3
SEBAK hatinya masih belum reda. Segala yang membalut di jiwanya merongkai satu persatu. Dia terkenang detik-detik pertemuan di antara mereka berdua. Ia berlanjutan pada keindahan-keindahan yang tidak dapat diungkapkan ketika mereka lalui bersama. Ia melangkau pada detik-detik yang memilukan hatinya bila Azman pulang ke rumahnya. Sementara dia pula terpaksa menerima Zaidin yang akan melakukan sekehendak hatinya.
Sedangkan kasih sayang yang dihulurkan oleh buah hatinya itu melangkau tujuh lautan. Pautan kasihnya jauh tidak bertepi. Tetapi, keadaan dirinya, suasana di sekeliling serta harapan keluarga yang terlalu tinggi terhadapnya membuat dia tidak dapat menurutkan kata hati.
Aziriah masih meramas-ramas tangan Azman dengan penuh kemesraan. Ditatapnya wajah yang tidak pernah keberatan untuk menghulurkan kasih sayangnya itu. Sesekali dia mengesatkan air matanya yang masih galak untuk berderai. Sementara itu keadaan sudah semakin tenang dan kadang-kala mengerikan juga. Diperhatikannya keadaan sekitar bilik yang kelihatan suram dan sunyi bila malam-malam begitu. Kalau tidaklah kerana Azman adalah tidak mungkin baginya untuk berada di situ lagi.
Sambil itu dia masih asyik melamun dan menelusuri perhubungan mereka yang telah terjalin sekian lama. Dia kembali teringat akan kata-katanya sendiri pada Azman.
“Azman, kalaulah ditakdirkan sepanjang hubungan kita ni ada menghasilkan anak, tentu sudah bersekolah pun mereka,” keluhnya di tepi telinga Azman ketika mereka sedang berdua-duaan.
“Yeah... itu pun kalau sekiranya kita ditakdirkan berkahwin sejak pertemuan dulu!” sahut Azman perlahan sambil merenung jauh ke dalam anak matanya.
Namun keadaan yang tidak menentu di sekitar hidupnya membuatkan dia sering kebingungan. Dia tenggelam punca dan tidak pasti akan apa yang patut dilakukan? Kini hatinya pula sentiasa cemas dan kecut jauh di lubuk hatinya apabila memikirkan tentang diri buah hatinya itu.
Sudah lima hari keadaan Azman masih tidak berubah. Direnungnya wajah lembut yang masih damai dalam lenanya. Tangan Azman diramas-ramas sambil sesekali dirapatkannya ke pipi.
Sedang dia mengelamun, tiba-tiba terasa olehnya sesuatu yang agak berlainan. Dia cuba mengamat-amatinya bila terasa akan jari-jemari Azman yang sesekali bergerak perlahan. Ditenungnya pada wajah buah hatinya itu dengan penuh tanda tanya, tetapi tiada sebarang perubahan. Hanya sesekali kelihatan kerut pada wajah itu, pada misai nipis yang jarang-jarang dan keperangan itu. Azman seperti sedang menahan sesuatu, kemudian kembali tenang dan tidak bergerak lagi.
Nafasnya tertahan-tahan bila melihat perkembangan tersebut. Memang sejak berada di situ, hanya itulah kali pertama Azman menunjukkan tanda-tanda perubahan. Biarpun Azman seperti lena kembali, tetapi di hatinya sudah cukup untuk berasa lega. Masih punya harapan, dia percaya. Setinggi gunung jua dipanjatkan harapan agar Azman kembali seperti sedia kala. Namun keghairahan itu surut kembali bila tiada lagi tanda-tanda perubahan seterusnya.
Dia terus juga meramas-ramas jari-jemari Azman dengan lebih galak dan mesra lagi. Ada sesuatu yang amat diharapkannya, namun tidak ada respons dan timbal-balas seperti itu lagi. Dia masih juga ternanti-nantikan perubahan seterusnya daripada Azman.
Namun harapannya tidak dihampakan. Tidak lama kemudian sesekali dia terasa akan sesuatu tindak-balas; yang terlalu perlahan.
Ini aku di sisimu, sayang, bisiknya sambil menekapkan tangan Azman pada muncung bibirnya. Dia mengucupnya berkali-kali dengan penuh pengharapan. Bangunlah sayang, bisiknya lagi sambil air matanya kembali tergenang dan berderai lagi.
Tiada sesiapa yang hampir di situ. Jururawat dan doktor berada jauh merawat pesakit-pesakit lain bagi kes-kes kecemasan yang lebih memerlukan. Itu pun sudah cukup baik baginya kerana dalam keadaan begitu dia tidak mahu diganggu. Biarkan dia sendiri sahaja yang akan melihat perkembangan seterusnya daripada orang yang tersayang. Biarlah dia orang yang pertama, kalau ditakdirkan Azman sedar kembali, menyambutnya daripada lena yang panjang.
Ditatapnya akan wajah yang lembut itu dengan penuh sayu. Dikesatkan air mata yang semakin mengaburkan pandangan dengan belakang tangan, sementara hatinya terus berdebar-debar mengharapkan sesuatu yang di luar kebiasaan. Dia begitu mengharapkan sesuatu yang aneh dan ajaib akan berlaku tentang diri orang kesayangannya itu. Bangun la sayang, bisiknya tidak sabar. Semakin galak pula dia meramas-ramas tangan Azman dan mengucupnya berkali-kali. Lama keadaan yang tidak menunjukkan apa-apa perubahan itu berlalu. Tetapi, dia tetap tidak berputus asa. Dia terus berdoa dan mengharap malah cukup percaya akan ada sesuatu yang begitu meyakinkan daripada keadaan yang dilihatnya itu.
Tiba-tiba sekali lagi tangan dan jari-jemari Azman terasa bagaikan berdenyut di dalam genggamannya. Dia memerhati dan kelihatan padanya wajah Azman yang kembali berkerut lagi, sesekali... dan perlahan seperti dalam kepayahan. Jari-jemari yang tidak bermaya itu terus diramas-ramas seraya menciumnya berkali-kali.
Kemudian dia terasa lagi akan sesuatu yang mengeratkan genggamannya. Diamat-amatinya dan memang benar jari-jemari Azman itu bergerak dan membalas genggamannya. Seketika itu juga kelopak mata yang sejak beberapa hari itu terpejam nampak berkedip walaupun pelupuk matanya masih belum terbuka. Nafas Aziriah berlepus dan tertahan-tahan kerana tidak sabar menantikan perkembangan seterusnya.
“Azman, bangun sayang...,” bisiknya perlahan di tepi telinga kekasihnya itu. Lembut dan mengasyikkan sekali.
Keadaan berlalu tanpa apa-apa tindak balas lagi.
Aziriah terus menatap sekujur tubuh yang layu di pembaringan itu. Pada wajahnya, dia cuba mengamat-amati akan sebarang perkembangan lagi, walaupun sedikit. Sesekali pula dia menahan nafasnya untuk meneliti dan memerhatikan keadaan diri buah hatinya itu.
Sampai bila kau harus begini, sayang, bisiknya sambil memeluk erat tangan Azman ke dadanya. Air matanya terus berderai bila dikejipkan kerana mengganggu penglihatannya. Rasa cemasnya seakan-akan terus mengasak.
“I love you, honey..., “ rengeknya lagi seakan-akan merayu dan memberi jaminan. "Aku tidak tertahan untuk terus begini, sayang....”
Keadaan hening dan sesekali tetap menyeramkan juga. Namun Aziriah tidak menghiraukannya. Dia cuma mampu untuk mengesatkan air mata yang terus galak untuk berderai di pipinya. Tangan Azman masih terus digenggam. Erat. Melalui pertalian dan hubungan itu dia terus memujuk dan memberi pengharapan. Hanya melalui kata hatinya dia percaya akan dapat berhubung dengan roh Azman yang masih entah di mana? Dia percaya akan sesuatu yang amat menakjubkan. Melihat pada riaknya dia percaya dan tetap setia menanti. Dia menanti dengan debaran dan harapan yang semakin menggunung tingginya.
Lama kemudian terlihat olehnya pada kelopak mata Azman yang berkedip-kedip lagi. Dia mengamat-amatinya dan semakin galak meramas jari-jemari kekasihnya itu.
“Azman! bisiknya perlahan. "I miss your smile, honey... kembalilah untuk menerangi dunia yang terasa benar kelamnya ini. I tak tertahan untuk terus melihat you begini, sayang. I need you, honey!”
Dengan tidak semena-mena Azman mengejitkan kelopak matanya lagi beberapa kali. Kemudian, perlahan-lahan dia membukanya, seperti orang yang baru tersedar daripada tidurnya. Matanya dikecilkan seperti menahan silau dan membetulkan bukaan anak matanya yang telah berhari-hari tidak melihat cahaya alam ini. Namun pandangannya cuma tertumpu ke arah siling... dan masih kosong!
Aziriah menahan nafasnya sambil melekapkan tangan Azman pada pipinya dan terus memerhatikan dengan penuh teliti. Tangan Azman yang digenggam ke pipi itu dikucupnya lagi berkali-kali.
Mungkin ini yang membuatkan Azman tersedar lalu berpaling kepadanya. Mata mereka bertentangan dan perlahan-lahan Aziriah tersenyum kegirangan. Namun suara Azman tidak kedengaran dihalang oleh alat bantuan pernafasan yang masih menekup mulut dan hidungnya itu. Bahagian pipi dan bibirnya kelihatan seakan-akan berkerut tidak tahu apa yang hendak diucapkan, tetapi tawar dan kemudian kembali melamun lagi.
“Azman, ni I... Azie,” bisiknya sambil merapatkan pipinya lalu mengucup pipi Azman.
Sebentar kemudian dia terasa tangan Azman seperti membalas genggamannya lagi.
“Urghh...,” kedengaran suara yang jauh dari dalam penekup alat bantuan pernafasan dan Azman merenungnya... lama, tetapi dengan renungan yang kosong!
Aziriah sudah tidak tertahan hatinya terus memeluk Azman. Diciumnya pipi buah hatinya itu beberapa kali. Dan air matanya terus galak dan tidak dapat diempang-empang lagi. Azman kelihatan menggeleng beberapa kali sambil kedengaran lagi suara yang kepayahan dari dalam alat tersebut.
Aziriah tidak berkata apa-apa. Hanya ngongoinya sahaja yang kedengaran sambil terus mencium pipi Azman semahu-mahunya. Tanpa rasa segan dan silu lagi dia memeluk buah hatinya itu.
“I miss you, honey!” bisiknya sambil mengemaskan rangkulannya.
“Urgh...,” kedengaran suara Azman lemah sekali tanpa membalas pelukan Aziriah yang masih belum putus ngongoinya itu. Kemudian Azman menghela tubuh yang langsing berbaju kebaya itu lalu merenung Aziriah. Dalam sekali renungannya diikuti oleh sebuah senyuman yang tawar.
“Thank you, honey... thank you,” Aziriah membalas sambil mengucup tangan Azman entah untuk yang keberapa kali? Direnung wajah buah hatinya itu dengan penuh mesra.
Azman mengangguk, kemudian mengalihkan perhatiannya ke arah siling. Aziriah masih belum mahu melepaskan genggaman tangan Azman. Sebaliknya dia terus meramas-ramas jari yang sudah mula bergerak-gerak itu dengan wajah yang berseri-seri. Sesekali dia mengesatkan air matanya yang terus galak bercucuran.
Dia terkedu sambil memejamkan matanya. Tiada yang dapat dikatakan selain daripada memanjatkan kesyukuran yang tidak terkira pada Khaliq, Tuhan Pencipta dirinya. Bagi-Mu segala sanjungan dan kepada-Mu jua tempat aku bermohon dan mengucapkan kesyukuran sesungguhnya, wahai Tuhan! Dia yang Maha Pengasih dan Maha Mengasihani. Sesungguhnya, Dia juga yang mengerti akan perasaan ini sejak beberapa hari menunggu saat yang tidak menentu ini. Perlahan-lahan Aziriah membuka matanya memerhatikan Azman yang masih kosong renungannya ke siling dan sesekali beralih perlahan ke sekitar bilik itu. Namun ia suatu petanda yang sudah cukup baik. Dan baru dia teringat bahawa malam itu adalah Jumaat, hari yang kelima Azman tidak sedarkan dirinya.
Rupa-rupanya makbul juga doa sekelian umat muslimin yang mengadakan kenduri arwah dan doa selamat pada malam yang berkat itu. Walaupun tidak khusus doa mereka panjatkan buat Azman, tetapi atas sifat Rahim dan Rahman-Nya meliputi sekelian umat Muhammad, kini Azman pulih dan sedar kembali dengan rahmat Tuhannya. Aziriah segera menoleh pada jam di tangannya, tepat 10.05 malam. Itulah saat sekelian yang mengadakan kenduri doa selamat pada malam Jumaat membaca dan mengaminkan doa masing-masing buat sekelian muslimin dan muslimat, yang masih hidup ataupun yang telah pergi. Maha Suci Tuhanku, bisik hatinya walaupun menyedari sepanjang hari itu dia langsung tidak pernah sujud dan bermunajat di hadapan Khaliqnya. Sesungguhnya, ampunkanlah dosa-dosaku itu wahai Tuhan! Sifat Pengasih-Mu itu meliputi seluruh alam ini, serunya perlahan sambil air matanya terus berderai lagi.
“Nurse!” Aziriah memberi isyarat bila seorang jururawat lalu hampir di situ.
Jururawat itu segera menghampiri katil Azman dalam keadaan terpinga-pinga. Kemudian dia segera berkejar ke bahagian hadapan mendapatkan doktor dan rakan-rakan jururawat lain yang ada di sana. Sebentar kemudian mereka semua berkejar ke situ.
Keadaan menjadi agak kelam-kabut. Masing-masing cemas dan seperti dalam keadaan tidak percaya akan apa yang sedang berlaku. Doktor muda yang ada di situ segera menanggalkan alat bantuan pernafasan yang menekup hidung dan mulut Azman. Kemudian dia memeriksa nadi dan denyutan darah pada lengan Azman yang masih tidak bermaya.
“Huhh... kat mana ni?” Azman seakan-akan berbisik dan kehairanan sebaik alat itu ditanggalkan. Dia mengangkat tangannya yang berikat dengan saluran drip sambil memerhati ke sekitarnya.
Namun tidak sesiapa pun yang cuba untuk menjawabnya.
Aziriah mengelak ke sisi katil sambil melepaskan tangan Azman yang masih dalam genggamannya. Wajah Azman yang layu itu diperhatikan bersungguh-sungguh. Dia begitu ceria dan baru percaya bahawa Azman telah benar-benar sedar kembali. Namun di dalam hatinya dia masih tidak berani untuk meramalkan keadaan yang sebenar walaupun Azman ada bertanya dia di mana? Biarlah doktor yang membuat pemeriksaan dan menentukannya.
Namun rasa hatinya pada ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Gembiranya bukan kepalang. Serasa-rasa mahu sahaja dia menjerit dan memberitahu seluruh dunia betapa kekasihnya telah sedar kembali. Antara harap, percaya pun tidak dia berasa seperti doanya yang berbakul itu telah dimakbulkan. Dia menggenggam tangan sambil mendongak ke atas; oh Tuhan, bisik hatinya penuh dengan kesyahduan. Itulah fitrah kejadian insan dalam keadaan tidak tahu ke mana hendak dihadapkan pengharapan; biarpun dia terlalu amat jarang tunduk dan sujud kepada Tuhan yang menjadikan. Namun dalam keadaan sebegitu iman tipisnya masih membekas. Dia kembali memanjatkan syukurnya kepada Ilahi; sesuatu yang tidak pernah dilakukan biarpun sewaktu ibunya terlantar di situ lebih sebulan yang lalu.
Hatinya terasa bagaikan digaru. Dia mengelak ke kiri dan ke kanan, terkadang-kadang berjengket apabila pandangannya terhalang oleh doktor dan jururawat yang sibuk memeriksa buah hatinya itu. Tangannya masih tergenggam rapat di dadanya, tidak sabar menunggu perkembangan seterusnya. Ooo... thank God, thank you... thank you!
Sesekali matanya dipejamkan buat mengasingkan air matanya yang masih berderai berbaur dengan rasa gembira yang tidak terperi. Sambil itu Azman memerhatikan sahaja apa yang dilakukan oleh doktor terhadapnya semasa membuat pemeriksaan. Wajahnya bersahaja dan sesekali dia beralih bagaikan sedang tercari-carikan sesuatu. Dia menjeling mereka tanpa dia sedari betapa Aziriah sedang tercegat di situ.
“Are you okay? How do you feel? You will be fine soon,” doktor muda itu membebel seorang.
Azman tidak terusik oleh teguran doktor yang berbadan sederhana dan bermisai itu. Sementara semua jururawat yang ada begitu tekun meneliti dan memerhatikan keadaan Azman di pembaringan.
Kebetulan staff nurse yang sudah berumur itu pun ada bersama. Dia yang sibuk mengarahkan juru-jururawat yang ada di situ membantu doktor yang memeriksa. Kemudian dia berbisik mengarahkan jururawat menglapkan seluruh badan dan menukarkan pakaian Azman dengan yang lebih baru selepas pemeriksaan tersebut.
“Very good sign,” jelas doktor itu berkali-kali, lebih kepada dirinya sendiri sambil menoleh dan menjeling kepada Aziriah di belakangnya. Dia benar-benar puas hati dan meminta jururawat meninggikan sedikit bahagian kepala katil supaya Azman dapat berbaring dalam keadaan yang lebih selesa.
assalam tuan... bagaimana kiranya sy ingin mendapatkn novel tuan yg bertajuk pilihan kedua dan kehilangan ini? mohan tuan email kembali pd sy ya noraishahtun@pfce.com.my wasalam tuan
As salam.. sy juga teringin untk daptkan sambungan dari khilangan 1.. harap dapat email sy di dyrintody@yahoo.com.