Elias Hj Idris
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a:
“Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpin yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.”   -  riwayat al-Bukhari

Siapakah di antara kita yang masih yakin sungguh-sungguh
apabila menyandarkan segala ketentuan itu kepada Allah swt?

Huraian:

Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang sangat mendorong umatnya untuk menuntut ilmu. Ulama adalah orang yang sangat memahami permasalahan agama dan mereka merupakan orang yang mendalami ilmu. Di zaman ini, hampir tiada lagi ulama’ yang mempunyai tingkat penguasaan ilmu yang pelbagai melainkan hanya yang pernah belajar beberapa bidang ilmu. Mereka hanya menguasai satu atau dua cabang ilmu sahaja.

Berbeza dengan keadaan di zaman lampau, apabila orang yang disebut sebagai ulama’ adalah mereka yang menguasai dengan 'ahli' (mendalam!) banyak cabang ilmu. Dengan lain perkataan golongan ulama’ semakin lama semakin kurang apabila masa terus beredar. Justeru, dengan waktu yang semakin singkat di akhir zaman ini ditambah dengan kesibukan dan kelalaian kita sendiri dalam mengurus waktu marilah kita sama-sama mengkaji dan mengambil ilmu daripada mereka. Sesungguhnya kehidupan kita tidak akan berjalan dengan tertib tanpa bimbingan daripada para ulama’.

Namun pada hakikat dan kenyataannya bahawa pada hari ini ada ramai orang yang tidak menyedari situasi tersebut hingga mereka mengatur kehidupan dunia mengikut cara mereka sendiri. Mereka seakan lupa dan berasakan sebagai tidak perlu untuk melibatkan golongan ulama dalam meminta pandangan mahupun nasihat. Ulama dipinggirkan bahkan golongan itu dianggap sebagai kelompok yang ketinggalan zaman, tidak mengetahui perkembangan dan hanya tahu berbicara dalam masalah ibadah dan akhirat semata-mata.

Akibatnya maka timbul sikap menolak dan meremehkan golongan ulama dan keterlibatan mereka di dalam urusan keduniaan.

++ Gambar hiasan ++
... lalu manusia akan berusaha keras semata-mata
kerana mahukan pengiktirafan manusia!

Justeru tidak hairanlah akan ada manusia yang menjadikan golongan jahil dan bodoh sebagai pemimpin mereka hingga akhirnya membawa kemusnahan dan mengundang kecelakaan; seperti dalam banyak keadaan sekarang.

Nota: Dari hasil usaha bintangtimur (TKO)
0 Responses