Elias Hj Idris
https://www.facebook.com/100005079496519/videos/752096894969620/

Apa itu Wahhabi?


Wahhabi bukan kerana mereka tidak membaca qunut subuh sementelah tiga mazhab lain pun tidak membaca qunut subuh. Itu khilaf mazhab saja; bukan juga apabila tidak membuat kenduri arwah kerana ada qaul dalam mazhab Syafie yang tidak menggalakkannya; bukan juga kerana itu dan ini tetapi sebenarnya, Wahhabi adalah satu cara berfikir yang salah membentuk satu gerakan ekstrem yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Kemuncak ekstrem dan radikal Wahhabisme boleh sehingga membawa kepada pertumpahan darah seperti yang dilakukan oleh IS,ISIL, ISIS, al-Qaeda, Taliban... yang kesemua itu adalah hasil didikan puak Wahhabi. Dakyah Wahhabi turut berjaya menarik ramai pengikut kerana slogan menarik mereka yang menyeru kononnya jangan "taqlid", jangan "mengikut membuta tuli"; menyeru kononnya "kembali kepada Al-Quran dan as-Sunnah".

[1] Wahhabi sebenarnya adalah gerakan MEMBID'AAHKAN amalan orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka dan merasakan hanya amalan mereka sahaja yang betul. Hanya mereka sahaja kononnya mengikut "sunnah". Mereka dari kelompok manusia yang tidak boleh berbeza pandangan, tidak menghormati ikhtilaf atau khilafiyyah (perbezaan pendapat di kalangan ulama). Wahhabi menolak bahawa bid'aah ada dua bentuk (i) Baik (hasanah) dan (ii) Sesat (dholalah). Bagi Wahhabi semua bid'aah sesat dan masuk neraka. Oleh itu setiap bid'aah adalah munkar dan bagi mereka wajib ditentang. Lalu mereka membesarkan perbezaan pendapat dan membikin kecoh seluruh dunia tanpa boleh berlapang dada. Pra-syarat menjadi Wahhabi ialah kena memperbanyak menuturkan "BID'AAH" terhadap amalan orang lain dan menjadikan ia "wirid" harian.

[2] Wahhabi MELARANG BERAMAL apabila tiada nas khusus untuk amalan tersebut walaupun di sana ada perintah umum daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Bagi Wahhabi setiap ibadat kena ada nas dan dalil, walhal perintah yang bersifat umum sudah ada namun mereka menolaknya. Wahhabi marah membaca Surah Yasin malam Jumaat kerana tiada nas. Bukankah perintah memperbanyakkan membaca al-Quran sudah cukup banyak dan memadai? Adakah nas melarangnya pula? Tiada larangan.

[3] Wahhabi adalah gerakan MENSYIRIKKAN orang lain: tawassul bagi mereka syirik kecuali tawassul dengan amalan soleh, dan dengan Asmaul Husna saja. Walhal para sahabat dan salafus soleh bertawassul dengan pelbagai bentuk lain;

[4] Wahhabi adalah gerakan MENTAJSIMKAN Allah swt apabila mensifatkan Allah swt itu  "bertangan", "duduk" atas Arasy, "ketawa", Allah di atas langit. Wahhabi menolak takwil yang dibawa oleh manhaj Asyairah dan Maturidiyyah sedangkan manhaj Asyairah itu lebih selamat daripada mensifatkan Allah dengan sifat makhluk.

[5] Wahhabi juga gerakan MENTADHA'IFKAN hadis dan MEMARDUDKAN hadis dhoif, menolak penggunaan hadis-hadis dhoif dan membakul-sampahkan semua hadith dhoif. Sedangkan sejak seribu tahun lebih para ulama hadis membenarkan penggunaan hadis dhoif dalam hal fadhailul 'amal dan targhib wa tarhib. Kiblat rujukan hadis puak Wahhabi ialah Syeikh Nasruddin Al-Albani. Mereka tidak sedar yang mereka telah bertaqlid dan mengikut secara membuta tuli akan apa sahaja takhrij hadis oleh al-Albani. Ulama rujukan Wahhabi pula ialah sekalian "kibarul ulama" Saudi hari ini manakala kitab-kitab rujukan Wahhabi ialah kitab karangan Muhammad bin Abdul Wahhab. Mereka membutakan mata dan memekakkan telinga apabila didatangkan hujah daripada sekelian ulama lain yang muktabar namun tidak sealiran dengan mereka.

[6] Wahhabi adalah gerakan MEMBURUKKAN ahli sufi dan tasawuf. Mereka secara berpilih memetik yang mana sesuai dengan fikrah mereka daripada kitab-kitab Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Al-Dhahabi, al-Syawkani khususnya dalam bab yang memburuk dan mencemuh para sufi kerana Wahhabi gerakan anti-sufi. Walhal Ibn Taymiyyah sendiri adalah pengikut tarekat Qadiriyyah. Wahhabi Malaysia ada yang mengatakan tasawuf lebih kotor daripada air longkang. Sedangkan sufi ada yang baik dan ada yang sesat seperti mana umat Islam yang lain juga amnya: ada yang soleh, ada munafik dan ada yang berdosa. Sufi juga tidak maksum. Bahkan Imam Ghazali sendiri turut mengkritik "sufi palsu" walaupun beliau sendiri seorang ahli sufi.

[7] Wahhabi MENOLAK Imam al-Ghazali r.a dan jarang kedengaran mereka mengutip kalam daripada Imam al-Ghazali r.a. Bagi mereka Imam al-Ghazali r.a Hujjatul Islam itu jahil hadis.
Itulah Wahhabi, dan jangan terkeliru dengan suara-suara yang membela Wahhabi walaupun mereka malu mengaku yang diri mereka itu Wahhabi. Ada ketikanya mereka cuba menyembunyikan punca kenapa mereka digelar Wahhabi, kononnya Wahhabi itu "hantu", "momok" dan tidak wujud. Kenali dulu ciri-ciri Wahhabi maka tahulah kita siapa pendokong mereka.

Kalau ada yang melenting apabila Negeri Sembilan mengharamkan Wahhabi, hampir pasti 99.9% mereka pendokong tegar Wahhabi (yang malu mengaku). Hati-hati dengan mereka walaupun petah berbicara, dan mulut penuh dengan ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadis. Ada Wahhabi Malaysia yang sangat terkenal dan bicara memukau sehingga ramai orang awam tertipu. Dengan pengharaman Wahhabi di Negeri Sembilan dan Perak, moga-moga akan bertambah ramai yang sedar dan makin jelas siapa pendokong Wahhabi sebenar yang bertopeng dan begitu licik selama ini. Jangan terkejut jika ustaz yang anda kagumi selama ini sebenarnya mungkin pendokong utama Wahhabi.

Hanya jauhari yang kenal manikam.
اعرف الحق تعرف أهله
0 Responses