Elias Hj Idris
Oleh: kaunselor

Kalau diterima tuduhan-tuduhan dari sebahagian orang yang menolak tasawuf atau ilmu rohaniah atau ilmu zauk, ertinya kita telah menganggap bahawa syariat Islam itu hanya mengenai kehidupan zahir semata-mata. Seolah-olah tidak ada hubungan langsung dengan soal-soal batin seperti persoalan hati atau roh dan nafsu. Ertinya sama ada sedar atau tidak, kita mengakui bahawa ajaran Islam itu sama sahaja atau setaraf dengan isme-isme atau ideologi lain ciptaan manusia; di mana peraturan-peraturan atau hukum-hakamnya cuma mengenai kehidupan yang lahir. Ia dari apa yang dapat dinilai oleh mata lahir semata-mata dan tidak ada hubung kait langsung dengan hati atau roh dan nafsu.

Amat berbahaya jika kita menolak ilmu rohaniah ni. Tentu kita langsung tidak akan mempedulikan soal hati, nafsu dan hal ehwalnya. Tentu kita tidak akan ambil perhatian tentang kejahatan nafsu dan tidak anggap penting untuk membersihkan hati dan membuang sifat-sifat jahat tersebut. Sekaligus bererti, manusia tidak lagi bermujahadah untuk membaiki diri agar dapat memiliki sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) dan menumpaskan sifat-sifat mazmumah (sifat terkeji).

Pejuang jihad: memaparkan akhlak Islam setelah memahami tuntutan tasawwuf.
Sedangkan mencari keredhaan Ilahi itu adalah soal dalaman.

Untuk menghuraikan lebih terperinci lagi kita bawakan beberapa contoh. Umpamanya, selepas memiliki aqidah, mereka cukup hanya sekadar mempraktikkan Rukun Islam yang lima. Boleh jadi mereka suka juga menambah ibadah-ibadah sunat yang lain. Di waktu yang sama mereka tidak akan mempersoalkan lagi tentang soal khusyuk atau tidak, ikhlas atau tidak, riak dan ujub atau tidak, megah dan sombong atau tidak. Mereka tidak akan ambil peduli apakah mereka berbuat sesuatu itu kerana nama dan kemasyhuran atau sebaliknya. Apakah ada udang di sebalik batu dan sebagainya dalam mereka mengajar, belajar, berdakwah, berjuang, berkorban, memimpin, menutup aurat dan lain-lain lagi.

Walhal inilah perkara yang paling penting yang mesti dijaga. Begitu juga apabila seseorang itu meninggalkan yang haram, lalu dia tidak akan mengambil kira akan segala yang batin.

Apa sebab ditinggalkan? Adakah kerana takut ditangkap atau kerana takutkan Allah? Takut susah atau takutkan Allah. Takut malu atau takutkan Allah. Takut dihina orang atau takutkan Allah. Apa yang penting pada mereka, cukuplah perintah buat atau perintah tinggal itu ditaati sesuai dengan syariat. Soal-soal hati di waktu itu tidak usah diambil kira sangat. Peranan hati usah diambil kira lagi. Sewaktu bertindak itupun kerana atau mengapa hati itu mendorong untuk berbuat demikian, tidak diambil kira. Apa yang penting biar ia sesuai dengan syariat lahir; itupun sudah cukup!

Kalau diibaratkan orang yang membeli buah, cukup sekadar menentukan keelokan kulitnya sahaja tanpa diambil hirau akan soal isinya. Apakah benar begitu tindakan kita pada realitinya apabila membeli buah? Tentulah tidak! Malanglah kalau kita menerima sikap begini; yakni sekadar memikirkan soal kulit sahaja, tanpa mengira akan isinya.

Ini bererti kita menolak sabda Rasulullah dalam hadis baginda: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu, tetapi Dia memandang akan hati kamu dan amalan-amalan kamu.” -  Riwayat At Tabrani

Sabda baginda lagi: “Sesungguhnya dalam jasad ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Maka ketahuilah, itulah dia hati.” -  Riwayat Bukhari dan Muslim

Juga ia akan menolak sebahagian daripada ayat-ayat Al Quran.

i)  Firman Allah; “Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” -  Yusuf: 53

ii)  Firman-Nya lagi; “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang-orang yang membersihkannya dan mendapat kecewalah orang yang mengotorinya.” -  Asy Syams: 9-10

Seterusnya orang yang menolak ilmu rohaniah, mereka akan turut menafikan adanya ilmu laduni, ilham, kasyaf, firasat, kedatangan hatif ( ?) dan pertolongan ghaib. Sedangkan perkara-perkara yang disebut itu selain daripada tersebut secara ilmiah di dalam Al Quran dan Hadis, ia juga telah menjadi pengalaman orang-orang soleh zaman dahulu sepertimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab muktabar.

Begitulah wahyu Allah dan sabda Rasul-Nya serta hujah sejarah yang ada disebut di dalam kitab, yang menguatkan lagi hujah bahawa soal-soal roh atau hati dan nafsu ini mesti diambil kira. Jelasnya, pendapat-pendapat ulama yang menolak ilmu rohaniah ini sudah awal lagi tertolak.

Imam Malik r.hm. berkata: “Barangsiapa berfeqah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat), maka ia jadi fasik. Barangsiapa bertasawuf (hakikat) tanpa feqah (syariat), maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”

Supaya lebih jelas lagi elok dilihat contoh-contoh berikut:

1. Berfeqah tanpa tasawwuf  di mana seorang itu hanya melakukan amalan-amalan lahir. Katalah semua rukun Islam yang lima itu beres dilakukannya. Ditambah lagi dengan berjuang fisabilillah, berdakwah, belajar, mengajar, menziarah, berkorban dan menutup aurat. Dijaga juga dari melakukan perkara-perkara lahir yang haram dan makruh. Ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat. Pendek kata, semua perintah atau larangan lahir ditaati, tetapi amalan batin yakni hatinya tidak diambil pusing.

Dibiarkannya saja sifat riak, ujub, gila nama, ingin glamour, sombong, tamak, bakhil, pemarah, dendam, dengki, cinta dunia dan lain-lain lagi sifat negatif mencorakkan sikap dalam hidupnya. Inilah jenis orang syariat atau orang berfeqah sahaja. Pada pandangan mata zahir, dia seorang yang sangat baik kerana hukum Islam yang lahir teramat sangat dijaganya. Tetapi di sisi Allah orang ini masih berdosa, yakni derhaka pada Allah kerana dia tidak menjalankan syariat batin yang diperintahkan oleh Allah.

Lihatlah sabda Rasulullah saw;

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” -  Riwayat At-Tabrani

Maka orang yang melanggar syariat batin ini, Imam Malik menjatuhkan hukum fasik; yakni orang yang berdosa dan apabila mati tanpa taubat akan masuk ke dalam neraka, tetapi tidak secara kekal.

2. Bertasawuf tanpa feqah di mana seseorang itu yang berusaha menjaga hatinya sahaja, seluruh atau sebahagian dari syariat batin (amalan batin), tetapi menolak dan meninggalkan syariat lahir semua sekali. Katakanlah dia sangat menjagai hati dari hasad, dendam, pemarah, jahat sangka di samping menyuburkan kasih sayang, simpati, tawakal, tawadhuk, sabar dan lain-lain sifat mahmudah lagi. Namun dia tidak melaksanakan rukun Islam yang lima dan lain-lain lagi. Inilah orang yang berhakikat, tetapi menafikan syariat. Pada Imam Malik, orang ini dikatakan kafir zindiq, iaitu kafir secara tidak sedar. Apabila mati tanpa taubat, pun akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalam-nya. Wal’iyazubillah.

Dalam masyarakat hari ini banyak kita temui mereka yang memisahkan ajaran Islam dan beramal dengan salah satu daripadanya. Ada yang bersyariat sahaja. Ada yang berhakikat saja. Bahkan ada yang meninggalkan kedua-duanya sekali. Hal ini sebenarnya menyimpang dari ajaran Islam. Islam yang sebenar mesti diamalkan secara serentak di antara syariat dan hakikat. Apabila diamalkan, kita akan memperolehi hasilnya iaitu makrifatullah. Sama seperti sebiji buah, ada yang jadi kulit, ada isi dan ada rasa. Mana boleh kita pisahkan-pisahkan antara ketiga-tiganya? Semuanya mesti bagus, barulah kita dapat mengatakan buah itu sebagai bagus. Kalau kulitnya sahaja sudah busuk, tentu ia dibuang orang kerana buahnya itu sudah tidak bagus lagi.

Kesimpulannya, Islam seseorang itu hanya akan sempurna kalau dia mengamalkan syariat, tareqat dan hakikat secara serentak. Maka layaklah ia digelar taslim, yakni tunduk lahir dan batin. Sesiapa yang tidak demikian halnya maka Allah menempelak dengan firman-Nya; “Mereka bercakap dengan mulut mereka tetapi tidak seperti dalam hati-hati mereka.” -  Ali Imran: 167

Ciri-ciri ini adalah menyamai sifat orang munafik yang lahirnya lain, sementara di dalam hati pula lain. Inilah sikap yang paling perlu kita elakkan dalam hidup ini. Moga-moga kita diberi hidayah dan taufik dari Allah saw.
Elias Hj Idris
Oleh: rafie1357


Ada di antara orang yang baru berjinak-jinak dengan perjuangan Islam sering melemparkan tuduhan bahawa ahli sufi adalah jumud, tidak memahami jihad dan hanya duduk berzikir dengan tidak berjuang.

Mereka ini sebenarnya melakukan kesilapan besar dengan membuat tuduhan tersebut. Sebagaimana Ahli-ahli sufi merupakan pendakwah dan mujahid sebenar, tidak seperti mereka yang hanya pandai bercakap kosong tanpa amal.
William Ewart Gladstone (1808-1898)
 Beliau adalah bekas PM Britain pada zaman Queen Victoria

'Selagi mereka (umat Islam) berpegang dengan kitab ini,
selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka.
Oleh itu pisahkan mereka dari kitab ini'.

-  ucapan beliau sambil mengangkat kitab Al-Quran dalam Parlimen Britain
ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan Inggeris.


Mereka ini perlu mengimbau kembali perjuangan ahli-ahli sufi yang hebat seperti Shaikh Abu Hassan As-Syazili r.a. yang memimpin tariqat Saziliyah melawan kekafiran.

Berikut adalah sebahagian mereka yang patut dijadikan renungan dan i'tibar agar kita tidak buat sejarah dan buta perjuangan.

Penglibatan Golongan Sufi dalam Jihad Melawan Musuh-musuh Islam

*  Ahmad bin ‘Ashim Al-Antoki [Shofwah As-Shofwah oleh Imam Ibn Al-Jauzi]

*  Ibu Yusuf Al-Shaghuli: Beliau terlibat dalam peperangan dengan Rom [Shofwah As-Shofwah oleh Imam Ibn Al-Jauzi]

*  Abu Ishaq bin Al-Fazari [ibid]

*  Isa bin Abi Ishaq As-Sabi’ie [ibid]

*  Yusuf bin Isbath [ibid]

*  Abu Mu’awiyyah Al-Aswad (199 H)

*  Abdullah bin Al-Mubarak (181 H): Beliau terlibat dalam peperangan menentang tentera Rom [Tarikh Baghdad oleh Al-Khatib Al-Baghdadi 10/157]

*  Ibrahim bin Adham (162 H): Beliau terlibat dalam peperangan melawan tentera Byzantine malah meninggal dunia ketika menjaga di perbatasan perang [Al-Bidayah wa An-Nihayah 10/44]

*  Hatim Al-Ashom: Beliau seorang tokoh sufi yang terlibat dalam peperangan dan meninggal dunia di tempat perbatasan perang di atas bukit Sarwad. [Siyar A’laam An-Nubala’ 11/484]

*  Abu Al-Qashim Al-Qahthi: Beliau terlibat dalam peperangan melawan Byzantine bersama-sama dengan sebahagian ulama’ sufi yang lain [Ghayyah Al-Tholab fi Tarikh Halab 10/4591]

*  Imam Raslan (Arsalan) Ad-Dimaysqi (m: 541 H): Beliau terlibat dalam peperangan di Syam khususnya dalam melawan tentera salib. Antara karya beliau adalah Risalah At-Tauhid.

*  Imam Abu Al-Hasan As-Syazili (m: 656H): Beliau serta murid-muridnya terlibat dalam Ma’rakah Al-Manshurah (perang di Manshurah) pada tahun 647 H dalam melawan tentera salib. [Abu Al-Hasan As-Syazili As-Shufi Al-Mujahid Al-‘Arif biLlah oleh Dr. Abdul Halim Mahmud: 60]

*  Imam Abu Al-‘Abbas Al-Mursi r.a. (salah seorang murid Abu Al-Hasan As-Syazili). Beliau juga turut terlibat dalam peperangan melawan musuh Islam sama seperti gurunya. Beliau adalah guru kepada Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari [Wizarah As-Thaqofah Al-Mishriyyah 7/371]

*  Sultan Muhammad Al-Fateh As-Sufi Al-Hanafi Al-Maturidi. Banyak riwayat yang menceritakan sudut kesufian beliau. Beliau terlibat dalam membuka kota Konstantinopel daripada jajahan tentera salib.

*  Imam Al-Izz bin Abdil Salam (660 H): Beliau seorang ulama’ sufi yang mashyur hidup sezaman dengan Imam Abu Al-Abbas Al-Mursi dan sebagainya. Beliau terlibat dalam peperangan ‘Ain Jalut pada tahun 658 H. Sudut kesufian Imam Izzuddin jelas kerana beliau mengambil khirqah sufi daripada Imam Syihabuddin As-Sahrwardi (632 H). [Husn Al-Muhadarah 1/315]

*  Sultan Nuruddin Mahmud Zinki (569 H). Beliau seorang pemimpin Islam yang terlibat dalam melawan tentera salib dalam usaha untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman mereka. Beliau sendiri seorang yang sangat rapat dengan golongan sufi dan menghormati golongan sufi. [Al-Kawakib Ad-Durriyyah 1/38] Beliau memuji golongan sufi dengan berkata: “Mereka (golongan sufi) adalah tentera Allah dan dengan doa merekalah kita berjaya menewaskan para musuh” [Al-Bidayah wa An-Nihayah 12/281]

*  Sultan Solahuddin Al-Ayubi: Beliau terkenal sebagai seorang pahlawan dan pemimpin Islam yang membebaskan Al-Aqsa daripada cengkaman tentera salib. Adapun dari sudut kesufian beliau, maka memang tidak dapat dinafikan. Malah beliau bermesyuarat dengan para ulama’ sufi ketika berperang dengan tentera-tentera salib.

*  Imam Ali bin Maimun (917 H): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam banyak peperangan melawan musuh Islam [Syazrat Az-Zahab 8/81]

*  Al-Amir Abdul Qadir Al-Jaza’iri As-Sufi: Beliau terlibat dalam peperangan di Algeria dalam melawan penjajahan. Sudut kesufian beliau sememangnya tidak dapat dinafikan bagi mereka yang membaca riwayat hidupnya.

*  Al-Mujahid Muhammad Ahmad Mahdi (m:1885 M): Beliau mempelajari ilmu sufi sejak keci lagi lalu menjadi seorang murobbi sufi. Beliau terlibat dalam melawan tentera Inggeris ketika penjajahan di Sudan. [Hilyah Al-Basyr 2/801]

*  Al-Mujahid Umar Al-Mukhtar (m: 1931 M): Beliau seorang murobbi sufi bertariqat As-Sanusiyyyah. Beliau terlibat dalam peperangan melawan tentera penjajah khususnya di Libya lalu menemui syahid.

*  As-Sayyid Muhammad Abdullah Hassan (m: 1920 H): Beliau seorang murobbi sufi tarikat As-Salihiyyah As-Syaziliyyah. Beliau terlibat dalam peperangan menentang penjajah yang cuba menjajah Somalia. [Silsilah Alam Al-Ma’rifah Al-Kuwaitiyya 223 oleh Dr. Abdullah Abdul Razak]

*  Ahmad Arabi As-Sufi (1911M): Beliau terlibat dalam kebangkitan umat Islam dalam melawan penjajah. [Kitab Al-Islam wa Harakaat At-Taharrur Al-‘Arabiyyah m/s 42 oleh Dr. Syauqi Abu Khalil]

*  Sheikh Farhan As-Sa’di”: Beliau terlibat dalam peperangan di Palestin menentang penjajah Inggeris. Beliau dari keluarga As-Sa’diyyah Al-Jibawiyyah, suatu keluarga sufi di Palestin [Majalah Syu’un Falastin no 124 m/s 22]

*  Sheikh Izzuddin Al-Qassam (m: 1935 M): Beliau seorang sufi yang terlibat dalam jihad di Palestin. Beliau seorang sheikh bagi tarikat Syaziliyyah. Ayahnya juga seorang sufi yang sangat beriltizam dengan tarbiah sufi. [Kitab Al-I’lam As-Syarqiyyah oleh Zaki Muhammad Mujahid 2/139]

Briged Izzuddin Al-Qassam, Gaza Palestin

*  Sheikh Muhammad Badruddin Al-Hasani: Beliau berketurunan Imam Al-Jazuli. Beliau merupakan seorang murobbi sufi tarikat Qadiriyyah. Beliau terlibat dengan kebangkitan umat Islam melawan musuh-musuh Islam khususnya di Syria. [Tarikh Ulama’ Dimasyq 1/472]

*  Sheikh Muhammad Sa’id Al-Burhani (m: 1967 M): Beliau merupakan seorang murobbi tarikat Syaziliyyah di Damsyiq. Beliau terlibat dalam peperangan melawan musuh-musuh Islam dan penjajah di Syria [Al-‘Alaam 6/145]

*  Sheikh Abu Al-Yasar ‘Abidin An-Naqsyabandi: Beliau terlibat dalam perperangan melawan musuh Islam di Syria [Tarikh Ulama’ Dimasyq 2/969]

*  Sheikh Sufi Ali Ad-Daqar (m: 1943 M): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam pegerakan kebangkitan masyarakat Arab [Al-Islam wa Harakat At-Taharrur Al-‘Arabiyyah m/s147]

*  Sheikh Izzuddin Al-Jaza’iri (cucu Sheikh Abdul Qadir Al-Jaza’iri): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam jihad melawan musuh Islam [Tarikh At-Thaurah As-Suriyyah m/s 619]

*  Sheikh Muhammad Al-Hamid An-Naqsyabandi (m: 1969 M): Beliau juga seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam jihad melawan penjajah dan musuh Islam [Silsilah A’laam Al-Muslimin Dimasyq m/s 37]

*  Muhammad Abdul Karim Al-Khattobi: Beliau juga seorang ulama’ sufi yang terlibat melawan penjajah Perancis [Al-Maushu’ah Al-‘Askariyyah]

*  Sheikh Manshur Asyramah An-Naqsyabandi: Seorang tokoh sufi yang terlibat dalam peperangan di Chechenya dengan melawan tentera Rusia pada tahun 1971 M.

*  Sheikh Khos Muhammad Afendi An-Naqsyabandi: Beliau juga terlibat dalam peperangan di Chechenya.

*  Sheikh Fadhl Umar Mujaddidi An-Naqsyabandi: Beliau terlibat dalam jihad melawan British pada tahun 1921 M.

*  Sheikh Arsyad Thawil Al-Bantani (m: 1935 M): Beliau seorang ulama’ yang terlibat dalam jihad di Banten [rujuk tulisan Al-Marhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah]

*  Sheikh Abdul Shamad Al-Falambani: Beliau seorang ulama’ sufi yang turut terlibat dengan jihad melawan musuh-musuh Islam [rujuk tulisan Al-Marhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah]

*  Sheikh Raja Haji: Beliau antara tokoh sufi di tanah Melayu yang terlibat melawan penjajah di nusantara


Untuk makluman lanjut Sila lawat laman sahabat kami - http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/306
Elias Hj Idris
Ada 7 tingkat/maqam nafsu manusia mukmin yang membawa kepada tahap wali.

1. Nafsu ammarah;

2. Nafsu lawwamah;

3. Nafsu mulhamah;

4. Nafsu mutmainnah;

5. Nafsu radhiah;

6. Nafsu mardhiayyah;

7. Nafsu al-kamil.

Nafsu mutmainnah adalah peringkat awal buat mencapai maqam wali kecil sebagaimana firman Allah swt;

"Wahai nafsu mutmai'innah kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka-ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu ke dalam golongan hamba-hambaKu yang soleh dan masuklah ke syurgaKu."

Namun padanya tidak semestinya terzahir keramat yang luar biasa. Bezanya, orang seperti ini mula mendapat ilmu yang tidak payah belajar kerana dia semakin dapat mengesan akan rahsia-rahsia dari luh mahfuz.
Sifat padanya adalah jelas - murah hati dan tidak pernah lekat wang di tangan. Tawakkal dan syukurnya tinggi sekali, arif dan bijaksana. Orangnya kuat beribadat serta redha dengan segala ketentuan Ilahi . Sifat taqwanya paling tinggi.

Sifat-sifat dan maqam manusia mukmin dan wali ini semua ada dititipkan di blog ini di bawah tajuk 'Beza Nafsu Orang Awam & Wali'. Ini teman cuba selongkar kerana ingin mendapatkan pencerahan mengenai satu watak yang teman pernah temui 40thn yang lalu - sewaktu berusia 18 tahun selepas peristiwa 13 Mei.

Ciri-cirinya teman pernah tuliskan di sini ketika 'bertelagah' dengan seorang forumer di Tranungkite (TKO) di awal tahun dahulu - dalam masalah perihal wali juga apabila dia berkeras konon tuk gurunya itu seorang wali. Teman kata tidak - tuk gurunya bukan wali berdasarkan penemuan teman akan sifat watak tersebut yang begitu jauh - terutama dari segi zuhudnya, ilmu, dan amalnya yang terbukti; bukan setakat hal akhirat, tapi keduniaan juga.

Pakaiannya cuma ada 3 pasang - 1 dipakai, 1 disimpan dan 1 lagi dibasuh. Itu ketika dia di rumah 'anak tumpangan'nya di Temerlok, Perak. Sepanjang masa dia di rumah kami - cuma sepasang baju Melayu dan kain pelikat! Hasil daripada pengajaran ilmunya, dia dapat banyak wang, tapi takde di tangan. Malam-siangnya dengan pejam mata - penuh zikir; tanpa merungut walau apa sekalipun. Dia tidak pernah terkesan dengan apa jua pergerakan di sekeliling.

Dia tidak akan bercakap selain apabila ditanya. Ataupun pada masa-masanya apabila dia mengajar - dengan suara yang amat perlahan. Apabila ditanyai (teman saja yang berani bertanya) dia perlukan masa yang lama untuk 'sedar' kembali dari tenggelam zauknya (3 kali panggil yang biasanya memakan masa hampir 15 minit sebelum dia membuka mata - tanda dia bersedia untuk menjawab kemusykilan).

Kami tidak tahu masa bila dia tidur sebab tidak pernah sekalipun dia berbaring. Tempat duduknya juga tak berubah - di mana dia duduk, di situlah dia sampai balik; di muka pintu rumah kami.

Inilah Tuksu yang dimaksudkan: lokoih saja orangnya!
++ Gambar 1969 ++

Makan... kalau seminggu tu mungkin cekodok seketul. Nasi tak pernah dijamahnya.

"Tuk tak boleh makan nanti susah nak buang air," katanya perlahan dengan mata yang layu. Teman yang selalu mendesaknya kenapa tidak mahu makan? "Err... nanti kalau ke air mau setengah jam."

Teman tidak pasti apakah maksudnya? Itupun wajah cerianya yang kami dapat tengok - terlalu amat sedikit riak di wajahnya. Cuma ayah teman tahukan masalahnya itu.

"Paksu ini ada sakit buasir... lama bila nak sumbat masuk balik (ususnya yang terkeluar)," kata ayah.

Tuksu tidak akan menambah, sekadar memerhatikan kami dengan pandangan penuh kasih-sayang. Air kopi pun... separuh cawan sampai setengah hari tak luak.

Apabila malam Jumaat, kami semua beramal dan dengan wafaq zikirnya (di waktu ini dia mula nampak cerdas) dia hembuskan ke arah kami semua (dipermasukkan, atau diperkemaskan ilmu yang ada biar mantap). Berjam-jam lamanya. Dan paling bertuah jika di sepanjang amalan itu kalimah 'Lailahaillallah'nya itu bersekali (serentak) dengan sebutan kita ketika mengamalinya.

* Kalimah itu ada panjang lagi... iaitu zikir 'lahid' apabila menuju dan berada di medan juang'. Zikirnya itu meremangkan - naik semangat dan langsung tidak takut apa-apa pada sekelian yang 'baharu'. Rupa-rupanya di sebalik ucapan itulah bekalan kekuatan yang tiada bandingan. Contohnya, seakan 'naik syeikh' di mana kalau setakat 10-20 orang tu takde menjadi kudis sedikit pun. Pergerakan teramat tangkas - tanpa diketahui dari mana datang 'kuasa' luar biasa itu? Itu zikir 'lahid' punya penangan.

Nota:  Dalam ungkapan zikir munajat pun ada, tapi orang hanya biasa 'nyanyi' sahaja tanpa mengerti akan hikmatnya. Malang sekali.

Tanda kedatangannya - seminggu sebelum itu orang-orang di jalanan akan menemui seorang tua berjanggut, beserban dan berjubah putih menggunakan tongkat berjalan ke arah rumah. Tandanya yang jelas - jalannya dengkot - agak berjengket. Itupun menurut kata Tuksu disebabkan terkena 'pelak' apabila disepaknya kepala askar Jepun yang baru dipancung.

Dia sakit hati, "Kamu ni memang bangsa laknat... dah mampus pun masih dok terjege' kat aku lagi!"

Enam orang askar Jepun yang menjadi mangsanya ketika di Gerik - itulah saat perpisahan dia dengan isteri beserta buku catatannya yang amat berharga.

Bila orang tanya, lelaki berjubah yang jalan 'dengkot' itu kata nak pergi ke rumah cucu di sana. Kelakarnya, apabila orang kampung ketemu dengan ayah teman dan bertanya tentang orang tua itu, dia kata takde. Jadi, faham la itu tandanya dalam seminggu selepas itu baru dia sampai ke rumah.

Lagi sebuah kisah ialah perihal dia ditahan Inggeris di penjara Taiping sekitar tahun 1940an. Dek kerana nakalnya, pada waktu pagi selepas sarapan dan senaman dia akan keluar dari penjara. Bagaimana?

Dia akan mengajak kengkawannya, siapa yang mahu ikut; dengan melakarkan satu garisan berbentuk kapal terbang di atas tanah di kawasan lapang penjara. Sebaik mereka berdiri di atas garisan berkenaan mereka terus terbang naik ke atas melepasi tembok penjara.

Jet-packs yang ada sekarang, tapi Tuksu hanya perlu melukiskan
 satu garisan di atas tanah - merupai kapal terbang.

Apabila petang - sebelum jam 6.00 dia akan kembali semula.

"Tak boleh lewat nanti ketua warden penjara boleh tau sebab ada raw-call," cerita Tuksu sambil menyengih tanpa menampakkan giginya. "Kalau dia report kat ketua penjara... susah la lain kali depa letak tempat lain."

"Err... tempat lain yang camne?" teman bertanya.

"Huhh... dia boh dalam bilik la. Dok sorang-sorang. Hah... baru padan muka," jelasnya dengan wajah serius.

Teman rajin bertanya sebab kisah ini diceritakan oleh murid-murid tua beliau. Ayah teman pun ada juga bercerita. Jadi untuk pengesahan teman mesti bertanya sendiri. Namun daripada riak di air muka beliau - dia tidak berasa megah pun dengan kebolehan tersebut. Ia seolah-olah satu perkara biasa.

Selain itu teman tahu akan kehebatan pelbagai ilmunya yang lain lagi. Pun kami semua masih tidak berani untuk mengesahkan bahawa dia tu seorang wali. Kami cuma panggilnya tuk guru - guru penunjuk jalan.

Pada forumer gila TKO tu, dia pandai pusing; katanya tuk sami Siam atau Hindu pun biasa gitu - tak makan dan bertapa. Namun teman tak kecil hati... tidak penting siapa pun dia? Kalau benar wali pun itu adalah habuannya dan keberuntungan buat kami sebagai anak muridnya. Buat kami, ilmunya benar-benar memberi munafaat untuk dunia dan akhirat. Alhamdulillah, mana-mana murid yang asalnya macam 'hantu-setan' pun boleh jadi baik sebagai manusia berguna; paling berani walau dalam apa jua situasi.

Paling ketara... apabila nak mati; akan ada tanda-tandanya. Petanda adat yang cukup baik bagi sekelian murid tua yang telah pergi menemui Penciptanya. Alhamdulillah.

Di waktu umur 21 tahun di SMK Seri Gunung, Kelantan

Sudah 40 tahun teman laluinya - termasuk di Golok sewaktu umur baru 21 tahun apabila ada orang nak tembak (ya la nyawa teman, kononnya cuma 4 baht. Harga sebiji peluru!) - teman duduk dari jam 11.00pg - 4.00ptg di bawah pohon mangga di seberang sungai - di tempat ramai kaki seludup bawa turun-naik barang.

Bodo ada, bebal pun sama apabila main berani buta terjah ke tempat orang. Asalnya bukan bertujuan nak tunjuk berani, tetapi kerana berasakan diri itu di pihak yang benar. Bukan teman ada buat salah apa-apa? Err... apakah puncanya? Tentang bab itu biarlah rahsia. Itupun disebabkan salah sendiri juga kerana ingin berlaku jujur tidak kena pada tempat! Nasib takde apa-apa, kalau dibuatnya betul puak-puak tu datang, kan haru! Tiga hari sebelum itu di rumah, kaca pelapik 'side table' tu dah relai kena tumbuk. Semuanya angkara Cikgu Shuhaili dan Hassan yang memanaskan keadaan.

"Kamu datang ke tempat orang... usahkan berlagak ayam jantan," sindir Cikgu Shuhaili apabila melihat surat ugutan bertulis merah itu.

"Ya la... kamu releks je. Ada markah... sapu. Kamu buat macam aku," sampuk pula Cikgu Hassan.

"Abis sekarang sape susah?" Cikgu Shuhaili serius sambil mencemik.

Alhamdulillah takde apa-apa sepanjang hari itu walaupun saban minggu ada-ada sahaja orang yang mati ditembak di pekan Golok. Hairannya, tuan-tuan rumah di sekitar kawasan itu lengang entah ke mana menghilangkan diri. Gitu la ya...Tuhan pelihara dengan rahmatNya.


** Intro tentang guru ini, tentang apakah corak ilmunya itu sudah ada dalam buku 'Menyusuri Denai Di Hutan' dalam siri "Selangkah ke Alam Jin" terbitan SKAJ. Ia akan diperincikan jika terbit siri-siri yang akan datang. InsyaAllah.
Elias Hj Idris
Hati yang masih keliru...

8


SELEPAS  sebulan berpuasa, hari ini raya, namun tidak banyak persiapan yang dibuatnya. Sama seperti pada tahun-tahun yang lalu kebanyakan biskut dan hidangan lain mereka tempah sahaja. Cuma tart nenas dan biskut cokelat yang menjadi kegemaran Nur Anita buat sendiri. Maheran, anak saudaranya yang banyak mulut itu yang paling banyak menolong.

Dua hari sebelumnya Kamarul Izzat datang mengajak Nur Anita keluar. Mereka pergi ke The Mell dan Metro Lama di YoChuan Jalan Ampang untuk membeli sedikit pakaian. Kamarul Izzat menghadiahkan Nur Anita sehelai blaus dan sepasang baju kebaya moden warna merah kegemarannya. Selepas itu pada sebelah malam Kamarul Izzat pulang ke Ipoh untuk berhari raya bersama dengan kaum keluarganya di sana.

Awal pagi lagi Kamarul Izzat sudah menelefon untuk mengucapkan selamat hari raya. Pertama sekali Nur Anita tidak menduga yang tunangnya itu boleh bangun begitu awal. Atau mungkin juga Kamarul Izzat langsung tidak tidur hingga ke pagi. Manakan tahu apabila bertemu dengan sanak saudara dan teman-teman lama yang masing-masing ikut sama pulang ke kampung.

Pun begitu Nur Anita tidak banyak bertanya. Dia sekadar mengirimkan salam pada ibu, ayah dan Shahirah, adik Kamarul Izzat. Lagi pun Nur Anita sedang sibuk menyediakan hidangan untuk ayah dan anak-anak buahnya yang hendak pergi ke mesjid.

Pada sebelah tengah hari Nur Anita pergi sebentar ke rumah Kak Bedah di seberang jalan. Dia pergi bersama Leita dan Maheran. Di sana pun ada ramai keluarganya dari Shah Alam dan Banting datang berkumpul. Nur Anita masih tidak ketinggalan menjadi bahan usikan mereka. Semuanya gara-gara kisah pertunangannya dengan orang Ipoh.

“Nanti kena belajar makan tempoyak,” kata Pak Uda dari Jugra.

“Dah biasa makan pun...,” jawabnya sambil tersenyum.

“Huhh... belum cukup. Tempoyaknya ada masak cara lain... campur dengan cili.”

“Nanti boleh belajar... masak aje la dengan cili.”

“Masak gulai tempoyak, tau!”

Nur Anita menggeleng.

“Kawannya mesti dengan ikan sungai... lampam, temoleh atau baung.”

“Sedapnyee...” keluh Nur Anita sambil menelan liurnya.

“Kena campur sikit cili. Batang serainya kena lebih.”

“Aii... Pak Uda, kan ke mak mertua tu ada. Bila lagi nak manja-manja dengannya. Boleh belajar dengannya nanti.”

“Untung la kamu.”

Nur Anita tersengih.

Maheran mencebik. Sementara Leita, adiknya yang banyak mulut itu merungut-rungut terus pergi ke dapur. Memang selalunya, dia mesti ada-ada sahaja yang tidak kena dengan kakaknya itu. Mungkin terkena penyakit iri hati, sedangkan kekasihnya si Midun tu masih belum juga masuk meminang.



KETIKA pulang ke rumah Rosmaniza memberitahu bahawa Jeff baharu sahaja menelefon. Nur Anita tidak pasti dari mana? Mungkinkah Jeff masih di Labuan? Atau dia sedang berada di Kolumpor dan berhasrat untuk menemuinya. Mungkin. Sebaliknya, Jeff tidak pun bercakap banyak kerana Nur Anita tiada di rumah. Kemudian dia terpandangkan dari dalam cermin pada rantai leher pemberian Jeff yang masih dipakainya.

Nur Anita memegang loketnya, sebutir berlian. Dia menggeleng sambil bibirnya berdecit.

Kemudian pada waktu malam Roy pula yang menelefon. Lama mereka berbual dan bekas teman sekolahnya itu mempelawanya supaya pergi ke Ipoh.

“I pergi ambil you kat sana, okey...,” Roy menyatakan kesanggupan. “Boleh la I pinjam kereta kakak saja.”

“Tak usah la.”

“Kenapa? Kan dah lama kita tak jumpa.”

“Ni pun kan you dah call... kita dah cakap....”

“Err... tak sama, kan!”

“Alaa... kalau jumpa pun sama juga. Apa pun yang dapat dibuat... kita kan berbual juga.”

“Err... dapat tengok wajah you. I suka.”

“Sama macam dulu-dulu juga,” Nur Anita cuba berdalih.

“Sekarang tentu dah lebih bertambah ayunya....”

Masing-masing terdiam. Malayani angan-angan.

“I selalu merindui tahi lalat halus yang kat tepi bibir tu,” Roy bersuara. Mengusik.

“Ooo... rindukan tahi lalat aje!”

“Mula-mula tu memang la kat tahi lalat... kemudian kat orangnya.”

Nur Anita terhibur sebenarnya apabila mendengar celoteh Roy. Agak sudah semakin kerap Roy pulang bercuti, fikirnya. Nur Anita percaya Roy pulang agak kerap kerana melihat ibunya yang kurang sihat sejak kebelakangan itu. Keadaan ibunya terkesan sejak kematian suaminya dalam runtuhan apartmen tersebut.

Anehnya, kenapa Roy tidak menghubunginya ketika masih di ibu kota semasa dalam perjalanan pulang ke Ipoh?

“Ari tu pun tak boleh singgah kat sana sebab anak kakak yang belajar kat universiti tu ikut sama balik,” jelas Roy seakan-akan tahu apa yang dimusykilkan.

“Ooo... Mazidah tu dah masuk universiti,” Nur Anita teringatkan anak saudara Roy yang sering menemaninya berbual-bual ketika bertandang ke rumah Roy ketika masih bersekolah di Ipoh. “Dah besar pun dia sekarang.”

“Err... dia semakin besar dan kita pula semakin tua.”

“Siapa yang tua?” Nur Anita menyergahnya.

“You....”

“Ermm... baru dua puluh tiga.”

“Lagi dua tahun ye.”

“Apa?”

“Kita bertunang....”

Nur Anita tersentak. Diam.

“Hahh... kenapa diam?”

“Err... takde apa-apa.” Nur Anita mula runsing apabila hal-hal seperti itu diungkitkan.

Apabila diinga-ingatkan, dia terasa amat bersalah kerana terjebak dalam suasana memainkan perasaan orang. Dia bukan setakat bercinta tiga segi, tetapi banyak segi - di mana pancangnya ialah Roy, Jeff dan tunangnya sendiri, orang muda dari Ipoh itu. Dia tidak menyintai Kamarul Izzat sejak mula, tetapi apabila lelaki itu menjadi tunangannya, maka dia terpaksa berusaha untuk cuba menyayanginya.

Dalam masa berusaha itu Nur Anita masih terus-terusan bermain api. Kenapa Nur Anita tidak mempunyai kekuatan untuk menjelaskan? Kenapa dia tidak mahu berterus-terang sahaja dengan Roy, kemudian dengan Jeff juga agar keadaan tidak terus merimaskan? Biar mereka tidak terus-terusan mengharap. Ia tidak bertujuan melukakan.... Sekurang-kurangnya, biar mereka sedar bahawa dia sudah bukan calon harapan mereka lagi.

Pada sebelah petangnya Nur Anita pergi ke Lapangan Terbang Subang kerana percayakan Kamarul Izzat akan pulang dari Kuala Terengganu. Dua hari sebelumnya dia pergi ke Kelantan dan terus ke Kuala Terengganu menurut kata teman sepejabatnya. Nur Anita cuba menghubungi telefon bimbit tunangnya, tetapi tiada liputan. Jadi Nur Anita meminjam kereta Abang Leman kerana percaya Kamarul Izzat tentu tiada kenderaan untuk pulang ke rumah dari lapangan terbang itu nanti.

Walaupun Kamarul Izzat tidak meminta dia berbuat demikian, tetapi Nur Anita bersimpati dengannya. Dia pun percaya mungkin Kamarul Izzat sedang terburu-buru dan tidak sempat untuk memberitahunya. Mungkin.

Sambil itu hatinya turut berkata-kata sendiri. Kamarul Izzat pergi ke Kelantan dan Terengganu bukan atas urusan syarikat. Sebaliknya, dia pergi bercuti selama tiga hari. Mungkin dia masih marah berhubung dengan peristiwa sewaktu pemergian mereka ke Singapura di minggu yang lalu. Mungkin dia masih marah sebab Nur Anita bawa Rosmaniza dan Sharmaine juga ikut bersama.

Nur Anita sedar Kamarul Izzat mempunyai tujuan lain ketika berkunjung ke negara di seberang tambak itu. Dia masih mencari jalan untuk cuba mengecek. Dia masih tidak berputusa harap sambil mengintai madu yang ingin dihirupnya. Dan sekonyong-konyong rahsia terbocor apabila Nur Anita menghubungi Kamarul Izzat di pejabat. Dia ingin bertanyakan perihal pakaian pengantin yang akan disewa untuk hari perkahwinan mereka. Rupa-rupanya Kamarul Izzat telah pergi bercuti secara senyap-senyap!

Hampir lima jam Nur Anita di Lapangan Terbang Subang. Setiap penerbangan dari Kuala Terengganu dia tetap menunggu ketibaannya. Setiap pengumuman mengenai ketibaan penerbangan domestik membuatkan Nur Anita sering berdebar-debar. Dia seakan terasa-rasa yang Kamarul Izzat akan muncul di pintu besar balai ketibaan.

Namun dia hampa jua kemudiannya. Kamarul Izzat tetap tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya lelaki itu pulang dengan kereta. Soalnya, dia menumpang kereta siapa? Paling menarik Kamarul Izzat pulang dengan siapa?

Nur Anita cuba menghubunginya lagi, tetapi sayang talian telefonnya dimatikan pula.
Elias Hj Idris
Coretan ini benar-benar menyentuh perasaan tentang hak dan kehendakNya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullullah saw bersabda: “Pada zaman Bani Israil dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa, sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, dia menyarankan rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya."

Suatu ketika, ahli ibadah itu berkata lagi, “Berhentilah daripada perbuatan dosa.” Ahli maksiat pun menjawab, “Jangan pedulikan aku, terserah kepada Allah yang akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi setiap apa yang aku lakukan?” Ahli ibadah membalas, “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.”

Setelah kedua-dua ahli ibadah dan ahli maksiat itu mati, Allah swt telah menghakimi kedua-dua mereka di hadapanNya. Allah swt menyoal ahli ibadah, “Adakah kamu lebih mengetahui daripadaKu? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang berada dalam kekuasaanKu?” Kemudian, Allah berfirman kepada ahli maksiat, “Masuklah kamu ke dalam syurga berkat rahmat-Ku.” Sementara kepada ahli ibadah dikatakan, “Masukkan orang ini ke dalam neraka.”

Panas di matahari seakan-akan gejolak di api neraka Allah.

Inilah tazkirah seorang imam solat Jumaat yang mengupas tentang hadis ini. Katanya, Allah menghukum ahli ibadah tersebut masuk ke neraka kerana dia telah berbuat syirik kepada Allah dengan menentukan seseorang masuk ke neraka. Ini kerana kuasa menghukum adalah hak mutlak milik Allah dan bukan sekali-kali hak manusia yang tidak berkuasa atas makhluk yang lain.

Melihatkan hal ini, adalah diyakini dengan seorang penulis buku “kami pendakwah, bukan penghukum” kerana kecenderungan kebanyakan muslim yang mengaku dai’e. Ini bukan kali pertama kita mendengar komentar-komentar tentang dai’e penghukum.

Melihat hal ini, kita sangat yakin bahawa seorang daie yang terpelihara dari sikap menghukum pastilah seorang daie yang dipelihara Allah. Apabila melihatkan hal ini, adalah baik sekali kiranya kita semua tergolong dari kalangan daie yang Allah beri penglihatan dari mata hati. Biar kita semua mampu melihat dari persfektif rabbani dan bukan dari perspektif kita sendiri-sendiri.

Amat beruntung bagi orang-orang yang mengamalkan doa akhir ma’thurat, “wala takkilna ila anfusina torfata aini wa aqolla min zalika ya ni’mal mujiib - Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri; walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah memperkenankan permintaan (perkenankanlah).”

Golongan rabbani yang mampu melihat dari perspektif Rabbani hanya lahir daripada orang-orang yang mukhlis. Bagi mencapai ke tahap orang yang mukhlis walaupun merupakan impian banyak orang bukanlah satu perkara yang mudah. Salah satu perkara yang mesti dibuat untuk tetap menjadi ikhlas kerana Allah adalah memperbaharui niat dengan beristighfar.

Dari Abu Hurairah ra, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya aku mohon ampun dan bertaubat kepada Allah lebih daripada 70 kali dalam sehari” -  (HR Bukhari)
 
Rupa-rupanya kita sering tersilap - bertindak mengambil hakNya secara wewenang. Kita dengan celupar mudah sekali menghukum orang.

Astaghfirallah-al Aziim. Allazi Laailaha-illallahu-walhayyul-qayyum waatubu ilaih. Laahaula wala quwwatailla billahil-'aliyyil 'aziim. Tiada daya dan kekuatan hamba melainkan denganMu ya Allah.
Elias Hj Idris
7.  Ahli Nafsu al-Kamil

Setiap orang yang hendak mencapai ke taraf nafsu al-kamil ini mestilah melalui proses perjalanan nafsu yang lain satu demi satu, iaitu dimulai dengan nafsu ammarah, kemudian lawwamah, mulhamah, dan seterusnya. Inipun jika dibuat mengikut adab tarbiah secara teratur. Lain pula dengan orang majzub di mana mungkin dia terlipat atau melangkah laluan dengan cara cepat, tetapi dibimbangi dia tidak akan mencapai taraf 'insan kamil'. Ia disebabkan tiada istiqamah dalam perjalanannya itu.

Namun begitu ada jalan yang lebih baik dan lebih teratur dari itu, iaitu jalan tarbiah guru melalui suluk campur jazbah. Inilah laluan terbaik dalam dunia suluk dan tarbiah seperti yang terdapat pada tariqat Ahmadiah, Nakhsyabandiah dsb.

Oleh itu bagi sesiapa yang ingin mencapai maqam nafsu al-kamil ini bukan mudah. Ia memerlukan semangat yang tinggi hemah dan berani menempuh laluan sukar dan susah sekali. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani sendiri pun melalui tempoh lebih 30 tahun bagi mencapainya. Hanya dengan kehendak Allah sahaja ada orang yang dapat mencapainya dalam masa yang agak singkat.

Maqam nafsu al-kamil ini adalah yang tertinggi dan paling istimewa di antara sekelian maqam wali-wali yang ada di atas muka bumi ini. Ia dapat menghimpunkan antara batin dan zahir atau antara hakikat dan syariat. Maka ia dinamakan 'baqa-i-billah' atau 'kamil-mukamil' atau insan nan kamil, di mana ruh atau hatinya kekal dengan Allah, tetapi zahir tubuh kasarnya bersama dalam pergaulan orang ramai. Dia menjadi pemimpin yang membentuk masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah; sama seperti khalifah khulafa ar-Rasyidin pada zaman tersebut.

Hati mereka yang seumpama ini kekal dengan Allah, sama ada sewaktu tidur atau jaga kerana mereka dapat musyahadah dengan Allah dalam setiap ketika. Maqam 'baqa-i-billah' ini tidakkan dapat dinilai dengan apa jua kejadian di atas alam ini biar emas sebesar dunia sekalipun. Ia adalah maqam khawas al-khawas. Maka di ketika itu, sekelian gerak-geri mereka, tutur kata, tidur-jaga mereka, makan minum, berak-kencing mereka dan segala kelakuan adalah ibadat semata-mata.

Rasul-rasul dan para nabi serta wali-wali besar adalah terdiri dalam golongan maqam 'baqa-i-billah' atau maqam nafs al-kamil ini belaka. Cuma pangkat rasul tentulah lebih tinggi daripada nabi seperti taraf rasul dengan maqam risalah ibarat berlian dengan maqam nubuwwah ibarat intan.

Sifat-sifat budi utama yang terhasil daripada benih nafs al-kamil ini adalah paling istimewa dengan sifat keruhanian murni dengan perangai terpuji seperti maqam-maqam nafsu yang terbaik seperti yang telah dihuraikan terlebih awal. Syurga bagi mereka ini adalah yang paling istimewa; ibarat emas bermutu sepuluh.


Kesimpulan daripada Kaedah Sufiah

Daripada penjelasan yang telah diberikan di atas sana maka dapatlah kita membuat kesimpulan tentang sesuatu kaedah itu begini;

*  Setiap rasul adalah nabi;
*  Setiap nabi adalah wali; dan
*  Setiap wali adalah orang-orang sufi. 

Oleh itu rasul adalah orang sufi lagi wali dan nabi!

Jadi tidaklah dapat diandaikan nabi jika dia bukan wali; tidak boleh dikatakan wali jikan dia bukan seorang sufi. Oleh itu, maka rasul mestilah seorang sufi mengikut pengertian bahawa rasul itu adalah benar-benar berhati keruhanian yang sufiah tanpa mengira dari mana datangnya asal-susul perkataan sufi itu.

Kesimpulan daripada Maqam Nafsu dan Pembalasannya mengikut Lojik Sufiah

Daripada penjelasan di atas maka dapatlah kita fahami bahawa golongan ahli syurga itu terdiri daripada orang-orang yang keimanannya bermaqam-maqam dalam darjah nafsu dan makrifatnya. Jadi, ahli syurga terdiri daripada mereka dari maqam-maqam berikut;

1.  maqam berlian;
2.  maqam intan;
3.  maqam emas sepuluh;
4.  maqam emas sembilan;
5.  maqam emas lapan;
6.  maqam emas tujuh;
7.  maqam suasa (tuasa); dan
8.  maqam perak.

Selain daripada golongan ini, kesemuanya adalah ahli neraka belaka kecuali mereka yang mendapat rahmat besar dan keampunan daripada Allah azza wa-jalla.

Redha untuk menerima hukuman dunia
demi keselamatan daripada api neraka Allah

Ya Allah, ya Tuhanku! Ampunkanlah kami dari golongan orang-orang awam yang banyak berdosa ini. Kalaulah tidak dengan rahmatMu maka celakalah kami sekeliannya di akhirat nanti.

Bagi orang-orang kafir yang telah musnah keimanannya di atas dunia ini (di negara nafsu!) samalah seperti sekumpulan telur tembelang yang tidak boleh diperbaiki lagi. Hendak digadai tidak laku, jika hendak disedekahkan pun orang tak sudi. Maka tempatnya yang paling wajar adalah dilontarkan jauh-jauh agar busuknya tidak mengganggu kehidupan. Maka tempat si kafir adalah di dasar kawah neraka jahannam buat selama-lamanya. Wali-ya'uzubillah--minzaalik.

Demikian hikmat Allah swt yang terlalu sangat rahsia. Allah jadikan syurga yang berlapis-lapis mengikut kadar darjah maqam-maqam nafsu dan demikian juga dengan tingkat-tingkat di nerakaNya. Jadi, untuk menilai diri kita sendiri ukurlah dengan apa yang kita telah lakukan sekarang? Ke mana kita akan pergi? Elok ditanyai juga adakah kita ini dari golongan orang-orang yang akan bernasib baik?

Jika tidak, maka buruklah akibatnya di akhirat itu nanti.


Nota:  Segala yang baik-baik itu dari Allah swt; manakala yang buruk datang dari diri sendiri kesan onar setan & iblis yang ada di sisi. Astaghfirullah-al 'aziim.
Elias Hj Idris
5.  Ahli Nafsu Radhiah

Dalam membicarakan tingkat nafsu mutma'innah sebelum ini, jelas ditunjukkan bahawa orang-orang berkenaan telah mencapai ke taraf wali. Sedangkan nafsu Radhiah ini pula dimiliki oleh mereka yang telah bertaraf wali di peringkat lebih tinggi maqamnya. Ia dinamakan radhiah kerana selain ia berjaya mencapai kejilahan dan kejernihan hati yang kukuh-teguh - pegangannya kejap di dalam dengan perasaan redha akan segala ketetapan Allah swt.

Usahanya bukan mudah - semudah benda yang boleh disumbatkan begitu sahaja ke dalam sarang kalbu. Ia takkan tercapai tanpa sifat kelelakian yang benar-benar berhemah tinggi dalam perjuangan mujahadah dan ibadat buat mencapai maqam nafsu mulia mengikut kaedah sufiah.

Oleh yang demikian, tabiat mereka yang berada di maqam ini amat luar biasa - tidak langsung takut akan bala' Allah dan tidak tahu gembira dengan segala nikmatNya. Apa yang diketahuinya cuma keredhaan pada Allah dan hukumanNya. Di mana gentar-gembira atau bala nikmat Allah itu sama jua pada dirinya.

Baginya, segala masalah keduniaan ini sama sahaja. Wang ringgit setaraf dedaunan kayu, emas seakan ketulan tanah kering yang tidak bermakna. Malah segala kesengsaraan hidup atas dunia ini jauh daripada melekat ke dalam hatinya.

Firman Allah swt;

"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang- orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa." (QS. Yunus : 62-63).


Kenapa hati mereka sampai begitu sekali?

Puncanya kerana segala nafsu mereka telah terkikis dari akar-umbinya akan segala karat cemar dan sinaran nur syuhud yang menghimbau mereka kepada ma'rifat - yang datang bertalu-talu masuk ke dalam hati nurani mereka yang sentiasa kemas waja itu.

Alam di sekeliling laksana cermin yang mana mereka boleh 'nampak' Allah di dalamnya pada setiap ketika sebagaimana maqam musyahadah yang terdapat dalam 'al-ihsan'.

Maqam ini digelarkan wali Allah dalam martabat orang khawas, iaitu sebungkah emas bermutu lapan. Syurga baginya adalah terjamin. Jadi di antara sifat keruhanian yang timbul daripada benih radhiah ini ialah;

1.  Zahid;
2.  Ikhlas;
3.  Wara';
4.  Meninggalkan segala perkara yang bukan kerjanya;
5.  Menunaikan dan menepati segala hukum Allah swt; dsb.

Wali yang berada di maqam ini dapat mengecap nikmat akan sifat budi yang luhur dan sifat keruhanian yang tinggi pada setiap ketika.

Sedia tunduk dan sujud di hadapan Allah swt biarpun di mana jua!

6.  Ahli Nafsu Mardhiah

Maqam ini adalah maqam wali yang tertinggi, lebih tinggi daripada maqam radhiah. Nafsu mereka dan segala hal atau segala apa jua baik percakapan atau lakonan perbuatan yang terkeluar dari diri mereka itu sentiasa diredhai dan diakui oleh Allah swt.

Oleh yang demikian jadilah jiwa, perasaan, lintasan atau khuatir hati mereka, gerak-geri, penglihatan, pendengaran, percakapan, pancaindera, gerak-laku - penumbuk dan tendang-terajang mereka, ludah-liur dsb sentiasa sahaja berada dalam keredhaan Allah semata-mata.

Sabda Baginda Rasulullah saw dalam sebuah hadis Qudsi;

"Sentiasalah hambaKu berdampingan dirinya kepadaKu dengan mengerjakan ibadat sunat hingga Aku kasihkan dia, maka apabila Aku kasihkan dia nescaya adalah Aku pendengarannya, yang mana yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengan Dia, penampar tangannya yang dia menampar dengan Dia, berjalan kakinya yang dia berjalan dengan Dia dan fikiran hatinya yang dia berfikir dengan Dia".

Ia bermakna setiap gerak-laku yang timbul daripada wali-wali seperti ini kesemuanya adalah dengan keredhaan dan izin Allah semata-mata. Oleh itu maka timbullah dari sisiNya perkara-perkara yang ganjil, ajaib dan luar biasa pada pandangan orang awam seperti berjalan di atas air ataupun terbang di udara; pergi ke Mekah dengan sekelip mata dsb. Dan kerap kali sesetengah daripada tingkah-lakunya terjadi sebagai tanda kenyataan Allah atau takbir Allah.

Nota:  Ini perlu diawasi sebab timbul kecenderungan yang mengatakan hal ini sebagai sesat!

Demikian dengan kisah Nabi Isa a.s. yang pergi ke kubur orang mati lalu berkata dengan isyaratnya sekali, "Berdirilah engkau dengan izin Allah!' Maka mayat dalam kubur itu lalu bangun berdiri dan berjalan hidup-hidup.

Kisah seperti in juga berlaku pada diri Syeikh Ahmad bin Idris, imam tariqat Ahmadiah, iaitu pada suatu hari datang kepadanya seorang suami yang mengadu hal tentang kematian isterinya yang dipukulnya tanpa sedar dan menyebabkan dia lalu menyesal tidak terkira. Maka syeikh itupun berasa amat belas-kasihan lalu pergi ke tempat isteri yang telah mati itu. Dia berkata, "Bangunlah engkau dengan izin Allah!" maka bangunlah si mayat itu dan hidup kembali.

Satu lagi kisah yang berlaku terhadap Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, iaitu ketika dia sudah selesai makan dan tertinggal di hadapannya sisa-sisa tulang ayam. Maka dia menyeru kepada tulang-tulang itu dengan berkata, "Hai tulang..., jadilah engkau ayam kembali!" Maka tulang-tulang itu terkumpul lalu jadi ayam yang berdiri hidup-hidup. Ia diperhatikan oleh ibu seorang budak suruhan syeikh dengan keadaan yang pelik.

Mengapa segala keganjilan in boleh berlaku?

Ia disebabkan oleh ucapan-ucapan oleh orang yang berada di maqam wali ini (mardhiah) telah diredhai dan diizinkan oleh Allah swt. Satu lagi perkara yang harus diingat, apabila berada di hadapan orang-orang seperti ini jangan sekali-kali bersikap celupar - dengan mengata atau berbuat sesuatu yang boleh menyinggung rasa hatinya. Ia dibimbangi akan terkeluar dari mulutnya ucapan yang kelak diredhai Allah - maka celakalah jawabnya.

Imam tariqat Ahmadiah Sidi Syeikh Ahmad bin Idris rahmatullah, yang amat masyhur akan keramatnya (wafat 21 Rajab 1253H) itu berkata;

"Permulaan tariqatku ialah 'gila' diperkatakan orang.
Di pertengahan jalan, datang bermacam-macam ilmu pemberian Allah dengan tidak perlu belajar.
Dan di akhir tariqatku ialah 'kun fayakun' - maka datang bermacam-macam keramat jika dikehendaki."

Maka dengan huraian di atas tadi, maka terang dan jelaslah kepada kita akan maksud daripada kata-kata hadis Qudsi yang mengenai cerita keramat itu tadi.

Bagi orang yang telah mencapai ke mawad mardhiah, mereka digelarkan wali Allah dalam martabat 'khawas al-khawadh', iaitu wali Allah dalam martabat yang paling istimewa dari kalangan wali-wali yang lain. Dia ibarat emas bermutu sembilan - maka syurga buatnya adalah jaminan.

Sifat-sifat budi dan keruhanian yang timbul daripada benih mardhiah ini ialah;

1.  Elok dan tinggi sekali budi atau kesusilaannya, seumpama para nabi;
2.  Lemah-lembut dalam pergaulan dengan masyarakat ramai sebagaimana tingkah-laku para nabi;
3.  Sentiasa berselera untuk berdampingan dengan Allah;
4.  Hatinya sentiasa terfikir dan terarah akan kebesaran Allah;
5.  Redha dan rela dengan setiap pemberian Allah.

Bersambung... yang ke-7, iaitu Insan Kamil.
Elias Hj Idris
Bahasa Siam merupakan bahasa yang telah cukup lama dan digunakan sejak zaman berzaman. Ia boleh menafsirkan beberapa sebutan yang mana tidak ada makna langsung dalam bahasa Melayu hari ini. Ada pakar bahasa mengatakan ia adalah bahasa Pali yang kini sudah pupus penggunaannya. Bahasa Pali membawa kepada bahasa Kawi membawa kepada jawi dan akhir sekali rumi seperti tulisan yang ada di blog ini. Begitu uniknya bahasa Siam yang digunakan oleh Kerajaan Siam Islam Kedah.



Padang Arafah:
Perhimpunan Agung Tahunan Sedunia Bagi Segenap Bangsa

Demikian sedikit jati diri Melayu yang telah hilang dan ditinggalkan. Apa yang ada cuma versi sejarah Inggeris dan putar belit Tengku Ahmad Tajuddin Kedah si pengkhianat itu.

Kita tinggalkan dulu bab sejarah. Ni cerita raya la pula. Masing-masing tengah dok kampui balik kampung. Ada yang dah sampai dok sibuk buat persiapan - beli daging dan masak rendang. Pun ada yang masih shopping lagi walaupun raya puasa dulu siap memborong sakan. Apa pun takpe asalkan bahagia; cuma nafsu tu usah diturutkan - kurangkan sikit. 

Teman, jika takde aral melintang... ari ni kot nak beransur balik. Entah dan ke idak nak amik buluh lemang kat Beruas tu? Puasa ari tu banyak tumbuh batang baru... ni dah sedang molek la tu untuk lemang.

Apa pun maaf zahir & batin... maaf mana yang terkasar dan termakan hati. Kot-kot terlanjur kata dalam blog dengan cara tidak sengaja. Jika tidak dimaafkan sekarang, nanti kita akan berbicara di depan Rabbul-Jalil dalam satu perbicaraan yang panjang - ribu... ribu... ribu tahun akhirat.

p/s  Ari ni 'kita' baru nak puasa 'Arafah walaupun jam 10-11pg ni tadi para jemaah dah mula melontar di Jamrah Aqabah. Dan... wat korban. Always Malaysian style punya ibadah!

Selamat Hari Raya; maaf zahir batin

Elias Hj Idris
http://ikanlepu.blogspot.com/
elidri52@yahoo.com
elias@kl-enroute.com
Elias Hj Idris
Renungan sebagai tanda masih curiga...

SEMINGGU kemudian Kamarul Izzat membawa Nur Anita pergi ke Singapura. Tujuannya adalah untuk membeli barang-barang keperluan buat persiapan perkahwinan mereka. Ada beberapa orang lagi yang ikut sama, termasuk kawan-kawan Kamarul Izzat. Mereka sengaja ke sana untuk pergi berjalan-jalan sambil makan angin. Ada di antaranya yang Nur Anita mulai perasan agak nakal-nakal juga.
Pada mulanya ibunya agak keberatan untuk melepaskan Nur Anita pergi. Tetapi, Pak Bandar yang mententeramkannya. Dia meminta Rosmaniza, sepupu Nur Anita ikut sama buat menemankan. Nur Anita turut mengajak seorang kawan, Sharmaine. Dengan adanya mereka, dia akan berasa akan lebih selamat. Sebelumnya, Nur Anita berjaya mengelak daripada melakukan perbuatan terkutuk ketika mengikut Kamarul Izzat pergi ke Genting Highlands.

Dia juga berjaya mengelak daripada dipengapakan ketika Kamarul Izzat mengajaknya ke kompleks peranginan di Selesa Homes, Bukit Tinggi. Kini dia berharap akan dapat mengelaknya lagi. Apa pun dia tidak mahu terpaksa tidur sebilik dengan Kamarul Izzat pula. Dari sudut agama ia boleh dituduh sebagai perbuatan khalwat. Jika di kalangan muda-mudi sekarang ia boleh dikira sebagai kolot.

Sedih, mengelak sesuatu yang ditegah oleh agama dikira sebagai kolot; Apakah manusia yang ada pada hari ini manusia ataupun haiwan? bisiknya setelah teringat akan cerita kawan-kawannya yang biasa mengalami keadaan dan nasib sedemikian. Ada pula dek kerana tidak mahu dianggap kolotlah maka akhirnya terpaksa menangis seorang. Mereka ditinggalkan begitu sahaja setelah habis manisnya madu.... dan buat sang lelaki sepah itu bisa dibuang begitu sahaja!

Namun Nur Anita masih cuba untuk memusatkan perhatian dan perasaannya terhadap Kamarul Izzat. Mungkin dengan cara itu dia akan dapat membenih kasih yang tidak berbelah bahagi. Ia teramat penting buat seseorang gadis yang telah membuat keputusan untuk berkongsi hidup dengan seseorang lelaki dalam satu perkongsian alam rumahtangga. Kata hati diikat; susah senang sama dirasa. Berat-ringan sama-sama dipikul, salah-silap saling memaafkan. Lantaran tentu masih ada banyak sikap dan keistimewaan pasangan yang masih belum diketahui sepenuhnya.

Kamarul Izzat memandu kereta syarikat yang telah diterimanya. Rosmaniza dan Sharmaine ikut berada dalam kereta yang sama. Jadi, Kamarul Izzat jelas tidak bereluang untuk merengek. Mereka pula pandai meriuhkan suasana. Sharmainelah yang paling kerap dan gemar sekali mengusik Kamarul Izzat.

"Berapa anak yang you mau, Izzat?" Sharmaine bertanya selamba.

"Err... mestilah ramai untuk bantu I di masa tua nanti," jawab Kamarul Izzat sambil tersengih.

"Ooo... maknanya you tak ikhlas la," Sharmaine tersenyum sambil menjeling Rosmaniza di sebelah.

"Kenapa pulak?" Kamarul Izzat serius.

"You nakkan anak sebab ada muslihat."

"Bukan muslihat tu..., dia dah tau takkan kuat dan 'smart' macam sekarang ni lagi," Rosmaniza tiba-tiba mencelah.

Kamarul Izzat tersengih sambil menjeling Nur Anita di sebelahnya. Tunangnya sekadar tersenyum sambil memandang keluar.

"Sepatutnya... anak itu amanah. You kena didik dia agar jadi manusia berguna," jelas Sharmaine, anak keturunan 'mummy' Pulau Pinang itu menempelak.

"Apa selama ini ibu-bapa yang lahirkan anak dan besarkan mereka tu gagal," Kamarul Izzat seakan rasa tercabar. "Anak-anak tu jadi manusia tak berguna. Gitu!"

"Yeah... mungkin gagal. Pada zahir saja nampaknya anak mereka berjaya... periksa dapat 'A' dalam semua subjek, bijak berbicara dan apabila besar pandai bergaya dan masuk universiti hebat belaka."

"Abis tu?"

"Pernah tak kita terfikir, macam mana nak lahirkan anak yang sesuai dengan kehendakNya?" Sharmaine serius macam ustazah di sekolah.

"KehendakNya yang macam mana?"

"Tidak Kujadikan jin manusia melainkan untuk beribadat menyembahKu semata-mata," kata Sharmaine. "Ia ada disebut dalam Surah Az-Zariaat: 56."

"Ooo... gitu," Kamarul izzat melopong. "Tugasnya beribadat menyambah Tuhan saja. Err... boleh ke?"

"Itu sebab I kata kebanyakan ibu-bapa tadi gagal. Mereka gagal memikul amanah Allah yang paling utama tu."

Kamarul Izzat mengangguk sambil menoleh ke sebelah. Dia hairan melihat Nur Anita yang tersenyum.

"Kenapa you senyum?"

"Err... takde apa?" sahut Nur Anita ringkas.

"You fikir baik-baik, nanti kita sambung lagi," jelas Sharmaine seakan-akan serius. "Ni pun bukan kata I... I just got it from my pa...."

"Alright... macam teka-teki pula you buat kat I," keluh Kamarul Izzat.

"Ya la... sebab you bakal menjadi ketua dalam keluarga," celah Rosmaniza. "I pun setuju dengan kata Sharmaine tu."

"Nanti... orang cakap jadi macam bapak ayam!" Nur Anita bersuara sinis.

"Haa... yang itu I tak kata, kan!" Sharmaine mengelak.

"Bapak ayam you... buruknya!" celah Rosmaniza sambil emnekup mulutnya. "Isy... celuparnya."

"Ooo... you all kenakan I yeak!"

Memang Kamarul Izzat seorang yang pemurah. Banyak hadiah dan barang-barang yang dibelikan untuk persiapan perkahwinan mereka. Dia belikan cincin perkahwinan, persalinan dan berbagai-bagai jenis barang dari jenama yang boleh dikatakan mahal-mahal belaka. Kamarul Izzat dapatkannya dari negara seberang tambak itu kerana mahukan kualiti dan ketulenannya. Jelas kesemuanya itu memang kena dengan cita rasa Nur Anita.

Malamnya, Nur Anita tinggal sebilik bersama dengan Rosmaniza dan Sharmaine. Sebenarnya, Nur Anita malas untuk ke mana-mana lagi. Nita terlalu letih setelah seharian pergi menjelajah ke beberapa buah kompleks membeli-belah di pulau seberang tambak itu. Kemudian Kamarul Izzat bersama dengan kawan-kawannya entah ke mana pula menghilang? Nur Anita tidak pasti, tetapi ketika dia membuat intercom ke bilik di sebelah pada jam 3.00 pagi, tiada jawapan.

Menurut kata Sharmaine, dia terdengar yang Kamarul Izzat dan kawan-kawan ada berbisik membuat rancangan sendiri. Mereka ada rancangan lain yang dibuat secara sulit-sulit. Ada mata air dan kekasih lama yang ingin ditemui. Ada yang tinggal di Johor Lama.

Pada malam kedua dan ketiga pun begitu juga. Lewat ke pagi baru Kamarul Izzat pulang. Sebenarnya, Nur Anita malas untuk mengambil tahu akan setiap pergerakan bakal suaminya itu. Kamarul Izzat pernah memberitahu yang dia mempunyai seorang kawan di Johor Lama. Dia seorang gadis.

Nur Anita percaya mungkin Kamarul Izzat pergi menemui gadis itu kerana tunangnya itu ada mengajaknya untuk tidur bersama, tetapi Nur Anita menolak. Mungkin itu pun puncanya setelah banyak kali dia cuba mengecek, tetapi masih gagal juga. Dan ketika berada di pulau itu Nur Anita berasa lebih senang dan selamat untuk tidur sebilik dengan Rosmaniza dan Sharmaine sahaja.

Dia tidak perlu berfikir banyak... terus lelap dengan nyenyaknya.

Bersambung...
Elias Hj Idris
Oleh: kaunselor

Bagi setiap orang sepatutnya tahu apa itu nas, dan apa itu istinbath, apa itu istidlal, dan apa itu ijtihad. Kalau sesuatu masalah tiada dari Al-Qur'an dan As-Sunnah, secara lafzi (yang majoriti nasnya bersifat zhonni), dan tiada juga dalam ijma' sahabat, lalu para ulama' beristidlal dengan nas-nas Al-Qur'an dan As-Sunnah tentang ijtihad dan kefahaman mereka. Namun siapakah pula yang boleh menentukan ijtihad dan kefahamannya bersesuaian dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, sedangkan majoriti daripada nasnya bersifat zhonni?

Dalil Al-Qur'an dan As-Sunnah telah disertakan berdasarkan kefahaman para ulama' mengenainya, maka jelaslah dalam masalah ijtihad, tiada ijtihad boleh membatalkan ijtihad yang lain dalam masalah zhonniyah seperti ini.

Dalil Tasauf / Thoriqah dalam Ayat Alquran :

ھُو الَّذِي بَعَثَ فِي اْلأُمِّیِّیْنَ رَسُوْلاً مِّنْھُمْ یَتْلوُ عَلَیْھِمْ آیَاتِھِ وَیُزَكِّیِھِمْ

وَیُعَلِّمُھُمُ اْلكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا منْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِیْنٍ .

"Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ‘ayat-ayat Allah’ ( ilmu tauhid), dan ‘membersihkan’ mereka ( ilmu tasauf ), serta mengajarkan mereka ‘kitab Allah’ ( ilmu fiqh ) dan hikmah (ilmu kebijaksanaan). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata".(Jumu’ah: 2)

Mengikut para ulama kita dari ayat inilah maka timbulnya ilmu fardhu ain: tauhid, tasauf dan fiqh sebagai perlengkapan syariah.

Sebutan ‘ayat-ayat Allah’ ialah ilmu tauhid. (Iman), sebutan ‘membersihkan’ mereka ialah ilmu tasawwuf. (Ihsan), sebutan ‘Kitab Allah’ ialah ilmu fiqh. (Islam) sama ada dari Al-Quran atau Sunnah dan sebutan ‘hikmah’ ditujukan kepada apa sahaja ilmu yang menguntungkan seseorang dengan masyarakatnya, sama ada ilmu sejarah, matematik, sains, bahasa dan sebagainya.

Mengikut hadith pula ilmu tauhid terbahagi kepada 73 golongan di mana 72 semuanya sesat melainkan satu sahaja yang mengikuti sunnah nabi dan jamaah sahabat serta ulama. Golongan-golongan dalam tauhid dikenali sebagai ‘firqah’. Mengikut method-method kefahaman fiqih yang berbagai dalam firqah ‘ahlus sunnah wal jamaah hanya ada 4 yang muktabar. kefahaman ini dipanggil ‘mazhab’.

Mendalami dan mentaati ilmu - baca Al-Quran

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Hendaklah kamu menyampaikan kepada manusia sesuai dengan kadar kefahamannya". (Al-Hadith)
Daripada hadith ini kita dapati, di mana antara manhaj dakwah Rasulullah s.a.w. adalah dengan memerhatikan kepada siapakah Baginda s.a.w. ingin berinteraksi dan Baginda s.a.w. akan berinteraksi kepadanya sesuai dengan kadar akal dan kefahamannya. Jadi, kepada Rasulullah s.a.w. lah kita jadikan contoh dalam menyampaikan dakwah.

Dalam ilmu tasawwuf ini, ada tiga jenis perbahasan;

i)  berkaitan dengan asas-asas mengenal ilmu tasawwuf;

ii)  berkaitan dengan tasawwuf praktikal, atau amali;

iii)  berkaitan dengan ilmu-ilmu zauqi (dirasai oleh hati yang sudah mencapai muamalah dengan Allah s.w.t.).

Adapun perbahasan jenis pertama, iaitu asas-asas pengenalan terhadap ilmu tasawwuf, maka ia merupakan suatu perbahasan dalam rangka mmperkenalkan kepada orang tentang apa itu tasawwuf, kedudukan tasawwuf dalam Islam, sejarah perkembangan tasawwuf dan sebagainya. Ia juga dikenali sebagai pengantar ilmu tasawwuf. Ia perlu disebarkan secara umum kerana masyarakat Islam seluruhnya perlu mengetahui hakikat sebenar ilmu tasawwuf Islami agar mereka tidak terkeliru dengan dakyah musuh-musuh Islam yang cuba menjatuhkan ilmu tasawwuf Islami itu sendiri.

Perbahasan kedua pula adalah ilmu berkaitan dengan ilmu-ilmu praktikal dalam tasawwuf seperti perbahasan tentang taubat, zuhud, ahwal, maqam dan sebagainya. Ia juga perlu diajarkan kepada umum sesuai dengan kefahaman orang yang sedang kita berbicara dengannya. Ia perlu disampaikan kepada umum kerana ia perlu diamalkan oleh seluruh umat Islam, terutama bagi mereka yang sudah mempunyai mursyid yang membimbing mereka dalam perjalanan menuju Allah s.w.t..

Adapun perbahasan ketiga, iaitu perbahasan tentang zauq (perasaan-perasaan hati) yang merupakan natijah daripada seseorang yang sedang berjalan menuju Allah s.w.t. mahupun seseorang yang sudah sampai kepada perjalanan pada kebersamaan Allah s.w.t. Maka, ia kalaupun dibincangkan kepada orang yang tidak sampai tahapnya, tanpa sebarang tujuan ilmiah atau tanpa sebarang kemaslahatan, maka ia boleh menyebabkan orang tersebut terfitnah samada dia salah faham terhadap apa yang cuba disampaikan lalu sesat ataupun dia terus mendustainya sama sekali.

Janganlah cuba mengelirukan pembaca dengan membandingkan istilah akhlak dan tasauf ini. Sebenarnya kedua-duanya adalah berkait rapat - satu adalah jalan/wasilah dan satu lagi adalah matlamat/natijah; tiada apa-apa masalah sebenarnya.

Tasauf memang tidak boleh dipisahkan daripada akhlak.Tasauf dipandang dari sudut akhlak atau amalinya, namun kedudukan akhlak dalam tasauf bukan merupakan matlamat, tetapi hanya wasilah atau jalan dan kaedah.

Akhlak pada hakikatnya bukan masalah teori dan idea. Ia juga bukan masalah pendapat dalam bentuk pemikiran atau ilmu pengetahuan, tetapi ia adalah masalah didikan, latihan dan pembentukan yang bersifat amali..

Pendek kata tasauf merupakan ilmu yang membawa kepada penghayatan zahir batin syariat islam yang bersumber kepada Al-Quran dan sunnah, kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat serta para tabiin..Ia mengajar manusia bagaimana cara untuk membersihkan jiwa daripada sifat dan tabiat yg buruk.

Saya sebenarnya kurang faham mengapa ada pihak yang menyatakan belajar ilmu tasauf itu tidak wajib bagi  umat Islam. Pada sesiapa yang berpegang dengan kepercayaan ini maka sahih bahawa dia terlebih arif dan hebat ilmunya berbanding dengan Imam al-Ghazali dan beberapa tokoh Islam yang lain. Soalnya, adakah mereka ini telah merujuk kepada mana-mana ulama, tok guru atau mana-mana sumber rujukan sebelum menyatakan ilmu tasauf ini tidak wajib dipelajari!

Imam al-Ghazali berkata;

"Hukum mempelajari tasawwuf adalah fardu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau kekurangan kecuali para anbia."

Syeikh al-Syazili berkata;

"Siapa tidak mempelajari ilmu ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya."

Syeikh Dahlan al-Kadiri dalam kitabnya 'Siraj al-Talibin' menyatakan bahawa hukum belajar tasawwuf adalah wajib 'aini pada setiap orang mukalaf. Ini kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin. Imam Malik mengungkap "Siapa mempelajari tasawwuf tanpa fiqah, dia kafir zindik. Siapa mempelajari fiqah tanpa tasawuf, dia fasiq. Siapa mempelajari kedua-duanya nescaya dia tahkik (benar)."

Ibn 'Ajibah berkata;

"Orang yang mempelajari tasawwuf tanpa fiqah menjadi kafir zindik kerana dia mengucap dengan cara terpaksa tanpa mengetahui hikmah dan hukum-hukumnya. Manakala orang yang belajar fiqah sahaja tanpa tasawwuf menjadi fasiq kerana dia beramal tanpa memberikan sepenuh tumpuan, hati dan perasaannya kepada Allah. Ini menyebabkan amalannya tidak ikhlas".

Sementara tahkik hanya diperolehi melalui fiqh dan tasawwuf sehingga seorang itu dapat melaksanakan segala kewajipan berdasarkan ilmunya dan melakukannya dengan sepenuh hati.

Oleh itu, jelaslah bahawa tasawwuf dan fiqh itu dua cabang ilmu yang saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak sempurnalah fiqh itu tanpa tasawwuf, sebagaimana pincangnya tasawwuf tanpa fiqh.

Itu kaitan tasauf dengan fiqh. Bagaimana pula dengan ilmu tauhid; apa pula kaitan tauhid dengan tasawwuf?

Kita tahu Allah itu wujud (sifat 20), tetapi bagimana kita dapat merasakan kewujudan Allah swt? Kita tahu Allah Maha melihat, tetapi bagaimana kita nak tahu dan merasai yang Allah itu melihat kita? Dalam satu ilmu tasawwuf kita dituntut supaya mengamali, melazimi muraqabah, iaitu satu keadaan bahawa kita merasa Allah sentiasa mengawasidan memerhati segala perbuatan kita..

Seseorang yang lalai daripada Allah s.w.t. pun boleh menghafal sifat dua puluh yang wajib bagi Allah s.w.t. tersebut seperti qudrah (kekuasaan), iradah (kehendak) dan sifat-sifat lain bagi Allah s.w.t., namun tidak mampu merasainya dalam bentuk penghayatan dalam segenap kehidupannya. Oleh itu kita dapati, betapa ramai dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri yang menghafal sifat-sifat bagi Allah s.w.t. lalu mengetahui bahawasanya Allah s.w.t. itu wujud, Maha Berkuasa dan sebagainya, namun masih sanggup menderhakaiNya?

Bagaimanakah seseorang yang mengetahui Allah s.w.t. itu wujud dan Maha Berkuasa, dalam masa yang sama sanggup menderhakai Allah s.w.t.? Bagaimana seseorang masih sanggup menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tauhu bahawa seluruh kehidupan dan tenaganya daripada Allah s.w.t.? Bagaimana seseorang sanggup mengunakan tenaga dan keupayaannya untuk menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tahu bahawa semua tenaga, nyawa dan segalanya adalah daripada Allah s.w.t.?

Hal ini kembali kepada penghayatan seseorang itu sendiri, terhadap sifat-sifat Allah s.w.t. itu sendiri. Hal ini (ketaatan mutlak kepadaNya) tidak akan berlaku dengan cara menghafal sifat-sifat Allah s.w.t. semata-mata, tetapi perlu kepada proses melawan hawa nafsu juga (mujahadah An-Nafs).

Proses menuju penghayatan terhadap kewujudan Allah s.w.t. dalam kehidupan seseorang manusia, dimulai dengan proses mujahadah an-nafs (melawan hawa nafsu) dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan maksiat terhadapNya, seterusnya diiringi dengan proses zikir yang berpanjangan sehingga nama-nama Allah s.w.t. tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk penghayatan dalam hati hamba tersebut...Dan semua ini melalui jalan tasawwuf.

Begitulah halnya kaitan antara ilmu tuhid dan tasawwuf yang juga saling melengkapi antara satu sama lain. Jadi kesimpulannya, ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf adalah saling melengkapi antara satu sama lain dan ia wajib dipelajari bagi menjadi insan yang kamil, InsyaAllah..
Elias Hj Idris
Oleh: Mohd Shahrizal Nasir


Golongan munafik sudah wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Istilah itu digunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-pura mengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atau ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati.

Firman Allah yang bermaksud: “Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” - Surah al-Munafiqun, ayat 1

Demikian Allah menerangkan dengan jelas perihal orang munafik dalam al-Quran sehingga Allah menamakan satu surah, iaitu al-Munafiqun bagi menggambarkan betapa bahayanya sifat munafik terhadap agama Islam.

Pada zaman Rasulullah saw perihal orang munafik itu lebih jelas ketika Baginda memerintahkan Muslimin untuk keluar berjihad di jalan Allah, maka golongan munafik akan segera berdolak-dalih dan memberi 1001 alasan bagi mengecualikan diri daripada keluar berperang menentang kaum musyrikin ketika itu.

Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang munafik yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu). Mereka menjawab: Jika kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentulah kami mengikut kamu (turut berperang).” - Surah Ali-Imran, ayat 167

Spesis ini banyak yang munafik

Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua keadaan;

i)  Munafik I’tiqadi, iaitu segala yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran sahaja.
Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi mendustakan agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” - Surah al-Baqarah, ayat 8

Pada hakikatnya, golongan itu sudah terkeluar daripada Islam kerana niat di hati tetap memainkan peranan penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki keimanan seseorang di sisi Allah swt. Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.” - Surah an-Nisa’, ayat 145

ii) Munafik‘Amali, iaitu segala yang berkaitan perbuatan. Rasulullah saw menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat.” - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai dia khianat, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila bertengkar dia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” - Hadis riwayat Bukhari
Jelaslah bahawa ada perbuatan tertentu yang jika dilakukan, maka ia termasuk dalam golongan munafik. Sebagai manusia yang secara fitrahnya tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, sudah tentu saban hari kita tidak terlepas daripada menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.

Persoalannya, adakah kita melakukan perbuatan itu dengan cara yang betul dan menurut kehendak Islam? Ataupun kita lakukan perbuatan tersebut mengikut cara orang munafik melakukannya?

Persoalan itu hanya mampu dijawab dengan jawapan positif bagi mereka yang memiliki iman kukuh dalam diri. Walaupun jika dilihat secara rambang, kesemua perbuatan itu tidaklah sebesar dosa membunuh, berzina, mencuri atau minum arak, tetapi apabila melakukannya sudah cukup untuk melayakkan diri seseorang untuk menerima azab seksa-Nya di akhirat kelak.

Sebagai Muslim yang berusaha untuk menjadi hamba dengan keredaan Allah, tidak boleh tidak kesemua sifat dan perbuatan yang melambangkan perbuatan munafik mestilah dihindari untuk menyelamatkan diri daripada menerima kemurkaan Allah.

Antara lain, dengan muhasabah diri kerana dengan itu kita akan lebih berwaspada terhadap setiap tingkah laku dan gerak-geri. Dengan bermuhasabah membolehkan kita memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri. Kadang-kadang kita tidak sedar tentang sesuatu perbuatan yang melampaui batasan agama. Muhasabah mampu menyedarkan seseorang mengenai perbuatan yang dilakukan dan mempercayai bahawa setiap amalan tidak akan terlepas daripada timbangan neraca Allah di akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” - Surah az-Zalzalah, ayat 7-8

Saidina Umar al-Khattab pula pernah berkata yang maksudnya: “Hisablah (nilai) diri kamu, sebelum kamu dihisab (pada hari akhirat kelak).”

Selain bermuhasabah yang bergantung seratus peratus pada usaha sendiri, sebagai Muslim yang mencintai saudaranya, amalan saling memberi nasihat dan teguran juga boleh menghindarkan diri daripada sifat munafik yang tercela itu.

Ada kala perbuatan kita di luar kawalan atau tanpa kita sedari. Justeru, peranan orang di sekeliling yang menyedari akan hal itu akan dapat membantu kita daripada terus hanyut dibawa arus pembohongan, pendustaan dan pengkhianatan atau pecah amanah.
Sesungguhnya, amalan memberi nasihat dan teguran inilah yang menjadi tuntutan Islam, sesuai sabda Baginda saw yang bermaksud: “Agama itu nasihat.” - Hadis riwayat Muslim

Allah juga mengingatkan pentingnya kita agar sentiasa memberi peringatan yang akan membawa kebaikan kepada ummah secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” - Surah az-Dzariyat, ayat 55

Marilah sama-sama kita berusaha agar sentiasa menjauhi sifat golongan munafik. Jangan jadikan pembohongan, mungkir janji dan khianat atau pecah amanah dan gemar bertengkar sehingga mengenepikan kebenaran sebagai satu kebiasaan tanpa sedikit pun ada rasa bersalah dan takut akan azab yang bakal menunggu mereka yang tidak menyesali akan segala perbuatan jahat yang telah dilakukan.

Iltizam yang kuat dalam diri di samping bantuan sesama Muslim penting bagi memelihara diri daripada sifat munafik itu. Ia sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang menerapkan semangat kasih sayang sesama Muslim supaya orang Islam sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya, seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.” - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Elias Hj Idris
Dari Mesjid Arafah

Padang Arafah dinamakan demikian karena menurut pendapat sebagian ulama Nabi Adam ‘arafa (dipertemukan kembali) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya diturunkan dari syurga. Letak Arafah ialah di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 km dan ia dianggap sebagai kawasan luar Tanah Haram.

Jamaah haji harus wuquf (berada) di Arafah pada tanggal 9 Dzulhijjah, karena jika tidak maka hajinya tidak sah. Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;

“Haji adalah (wuquf) di Arafah.”

Ketika berada di tempat ini pada tanggal 9 Dzulhijjah hendaknya seseorang itu memperbanyak doa, berdzikir, dan membaca Al-Qur`an. Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;

“Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah.”

Adapun doa yang dipanjatkan tergantung kepada keperluan masing-masing dengan syarat tidak bertentangan syariat, seperti mendoakan buruk untuk orang lain, atau berdoa agar diberikan segala yang haram bentuknya.

Mengambil keberkatan berdoa di Jabal-Rahmah.

** Pokok2 yang kelihatan itu cuma sebatang kayu yg dicacakkan ke tanah
pada tahun 1982 - kali pertama teman di sana. Aduii... sayunya!

Kelebihan Bulan Zulhijjah Pada 10 Hari Pertama 

Bulan Zulhijjah merupakan bulan di mana umat islam disyariatkan untuk mengerjakan ibadah haji. Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah tidak banyak dibicarakan sepertima mana 10 hari terakhir bulan Ramadhan, sedangkan kelebihan dan kemulian 10 hari Zulhijjah dan Hari Arafah telah digambarkan dalam Al-Quran dan Hadith. Mari kita fahami akan kelebihan bulan Zulhijjah dan berusaha untuk beramal dalam 10 hari pertama ini, supaya kita mendapat balasan syurga daripada Allah.

Firman Allah dalam surah Al-Buruj, ayat 1-3;

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, beliau mengmbil pandangan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil itu ialah hari arafah.

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda;

“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda;

“Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Manakala kelebihan hari Arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah S.A.W ketika menafsirkan ayat ke-3 dari surah Al-Buruj;

“Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat ” (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Dalam hadith lain pula, sabda Baginda saw lagi;

“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih daripada hari Arafah” (Riwayat Muslim)

Amalan pada waktu tengahari di Arafah - usah dok berangan la, bang!

** Kita di Malaysia elok beramal sebaik lepas asar bertepatan dgn masa kemuncak para jemaah beramal di Arafah. Berdoalah selepas itu tentang segala yang dihajati bagi kehidupan ini.

Jenis-jenis Amalan yang Dianjurkan

1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya;

Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah – . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi;

“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasnya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah saw bersabda;

“Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu akan mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih).

Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah saw bersabda;

“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud;

“Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum”

Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itu para ‘ulama menyarankan supaya diperbanyakkan zikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya;

“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud;

“Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu”.

Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi saw bersabda;

“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

Dari atas Jabal-Rahmah - tempat Adam a.s.
dipertemukan kembali dengan Siti Hawa a.s.

** Ya Allah, sampaikanlah aku ke sana lagi... sebelum mati. Amiin.

5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil, tetapi ia lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain. Demikian juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditunggangi terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim a.s. setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail a.s, tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi saw bersabda;

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”

Dan dalam riwayat lain;

“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan Allah Ta’ala, maksudnya;

“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.


Sumber: Portal Mufti Terengganu ( http://mufti.islam.gov.my/terengganu/

Nota:
Padang Arafah dinamakan demikian karena—menurut pendapat sebagian ulama—Nabi Adam ‘arafa (dipertemukan kembali) dengan Hawa setelah keduanya diturunkan dari surga. Letak Arafah di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 km dan dianggap kawasan luar Tanah Haram.

** Teks di atas telah melalui proses editing - elias.