PROLOG
DARI pandangan yang berbalam-balam itu dia nampak kekasihnya diberikan bantuan pernafasan.
Dia sendiri yang mendaftarkan kemasukan Azman ke wad kecemasan itu setelah jururawat meminta kad pengenalan temannya. Itu pun puas dia mencari kerana berbalut dengan sebuah coretan. Itulah coretan Azman ketika mereka bersama-sama tinggal di Hotel Phoenix, Singapura.
Kejadian tersebut berlaku lapan tahun yang lalu; malam Krismas dan mereka ke sana pun bersekali untuk melihat kemeriahan orang-orang Singapura menyambut tahun baru.
Bagaimana dan apakah punca yang membuatkan Azman seperti telah tahu akan nasibnya? Bagaimana dia begitu percaya dan merelakan dirinya untuk menemui Tuhan pada umur empat puluh?
Seketika itu juga Aziriah segera teringat pada hari Jumaat yang lalu Azman baru sahaja genap empat puluh dan menyambut harijadinya. Malah ketika dia puas mencari Azman pun adalah kerana hari jadi itu juga. Ada bungkusan hadiah untuk Azman yang masih belum sempat diberikannya lagi. Hadiah itu masih tersimpan dalam beg di tepi almari rumah ibunya. Lebih mencemaskan apabila hari itu, Sabtu dan kebetulan-kebetulan yang berlaku sejak semalam telah cukup meyakinkannya. Azman seperti telah bersedia untuk kembali menemui Tuhannya.
Darahnya segera menyirap ke seluruh tubuh. Nafasnya tiba-tiba mendesak kencang dan peluh dingin memercik di seluruh dahi, leher, di pelipat kaki dan tangannya.
Oh Tuhan! Janganlah kebetulan-kebetulan yang berlaku ini benar-benar akan menjadi kenyataan, rungut hatinya. Sesungguhnya, dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dirinya nanti tanpa Azman? Azman, seorang yang begitu memahami hati dan perasaannya. Dia seorang lelaki yang sering memujuk dan memberikan perangsang bila hatinya murung oleh sikap dan perangai suaminya yang masih tidak pernah berubah itu. Lebih cemas dan membimbangkan nanti ialah sikap Azman sejak kebelakangan itu.
Kenapa Azman harus melarikan diri daripadanya? Ke mana dia pergi menghilang dan mengambil cuti yang agak lama? Sedangkan pada harijadi itu mereka patut merayakannya bersama. Malah dia telah menyediakan dirinya dengan datang ke Klang dan berada di rumah ibunya pun memang kerana buah hatinya itu juga - sama seperti pada hari-hari jadi Azman sebelumnya.
Dan secara tiba-tiba Azman entah di mana? Itu yang membuatnya serba tidak kena mencarinya. Seperti telah dapat diselami akan kata hatinya, akhirnya Azman didapati berada di jeti. Setelah berjaya menemuinya lain pula hal yang terjadi dan kini Azman masih terlantar di hospital dalam keadaan yang sungguh membimbangkan.
Kemudian dia teringat kembali akan kad nama yang ditemuinya dalam beg duit Azman. Itulah satu-satunya kad yang ditemuinya ketika mencari kad pengenalan Azman dan benaknya tercari-cari siapakah gerangan perempuan itu; Maznah? Nama itu cukup membuatkannya kerap bertanya sendiri. Adakah Azman telah mempunyai seseorang yang lain di dalam hidupnya kini? Berkemungkinan Azman pun mulai jelak dengan sikap dan kerenahnya selama ini. Ia juga punca sehingga menyebabkan hubungan mereka jadi tidak menentu arah dan matlamatnya.
Benar, ramai orang mengatakan bercinta itu merupakan satu bentuk perjudian juga. Dia sering teringat mungkinkah hubungan mereka juga masih seperti suatu bentuk perjudian? Ia masih tidak menentu sehingga membuatkan Azman jadi begitu. Sedangkan dia sendiri telah menyatakan kesediaannya untuk mengikut Azman walau ke mana sahaja? Adat, agama dan kebiasaan melarangnya.
Ah, persetankan! Dia tahu keadaan sebenar tentang diri dan hubungan perkahwinannya dengan Zaidin. Tetapi, ke mana mereka mahu pergi? Apa yang harus dilakukan, sedangkan dari segi undang-undang negara dia masih isteri orang.
Aziriah bingung. Air matanya semakin bertambah galak untuk berderai lagi.
Apa lagi yang dapat diharapkan tentang rumahtangganya? Zaidin masih galak seperti kebiasaaannya. Malah dia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Ibadat haji yang dikerjakan pun tidak memberi apa-apa makna? Kini dia mula berasa muak untuk ke majlis-majlis rasmi lagi, walaupun Zaidin tetap memerlukannya untuk ikut bersama. Kehadiran yang paling tidak disenanginya. Mestikah dia terus-terusan dijadikan patung mainan, bermuka-muka dengan masyarakat di sekeliling?
Dia mencapai kertas tisu dari atas almari. Perlahan-lahan dia mengesat kelopak matanya yang masih basah serta hidungnya yang masih belum mahu kering airnya. Sambil itu sesekali hatinya berdebar-debar juga bila teringatkan perihal kehilangannya sejak petang lagi. Dia tidak bimbang pada ibunya, tetapi beberapa orang ahli keluarga lain yang sering mengesyakinya pergi menemui Azman.
Sudah pasti Tengku Emira yang pernah menghalau Azman dari rumah itu dahulu. Sementara abangnya, Tengku Muzaffar masih seperti Raja Mandeliar yang begitu berani hendak memukul Azman kerana menziarah arwah ayah mereka di hospital.
Kemudian sejak kebelakangan itu sudah mula kedengaran abangnya yang tua mulai tidak senang akan perhubungannya dengan Azman. Itu pun dia percaya kerana Jalal Azirman, anak Tengku Dora dan juga adik Omzi yang gatal mulut. Dia percaya Tengku Jalal Azirman dan adiknya itu yang menyampaikan segala yang tidak-tidak tentang perhubungan mereka. Kalau tidak masakan Tengku Alauddin yang biasa berbual dan berbincang tentang sesuatu projek dengan Azman sebelum itu boleh secara tiba-tiba memusuhinya pula. Itulah di antara punca yang paling tidak digemarinya akan sikap anggota keluarganya.
Kadang-kadang terasa juga geram di hatinya bila seorang demi seorang daripada mereka memusuhi Azman. Sikap bodoh sombong dan sembrono yang tidak menentu itu masih menjadi tabiat buruk mereka. Sedangkan setahunya Azman tidak pernah berkelakuan tidak senonoh seperti kebanyakan di antara anggota keluarganya. Azman tidak pernah menyakitkan hati mereka. Sebaliknya, tidak pula ada sesiapa yang bersedia untuk menegur Zaidin, memberi nasihat dan jauh sekali daripada memusuhinya. Sedangkan perangai Zaidin hanya Tuhan sahajalah yang tahu.
Malah ada di antara anggota keluarganya yang tahu akan status kedudukannya yang diceraikan Zaidin berpunca disebabkan oleh angkara Julia Azia. Sembilan bulan suaminya menghilang sehingga tamat iddah mereka. Selepas itu mereka kembali berbaik-baik dan hidup bersama seperti tidak pernah berlaku apa-apa sehingga sekarang.
Ia adalah sesuatu yang masih dan sering merunsingkannya. Dia runsing tentang kedudukannya dari segi syarak walaupun tidak pernah pergi mengadu ke pejabat kadi. Anehnya, tidak pula ada sesiapa yang bersedia dan berusaha untuk membetulkan keadaan. Sedangkan selama ini apa sahaja yang dilakukan adalah kerana keadaan dan harapan anggota keluarganya jua. Dia sahaja yang mesti berkorban tanpa sedikit pun mereka memikirkan hati dan perasaannya. Dan sebaliknya, bila ada orang yang sudi memahaminya, mereka pula memusuhinya.
Entah kenapa mereka semua memusuhi Azman?