Elias Hj Idris
Coretan ini benar-benar menyentuh perasaan tentang hak dan kehendakNya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullullah saw bersabda: “Pada zaman Bani Israil dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa, sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, dia menyarankan rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya."

Suatu ketika, ahli ibadah itu berkata lagi, “Berhentilah daripada perbuatan dosa.” Ahli maksiat pun menjawab, “Jangan pedulikan aku, terserah kepada Allah yang akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi setiap apa yang aku lakukan?” Ahli ibadah membalas, “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.”

Setelah kedua-dua ahli ibadah dan ahli maksiat itu mati, Allah swt telah menghakimi kedua-dua mereka di hadapanNya. Allah swt menyoal ahli ibadah, “Adakah kamu lebih mengetahui daripadaKu? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang berada dalam kekuasaanKu?” Kemudian, Allah berfirman kepada ahli maksiat, “Masuklah kamu ke dalam syurga berkat rahmat-Ku.” Sementara kepada ahli ibadah dikatakan, “Masukkan orang ini ke dalam neraka.”

Panas di matahari seakan-akan gejolak di api neraka Allah.

Inilah tazkirah seorang imam solat Jumaat yang mengupas tentang hadis ini. Katanya, Allah menghukum ahli ibadah tersebut masuk ke neraka kerana dia telah berbuat syirik kepada Allah dengan menentukan seseorang masuk ke neraka. Ini kerana kuasa menghukum adalah hak mutlak milik Allah dan bukan sekali-kali hak manusia yang tidak berkuasa atas makhluk yang lain.

Melihatkan hal ini, adalah diyakini dengan seorang penulis buku “kami pendakwah, bukan penghukum” kerana kecenderungan kebanyakan muslim yang mengaku dai’e. Ini bukan kali pertama kita mendengar komentar-komentar tentang dai’e penghukum.

Melihat hal ini, kita sangat yakin bahawa seorang daie yang terpelihara dari sikap menghukum pastilah seorang daie yang dipelihara Allah. Apabila melihatkan hal ini, adalah baik sekali kiranya kita semua tergolong dari kalangan daie yang Allah beri penglihatan dari mata hati. Biar kita semua mampu melihat dari persfektif rabbani dan bukan dari perspektif kita sendiri-sendiri.

Amat beruntung bagi orang-orang yang mengamalkan doa akhir ma’thurat, “wala takkilna ila anfusina torfata aini wa aqolla min zalika ya ni’mal mujiib - Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri; walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah memperkenankan permintaan (perkenankanlah).”

Golongan rabbani yang mampu melihat dari perspektif Rabbani hanya lahir daripada orang-orang yang mukhlis. Bagi mencapai ke tahap orang yang mukhlis walaupun merupakan impian banyak orang bukanlah satu perkara yang mudah. Salah satu perkara yang mesti dibuat untuk tetap menjadi ikhlas kerana Allah adalah memperbaharui niat dengan beristighfar.

Dari Abu Hurairah ra, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya aku mohon ampun dan bertaubat kepada Allah lebih daripada 70 kali dalam sehari” -  (HR Bukhari)
 
Rupa-rupanya kita sering tersilap - bertindak mengambil hakNya secara wewenang. Kita dengan celupar mudah sekali menghukum orang.

Astaghfirallah-al Aziim. Allazi Laailaha-illallahu-walhayyul-qayyum waatubu ilaih. Laahaula wala quwwatailla billahil-'aliyyil 'aziim. Tiada daya dan kekuatan hamba melainkan denganMu ya Allah.
1 Response
  1. Anonymous Says:

    Siapalah kita? Menegur salah.
    Siapalah kita? Tak tegur salah.
    Siapalah kita? Keduanya serba salah..