Elias Hj Idris
Sudah sering kita mendengar bahawa solat adalah tiang agama.Solat adalah amalan paling pertama yang disoal oleh ALLAH di hari kiamat. Jika solat kita baik, maka baiklah amal perbuatan lainnya.Namun jika solat kita jelek,maka buruklah segala perbuatan yang kita jalani.

Sesekali kita perlu merenung, baikkah solat yang kita kerjakan? Suatu waktu kita perlu berfikir, apakah solat kita diterima di sisi-Nya? Dan seperti apa tanda-tanda orang yang diterima solatnya. Dalam hadis Qudsi disebut ada 5 tanda orang yang solatnya diterima.

Pertama
Dia yang merendahkan diri dengan solatnya kerana kebesaran ALLAH. Solat yang diterima adalah solat yang penuh dengan kerendahan diri terhadap kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT. Orang yang merendahkan diri akan mampu berasa khusyuk dalam hatinya. Jiwanya sedar dan mengerti dengan siapa dia saat itu sedang menghadap?

Oleh kerana itu, sebelum solat apa yang harus diperbetulkan terlebih dahulu adalah hati. Hati itu seperti pohon. Apabila dahannya rendang burung-burung pun senang hinggap di atasnya. Bila hati kita bercabang maka fikiran dan nafsu pun senang bermain di dalamnya.

Kedua
Orang yang tidak menyombongkan diri kepada makhluk ALLAH. Rasa tawadhu' dengan sendirinya menghilangkan sikap angkuh dan sombong kepada sesama makhluk. Kekuasaan yang ada di genggamannya tidak menyebabkan dirinya lupa daratan lalu berbuat sewenang-wenang kerana dia  sedar bahawa kekuasaan adalah amanat ALLAH.

Orang yang diterima solatnya adalah orang yang tidak menyombongkan dirinya kepada sesiapa pun. Meskipun d ia kaya, pandai dan berkuasa.

Ketiga
Orang yang tidak mengulangi maksiat kepada ALLAH. Dalam hidup, mungkin sekali kita pernah terjebak dalam kubangan dosa. Mungkin dulu ada di antara kita yang pernah menipu ataupun mencuri. Kenangilah perbuatan masa lalu itu sebelum solat. Lalu lakukan solat dengan hati taubat dan siap menghadap kepada-Nya.

Menangis dan mengemislah kepada ALLAH memohon keampunan terhadap gulungan ombak dosa seraya berucap "astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah" usai solat, dan jangan diulangi maksiat yang pernah dilakukan.

Keempat

Orang yang mengisi sebahagian daripada waktu siangnya dengan berzikir kepada ALLAH. Waktu bagi orang mukmim amatlah berharga. Sebahagian daripada detik-detiknya dia lalui dengan bersujud kepada ALLAH SWT.

Kelima

Orang yang menyanyangi orang miskin, orang yang dalam perjalanan, isteri yang ditinggalkan suami dan mengasihi orang yang menerima musibah. Solat yang dilakukan berbekas dalam kehidupan manusia yang berkasih-sayang antara satu sama lain.

Apabila kelima-lima ciri orang yang diterima solatnya ini telah dipenuhi, Maka kata ALLAH;

"Cahayanya bagaikan cahaya matahari. Aku lindunginya dengan kekuasaan-Ku. Aku perintahkan malaikat menjaganya. Aku jadikan cahaya dalam kegelapannya. Aku berikan ilmu terhadap ketidaktahuannya. Perumpamaannya dibandingkan dengan makhluk-Ku yang lain adalah seperti perumpamaan firdaus di syurga."