Elias Hj Idris


Daripada: http://aku-azharian.blogspot.com

Terdapat perbezaan antara ujub, riak dan takabbur. Apa yang selalu menjadi kekeliruan kita ialah untuk membezakan 3 penyakit hati ini. Ya, terdapat perbezaan antaranya.

Jika yang dibicarakan adalah berkenaan dengan UJUB, maka kita perlu untuk memahami bahawa ujub ini timbul dalam hati. Ujub ini adalah lintasan-lintasan kecil yang membisikkan bahawa “aku sedang berbuat baik”, “aku hebat mampu berbuat sedemikian”, atau “wah, baik juga rupanya aku.”
Selalunya, ujub ini hadir sebegitu.

Maksudnya, ujub hadir ketika melakukan kebaikan.

Contohnya, tiba-tiba, minggu itu kamu berterusan menjadi orang pertama yang masuk ke surau pada waktu subuh, hati-hati sahabat, bimbang akan hadir ucapan hati sebegini: “Wah, mantap jugak aku rupanya, direct bangun paling awal nie.”
Maka, UJUB telah menjelma.

Juga, hati ini akan cenderung untuk memuji diri sendiri terhadap kelebihan yang ada. Ketika mempersembahkan jawapan di papan putih, ketika memberi ucapan di atas pentas, ketika azan dan menjadi imam, ketika mengalunkan bacaan al-Quran malah ketika menaip status di Facebook atau tweet di Twitter...
“Eh, ramainya like status aku, hebat juga ya, baru 5 minit sudah 100 like.”

“Bukan calang-calang, setiap tweet aku pasti saja ada yang retweet atau favourite.”
Itu, UJUB.

Berbeza pula dengan RIAK. Riak merupakan perbuatan yang menunjuk-nunjuk. Secara mudahnya, ketika sedang melakukan amal atau apa sahaja, maka pada ketika itu hadir dalam hati niat untuk menunjuk.

Bermakna, riak ini akan terjadi apabila wujud seseorang yang lain. Tidak akan terjadi riak jika tiada siapa yang kita mahu tunjuk, contohnya jika kita hidup di sebuah pulau yang hanya kita seorang sahaja di situ.

Kita melangkah masuk ke dalam surau, dan baru sahaja ingin melabuhkan punggung untuk duduk tiba-tiba masuk ustaz warden, sebagai ketua ibadah; nanti apa pula dia cakap? Jadi kita pun mulailah  mengerjakan solat sunat rawatib.

Nampak tak? Itulah ayat “...nanti apa pula dia cakap?” yang timbul itu sudah cukup untuk membuktikan kita hanya menunjuk-nunjuk!

Orang yang riak, selalunya tidak istiqomah. Apabila ada faedah, dia akan buat, dan apabila tidak dia tidak akan buat! Maksudnya, jika dia dapat tunjukkan kepada orang maka dia akan buat. Jika tidak, dia tidak akan buat. Contohnya di asrama, selalunya dia akan turun surau awal pada waktu subuh, tetapi pada minggu itu seluruh ahli biliknya pulang ke kampung. Jadi dia bukan setakat bangun lewat, malah solat subuh pun cuma di biliknya sahaja.
Itu, RIAK.

Pun begitu kita kena ingat juga bahawa pada orang yang istiqomah pun riak ini boleh berlaku juga.

Contohnya di surau lagi, di mana pada setiap malam Khamis akan diadakan qiamullail. Setakat itu kita masih tidak terlepas (missed) lagi, tetapi pada minggu itu seorang kawan telah mengajak kita  tidur di rumahnya. Kita menolak semata-mata kerana tidak mahu terlepas qiamullail itu. Maklumlah, seluruh penghuni tahu yang kita masih tidak terlepas lagi berqiamullail. Soalnya, tidak bolehkah kita  berqiamullail di rumah kawan itu sahaja?

Jika alasannya di rumah kawan itu kelak payah untuk bangun dan tiada ‘skuad’ yang mengejutkan seperti di asrama, itu lain cerita. Namun selalunya kita boleh bangun sendiri dengan menguncikan jam dan kita mampu bangun awal walau di mana pun? Jadi mengapa tidak tidur sahaja di rumah kawan dan qiam sahaja di sana?
Jelas ada RIAK di situ.

Seterusnya, TAKABBUR.
Ini juga perbuatan hati, dan merupakan penyakit. Sama seperti ujub, cuma takabbur ini ialah berasakan kita adalah lebih hebat dari yang lain-lainnya. Ujub, kita puji diri sendiri. Takabbur, kita akan cuba membandingkan kita dengan yang lain di samping meninggikan diri kita itu. Lagi advance!

Dan juga lagi teruk.
Jika kita melihat semua orang adalah lebih rendah dari kita dan perasan yang diri kita itu lebih mulia. 

Bayangkan, jika kamu merupakan seorang pemidato yang hebat malah pernah menjuarai di peringkat kebangsaan. Di suatu masa, kamu menghadiri kursus pidato bersama kawan-kawan yang baru sahaja berkecipung dalam bidang tersebut. Jika wujud rasa dalam hati bahawa kamulah yang paling hebat, maka takabbur sudah mula menguasai.

Natijahnya, kamu berasa tidak puas hati apabila orang lain yang menjadi ketua dan bukannya kamu.

Kamu berasa, bukankah kamu yang memiliki pencapaian yang paling tinggi antara yang lainnya? Mengapa dia pula yang jadi ketua? Ketika ada yang menegur kamu bahawa kamu salah pada sekian-sekian, kamu melenting dan tidak mahu terima. Malah tergamak pula berasa bahawa orang yang menegur itu memandai-mandai. Maklumlah, kamu peringkat kebangsaan, dia baru nak mula.
Itu, TAKABBUR.

Juga berlaku takabbur ini jika terdapat perbezaan bangsa, warna kulit dan negara. Di Malaysia, di negara sendiri, tiba-tiba seorang warga asing dari Bangladesh menegur kamu kerana memotong barisan di ATM. Kamu pekakkan telinga dengan anggapan jijik dan selekehnya orang yang menegurmu itu.
Jelas benar takabbur di situ.

Takabbur ini sememangnya rasa dalam hati. Jika yang tebal sangat tu, mungkin sehingga diucapkan  dengan lisan.
”Kau siapa nak tegur aku? Kau baru ijazah, aku dah master kot?”
Sudahlah meninggi diri, merendahkan orang pula.

Jelasnya, ini semua adalah penyakit hati. Gambaran ini sudah cukup untuk menunjukkan betapa buruknya sifat tersebut dan pelakunya juga. Syaitan itu tersangat licik. Kadang-kadang tanpa sedar, kita telah bersifat dengan ujub, riak, takabbur dan penyakit hati yang lainnya.

Ketika melangkah masuk untuk beribadah, kita mula berasa hebat. Itu UJUB. Masuk pula seorang kawan, kamu sengaja melama-lamakan ibadah itu atau cuba menzahirkan ibadah itu dengan suara atau sebagainya, itu RIAK namanya. Ketika melihat kawan itu tidak beribadah seperti kamu, kamu berasa kamu lebih hebat dan mulia daripadanya, itu TAKABBUR.

Sia-sia sudah ibadahmu itu.

Malah, Allah dan Rasul melaknatnya.
Moga saya, moga saya, moga saya dan kalian dapat mengamalkan apa yang baik, dan meninggalkan apa yang buruk?

Wallahu ta’ala ‘alam bissowaab.


0 Responses