"Aku menangis malam itu semahu-mahunya." permulaan muqaddimah novel sastera tersebut; sebuah hasil karya tulisan 'Anne Natasha Nita', iaitu nama pena penulis novel berkenaan.
"Hari sudah hampir ke pagi, namun air mataku masih galak untuk terus bercucuran. Bukan kerana aku suka menangis, sebenarnya, tetapi hanya dengan cara itu aku dapat melegakan sesak di dada. Dengan menangis aku dapat memujuk hatiku yang pilu dan penuh sayu itu. Aku menangis dan terus menangis, mengongoi bagaikan anak kecil yang laparkan susu."... ungkapan seterusnya sang penulis yang sebu dadanya dirundung pilu dan dijengah perasaan yang tidak menentu.
Gadis ini menangis apabila mendapati dirinya sudah tidak berguna lagi. Dia menangis apabila mengenangkan dirinya sudah tidak seperti sebelumnya lagi. "Kenapa ayahku sendiri yang tergamak melakukannya?"
"Rasa pilu yang tidak terkira itu terus menyentap-nyentap hati dan perasaan yang tidak ketentuan itu. Aku bingung, kesal dan menyumpah-nyumpah diriku sendiri. Lebihnya, aku terasa benar yang diriku ini telah tidak berguna lagi. Aku telah kehilangan segala-galanya."
"Aku masih ingat, sebaik selesai sahaja ayahku terus bergegas bangun dan mengenakan seluarnya. Tanpa menoleh ke belakang lagi dia terus keluar. Hanya yang kedengaran bunyi enjin motosikalnya yang berlalu entah ke mana? Dan aku pun mulalah menangis."
Demikian coretan seterusnya 'Anne Natasha Nita'. Rupa-rupanya dia menangis angkara dirinya ternoda dek perbuatan ayahnya sendiri di usia yang baru pun menjengah 13 tahun!
Inilah karya novel yang terhasil pada awal 1995 dan siap dicetak pada bulan Mac di tahun berkenaan; mengambil masa cuma 14 hari berturut-turut, siang dan malam untuk siap ditulis; 4 hari dan 4 malam langsung mata tidak dapat dilelapkan angkara idea yang tiba turun mencurah-curah! Kenapa?
Tempoh menulis novel ini adalah waktu senggang sewaktu menyiapkan penulisan novel "BUNGA BUKAN SEMUSIM" setebal 716 muka surat (Lihat 'Karya' di http://ikanlepu.blogspot.com/p/karya.html). Lelah berkejar waktu apabila berkurung di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang sementara menunggu masa untuk ke Ipoh bagi menerima anugerah "Novelis Perak" pada pertengahan April 1995 - 4 hari mata bersengkang yang enggan dilelapkan serasa segenggam pasir berserakan di kedua-dua kelopak biji mata. Kenapa?
Apabila sudah terlalu mengantuk (pada jam 2.00 atau 3.00 dinihari) cuba pergi berbaring di katil untuk melepaskan lelah. Namun sebaik mata dipejamkan tetiba datang berselirat 'idea' tentang cerita-cerita yang berkaitan dengan karya berkenaan. Ada beberapa kali dicuba paksa untuk melelapkan mata, pun... namun ia tetap gagal apabila hal yang sama datang menerjah. Jalan ceritanya bertambah jelas - daripada 1 'scene' ke babak yang lain. Ia memaksakan kita bangun dan mengadap kembali komputer. Cerita-cerita yang berselirat itu perlu dititipkan. Dan... dengan sekejapan saja seketika kemudian mata pun kembali mengantuk semula. Rasa berpasir di sekitar biji mata yang membenam!
Masalah ini cuma selesai sebaik karya berkenaan dilangsaikan. Cerita bohsia itu dapat disiapkan. Kesemua idea yang datang berselirat itu telah menyusut apabila berjaya dititipkan dalam komputer. Dan hasilnya, itulah novel 'AKU BOHSIA' setebal 180 muka surat.
Sebelumnya, boleh dikatakan menarik juga untuk dikongsikan bersama kerja-kerja penyiapan karya ini. Selain daripada turun ke beberapa lokasi menarik (tempat-tempat tumpuan sekelian bohsia n mat rempit) kita kena 'alert' n prihatin akan setiap yang berkaitan dengan kedua-dua kelompok dalam masyarakat ini; di kaki-kaki lima pusat beli-belah, umpamanya. Di stesen pam minyak dan pada waktu-waktu tertentu apabila ada pesta dan pertunjukan hiburan. Di sana bohsia sedia bercanda.
Kenapa gelagat kelompok ini cukup menarik untuk dirakamkan dalam karya novel?
Sehingga ke awal tahun 1990an, petempatan setinggan ada di mana-mana saja di seluruh pelosok Bandaraya Kuala Lumpur; di Kampung Abdullah Hukum, Jalan Travers, Pantai Dalam, di Jalan Klang Lama, Selayang, Cheras malah di merata tempat dalam Petaling Jaya. Keadaan tempatnya amat meloyakan serta corak kehidupan 'daif' yang cukup menjengkelkan. Anak-anak bertaburan dan menjalani kehidupan sekehendak hati mereka, tanpa kawalan.
Itulah jenis Melayu yang kerajaan mampu lahirkan selepas 'Dasar Ekonomi Baru' dilaksanakan (1972) berikutan peristiwa 13 Mei, 1969. Ibu-bapa terjebak dalam kedaifan yang amat menyedihkan di mana mereka yang kaya akan terus kaya dan dibela.
Bagaimana kita mencerap fenomena ini?
('Update' 9/12/14)
Sebagai penulis kita diberi kelebihan oleh Allah swt akan sifat keperihatinan dan kebolehan menghadam setiap peristiwa yang menjengah di ruang pemerhatian kita. Ia dirakamkan dalam otak sedar dan luar sedar yang akan terhambur keluar sebaik saja mula menulis. Kedua, mengumpulkan bahan cerita untuk novel-novel tebal bukanlah satu kerja yang mudah. Pada masa yang sama kita juga terlibat dalam pengumpulan bahan tulisan, penerbitan n pengedaran majalah di pasaran. Fenomena gadis terbiar ini (gelandangan!) ada di mana-mana - di merata kampung setinggan berkenaan, di merata kedai setempat, di pondok-pondok menunggu bas, di penjuru kompleks beli-belah yang baru merecup waktu itu.
Mereka dapat dilihat melepak sesama rakan sebaya sambil menjalani kehidupan dalam dunia mereka sendiri. Pada masa yang sama rakan sealiran mereka ialah mat-mat rempit (lelaki) yang juga datang dari petempatan sama - dari perkampungan setinggan yang lain.
Secara tidak semena-mena, tiba-tiba pada tahun 2009 ditayangkan sebuah filem yang jalan cerita, mesej dan temanya sama dengan kisah yang diungkapkan dalam novel berkenaan - melepasi waktu 14 tahun lamanya. Pun kita masih belum sedar akan kehadiran filem berkenaan - filem dengan wajah yang seiras kisah novel berkenaan!
Ia disedari sebaik stesen tv Astro menyiarkan filem berkenaan di awal 2013.
Untuk kepastian yang lebih meyakinkan CDnya dicari di serata kedai - hingga ke Perak, Kedah sebaik gagal di kesemua tempat di Selangor. Namun gagal juga. Maka pesanan terpaksa dibuat daripada sebuah 'outlet' di Subang Jaya; siap dibayar sekali harganya untuk 4 set (Part I n II).
Setelah menyemaknya, didapati ada banyak persamaan - bukan setakat jalan cerita malah dari segi insiden, lokasi dan watak-wataknya juga. Ada 2 watak utama bohsia di dalam novel, juga 2 watak utama itu ada di dalam filem. Cuma nama watak itu ditukarkan - ada watak bernama 'Tasha', sedangkan penulis 'AKU BOHSIA' itu menggunakan nama 'Anne Natasha Nita'.
Kenapa mesti menggunakan nama 'Tasha', sedangkan ada beribu lagi nama perempuan di luar sana?
Di dalam novel ada dua watak utama mat rempit, iaitu Burt dan Jeff - sama terdapat dalam filem berkenaan; Mus dan Acai. Ada satu watak panas baran, iaitu Jeff di dalam novel dilakonkan oleh 'Acai' dalam filem. Sementelah peranan ibu ayam cuma bertukar kepada bapa ayam, lakonan Aaron Aziz dalam cubaan mengambil kesempatan selagi terluang.
Lebih menarik, watak ayahnya kaki mabuk n kaki judi - pun sama di dalam filem berkenaan; di mana si ayah menjadi punca anak gadisnya menjadi bohsia - apabila dia merogol anaknya sendiri. Pun menurut kata bos besar syarikat perfileman berkenaan... ia cuma kebetulan-kebetulan yang tidak dapat dielakkan (dibaca disengajakan)! Yeah... ada lebih 80% kebetulan!
Secara simbolik penulis lakarkan bagaimana Anne Natasha sedar yang dirinya telah di'kenduri'kan oleh mat-mat rempit apabila dia dibawa pulang ke rumah kawannya di Damansara sebaik mabuk selepas menghadiri 'tea dance' di sebuah pub. Di dalam filem, dia juga di'kenduri'kan dalam suasana bilik yang hampir sama. Kenapa tidak dibuatkan 'bohsia' filem itu dikendurikan mungkin di pondok tunggu durian, di mana-mana rumah buruk yang ditinggalkan atau di bilik sewa mat-mat rempit berkenaan?
Ia disebabkan mat-mat rempit mana ada formula bila nak buat hal mesti di tempat yang baik dan selesa? Itulah yang dinamakan 'kebetulan' itu.
Oleh kerana geng-geng bohsia dan mat rempit itu (dalam novel) selalu melepak di sekitar Bukit Bintang - Kompleks Lot 10 khususnya maka dalam filem, adegan pergaduhan di antara mat-mat rempit pun berlaku di hadapan Lot 10 juga!
Apabila mereka itu juga sering berkumpul di Kompleks Dayabumi serta di belakang bangunan mahkamah, maka dalam filem turut diadakan tempat melepak/pertemuan geng bohsia dan mat rempit di depan bangunan mahkamah - menghadap ke Dataran Merdeka.
Yeah... itupun kebetulan juga apabila kita menulis surat dan pergi menemui bos besar syarikat filem berkenaan untuk mendengar buah butir daripada percakapannya. Dan dia bertegas bahawa itu adalah cerita asal dan idea daripada anaknya sendiri. Agak malang pada waktu pertemuan itu anaknya sedang menghadapi masalah apabila 'tertekan' kerana filem terbarunya telah 'bocor' di pasaran sebelum ia sempat ditayangkan. Anaknya lari la... anaknya dah nak 'give-up' la (dalam bidang film productions) - dah tak mahu masuk pejabat lagi; nak pergi ke Arab, jual jubah2 n baju muslimah!
Dan dia tetap bertegas bahawa mereka tidak meniru atau mencuri dari mana-mana sumber dalam penerbitan filem berkenaan. Konon, mereka ada panelnya sendiri di samping turun ke bawah - menemui geng-geng bohsia dan mat rempit di merata lokasi.
Err... masih ada ke bohsia di tahun 2008!
Pun pertemuan itu berlaku seperti dalam keadaan 'dipaksakan' selepas hampir 2 jam PAnya saja yang melayan - banyaknya tentang kisah mereka sendiri dalam penerbitan filem. Apabila didesak, sejam kemudian baru dapat bertemu dengan bos besar mereka. Itupun masih beralasan - kena jumpa seseorang. Ada hal penting! Pun kisah berlegar tentang dirinya juga - zaman susah waktu jadi konduktor bas! Masalah yang hendak dirongkaikan tetap juga tergantung n terkontang-konteng.
"Err... klu you nak saman, saman la. Kita orang takde masalah. Takde halangan apa-apa... kita ada panel sendiri yang buat skrip filem berkenaan," katanya sambil mengiring kami keluar dari bilik pejabatnya.
Pun kita tidak terus mengambil tindakan undang-undang itu. Kita masih reserve....
Kenapa?
(Update 11/12/14)
Sebab-sebabnya telah diberitahu kepada wartawan Harian Metro aritu, tapi tak disiarkan. Namun kita akan menyebutnya di mahkamah nanti. 29hb Disember ini adalah tarikh 'Penyediaan Kes' di Mahkamah Tinggi KL, Jalan Duta.
Perlu diingat, tindakan ini juga dikira sebagai mewakili teman-teman karyawan lain yang mana hasil karya sastera mereka telah ditiru dan dicuri secara sembrono oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab untuk paparan di layar televisyen dan di layar perak tanpa mengira penat-jerih orang lain. Jadi, tiada tempoh masa tertentu dalam menurap kepincangan dan kebobrokan berkenaan.