Elias Hj Idris
KETUANAN MELAYU DAN KETUANAN RAKYAT DARI PERSPEKTIF ISLAM

Dr.Khalif Muammar CASIS UTM

Apakah yang dimaksudkan dengan ketuanan Melayu? Apakah konsep ini bertentangan dengan prinsip keadilan di dalam Islam? Apakah konsep ketuanan rakyat konsep yang lebih baik dan sesuai dengan ajaran Islam? Tulisan ini cuba membahas persoalan di atas secara ringkas dan padat.

Konsep ketuanan Melayu terhasil daripada pandangan jauh ke hadapan para pemimpin Melayu di zaman kemerdekaan. Mereka telah mengenal pasti adanya ancaman terhadap survival orang Melayu khususnya dalam bidang ekonomi. Umumnya orang Melayu bertani di kawasan luar bandar, mereka tidak berniaga, sehingga perniagaan dikuasai oleh orang Cina. Tanpa hak istimewa ini dikhuatiri masyarakat Melayu akan terus terpinggir dari arus pembangunan, mereka akan merempat di negeri sendiri. Keadaan ini telahpun berlaku di beberapa negara yang mana sesuatu kaum yang merupakan minoriti kecil boleh menguasai dan menjadi tuan kepada bangsa lain yang merupakan majoriti.

Ketuanan Melayu adalah satu istilah bagi merujuk kepada hak istimewa orang Melayu. Sebagai tuan tanah dan penduduk asal, mereka berhak diberikan keistimewaan berbanding kaum-kaum lain yang datang pada zaman penjajahan.

Namun ketuanan Melayu telah disalahtafsir menjadi Malay supremacy, yang memberi isyarat wujudnya diskriminasi dan penindasan kepada kaum lain. Ia seharusnya diterjemahkan kepada Malay ownership, sebagaimana ditegaskan oleh Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud dalam buku beliau Budaya Ilmu dan Gagasan 1Malaysia (2011). Pengakuan bahawa bangsa Melayu adalah tuan rumah, tuan tanah, perlu difahami sebagai sebahagian daripada kontrak sosial ketika kemerdekaan dicapai. Ia bukan hanya kerana orang Melayu telah menduduki tanah Melayu lebih lama daripada kaum lain. Tetapi hakikat sejarah bahawa orang Melayu, yang terdiri daripada pelbagai etnik, telah membangun suatu peradaban jauh sebelum kedatangan British dan Belanda di gugusan kepulauan ini.

Mereka telah memiliki dan menubuhkan banyak kerajaan atau kesultanan Islam, yang disegani sejak abad ke-11 Masehi sehingga abad ke-20. Sebagaimana ditunjukkan oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Historical Fact and Fiction (2011), Umat Melayu yang telah memeluk Islam sekitar seribu tahun yang lalu telah membina banyak kerajaan di wilayah-wilayah yang hari ini dikenali dengan Indonesia, Malaysia, Fatani, Singapura, Brunei, dan Selatan Filipina, kesemua kerajaan ini merupakan peradaban Melayu yang menjadi sebahagian daripada peradaban Islam.

Persoalan ketuanan Melayu berada dalam ruang litup siyasah syar’iyyah. Islam memberi ruang yang cukup luas bagi para pemimpin memperkenalkan dasar dan pendekatan berdasarkan pertimbangan untuk menjaga maslahat umum. Dalam sejarah Islam, kita dapati pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar, dalam pembahagian harta ghanimah, saham kaum Muhajirin lebih besar daripada saham kaum Ansar, demikian juga peserta perang Badar memiliki saham yang lebih besar daripada orang lain, dan orang yang masuk Islam sebelum fathu Makkah (Pembukaan Mekah) lebih besar daripada yang masuk Islam selepasnya. Pendekatan yang diambil oleh Sayyidina Umar ini, meskipun berlainan daripada pendekatan Sayyidina Abu Bakr, diakui sebagai tindakan yang tepat dan adil. Selain daripada itu, menyedari perbezaan antara orang bukan Islam dengan orang Islam, Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, walaupun membenarkan pelantikan orang bukan Islam sebagai menteri pelaksana (wizarat al-tanfiz) namun beliau tidak membenarkan pelantikan orang bukan Islam sebagai menteri yang melibatkan wewenang yang lebih besar (wizarat al-tafwid). Ini menunjukkan bahawa kesamarataan (equality), bukan suatu prinsip mutlak yang mesti dipegang oleh pemimpin Islam, sebaliknya Islam menekankan prinsip keadilan yang jelas lebih baik dan lebih utama.

Dari sudut sains peradaban, konsep ketuanan Melayu berkait rapat dengan konsep ‘asabiyyah yang diutarakan oleh Ibn Khaldun pada abad ke-14. Ibn Khaldun, yang diiktiraf sebagai pelopor ilmu sosiologi dan falsafah sejarah, telah menggariskan bahawa untuk sesuatu tamadun dan negara itu bangkit dan menjadi kuat, ia memerlukan perpaduan dan sokongan padu bangsa yang menjadi terasnya. Dari sini kita dapat menarik kesimpulan bahawa tanpa perpaduan, solidariti, semangat kebersamaan ini bangsa Melayu tidak akan berkuasa, bahkan pemimpin/raja/sultan tidak akan wujud dan tegak disegani, dihormati oleh kawan dan lawan. Ibn Khaldun telah melihat corak yang sama pada kerajaan-kerajaan yang muncul di zamannya termasuklah yang menjadi faktor penting yang menentukan naik turunnya tamadun Islam. Rasulullah saw juga telah menggariskan bahawa kepimpinan selepas Baginda mestilah dari kalangan Quraysh. Daripada hadith baginda ini Ibn Khaldun merumuskan bahawa maksud dari hadith ini bukanlah makna literal, iaitu bangsa Quraysh tetapi sebenarnya ialah kedudukan kaum Quraysh yang tinggi dan penting di kalangan masyarakat Arab, sehingga hanya mereka yang dapat menyatukan bangsa Arab. Semestinya faham ‘asabiyyah yang diutarakan oleh Ibn Khaldun berkait rapat dengan faham kebangsaaan, nasionalisme, namun ia adalah faham kebangsaan yang positif sehingga membawa kepada natijah yang positif bagi bangsa dan negara.

Faham ‘asabiyyah ini tidak harus dikelirukan dengan konsep perkauman, yang juga sering dinamakan ‘asabiyyah. ‘Asabiyyah yang sering diterjemahkan kepada semangat perpaduan, social solidarity, tidak sama dengan seruan perkauman, yang telahpun wujud sejak zaman jahiliyyah lagi. Antara slogan yang digunakan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah adalah “tolonglah saudaramu sama ada ia zalim atau dizalimi” (unsur akhaka zaliman aw mazluman), telah ditukar oleh baginda Rasulullah saw dengan makna yang berbeza iaitu menolong orang yang zalim adalah dengan menasihati dan menegurnya agar dia tidak terus dengan kezalimannya. Penggunaan frasa ini oleh baginda menunjukkan bahawa baginda sedar ada aspek positif daripada semangat ‘asabiyyah ini jika digunakan mengikut prinsip yang betul. Oleh yang demikian, hadith-hadith yang menyatakan bahawa baginda mencela sikap ‘asabiyyah perlu difahami bukan sebagai celaan kepada semangat perpaduan, semangat kekitaan, tetapi celaan kepada aspek-aspek negatif dari semangat itu yang berlebihan sehingga tidak menghiraukan prinsip kebenaran dan keadilan, yang lebih tepat disebut sebagai semangat perkauman. Jika ditelusuri dari segi akar katanya, konsep ‘asabiyyah dari perkataan ‘asabah dan ‘usbah, bermaksud kelompok keluarga, maka ‘asabiyyah memiliki erti semangat kekeluargaan, saling bantu membantu, tanggung-menanggung, tidak seperti konsep perkauman dari perkataan al-qawmiyyah yang berbangga dengan kaum sendiri dan merendahkan kaum yang lain, semangat ‘asabiyyah boleh wujud pada unit yang kecil seperti keluarga dan suku sehinggalah kelompok masyarakat yang lebih besar seperti etnik, kaum, bangsa, negara dan ummah.

Menyedari hal ini, Ibn Khaldun mengatakan bahawa suatu kepimpinan tidak akan tercapai tanpa kemenangan dan kemenangan hanya akan tercapai dengan ‘asabiyyah. Beliau bahkan berkesimpulan bahawa dakwah Islam tidak akan berhasil tanpa ‘asabiyyah. Kesimpulan ini beliau ambil setelah menganalisa hadith Rasulullah saw “Allah tidak akan mengutus seorang nabi melainkan ia seorang yang terpandang dalam kaumnya”. Kepentingan kaum ini juga dapat dilihat dalam al-Qur’an surah Hud: 91, di mana perkataan raht bermaksud kaum kerabat dan suku kaum, yang menjadi sandaran dan kekuatan seseorang manusia. Sewajarnya sebagai umat Islam kita wajib memanfaatkan hasil pemikiran Ibn Khaldun ini. Kita tidak boleh memisahkan Islam daripada bangsa yang menjadi tunjangnya. Perjuangan Islam tidak mungkin dilakukan di ruang hampa (in a vacuum), ia memerlukan sokongan bangsa. Kemampuan para pendakwah untuk menyatu dan mewarnai budaya sesuatu bangsa, sebagaimana dilakukan oleh para Wali Songo di Jawa, adalah antara faktor kejayaan mereka. Maka kekuatan bangsa dan faktor kebangsaan patut diberi perhatian dalam memperjuangkan Islam dan bukan diketepikan dan dianggap terkeluar daripada Islam.
Adalah menjadi kewajipan ke atas pemimpin memberi perhatian kepada bangsanya, memberi hak istimewa, dengan menggunakan kuasa yang ada, yang disokong oleh institusi raja, yang sememangnya berdaulat sejak sekian lama, sebelum British dan sebelum digubalnya perlembagaan. Tindakan afirmatif (affirmative actions) perlu dilakukan bagi memastikan bahawa Masyarakat Cina tidak menguasai keseluruhan perdagangan dan perniagaan di negara ini. Sejak diperkenalkan DEB target yang disasarkan daripada affirmative actions ini adalah 30% ekuiti orang Melayu. Langkah-langkah ini tidak diragui lagi telah mengurangkan jurang ketidak-seimbangan ekonomi antara Melayu dan Cina. Hakikatnya orang Melayu akan terpinggir dari arus pembangunan jika hak istimewa tidak diberikan. Dan ketuanan Melayu merupakan dasar yang penting bagi survival orang Melayu di tanah sendiri.

Ketuanan Melayu bukan dasar yang rasis apa lagi chauvinis. Rasisme berkait rapat dengan pandangan bahawa suatu bangsa, kaum atau etnik tertentu lebih unggul dan mulia (superior) daripada bangsa atau etnik yang lain. Berbeza dengan sistem apartheid di Afrika Selatan, kaum Cina tidak dipandang hina (inferior) dan dinafikan hak mereka untuk diperlakukan secara terhormat sebagai manusia biasa. Wujudnya sekolah vernakular itu sendiri merupakan penanda aras bagaimana kaum Cina mendapat layanan yang istimewa di Malaysia, sesuatu yang tidak terdapat di mana-mana negara di mana mereka adalah kaum minoriti. Sekolah-sekolah ini mendapat bantuan daripada kerajaan.

Bahkan jika dibandingkan dengan orang Islam minoriti yang berada di negara-negara Barat, yang sering dianggap model negara liberal, keadaan kaum Cina di negara ini lebih baik, apalagi jika dibandingkan dengan negara-negara lain di timur. Daripada banyak kebaikan ini dapat disimpulkan bahawa kaum Melayu yang memerintah negeri ini tidak bersikap rasis terhadap kaum Cina. Orang Melayu telah melakukan banyak kebaikan kepada kaum minoriti, namun kebaikan mereka ini sering tidak dihargai dengan sewajarnya (taken for granted), bahkan atas nama kesamarataan (equality), kelebihan yang diberikan kepada orang Melayu pula yang dipersoalkan!

Konsep ketuanan Melayu sering disalah-fahami sebagai bermaksud orang Melayu adalah tuan kepada bangsa lain. Sebenarnya ia tidak sama sekali bermaksud demikian, kerana tiada kaum yang diperhambakan. Ia hanya bermaksud bahawa orang Melayu adalah tuan tanah, pemilik asal negeri ini yang perlu dihormati dan dikekalkan haknya. Sewajarnya Melayu menjadi tuan di bumi sendiri, keadaan ini akan membangkitkan kemuliaan (al-izzah), rasa percaya diri, yang disuntik oleh Islam dan bukan oleh sentimen perkauman. Sememangnya Islam tidak membezakan Arab dan bukan Arab, Melayu dan bukan Melayu, kelebihan dari kaca mata Islam bukan pada bangsa, kaum atau etnik mana seseorang itu berasal, Allah hanya melihat kepada hati dan amalan kita (maksud hadith). Ketaqwaan yang menentukan kedudukan sebenar kita di sisi Allah (lihat surah al-Hujurat:13). Konsep ketuanan Melayu tidak boleh ditafsirkan sebagai pandangan bahawa orang Melayu lebih baik dan mulia daripada kaum lain, ia hanyalah dasar yang diambil oleh pemimpin (siyasah syar’iyyah) untuk melindungi kepentingan orang Melayu, maslahat majoriti rakyatnya, tanpa menafikan hak minoriti, agar keamanan dan kesejahteraan dapat dikecapi bersama.

Kini terdapat ramai masyarakat yang terpengaruh dengan idea equality, di mana mereka berpandangan bahawa seharusnya Melayu dan Cina diberikan hak sama rata, kononnya kerana Islam menjamin kesamarataan, di sini keadilan (justice, al-‘adl) dianggap sama dengan kesamarataan (equality). Sebenarnya konsep equality ini konsep yang baru. Ia tidak dikenal melainkan setelah zaman Renaissance di Perancis, iaitu setelah munculnya konsep égalité dan egalitarianism. Equality atau kesetaraan membawa maksud kesamaan (sameness), ia mengisyaratkan penyamarataan (levelling). Berbeza dengan equality, keadilan (justice) mengambil kira perbezaan yang sememangnya terdapat pada seseorang manusia. Pemimpin yang adil tidak akan menyamaratakan rakyatnya yang berbilang kaum, ia mengambil kira keperluan yang berbeza bagi setiap kaum. Oleh itu, seperti diungkapkan oleh Aritstotle dalam Nicomachean Ethics, antara konsep yang penting dalam keadilan adalah “to treat equals equally and unequals unequally”. Keadilan seperti ini disebut sebagai distributive justice bagi memastikan bahawa setiap orang mendapat apa yang sepatutnya dia dapat sebagai warganegara dan anak watan. Dalam Islam pun para ulama’ telah menegaskan bahawa keadilan adalah “meletakkan sesuatu pada tempatnya”, ia mengisyaratkan bahawa setiap sesuatu memiliki tempat masing-masing yang tidak sama dari segi darjat dan kepentingannya. Jelas bahawa Melayu dan Cina di negara ini tidak sama, dari segi kepemilikan, keterikatan dan sejarah, maka sewajarnya perbezaan ini diambil kira dan setiap dari mereka diberikan hak yang berlainan.

Konsep ketuanan rakyat yang cuba diperkenalkan untuk menggantikan ketuanan Melayu adalah konsep yang bertentangan dengan ajaran Islam. Konsep ini memberi kedudukan yang teramat tinggi kepada suara rakyat. Sehingga segala tuntutan rakyat dianggap keramat dan mesti dipenuhi dan ini boleh menimbulkan ketidakstabilan. Konsep ini lahir di Barat ketika masyarakat Barat ingin keluar dari sistem beraja yang mengamalkan pemerintahan absolutis. Konsep sovereignty of the people (ketuanan rakyat) diperkenalkan dengan slogan vox populi vox dei (suara rakyat suara tuhan), bersama-sama dengan konsep one man one vote (satu orang satu undi). Jelas bahawa konsep ini tidak meraikan ilmu dan golongan ilmuwan, ia justeru meraikan golongan awam yang mudah dipengaruhi oleh penampilan luaran, provokasi dan pencitraan. Tidak wajar contohnya seorang ilmuwan disamakan dengan buruh kasar dari segi kedudukan dan kepentingannya kepada bangsa dan negara. Meskipun banyak persamaan antara keduanya, namun perbezaan yang ada, iaitu kelebihan ilmu, sudah cukup untuk kita mengangkat golongan ilmuwan dan bukan mensejajarkan mereka dengan kelompok lain.

Berlawanan dengan konsep ketuanan rakyat, Islam mengajarkan kita konsep syura, di mana ilmu dan ilmuwan merupakan paksinya. Di zaman al-Khulafa’ al-Rashidun, para sahabat telah memberi contoh bagaimana sesuatu keputusan diambil di kalangan ahl al-hall wa al-‘aqd (people of binding authority), merekalah golongan yang mewakili keseluruhan masyarakat. Syura dari segi prinsipnya berbeza dengan demokrasi, dalam syura bukan pandangan majoriti rakyat yang diikuti dan menjadi penentu, tanpa mengambil kira hujah dan ilmu, melainkan pandangan yang benar walaupun ia datang dari segelintir orang yang diberikan oleh Allah ilmu dan hikmah. Yang diikuti dan dicari adalah kebenaran bukan pandangan orang awam. Konsep ketuanan rakyat, yang lahir daripada sistem demokrasi liberal, terlalu menitikberatkan hak (rights) dan bukan kewajipan. Sebaliknya Islam menitikberatkan kewajipan (obligations) baik kepada pemimpin mahupun kepada rakyat, sehingga apabila semua pihak menunaikan kewajipan masing-masing maka hak dan kepentingan semua pihak akan terjamin. Seorang Muslim oleh kerana itu perlu menyelidiki dan mempertimbangkan dengan saksama dan kritis sesuatu konsep asing yang sarat dengan nilai-nilai sekular sebelum diterima dan disebarkan ke dunia Islam.

Oleh kerana Islam dan Melayu adalah dua entiti yang sangat rapat dan tidak dapat dipisahkan, dan Islam telah banyak mewarnai jiwa dan raga orang Melayu, maka perpaduan Melayu akan memberi natijah yang baik kepada kedaulatan Islam di negara ini, dan perpecahan Melayu akan membawa kepada kehancuran kedua-duanya iaitu Melayu dan Islam di negara ini. Wacana perpaduan Melayu oleh kerana itu perlu dipandang serius oleh setiap parti dan golongan. Kedaulatan Islam tidak akan terlaksana apabila masyarakat Melayu berpecah-belah, tidak bersatu walaupun untuk mencapai agenda bersama. Pastinya Islam menuntut umatnya bersatu padu. Kerana Islam tidak akan berdaulat, bahkan umat Islam tidak akan dihormati dan disegani di negara ini apabila masing-masing pihak lebih mengutamakan kehendak parti dan golongan berbanding kehendak Islam.

https://khalifmuammar.wordpress.com/…/ketuanan-melayu-dan-…/
*Sebahagian besar daripada makalah ini telah diterbitkan dalam Berita Harian, 19/5/2013.


0 Responses