Rahsia hati yang masih tersembunyi...
“Habis tu... apa yang nak diterperanjatkan pula?” Sharmaine yang sejak lama mengikuti perbualan masih tidak faham.
“Entah apa-apa la dia ni!” Nur Anita mencelah sambil memerhatikan dari balik cermin. Mulutnya digayakan sambil melurutkan tisu di tepi bibir. Sesekali dia menjeling Nurul Asyira yang sedang menguis-nguis ekor rambut dekat telinga kirinya.
“Cantik dah tu,” usik Sharmaine tersengih. “Kalau dah tak ada boyfriend tak ada siapa pun yang nak tegur rambut kau tu nanti.”
“Kakak Nita cakap... dia ada jemput Fareik datang,” jelas Nurul Asyira sambil berlalu ke almari. Pintu almari ditutupnya perlahan, “Then... Fareik was agreed to come.”
“Fareik yang mana?” Sharmaine mengerutkan wajahnya. Nur Anita menjeling kepada Nurul Asyira kemudian berpindah kepada Sarah. Dia tidak pasti Fareik yang mana. Kalau Fareik, yang bertugas di bahagian kargo itu memanglah dia kenal. Tetapi apa kena-mengenanya dengan Fareik? detik hatinya.
“Fareik yang mana, Nurul?” Nur Anita mengerutkan dahi. “Fareik yang banyak girlfriend palayboya tu ka?”
“Ooo... tolong sikit,” pintas Sarah melompat ke tepi cermin lalu tertolak Nur Anita ke tepi.
“Auuu... Sarah, lips Nita ni... tengok la,” Nur Anita menjerit bagaikan mahu menangis.
Pipinya telah tercontengkan dengan lipstick.
“Ala... ala..., cayang,” rayu Sarah sambil memalingkan muka temannya itu kepadanya. Dicapai kertas tisu dari atas almari solek. “Alaa... hodohnya pontianak mabuk ni!”
Nur Anita tidak bersuara, sambil memejamkan mata dan membiarkan Sarah mengesat kembali pipinya yang tercomot itu. Sayangnya, Sarah masih lagi bertugas di syarikat lama mereka. Dia tidak ikut memohon kerja ketika Nur Anita dan Nurul Asyira pergi temuduga di syarikat tempat mereka bekerja sekarang. Dialah orang yang paling bising, apabila secara tiba-tiba Nur Anita hendak meletakkan jawatan.
Nur Anita masih terbayangkan bagaimana Fareik pernah mencuit punggungnya ketika syarikat merayakan penerimaan anugerah pelancongan. Lebih teruk Fareik pernah cuba menciumnya ketika di dalam bilik bos pada malam tahun baru yang lalu. Hingga kini Nur Anita sedar betapa bencinya pada Fareik masih membekas.
Dalam pada itu, air mata masih galak untuk tergenang di kelopaknya. Nur Anita masih juga teringatkan Roy dan Jeff. Dia teringatkan Jeff yang mungkin sedang berada di Labuan. Dia teringatkan rantai pemberian lelaki itu yang masih dipakai. Sebenarnya, rantai itulah yang telah banyak menggugat hati dan perasaannya. Ia jelas mengocak setiap usaha untuk menyerahkan hati seluruhnya kepada Kamarul Izzat.
Apa kata nanti sekiranya, Kamarul Izzat sendiri yang terperasankan kehadiran rantai itu? Sekarang mungkin Nur Anita boleh sembunyikan di dalam baju, bagaimana setelah mereka hidup bersama nanti? Bagaimana pula dengan rantai hantaran Kamarul Izzat yang masih belum disentuh itu? Ia masih lagi tersimpan dalam laci almari.
“Dah... dah jangan nangis! Nanti rosak mekap tu,” sanggah Maheran apabila melihat Nur Anita sedang mengetap bibir sambil cuba mengawal perasaan.
Sarah segera datang lalu menarik Nur Anita duduk di kerusi depan cermin.
“Mari! Ada lagi eye shadow yang tak cukup ni,” jelasnya.
Nurul Asyira memerhatikan gelagat temannya itu.
“Memang begini la selalunya, terutama pada saat-saat...,” Nurul Asyira terhenti sambil menghampiri bakal pengantin. “Banyak kenangan lalu yang datang menjengah. Ia diselangi peristiwa manis dengan seseorang yang tidak kunjung tiba....”
Nur Anita mendongak. “Jangan cakap macam tu, Nurul.”
“Huhh... aku mengerti akan perasaan kau, Nita,” sahut Nurul Asyira sambil meramas-ramas tangan temannya itu. "Aku pun bukannya baru kenal dengan kau...."