Elias Hj Idris
Hati yang masih keliru...

8


SELEPAS  sebulan berpuasa, hari ini raya, namun tidak banyak persiapan yang dibuatnya. Sama seperti pada tahun-tahun yang lalu kebanyakan biskut dan hidangan lain mereka tempah sahaja. Cuma tart nenas dan biskut cokelat yang menjadi kegemaran Nur Anita buat sendiri. Maheran, anak saudaranya yang banyak mulut itu yang paling banyak menolong.

Dua hari sebelumnya Kamarul Izzat datang mengajak Nur Anita keluar. Mereka pergi ke The Mell dan Metro Lama di YoChuan Jalan Ampang untuk membeli sedikit pakaian. Kamarul Izzat menghadiahkan Nur Anita sehelai blaus dan sepasang baju kebaya moden warna merah kegemarannya. Selepas itu pada sebelah malam Kamarul Izzat pulang ke Ipoh untuk berhari raya bersama dengan kaum keluarganya di sana.

Awal pagi lagi Kamarul Izzat sudah menelefon untuk mengucapkan selamat hari raya. Pertama sekali Nur Anita tidak menduga yang tunangnya itu boleh bangun begitu awal. Atau mungkin juga Kamarul Izzat langsung tidak tidur hingga ke pagi. Manakan tahu apabila bertemu dengan sanak saudara dan teman-teman lama yang masing-masing ikut sama pulang ke kampung.

Pun begitu Nur Anita tidak banyak bertanya. Dia sekadar mengirimkan salam pada ibu, ayah dan Shahirah, adik Kamarul Izzat. Lagi pun Nur Anita sedang sibuk menyediakan hidangan untuk ayah dan anak-anak buahnya yang hendak pergi ke mesjid.

Pada sebelah tengah hari Nur Anita pergi sebentar ke rumah Kak Bedah di seberang jalan. Dia pergi bersama Leita dan Maheran. Di sana pun ada ramai keluarganya dari Shah Alam dan Banting datang berkumpul. Nur Anita masih tidak ketinggalan menjadi bahan usikan mereka. Semuanya gara-gara kisah pertunangannya dengan orang Ipoh.

“Nanti kena belajar makan tempoyak,” kata Pak Uda dari Jugra.

“Dah biasa makan pun...,” jawabnya sambil tersenyum.

“Huhh... belum cukup. Tempoyaknya ada masak cara lain... campur dengan cili.”

“Nanti boleh belajar... masak aje la dengan cili.”

“Masak gulai tempoyak, tau!”

Nur Anita menggeleng.

“Kawannya mesti dengan ikan sungai... lampam, temoleh atau baung.”

“Sedapnyee...” keluh Nur Anita sambil menelan liurnya.

“Kena campur sikit cili. Batang serainya kena lebih.”

“Aii... Pak Uda, kan ke mak mertua tu ada. Bila lagi nak manja-manja dengannya. Boleh belajar dengannya nanti.”

“Untung la kamu.”

Nur Anita tersengih.

Maheran mencebik. Sementara Leita, adiknya yang banyak mulut itu merungut-rungut terus pergi ke dapur. Memang selalunya, dia mesti ada-ada sahaja yang tidak kena dengan kakaknya itu. Mungkin terkena penyakit iri hati, sedangkan kekasihnya si Midun tu masih belum juga masuk meminang.



KETIKA pulang ke rumah Rosmaniza memberitahu bahawa Jeff baharu sahaja menelefon. Nur Anita tidak pasti dari mana? Mungkinkah Jeff masih di Labuan? Atau dia sedang berada di Kolumpor dan berhasrat untuk menemuinya. Mungkin. Sebaliknya, Jeff tidak pun bercakap banyak kerana Nur Anita tiada di rumah. Kemudian dia terpandangkan dari dalam cermin pada rantai leher pemberian Jeff yang masih dipakainya.

Nur Anita memegang loketnya, sebutir berlian. Dia menggeleng sambil bibirnya berdecit.

Kemudian pada waktu malam Roy pula yang menelefon. Lama mereka berbual dan bekas teman sekolahnya itu mempelawanya supaya pergi ke Ipoh.

“I pergi ambil you kat sana, okey...,” Roy menyatakan kesanggupan. “Boleh la I pinjam kereta kakak saja.”

“Tak usah la.”

“Kenapa? Kan dah lama kita tak jumpa.”

“Ni pun kan you dah call... kita dah cakap....”

“Err... tak sama, kan!”

“Alaa... kalau jumpa pun sama juga. Apa pun yang dapat dibuat... kita kan berbual juga.”

“Err... dapat tengok wajah you. I suka.”

“Sama macam dulu-dulu juga,” Nur Anita cuba berdalih.

“Sekarang tentu dah lebih bertambah ayunya....”

Masing-masing terdiam. Malayani angan-angan.

“I selalu merindui tahi lalat halus yang kat tepi bibir tu,” Roy bersuara. Mengusik.

“Ooo... rindukan tahi lalat aje!”

“Mula-mula tu memang la kat tahi lalat... kemudian kat orangnya.”

Nur Anita terhibur sebenarnya apabila mendengar celoteh Roy. Agak sudah semakin kerap Roy pulang bercuti, fikirnya. Nur Anita percaya Roy pulang agak kerap kerana melihat ibunya yang kurang sihat sejak kebelakangan itu. Keadaan ibunya terkesan sejak kematian suaminya dalam runtuhan apartmen tersebut.

Anehnya, kenapa Roy tidak menghubunginya ketika masih di ibu kota semasa dalam perjalanan pulang ke Ipoh?

“Ari tu pun tak boleh singgah kat sana sebab anak kakak yang belajar kat universiti tu ikut sama balik,” jelas Roy seakan-akan tahu apa yang dimusykilkan.

“Ooo... Mazidah tu dah masuk universiti,” Nur Anita teringatkan anak saudara Roy yang sering menemaninya berbual-bual ketika bertandang ke rumah Roy ketika masih bersekolah di Ipoh. “Dah besar pun dia sekarang.”

“Err... dia semakin besar dan kita pula semakin tua.”

“Siapa yang tua?” Nur Anita menyergahnya.

“You....”

“Ermm... baru dua puluh tiga.”

“Lagi dua tahun ye.”

“Apa?”

“Kita bertunang....”

Nur Anita tersentak. Diam.

“Hahh... kenapa diam?”

“Err... takde apa-apa.” Nur Anita mula runsing apabila hal-hal seperti itu diungkitkan.

Apabila diinga-ingatkan, dia terasa amat bersalah kerana terjebak dalam suasana memainkan perasaan orang. Dia bukan setakat bercinta tiga segi, tetapi banyak segi - di mana pancangnya ialah Roy, Jeff dan tunangnya sendiri, orang muda dari Ipoh itu. Dia tidak menyintai Kamarul Izzat sejak mula, tetapi apabila lelaki itu menjadi tunangannya, maka dia terpaksa berusaha untuk cuba menyayanginya.

Dalam masa berusaha itu Nur Anita masih terus-terusan bermain api. Kenapa Nur Anita tidak mempunyai kekuatan untuk menjelaskan? Kenapa dia tidak mahu berterus-terang sahaja dengan Roy, kemudian dengan Jeff juga agar keadaan tidak terus merimaskan? Biar mereka tidak terus-terusan mengharap. Ia tidak bertujuan melukakan.... Sekurang-kurangnya, biar mereka sedar bahawa dia sudah bukan calon harapan mereka lagi.

Pada sebelah petangnya Nur Anita pergi ke Lapangan Terbang Subang kerana percayakan Kamarul Izzat akan pulang dari Kuala Terengganu. Dua hari sebelumnya dia pergi ke Kelantan dan terus ke Kuala Terengganu menurut kata teman sepejabatnya. Nur Anita cuba menghubungi telefon bimbit tunangnya, tetapi tiada liputan. Jadi Nur Anita meminjam kereta Abang Leman kerana percaya Kamarul Izzat tentu tiada kenderaan untuk pulang ke rumah dari lapangan terbang itu nanti.

Walaupun Kamarul Izzat tidak meminta dia berbuat demikian, tetapi Nur Anita bersimpati dengannya. Dia pun percaya mungkin Kamarul Izzat sedang terburu-buru dan tidak sempat untuk memberitahunya. Mungkin.

Sambil itu hatinya turut berkata-kata sendiri. Kamarul Izzat pergi ke Kelantan dan Terengganu bukan atas urusan syarikat. Sebaliknya, dia pergi bercuti selama tiga hari. Mungkin dia masih marah berhubung dengan peristiwa sewaktu pemergian mereka ke Singapura di minggu yang lalu. Mungkin dia masih marah sebab Nur Anita bawa Rosmaniza dan Sharmaine juga ikut bersama.

Nur Anita sedar Kamarul Izzat mempunyai tujuan lain ketika berkunjung ke negara di seberang tambak itu. Dia masih mencari jalan untuk cuba mengecek. Dia masih tidak berputusa harap sambil mengintai madu yang ingin dihirupnya. Dan sekonyong-konyong rahsia terbocor apabila Nur Anita menghubungi Kamarul Izzat di pejabat. Dia ingin bertanyakan perihal pakaian pengantin yang akan disewa untuk hari perkahwinan mereka. Rupa-rupanya Kamarul Izzat telah pergi bercuti secara senyap-senyap!

Hampir lima jam Nur Anita di Lapangan Terbang Subang. Setiap penerbangan dari Kuala Terengganu dia tetap menunggu ketibaannya. Setiap pengumuman mengenai ketibaan penerbangan domestik membuatkan Nur Anita sering berdebar-debar. Dia seakan terasa-rasa yang Kamarul Izzat akan muncul di pintu besar balai ketibaan.

Namun dia hampa jua kemudiannya. Kamarul Izzat tetap tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya lelaki itu pulang dengan kereta. Soalnya, dia menumpang kereta siapa? Paling menarik Kamarul Izzat pulang dengan siapa?

Nur Anita cuba menghubunginya lagi, tetapi sayang talian telefonnya dimatikan pula.
2 Responses
  1. AbnormalSuam Says:

    Salam Haji...

    lama tak membaca hasil karya Aji... menulis di mana skang? Lama benar kita tak berjumpa, kan?

    Ada juga saya bertanyakan khabar menerusi Mishar tapi Mishar pun tak tahu...

    Limatsah


  2. Wlkm-slm.
    Aii... selalu teman jumpa Mishar. Pandai dia akei.
    Tanya pasei kamu, dia pun tak tau... ntah di Johor ke mana, katanya?

    FB pun ada - emel la.