1
KETIKA sedang melamun tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk dari luar. Hatinya berdebar-debar dan denyut nadinya segera kencang semula. Benaknya mula mereka-reka alasan berhubung dengan kehilangannya sejak petang. Dia beralih dari satu wajah ke satu wajah semua ahli keluarga yang ada di dalam rumah itu. Apabila pergi membukanya, Omzi yang terpacul di situ. Lega hatinya dan debaran itu segera menghilang.
Selama itu pun memang Omzi yang banyak membantu. Omzilah yang sering menjadi perisai apabila ada sesiapa di antara ahli keluarganya yang mencari.
“Pergi jumpa Azman ye, Azi,” Omzi menduga sebaik sahaja masuk dan menguncikan pintunya dari dalam.
Aziriah segera meletakkan jari di hujung bibirnya bimbang kedengaran dek orang lain. Dia turut mengesatkan air matanya yang masih berlinang. Bimbang juga kalau keadaannya itu akan menjadi ketara. Apatah pula dirinya kelihatan tidak terurus walaupun jam di dinding telah menunjukkan hampir ke pukul 3.00 pagi. Selain dari itu dia bimbang juga kalau-kalau adiknya, Tengku Emira turut masuk ke situ dan melihatnya dalam keadaan sedemikian.
“Tak ada la...,” Aziriah berdalih sambil mengalihkan perhatiannya ke arah tingkap. Dia mengesat lagi air mata yang masih mahu meleleh.
“Om tau, Azi... petang tadi lagi Om dah tengok Azi tak tentu hala,” jelas Omzi sambil duduk rapat dengan ibu saudaranya itu. “Kelmarin pun begitu....”
“Mmm... entah la, Om. Tak tau macam mana nak cakap?” rungut Aziriah perlahan sambil tunduk.
“Atuk cari tadi... dia orang kat Ipoh semua dah bising,” jelas Omzi perlahan. “Tapi... Om kata Azi pergi meeting kat KL, tak balik lagi.”
“Pukul berapa atuk cari?”
“Mmm... dalam pukul 9.00.”
Aziriah mengangguk. Lega. Dia percaya pasti Zaidin yang mencarinya kerana mereka ada majlis jamuan negeri yang sepatutnya dihadiri pada malam itu. Dia pun terlupa, tetapi dia amat berharap agar Zaidin boleh pergi seorang. Ataupun Zaidin menelefonnya itu mungkin dari coffee house atau bar. Tentu dia ada bersama dengan rakan-rakan dan pengikuînya.
Namun inilah satu acara yang sengaja cuba dielakkan sejak lama; menghadiri majlis-majlis rasmi.
Dia masih tidak betah untuk sesiapa pun yang mengaturkan pergerakannya. Jauh sekali kalau dia pula yang memberitahu mereka akan apa yang berlaku terhadap dirinya, terutama sesuatu yang berkait dengan Azman. Dalam keadaan tertentu dia pun tidak begitu percayakan Omzi.
Cukuplah setakat Tengku Emira dan abangnya Tengku Muzaffar yang memusuhi Azman. Tengku Jalal Azirman pun apa kurangnya untuk menjadi batu api dalam hubungan mereka. Usah nanti akan bertambah ramai lagi di antara ahli keluarganya yang berasa tidak senang akan perhatian yang diberikan terhadap Azman. Dalam keadaan tertentu Omzi mungkin boleh terbocorkan rahsia tentang hubungan mereka. Akan menjadi lebih parah lagi kalau sekiranya tali barut, kuncu-kuncu dan kaki ampu Zaidin yang berkeliaran di Ipoh pula yang tahukan hal tersebut.
Dia kenal benar akan perangai dan sikap hampir semua ahli keluarganya. Sambil berbual-bual sesama sendiri pun banyak hal yang bukan-bukan boleh timbul. Macam-macam andaian dibuat semata-mata untuk memeriahkan perbualan dan suasana tanpa sedikit pun memikirkan tentang kesan dan akibatnya. Buat sementara ini dia berasa agak senang hati sedikit. Tengku Jalal Azirman pun telah lama tidak ditemuinya. Itu pun sejak anak saudaranya itu sedang asyik tergila-gilakan janda muda arwah ayah saudara Zaidin.
Tengku Azim Jamudin pun turut hilang sebaik berkahwin dengan anak Orang Besar Negeri. Sejak kebelakangan itu Aziriah seperti sudah tidak begitu percayakan kedua-dua anak saudaranya itu. Mereka cukup berbahaya selagi ia berkait dengan soal Azman. Malah dalam keadaan tertentu mereka langsung tidak boleh dipercayai. Dia sedar kerana mahu bermuka-muka dengan Zaidin mereka ini juga sanggup mereka-rekakan cerita tentang dirinya dan hubungan dengan Azman. Malah dia masih ingat bagaimana Tengku Azim Jamuddin pernah memintanya melayani seorang tauke besar dari Kuala Lumpur kerana mahu mendapatkan satu projek pembangunan hartanah . Begitu juga dengan Tengku Jalal Azirman yang pernah bertanyakan perasaan Azman terhadap dirinya.
“Esok mungkin Azi balik sekejap,” Aziriah beralih kepada Omzi yang masih memerhatikan riak di air mukanya. “Om duduk la sini... jaga atuk tu, tak usah balik ke Banting lagi. Kak Dora pun kata nak datang.”
“Baik-baik sikit la, Azi... awak tu jadi perhatian orang,” pesan Omzi lalu bangun tanpa menghiraukan pesanannya itu.
Aziriah merenungnya, kemudian mengalihkan perhatian ke tingkap yang telah bertutup. Meja soleknya masih seperti yang ditinggalkan pada petang itu. Telefon bimbitnya yang tertinggal masih di atas meja solek. Beg-beg pakaian pun masih belum berusik di penjuru dekat almari.
Entah sejak berapa lama, ketika hendak masuk ke bilik air untuk mandi dan bersuci tergerak hatinya untuk mengerjakan solat. Dia ingin sekali memanjatkan doa ke hadrat Ilahi, memohon ihsan Yang Maha Kuasa agar beserta dengannya dan tidak mengambil Azman lagi. Surat Azman yang baru dibacanya begitu menggerunkan dan menyayat hati. Dia tidak mahu segala kandungan surat itu akan benar-benar menjadi kenyataan.
KEESOKAN paginya Aziriah pergi ke sana lagi. Dia pergi menunggu Azman di hospital walaupun kepada ibunya diberitahu yang dia mahu pulang ke Ipoh. Di hospital, dia menunggu sehingga ke petang, namun Azman masih juga begitu. Azman masih terlantar di pembaringan dengan berbagai-bagai jenis wayar yang disambungkan ke seluruh anggota badannya. Hidungnya bertekup kerana bantuan pernafasan. Sementara di layar monitor masih menunjukkan graf denyutan nadi yang tidak stabil; ia mendatar dan terkadang-kadang meninggi, tiba-tiba menjadi rendah dan pada masa-masa tertentu ia mendatar semula.
Ini yang membuatkan dia sering cemas. Dicubanya mendapatkan penjelasan daripada doktor dan jururawat yang merawat, tetapi mereka pun seperti kebingungan. Tiada rumusan yang konkrit tentang keadaan buah hatinya. Sudah pun masuk hari kedua dia berada di situ. Lebih memilukan bila mereka semua lebih senang menutup mulut dan sebagai orang Islam mereka hanya memintanya supaya banyak berdoa. Itu sahaja.
Sesekali dia merapati Azman lalu memegang tangan kekasihnya itu. Namun tiada apa-apa reaksi. Kemudian dia mengucup dahi Azman sambil air matanya berderai diamuk rasa yang tidak dapat diungkapkan. Hatinya seketika itu juga kembali cemas dan puas dia berdoa di dalam hati memohon dan memohon agar Azman dapat diselamatkan. Dia begitu mengharap akan ada seorang doktor yang benar-benar pakar dan akan membawa serelung cahaya buat menerangi kegelapan malam. Dia memang tidak dapat membayangkan bagaimana sekiranya Azman memang benar-benar tidak dapat diselamatkan?
SAYU benar rasa hatinya sambil melemparkan pandangan di kejauhan. Sesekali dadanya sebak dan berdebar. Bagaikan dapat dikongsi perasaannya pada ketika itu dek suasana sunyi damai bila hujan baru berhenti.
Tengku Noor Aziriah masih berdiri di beranda biliknya yang terletak di tingkat atas banglo kediaman yang mempunyai sembilan bilik itu. Itulah sahaja pusaka peninggalan arwah ayah mertuanya dahulu yang dapat dimiliki oleh Zaidin. Sementara yang lain-lainnya habis dibolot oleh ipar-ipar dari sebelah ibu tirinya. Dia berpindah ke situ enam tahun lalu, sewaktu Azman secara tiba-tiba menghilangkan diri. Pun ketika itu Zaidin masih lagi tergila-gilakan Julia Azia.
Letaknya rumah itu menghala ke jalan besar menuju ke pekan Tanjung Rambutan. Dia berada di beranda yang bersetentang dengan pintu pagar berkerawang di laluan utama masuk ke rumah. Di situlah selalunya dia menyendiri sambil melemparkan pandangan pada lalu-lintas yang jarang-jarang putus di Jalan Bemban. Jalan yang sedikit berliku itu bagaikan turut mengiyakan kecamuk di hatinya.
Dia teringatkan Azman yang masih terlantar di hospital. Buah hatinya itu masih diberikan rawatan dan pemerhatian yang rapi. Menurut alasan mudah doktor yang merawat, ia disebabkan oleh tekanan perasaan. Sementara ujian-ujian yang dijalankan masih belum dapat memberikan apa-apa petunjuk dan kepastian.
Hatinya berkecamuk. Alasan apakah lagi yang dapat diberikan untuk dia ke sana lagi? Klang dengan Ipoh bukanlah satu jarak perjalanan yang dekat walaupun lebuh raya Utara-Selatan terbentang memanjang. Adalah mustahil baginya untuk berulang-alik setiap hari buat menjenguk dan menjaga Azman yang terlantar keseorangan.
Dia tidak dapat memberi alasan untuk menghadiri mesyuarat persatuan untuk kesekian kalinya agar dapat pergi ke Kuala Lumpur. Adalah tidak mungkin baginya memberitahu tujuan ke sana ialah untuk menjenguk ibunya. Baru semalam Tengku Emira menelefonnya dan dia dapat juga bercakap dengan ibunya. Walaupun kerinduan pada arwah ayahnya masih membekas, berbagai-bagai kemungkinan boleh timbul bila dia terlalu kerap pulang ke Klang. Dia tidak mahu nanti akan timbul masalah lain pula dan menjadi ketara pada pandangan abang-abang, kakak dan saudara-maranya yang lain. Lebih parah sekiranya timbul buah mulut di kalangan anggota keluarga suaminya sendiri. Lebih-lebih lagi Cik Puan Asmah, ibu mertuanya yang banyak mulut dan banyak bertanya itu.
“Mak Engku, hujung minggu ni ada dinner,” tiba-tiba dia dikejutkan oleh sapaan Saiful yang tercegat di pintu biliknya.
“Dinner apa pulak tu?” Dia menoleh sambil hatinya mula menggerutu.
“Errr... kat The Syuen. Majlis pembukaan hotel yang baru tu,” jelas Saiful kebimbangan dan tidak selesa bila Aziriah berpaling dan merenungnya tajam. “Tuanku pun hadir sama.”
“Hisyy... tak habis-habis,” Aziriah mendengus.
“Mmm... paginya PERTAMA negeri buat perjumpaan,” Saiful mengingatkan jadual yang harus ditempuhinya sepanjang minggu.
“Huh urgh, tau la tu.”
“Mmm... mak bonda ada tanya pasal langsir. Dia datang dua hari lalu.”
Saiful terus beredar bila Aziriah tidak menjawab.
Aziriah bungkam bila mengingatkan jadualnya yang telah penuh sesak untuk minggu itu. Sekali lagi dia harus mengiringi Dato’ Seri Zaidin Sharani untuk ke majlis keramaian. Ia adalah di antara acara yang paling tidak digemarinya. Apatah pula apabila sultan sendiri turut hadir beserta dengan orang-orang besar negeri yang lain. Tokoh-tokoh politik dan perniagaan pun hadir bersama dengan isteri masing-masing. Di sana nanti, seperti selalu dia pasti akan bersua muka dengan mereka. Ia adalah sesuatu yang cuba dielakkan sejak kebelakangan itu.
Dia perlu juga menghadiri perjumpaan PERTAMA kerana dia merupakan salah seorang daripada anggota jawatankuasa. Dia berasa segan dan agak gusar kerana isteri Menteri Besar sendiri yang menjadi ketuanya.
Kemudian dia menjadi lebih rimas apabila teringatkan langsir ibu mertuanya yang belum disiapkan. Sudah hampir sebulan kerana dia sibuk dengan beberapa hal. Selain daripada menjenguk ibunya yang baru keluar dari hospital dan menghadiri mesyuarat persatuan di Kuala Lumpur, kini timbul pula kisah Azman yang terlantar di hospital.
Air matanya tergenang. Hatinya sayu kerana untuk minggu itu pasti dia tidak akan dapat menjenguk buah hatinya itu. Kelmarin pula dia terpaksa berada di rumah kerana teman lama mereka ketika di Gerik dahulu datang berkunjung. Hari itu pula dia terpaksa menguruskan kemasukan anak angkatnya ke sekolah agama. Hingga ke petang baru segala-galanya selesai.