahun.
Fasa 31 tahun, jika dikira dari tahun 2019 Masihi bermakna sehingga tahun 2050 inilah umat akan berhadapan dengan fitnah yang paling besar sepanjang zaman. Fitnah yang selalu diingat-ingatkan oleh setiap nabi yang terdahulu, iaitu fitnah Dajjal.


IMAM MAHDI

Imam Mahdi tidak akan mudah mengangkat diri bahawa dia itu Imam Mahdi. Orang yang mengatakan dia itu Imam Mahdi itu, sudah pastinya bukan Imam Mahdi.

Dia pun tidak menyangka bahawa dialah sebenarnya Imam Mahdi sehinggalah orang berbai'ah kepadanya di Makkah, walaupun tanda-tandanya telah disebut oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Namanya ialah Muhammad seperti nama baginda صلى الله عليه وسلم dan nama ayahnya ialah Abdullah seperti ayah baginda.



PERISTIWA BESAR AKHIR ZAMAN

Setakat ini dari telinga hamba sendiri, ada 3 orang tok guru yang pernah menyebut bahawa mereka sempat dengan tanda besar akhir zaman.

Makna kata mereka sempat dengan peristiwa perang sabil. Ini kasyaf waliyullah, cuma ia tidak pula berkait dengan usul iman, nak terima boleh dan tak nak terima pun boleh. Wallahua'lam.

Mereka ialah:
1. Al-Habib Ustaz Dato' Syed Omar Al-Idrus حفظه الله تعالى
2. Tuan Guru Syeikh Zainul Asri حفظه الله تعالى
3. Tuan Guru Ustaz Yusof Tobir حفظه الله تعالى


CUCU TOK KU PALOH

Nama penuh ustaz ialah Al-Habib Ustaz Dato' Syed Omar bin Abdul Kadir Al-Idrus حفظه الله تعالى. Datuk beliau ialah Al-Marhum Al-Habib Syed Abdul Rahman bin Zainal Abidin Al-Idrus رحمه الله تعالى. Atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh.

Beliau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Syed Omar. Beliau dilahirkan pada tahun 1942, bermakna umurnya kini sudah pun mencecah 77 tahun. Tok Ku Paloh nasab ke-36, manakala beliau pula nasab ke-38 dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Sebelum ini, beliau merupakan mantan Pemangku Raja Terengganu (memegang jawatan istana Engku Kelana DiRaja Terengganu).

Antara Ulama' yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Sultan Terengganu ialah:
1. Tok Ku Pulau Manis & Sultan Zainal Abidin I
2. Tok Ku Paloh & Sultan Zainal Abidin III
3. Ustaz Syed Omar & Sultan Mizan


KARAMAH TOK KU PALOH

Antara minat Tok Ku Paloh حفظه الله تعالى ialah ilmu sains. Orang yang benar-benar mendalami ilmu sains, orang ini akan cenderung kepada agama. Ustaz Syed Omar bercerita, datuknya juga orang sangat alim dalam ilmu falaq. Beliau mahir dengan gelombang laut.

Satu ketika, Tok Ku Paloh dipanggil ke atas kapal dan dibawa ke laut. Beliau dicabar oleh pihak British untuk meneka kedalaman laut di bawah kapal. Lalu, Tok Ku Paloh membuat kira-kira dan menjawab 120 kaki.

Selepas itu, barulah pihak British mengarahkan anak kapal untuk menjatuhkan sauh untuk pengiraan kedalaman laut. Subhanallah, kiraan Tok Ku Paloh tepat sama sekali!
Ketika ditanya tentang ini kepada Ustaz Syed Omar حفظه الله تعالى, adakah ini termasuk dalam keistimewaan khusus (karamah) atau kealiman Tok Ku Paloh dalam ilmu falaq? Jawapannya, memang kerana beliau merupakan orang yang sangat alim.

Cerita tentang karamah Tok Ku Paloh pula, beliau sangat digeruni oleh pihak British. Pernah satu ketika, British meminta tanah (Terengganu) dari Sultan. Kemudian, Sultan suruh minta dengan Tok Ku Paloh.

Apabila disampaikan hasrat ini kepada Tok Ku Paloh, beliau menjawab,
"Boleh, silakan ambil tanah. Kamu boleh korek tanah dibelakang rumah saya sebanyak mana pun yang kamu mahu."

Pihak British rasa sangat malu kerana dijawab seperti itu. Terus mereka mahu bangun dari kerusi dengan perasaan yang sangat marah. Namun, kerusi yang mereka sedang duduk tadi telah melekat di punggung mereka!

Melihat keadaan itu, terus Tok Ku Paloh berkata,
"Tadi datang nak minta tanah, saya dah bagi tanah, ni dengan kerusi-kerusia saya pun nak ambil juga ke?"

Kisah ini sangat masyhur. Ini sahaja sudah cukup menjadi dalil kenapa pihak British sangat gerun pada Tok Ku Paloh. Mereka tidak boleh nak menjajah Terengganu, melainkan setelah kewafatan beliau.

(Kisah ini hamba telah perincikan dalam #CatatanMerdeka 2018).


PENUTUP
Akhirnya, doakan semoga Tuan Guru kita, Habib Ustaz Syed Omar cepat sembuh dan disihatkan oleh Allah سبحانه وتعالى. Sekaligus, dapat kembali mengajar di masjid dan surau seperti dahulu. Amin.
وصلى الله عل سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم.
والله اعلم.



-Rasyid Al-Kinti
Kuala Terengganu,
1 Response
  1. fauzi Says:

    TG syed omar al-idrus masih ra ada lagi ke?