Abdullah C.D. adalah seorang tokoh yang sang
Beliau pernah mendapat pendidikan di Clifford School, Kuala Kangsar. Dek kerana fikiran beliau yang cerdas terbuka, beliau telah menerima
pengaruh progresif dari bangku sekolah lagi, khasnya oleh guru-guru yang
demokratik, ahli-ahli KMM dan tokoh veteran revolusi Indonesia tahun
1926 yang tinggal di Malaya (kini Malaysia). Demi cita-cita kemerdekaan
tanah air, beliau telah menyertai
KMM, PKMM dan
PKM. Beliau adalah rakan
seperjuangan akrab tokoh nasional yang terkemuka seperti Dr.
Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamad, Mustapha
Hussein dan lain-lain.
Pada bulan Mei 1949, beliau telah mengasas dan
memimpin Rejimen ke-10, satu-satunya pasukan Melayu yang berjuang
melawan penjajah British secara bersenjata untuk kemerdekaan tanah air.
Kemudian, pada tahun 1985, beliau dipilih sebagai Pengerusi PKM.
Untuk mengetahui lebih lanjut siapa Abdullah C.D. sila ikuti wawancara
yang dibuat oleh wartawan majalah Suluh Rakyat pada tahun 1989.
Soalan: Banyak orang, khasnya angkatan baru, sangat ingin mengetahui
tentang bapak secara lebih dekat. Mereka bukan sahaja mahu menambahkan
pengetahuan sendiri, bahkan mahu merakamkan perjuangan bapak dalam
lembaran sejarah tanah air. Ada orang mengatakan kisah perjuangan bapak
selama kira-kira setengah abad sudah menjadi legenda... bapak seorang
keramat dan lain-lain.
Abdullah C.D.: (ketawa) Saya bukan keramat, saya manusia biasa saja.
Soalan: Bolehkah bapak terangkan sedikit tentang latar belakang bapak?
Abdullah C.D.: Saya anak Perak, lahir di Lambur Kiri, daerah Parit,
pada bulan Oktober 1923. Bapa saya bernama Anjang Abdullah, seorang
petani sedang. Dia juga ketua kampung. Emak bernama Halimah, seorang
suri rumah tangga. Kami hanya dua beradik, iaitu seorang kakak dan saya
sendiri.
Soalan: Kami difahamkan nama Abdullah C.D. bukanlah nama sebenar bapak, tetapi “nama perjuangan”. Benarkah?
Abdullah C.D.: Benar. Nama lahir atau nama sebenar saya ialah Cik Dat.
Tapi, selepas perang, ketika saya terlibat dalam gerakan buruh dan PKMM,
kerana keperluan perjuangan, saya menggunakan Abdullah C.D.
Soalan: Bagaimana tentang pendidikan bapak?
Abdullah C.D.: Mula-mula saya belajar di Sekolah Melayu Lambor, Parit,
dan tamat Darjah Lima. Kemudian, saya masuk ke Sekolah Inggeris Tapah, tetapi
selepas itu, ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar. Saya sempat
belajar Inggeris setakat Darjah 7 saja kerana tercetusnya perang.
Soalan: Benarkah bapak terlibat dalam gerakan kemerdekaan semasa di sekolah lagi?
Abdullah C.D.: Benar.
Soalan: Apakah yang mula-mula mempengaruhi bapak?
Abdullah C.D.: Bapa saya, guru-guru, dan kegiatan di sekolah setelah berdirinya Kesatuan Melayu Muda
(KMM).
Soalan: Bolehkah bapak ceritakan sedikit soal ini?
Abdullah C.D.: Saudara pun tahu, rakyat Perak memang terkenal dengan
semangat anti-penjajah. Pengaruh Perang Maharajalela pada tahun 1875
memang mendalam. Sungguhpun perang itu gagal, tetapi semangat rakyat terus
membara. Awal abad itu, kalau tak silap tahun 1930-an, rakyat Perak nak
berontak lagi – di Kuala Kangsar, Parit dan lain-lain tempat. Salah
seorang penganjurnya ialah Raja Chulan, keluarga diraja Perak.
Pemberontakan ini ditindas oleh British dan ramai orang ditangkap. Tapi
Almarhum Sultan Perak ampunkan mereka. Bapa saya salah seorang yang
terlibat dalam gerakan ini. Kisah-kisah perjuangan begini selalu bapa
saya ceritakan kepada saya.
Soalan: Bagaimana dengan guru-guru bapak?
Abdullah C.D.: Saya bernasib baik kerana ketika di sekolah Melayu ada
seorang guru, Cikgu Karib namanya, sangat ambil berat terhadap saya.
Beliau lulusan Tanjung Malim (Maktab Perguruan Sultan Idris) yang
merupakan tempat semaian semangat kebangsaan Melayu. Beliau mengajar
saya di sekolah waktu siang. Waktu malam pula, bapa saya hantar saya
belajar di rumahnya. Cikgu Karib menanam semangat patriotisme pada diri
saya.
Seperkara lagi, semasa di Sekolah Inggeris Clifford, Mr.
Lewis, seorang Inggeris yang menjadi guru besar di situ, agak maju juga.
Beliau menjelaskan kepada saya tentang keburukan kapitalisme serta
menganjurkan supaya saya membaca buku-buku Marx dan belajar falsafah
Marxist.
Soalan: Babak ada menyatakan bahawa bapak membaca
buku-buku Marx dan belajar falsafah Marxist. Apa pandangan bapak tentang
falsafah Marxist?
Abdullah C.D.: Bagi saya falsafah Marxist itu
adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan
tanah air dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Kami tidak
memandang Marxisme itu sebagai “dogma”, atau pegangan ketat yang kaku
dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan
keadaan di Malaya.
Akan tetapi, dalam masalah ini, ada orang
menganggap kerana kami menggunakan Marxisme, maka kami tidak beragama
atau menentang agama. Pandangan seperti ini sebenarnya telah diracuni
oleh hasutan penjajah. PKM melaksanakan dasar kebebasan beragama dan
menghormati adat istiadat rakyat semua bangsa. Saya dilahirkan sebagai
Islam dan dibesarkan dengan didikan Islam. Di mana juga saya berada,
pegangan ini tetap tidak berubah.
Soalan: Ada orang Melayu yang
menolak PKM kerana menganggap komunis telah keluar dari agama Islam. Apa
pandangan bapak tentang hal ini?
Abdullah C.D: Komunisme adalah musuh
kapitalisme. Fikiran anti-komunis sebenarnya ditimbulkan oleh penjajah
sebagai bapa kapitalisme. Apa yang saya nampak dalam perjuangan orang
Melayu selepas Perang Dunia Kedua, iaitu tahun-tahun 45-48, orang Melayu
yang progres (kiri) atau yang mahukan kemerdekaan pada umumnya tidak
anti-komunis, tetapi mereka yang lebih rapat dengan penjajah yang
diwakili UMNO yang kuat anti-komunis.
Dalam perjuangan besar untuk
kemerdekaan tanah air, kaum komunis, nasionalis, dan agama telah
bersatu melawan penjajah. Di Malaya
PKM dan
PKMM bekerjasama sangat
rapat. Dr. Burhanuddin seorang tokoh agama yang berpandangan jauh adalah
rakan seperjuangan saya yang paling rapat.
Front Persatuan Putera -
AMCJA
merupakan contoh nyata gabungan berbagai kekuatan tersebut.
Sebagai
taktik dengan penjajah British,
PKM tidak tampil ke depan, tetapi ia
memainkan peranan terpenting di belakang barisan bersatu tersebut. Hal
ini berlaku juga di Indonesia. Mereka telah membentuk
front persatuan di
atas dasar
NASAKOM iaitu nasionalis, sosialis, agama dan komunis.
Dalam perjuangan bersenjata melawan penjajah British kali ini pula
ramai tokoh agama yang menyokong perjuangan bersenjata khasnya Rejimen
Ke-10, mereka menganggap perajurit Rejimen Ke-10 sebagai jihad untuk
memperjuangkan tanah air dan agama.
Soalan: Bagaimanakah penglibatan bapak dengan Kesatuan Melayu Muda
(KMM)?
Abdullah C.D.: Pengaruh
KMM sudah meresap ke Sekolah Clifford kira-kira
tahun 1939. Banyak buku dari Indonesia sudah sampai ke tangan kami.
Waktu malam kami adakan perbincangan politik secara rahsia. Kami
tertarik dengan semboyan “Merdeka” yang dilantangkan oleh
KMM. Jadi
apabila cawangan
KMM ditubuhkan, saya pun menjadi anggotanya. Kemudian,
saya dipilih menjadi Setiausaha
KMM cawangan Lambor, iaitu kampung
halaman saya.
Soalan: Bolehkah bapak ingat antara buku dari Indonesia yang benar-benar membangkitkan semangat juang bapak?
Abdullah C.D: Buku-buku itu memang banyak. Saya sudah lupa tajuknya. Salah satu yang saya masih ingat ialah karya Tan Melaka.
Soalan: Siapakah antara tokoh revolusioner Indonesia yang pernah bapak hubungi?
Abdullah C.D.: Ada beberapa orang, antaranya Pak Jenain (Sutan Jenain),
Alimin, Musso dan Suparto. Pak Jenain banyak membantu
KMM dan
PKMM.
Alimin pernah singgah di Kuala Lumpur sekembalinya dari Moscow selepas
perang dan menjelajahi seluruh Malaya mengadakan kursus. Apabila beliau
pulang ke Indonesia, beliau hantar pula Suparto ke Kuala Lumpur.
Soalan: Apakah bapak kenal tokoh kebangsaan waktu itu seperti Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussain, Pak Sako dan Ahmad Boestamam?
Abdullah C.D.: Sebelum perang, saya masih lagi budak-budak, umur baru
belasan tahun. Tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Mustapha dan Ishak (Pak
Sako) sudah dewasa. Ibrahim Yaacob saya kenal selaku Presiden
KMM saja,
tidak kenal secara peribadi. Mustapha dan Pak Sako saya kenal dan
mendampingi mereka setelah kami bergerak dalam
PKMM selepas perang.
Boestamam agak sebaya dengan saya. Beliau lebih tua cuma beberapa tahun
saja. Beliau penanggungjawab
KMM di Ipoh, selainnya Taiping. Saya sudah
rapat dengannya sejak sebelum perang lagi.
Soalan: Bagaimana dengan Dr. Burhanuddin?
Abdullah C.D.: Saya dan Doktor berkenalan sejak tahun 1945 semasa dalam
PKMM. Sejak itu, kami sering bergerak ke sana ke mari bersama dan
menjadi rakan seperjuangan yang akrab. Beliau dan saya bersama-sama
mengetuai rombongan Malaya ke Persidangan Se-Asia di New Delhi, India,
pada tahun 1947 untuk menentang kolonialisme.
Soalan: Dengan Pak Rashid Maidin, bagaimana?
Abdullah C.D.: Rashid anak Perak juga, berasal dari sebuah kampung
dekat Gopeng, tak jauh dari Lambor. Saya kenal rapat dengannya sejak
perang anti-Jepun, dan kami menjadi rakan seperjuangan yang paling akrab
sampai hari ini.
Soalan: Ada orang menyatakan Pak Rashid sudah meninggal.
Abdullah C.D.: (ketawa) Itu cuma khabar angin. Beliau masih hidup,
bahkan masih sihat dan aktif memimpin. Beliau seorang yang sangat gigih.
Soalan: Bolehkah bapak ceritakan keadaan setelah Jepun menceroboh dan British menyerah diri?
Abdullah C.D.: Keadaan masa itu sangat kemelut. Pokoknya ada dua
perkembangan penting dari segi perjuangan rakyat. Pertama,
PKM yang
ditubuhkan pada tahun 1930, telah menyusun sebahagian rakyat melancarkan
perjuangan
. PKM mempunyai pengaruh yang luas di kalangan orang Cina. Di
kalangan orang Melayu dan India, tak ada kader, hanya pada penghujung
perang, pengaruhnya mula meluas. Untuk melawan Jepun,
PKM tubuhkan
Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya
(TAJRM) dan melancarkan perang gerila.
PKM juga bekerjasama dengan British dan mendapatkan sedikit senjata.
Kedua, semasa awal pendudukan Jepun,
KMM dibenarkan bergerak secara
terbuka.
KMM mengambil sikap bekerjasama dengan Jepun untuk melawan
British demi kemerdekaan Malaya. Ini sama seperti yang dilakukan Sukarno
di Indonesia. Setelah
KMM diharamkan pada tahun 1942, Ibrahim Yaacob
dan beberapa tokoh lagi menubuhkan
Malai Gyu Gun, atau
PETA, iaitu
sebuah pasukan tentera Melayu yang mengambil kesempatan daripada
kemudahan yang diberikan Jepun dengan tujuan mencapai kemerdekaan.
Sebelum Ibrahim berundur ke Indonesia, beliau cuba mengatur beberapa
orang membawa
PETA bergabung dengan pasukan
TAJRM untuk sama-sama
melawan British. Sayangnya, kerana keadaan berubah, rancangan itu gagal.
Soalan: Mengapa
KMM diharamkan pada tahun 1942?
Abdullah C.D: Telah saya jelaskan di atas ialah
KMM berjuang untuk
kemerdekaan Malaya. Pada tahun 1942, Mustapha Hussein bagi pihak
KMM
mengajukan tuntutan untuk merdeka kepada pihak Jepun. Saya dan
kawan-kawan
KMM cawangan Lambor juga ikut menandatangani surat tuntutan
tersebut. Kerana itulah pihak Jepun mengharamkan
KMM.
Soalan: Apakah yang bapak lakukan semasa pendudukan Jepun?
Abdullah C.D.: Mula-mula, saya bergerak terus dalam
KMM selaku
Setiausaha
KMM di Lambor. Masa itu, saya sudah ada hubungan dengan
pasukan gerila anti-Jepun. Kemudian, apabila Jepun mengharamkan
KMM,
saya bersama beberapa orang lagi masuk gerila
TAJRM di Perak. Selain
tugas tentera, saya juga melakukan kerja propaganda untuk melawan Jepun.
Soalan: Mengapa Bapak memilih
TAJRM?
Abdullah C.D: Setelah KMM diharamkan oleh fasis Jepun, saya dan
kawan-kawan sudah hilang organisasi untuk meneruskan perjuangan. Pada
masa itu, hanya
TAJRM satu-satunya tentera yang melawan fasis Jepun di
bawah pimpinan
PKM. Tentera British telah cabut lari dan menyerah kalah.
Soalan: Apakah tanggungjawab bapak dalam Parti Komunis Malaya selepas perang?
Abdullah C.D.: Pada tahun 1946, saya dilantik menjadi Setiausaha
Jabatan Kerja Melayu Jawatankuasa Pusat
PKM, bertanggungjawab atas kerja
Melayu dalam PKM serta gerakan massa Melayu.
Soalan: Bolehkah bapak jelaskan sedikit tentang gerakan massa Melayu?
Abdullah C.D: Orang Melayu tinggi semangat juangnya. Dalam masa perang
dunia kedua, kedua-dua belah tebing Sungai Perak menjadi pangkalan
gerakan anti-Jepun yang kuat. Dalam masa aman pula, maksud saya selepas
Jepun kalah, mereka menyokong gerakan
PKMM sehingga anggota parti itu
berjumlah 100,000 orang lebih. Setelah meletusnya darurat, orang Melayu
di banyak tempat memanggul senjata melawan penjajah British seperti di
Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang, Kedah dan lain-lain.
Kawasan Temerloh Pahang umpamanya, lebih separuh kawasan desa massa
menyokong Rejimen Ke-10 sehingga penjajah British menganggap Temerloh
sebagai kawasan Merah.
Soalan: Bagaimana dengan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM)?
Abdullah C.D.: Gerakan kebangsaan di kalangan orang Melayu selepas
perang lebih bergelora. Cita-cita kemerdekaan
KMM diteruskan oleh
PKMM.
Kebanyakan penaja
PKMM ialah bekas pemimpin dan anggota
KMM dulu. Dalam
PKMM, terdapat anggota daripada pelbagai aliran – nasionalis, agama,
sosialis, komunis. Tapi, tak kira apa alirannya, kami dapat ketepikan
perbezaan, dapat bersatu dan bekerjasama. Ini kerana kami adalah kaum
patriot yang anti-imperialis, anti-kolonialis dan cintakan kemerdekaan,
kebebasan. Kami menubuhkan
PKMM pada bulan Oktober 1945 dalam kongres di
Ipoh. Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako, saya
dan ramai lagi kawan masa itu bertanggungjawab mendirikan parti politik
orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan.
PKMM berkembang pesat
dengan anggota kira-kira 100,000 orang.
Soalan: Bagaimana dengan
UMNO?
Abdullah C.D.: UMNO lahir kemudian, iaitu pada bulan Mei 1946. Semboyannya waktu itu bukan “Merdeka”, tapi “Hidup Melayu”.
Soalan: Apakah sikap
PKMM terhadap
UMNO?
Abdullah C.D.: Dalam kongres perpaduan bangsa Melayu pada awal 1946,
PKMM turut serta bersama
UMNO. Pendek kata, kita nak kerjasama untuk
menghalau British dan mencapai kemerdekaan. Tapi masa itu, saya masih
ingat, sudah timbul perdebatan besar atas isu “Non” dan “Ko”. Kami dalam
PKMM ambil sikap “Non”, yakni tidak bekerjasama dengan penjajah
British, mesti terus berjuang untuk kemerdekaan.
Namun pemimpin
UMNO ambil sikap
“Ko”, iaitu bekerjasama dengan British. Mereka mengecam
PKMM dan mengejek-ngejek semboyan
“Merdeka”.
Kerana itu,
PKMM
ambil keputusan keluar daripada
UMNO, dan terus membentuk gabungan
pertubuhan-pertubuhan Melayu, lebih 60 buah semuanya, dalam Pusat Tenaga
Rakyat atau
PUTERA.
PUTERA kemudian bergabung dengan
AMCJA.
Gabungan
PUTERA-AMCJA ini merupakan barisan bersatu anti-British
berbilang kaum yang paling luas memperjuangkan kemerdekaan. Kami telah
mengemukakan Perlembagaan Rakyat untuk menggantikan perlembagaan
Melayu
Union. Tapi British menolaknya dengan keras.
Soalan: Ada orang mengatakan
PKMM tidak menentang
Malayan Union. Benarkah?
Abdullah C.D.: Sebenarnya, sistem
“Union” atau “Kesatuan” lebih baik
daripada “federation” atau “Persekutuan”. Sistem persekutuan bagi negara
kita meneruskan semangat kenegerian, kurang semangat kebangsaan yang
menyeluruh. Dari segi ini,
PKMM bersetuju dengan konsep “
Union” pada
prinsipnya. Namun,
“Malayan Union” ciptaan British, lain tujuannya. Ia
bertujuan merampas kuasa raja-raja dan langsung tidak menyentuh soal
kemerdekaan Malaya. Oleh itu,
PKMM menentangnya bersama-sama dengan UMNO
dan lain-lain pertubuhan waktu itu. Kerana tentangan menyeluruh inilah,
rancangan
Malayan Union British gagal.
Soalan: Apakah peranan bapak dalam
PKMM?
Abdullah C.D.: Dalam kongres kedua
PKMM di Melaka, saya dipilih menjadi
anggota Jawatankuasa Pusat dan juga Biro Politiknya. Dr. Burhanuddin
menjadi Yang Dipertua, Ishak Naib Yang Dipertua. Saya juga
bertanggungjawab atas pergerakan buruh Melayu dan kemudian menyatukannya
dalam PMFTU yang berbilang kaum. Bersama Doktor, Rashid Maidin dan
lain-lain saya juga selalu berulang-alik ke Gunung Semanggol. Di sana,
terdapat tokoh-tokoh agama yang penting dan berpengaruh seperti Ustaz
Abu Bakar Al-Bakir, mudir Maahad El-Ehya Assyarif. Tokoh-tokoh agama ini
menubuhkan Parti Hizbul Muslimin yang bekerjasama dengan PKMM dan
bergabung dalam
PUTERA.
Soalan: Apakah tindakan yang diambil bapak apabila British umumkan darurat?\
Abdullah C.D.: Gerakan
PUTERA-AMCJA mendapat sambutan begitu luas
daripada rakyat. Mogok dan hartal yang kami lancarkan cukup berkesan.
Semangat “Merdeka” berkobar-kobar. Perpaduan kaum juga baik. Ini
menyebabkan British sangat takut, lalu bertindak menindasnya.
Doktor, Boestamam dan saya telah mengadakan perbincangan khas di Kuala
Lumpur dan mengambil keputusan, iaitu saya dan Boestamam membawa
sejumlah kawan masuk hutan bergerila, Doktor dan kawan-kawan lain
bergerak cara bawah tanah. Boestamam telah menetapkan rancangannya untuk
mendirikan pengkalan di Tanjung Malim dengan anak buahnya berjumlah
kira-kira 60 orang. Namun Boestamam kena tangkap. Lepas itu, beliau
dipenjarakan selama tujuh tahun. Saya juga kena tangkap di Ulu Dong,
Pahang, tapi mujurlah saya dapat melepaskan diri. Doktor bergerak di
Singapura, tetapi kena tangkap dan dipenjarakan kerana memimpin perjuangan
orang Melayu dalam kes Natrah di Singapura pada akhir 1950. Rashid
Maidin juga kena tangkap di rumahnya di Sungai Manik. Beliau
dipenjarakan di Melaka, tapi dapat melepaskan diri lalu masuk hutan
bergerila.
Ramai ahli
PKMM masuk hutan bersama saya. Ramai juga
yang tinggal di luar dan tak berparti telah masuk UMNO – seperti
Mustapha Hussain, Hasnul Hadi dan ramai lagi, termasuk tokoh-tokoh
penting UMNO selepas merdeka. Pada tahun 1950,
UMNO Pahang telah
mengemukakan semboyan merdeka. Kemudian kawan-kawan PKMM yang menyertai
UMNO telah mengobarkan semboyan merdeka di dalam parti itu sehingga
akhirnya telah mengubah semboyan
UMNO dari
“Hidup Melayu” menjadi
“Merdeka”. Setelah Boestamam dan Doktor dibebaskan, mereka menubuhkan
Partai Rakyat yang dipimpin oleh Boestamam. Doktor pula memimpin
PAS.
Semua ini telah tercatat dalam sejarah.
Soalan: Bolehkah ceritakan lebih sedikit bagaimana bapak melepaskan diri daripada penangkapan penjajah?
Abdullah C. D.: Kami tiba di sebuah rumah di Ulu Dong hari hampir
gelap. Belasan pemuda progresif datang bertemu dengan saya dan meminta
hendak melihat bom tangan. Saya buka kep dan beri kepada mereka
melihatnya dengan sepuas hati.
Kira-kira pukul 9.00 malam,
tiba-tiba kami diserbu polis. Pada saat-saat yang genting itu, saya
teringat akan bom tangan. Akan tetapi, saya berfikir pula kalau bom
tangan itu dibuang, tentu para pemuda itu akan terkena. Jadi saya tidak
membuangnya. Saya, Ah Tai dan pemuda-pemuda itu ditangkap, 14 orang
semuanya, kalau tak salah ingat. Saya dan Ah Tai dibelenggu dengan satu
gari, saya tangan kiri, manakala Ah Tai tangan kanan. Pemuda-pemuda itu
diikat dengan tali. Kami digiring keluar dari rumah itu. Sejumlah
dokumen yang saya bawa bersama dan bom tangan saya dirampas mereka. Saya
masih ingat tarikh peristiwa itu ialah pada 10 Julai 1948.
Di
depan saya dan Ah Tai ialah
OCPD Raub, dan di belakang pula,
OCPD Lipis.
Kedua-duanya berbangsa Inggeris. Sambil mengancung pistol ke belakang
kami,
OCPD Lipis memberi amaran:
“Jangan lari, nanti saya tembak”.
Saya
berbisik dengan Ah Tai bertekad mahu melucutkan gari itu walau tangan
putus sekalipun. Sekali gus, saya merentap kuat-kuat gari di tangan.
Alhamdulillah, gari segera terlucut. Saya memberitahu Ah Tai. Kami
serentak menerkam dan memukul
OCPD yang berjalan di depan sehingga ia
terjatuh, kemudian kami lari dengan pantas.
Beberapa saat kemudian,
polis-polis itu menembak ke arah kami. Saya dan Ah Tai segera berpecah,
mengambil hala masing-masing. Saya masuk ke dalam kebun pisang dan
menanggalkan baju yang berwarna putih sambil merangkak keluar dari
situ. Polis penjajah menumpukan tembakan mereka ke arah baju tersebut.
Ah Tai yang lari membawa gari di tangan, mahir dengan keadaan di situ.
Manakala saya pula meraba dalam dua kegelapan, pertama kegelapan malam
dan kedua kegelapan kerana tak tahu sedikit pun keadaan sekitar di situ.
Beberapa jam mengharungi kegelapan malam, akhirnya saya nampak cahaya
api berkelip-kelip.
Alhamdulillah, sekali lagi, saya terlepas
daripada bahaya. Tuan rumah itu penyokong
PKMM. Dia memberi saya
makanan dan pada malam itu juga dia membawa saya bertemu dengan seorang
anasir cergas Tionghua di kawasan itu. Esoknya, barulah saya bertemu
semula dengan Ah Tai.
Kemudiannya, kami diberitahu oleh
organisasi di Ulu Dong bahawa penangkapan itu dilakukan oleh dua pasukan
polis dari Lipis dan Raub, kira-kira satu platun, dalam lingkungan 30
orang. Seorang anasir kontra-revolusi telah mengkhianati kami dengan
membuat laporan kepada polis. Kemudian, atas desakan massa revolusioner,
pasukan lasykar rakyat telah menembak mati pengkhianat yang mengabdi
diri kepada penjajah itu.
Soalan: Bercakap tentang sejarah, kami
mendapat tahu bapak sangat ambil berat pengkajian sejarah tanah air dan
telah menghasilkan beberapa buah tulisan tentang sejarah tersebut.
Sebagai seorang ahli sejarah, bolehkah bapak berikan sedikit pandangan
mengenai masalah ini?
Abdullah C.D.: Saya bukan ahli sejarah,
cuma peminat atau pencinta sejarah saja. Bahan-bahan yang ada pada saya
pun terbatas. Cuma, saya rasa sebagai ahli perjuangan, kita bukan saja
perlu menguasai teori revolusioner dan gerakan praktikal dengan baik, te
tapi juga mesti mahir dengan sejarah. Tanah air kita mempunyai sejarah
yang lama. Bangsa kita mempunyai tamadun yang tua lagi kaya-raya. Kita
mengkaji sejarah untuk memahami hukum-hukumnya, menegakkan
kesinambungannya, mengenal kawan dan lawan. Memahami masalah perjuangan
kelas, mewarisi tradisi rakyat yang berani berjuang melawan penindasan
sejak zaman-berzaman. Kita tak boleh memotong-motong sejarah. Di samping
menegakkan kesinambungan sejarah, kita juga perlu meneliti perkembangan
dan perubahan di atas dasar kesinambungan tadi. Perspektif begini, saya
rasa, perlu kita gunakan untuk memahami dan memecahkan pelbagai masalah
negara kita, misalnya bagaimana masyarakat berbilang kaum terbentuk
dan lain-lain.
Kita berjuang untuk mewujudkan masyarakat yang
adil pada hari depan. Tanpa menguasai masa lampau dan masa kini
bagaimanakah kita boleh membina hari depan? Tentu tidak mungkin. Yang
perlu kita lakukan ialah menafsirkan semula sejarah tanah air secara
objektif serta melengkapkan fakta sejarah.
Saya perhatikan tidak
sedikit cerdik pandai kita hari ini tekun berusaha untuk melengkapkan
sejarah tanah air, baik zaman peradaban mahupun zaman pra-sejarah,
serta membetulkan penyelewengan sejarah yang dilakukan oleh sejarawan
kolonial. Ini sangat perlu dan sangat baik. Pengkajian dan penemuan di
Kota Tampan, Perak yang dilakukan oleh rombongan pengkaji Universiti
Sains Malaysia mempunyai erti yang sangat besar bagi menegakkan zaman
prasejarah negara kita di atas dasar ilmiah yang lebih kukuh. Saya
ucapkan syabas kepada para sarjana dan lain-lain yang terlibat.
Soalan: Setahu kami, nama bapak dan Rejimen ke-10 sama seperti darah
dengan daging, tak terpisahkan kerana bapak telah memimpinnya dari dulu
hingga sekarang. Bolehkah bapak ceritakan sedikit peranan bapak dalam
memimpin pasukan pahlawan ini?
Abdullah C.D.: Memang saya diberi
tugas oleh
PKM untuk mendirikan dan memimpin Rejimen ke-10, tetapi bukan
saya seorang saja yang memikul tugas berat ini. Masih ada beberapa orang
lagi pemimpin Melayu bersama-sama saya membangun Rejimen ke-10 menjadi
sebuah pasukan perkasa yang disegani kawan dan lawan.
Rejimen
ke-10 ditubuhkan pada 21 Mei 1949, kira-kira 4 bulan setelah Tentera
Pembebasan Nasional Malaya didirikan. Tulang belakangnya terdiri
daripada anggota
PKMM. Semasa penubuhannya, kekuatan induk Rejimen ke-10
berada di Temerloh, Pahang. Namun begitu, pelbagai unit dan pasukan
Melayu di lain-lain negeri juga berada di bawah riayah Rejimen ke-10.
Rejimen ke-10 telah melancarkan banyak pertempuran dan membuat sumbangan
besar kepada usaha kemerdekaan tanah air. Pada tahun 1953, pasukan
induk Rejimen ke-10 telah beredar dari Pahang menuju ke kawasan sempadan
Malaya-Thai dan telah mendirikan pangkalan barunya di situ. Kalau kita
bercakap tentang kesinambungan sejarah, boleh kita katakan bahawa
perjuangan
TPNM dan Rejimen ke-10 mencerminkan kesinambungan ini. Ini
merupakan kesinambungan dan sekali gus juga perkembangan daripada perang
patriotik dan perang tani orang Melayu dulu di bawah syarat-syarat
sejarah yang baru.
Soalan: Apakah pertempuran penting yang bapak
sendiri pimpin secara langsung? Apakah benar bapak pernah cedera dalam
pertempuran?
Abdullah C.D.: Antara pertempuran penting yang saya
pimpin secara langsung ialah pertempuran Jalan Chonur, Jerangsang, Ulu
Teka, Damak, Gong, Estet Tekal dan lain-lain. Saya juga memandu
peredaran Rejimen ke-10 dari Temerloh ke kawasan sempadan. Saya pernah
tercedera terkena bom tangan askar British.
Soalan: Menurut pandangan bapak, apakah peranan penting perang gerila dalam usaha mencapai kemerdekaan?
Abdullah C.D.: Kita tak boleh membesar-besarkannya, tapi kita tidak patut
juga memperkecil-kecilkannya, atau lebih-lebih lagi menafikannya. Kita
boleh bayangkan begini: Penjajah British begitu ganas, ia mengerahkan
lebih 400,000 kekuatannya di negara kita waktu itu. Negara kita kecil,
penduduknya kira-kira lima juta saja.
Apakah British bersedia
memberikan kemerdekaan begitu saja sekiranya tiada perjuangan gigih
rakyat dalam semua bentuk, baik bersenjata mahupun bukan bersenjata?
Rasa saya, tidak mungkin.
Kami di front gerila telah membuat
pengorbanan yang tidak sedikit. Ramai pahlawan dan serikandi telah
terkorban dalam perjuangan melawan British. Dari tahun 1948 hingga 1954 kami telah bertempur lebih 19,100 kali, seramai lebih 26,000 tentera
penjajah mati atau luka-luka. Kerugian besar British dalam bidang
ketenteraan ini memperhebatkan krisisnya dalam bidang ekonomi dan
politik.
Di front bukan bersenjata pula, parti patriotik lainnya
seperti
PAS, Partai Rakyat, Partai Buruh Malaya dan kekuatan patriotik
dalam
UMNO memperhebatkan perjuangan kemerdekaan. Kedua-dua front ini,
secara langsung atau tidak langsung, saling melengkapi, saling
mengenakan tekanan ke atas British.
Saya tidak mengatakan
perjuangan bersenjata saja yang memaksa British mengakui kemerdekaan.
Tapi, sesiapa yang bersikap adil dan objektif dalam menilai sejarah,
saya rasa sudah pasti akan mengakui peranan penting perang gerila ini.
Bahkan Tunku Abdul Rahman sendiri dalam Rundingan Baling pada tahun 1955
dulu pernah mengakui sumbangan penting perang gerila ini untuk mencapai
kemerdekaan.
Soalan: Bapak mengatakan perang gerila anti-British
itu dilancarkan untuk mencapai kemerdekaan. Tapi, ada orang bertanya:
Sekarang sudah lama merdeka, apa sebab masih terus berperang? Mengapa tidak
berdamai?
Abdullah C.D.: Masalah perang dan damai ini amat kusut.
Kalau saudara tengok dalam catatan sejarah pada akhir 1957 setelah
Malaya merdeka,
PKM sekali lagi mengemukakan usul untuk menamatkan
perang dan mewujudkan perdamaian dalam negeri. Tapi, perang kolonial
warisan penjajah British itu diteruskan oleh pihak kerajaan.
Soalan: Maksud bapak,
PKM berperang kerana membela diri, kerana terpaksa?
Abdullah C.D.: Begitulah.
PKM terpaksa membela diri, membela demokrasi
dan kepentingan rakyat, maka
PKM melancarkan perang adil untuk
menghadapi perang tidak adil warisan penjajah itu. Di samping itu,
PKM
juga melancarkan gerakan massa dan perjuangan bentuk lainnya. Sungguhpun
begitu,
PKM bersedia untuk menamatkan perang itu di bawah syarat-syarat
yang adil dan munasabah, dan, bersama-sama dengan pelbagai kekuatan
patriotik-demokratik lainnya, berjuang dengan cara damai dan demokratik.
Soalan: Ada orang menuduh
PKM dan
TPNM sebagai
“pengganas”. Apa komen bapak?
Abdullah C.D.: Tuduhan ini sebenarnya propaganda yang dilemparkan oleh
penjajah British kepada pejuang yang menentang kekuasaan dan
kepentingannya. Pahlawan anti-penjajah dahulu seperti Maharajalela, Tok
Sagor, Datuk Bahaman dan Tok Janggut semuanya dicap “penderhaka” oleh
British. Yamtuan Raja Haji yang melawan Belanda dicap sebagai “lanun”.
Ini tidak menghairankan.
Bahkan hari ini, pejuang Palestin juga
dicap
“pengganas” oleh imperialis Amerika dan Zionis Israel. Begitu
juga, pejuang kulit hitam di Afrika Selatan. Pada hal, seluruh dunia
tahu bahawa pengganas yang sebenar ialah kaum Zionis Israel dan kaum
rasis Afrika Selatan yang kedua-duanya ditunjangi oleh imperialis
Amerika itu sendiri.
Anggota
PKM dan
TPNM adalah kaum patriot,
pejuang kemerdekaan dan kebebasan bukannya pengganas. Penjajah British
sengaja menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam untuk
memburuk-burukkan kami serta memperelokkan dirinya.
Soalan: Satu
lagi bapak, ada pula tuduhan kononnya tokoh-tokoh Melayu dalam
PKM hanya
“alat” dan “hiasan” saja. Mereka kata
PKM “parti Cina” dan anti-Melayu.
Abdullah C.D.: Sebuah parti tidak perlu ada hiasan. Program dan
dasar-dasarnya serta praktiknya dalam perjuangan itulah ukurannya.
Kenyataan dasar
PKM dengan jelas mengakui bahawa orang Melayu adalah
pengasas masyarakat bertamadun negara kita, sejarahnya paling lama dan
orang Melayu pernah membuat sumbangan besar dalam melawan penjajahan.
PKM menganjurkan harus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dalam
politik, ekonomi dan kebudayaan.
Di samping itu juga, perlu
menghormati kedudukan penting kaum Cina, India dan kaum minoriti.
Dasar
begini, sesuai dengan kenyataan masyarakat negara kita. Terhadap agama,
PKM menghormati kebebasan beragama rakyat dan hak mereka untuk
mengamalkan kegiatan agama. Terhadap agama Islam,
PKM mengakuinya
sebagai agama rasmi negara kita.
Satu perkara lagi ialah soal
raja-raja. Raja-raja adalah lambang ketuanan Melayu serta lambang
perpaduan rakyat berbilang kaum. Baginda adalah raja berperlembagaan.
Dalam sejarah, terdapat ramai juga raja berdiri di pihak rakyat melawan
penjajah dan membela tanah air. Hari ini, raja mempunyai peranan yang
istimewa dalam masyarakat berbilang kaum.
PKM menyokong sistem raja
berperlembagaan ini.
Tentang bahasa Melayu, atau bahasa Malaysia,
PKM menyokong penggunaannya secara meluas dalam negara dan masyarakat,
bahkan sebagai bahasa pengantar untuk hubungan antarabangsa.
PKM
juga menyokong tanah simpanan (rizab) Melayu, menyokong kebudayaan
Melayu sebagai bentuk utama kebudayaan negara dan lain-lain lagi.
Semua perkara tadi menyangkut kepentingan asasi orang Melayu. Kalau
tokoh-tokoh Melayu dalam
PKM hanya alat atau
PKM anti-Melayu, apakah
dasar-dasarnya dan tindakannya boleh sedemikian rupa?
Soalan: Kami mendapat tahu yang bapak pernah terkena racun. Apakah boleh ceritakan sedikit tentang masalah ini?
Abdullah C.D: Benar, saya beberapa kali terkena racun, tapi keracunan yang
saya alami pada tahun 1975 itu kesannya sangat ketara. Saya jatuh
pengsan, tidak boleh bercakap, bergerak pun tidak boleh. Suriani juga
terkena racun, tapi kesannya tidak begitu berat dan dapat segera
diubati. Dalam masa saya ditimpa kemalangan itu, Surianilah yang
menanggung semua kerja saya di samping tugas beliau sendiri.
Berkat perhatian kawan-kawan pimpinan Jawatankuasa Pusat,
pimpinan-pimpinan Rejimen Ke-10 termasuk Suriani dan seluruh kawan-kawan
serta dengan izin Allah, kesihatan saya beransur-ansur dapat
dipulihkan. Selama setahun saya dirawat di pasukan sesaudara, iaitu Organ
Pasukan Khas. Kemudian barulah kembali ke Rejimen Ke-10. Kini di dalam
usia 80 tahun lebih, saya masih hidup sihat.
Soalan: Pada tahun 1981, bapak telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya atau
PKMRM. Kenapa?
Abdullah C.D.: PKMRM ditubuhkan dengan tujuan meneruskan cita-cita
PKMM
yang belum selesai itu. Sungguhpun kemerdekaan negara sudah wujud, tapi
tugas mengisi kemerdekaan sangat berat dan rumit. Seperti
PKMM dahulu,
PKMRM berjuang untuk menyatupadukan orang Melayu daripada pelbagai
aliran ideologi – nasionalis, agama, sosialis dan komunis dalam satu
wadah yang bersatu demi mewujudkan demokrasi, hak asasi manusia,
keadilan masyarakat dan perpaduan nasional.
PKMRM juga berusaha
bekerjasama dengan pelbagai parti dan pertubuhan lain, baik Melayu
mahupun bukan Melayu, dan membentuk barisan bersatu yang luas bagi
mencapai matlamat di atas.
Soalan: Bolehkah bapak terangkan bagaimana bapak dipilih menjadi ketua
PKMRM?
Abdullah C.D.: Sebenarnya, saya sendiri keberatan memegang jawatan ini,
te tapi kawan-kawan mendesak. Kata mereka, sebagai anggota pucuk pimpinan
PKMM yang asal, saya dapat memainkan peranan sebagai lambang perpaduan
golongan nasionalis, agama, sosialis dan komunis serta sebagai jambatan
bagi menghubungkan pejuang angkatan lama dengan yang baru. Menurut
mereka, saya ada kewibawaan untuk meneruskan cita-cita
PKMM dulu di
bawah syarat sejarah sekarang.
Sebenarnya, penilaian kawan-kawan
serta harapan mereka terhadap saya terlalu tinggi. Tugas yang begini
berat tidak boleh dipikul oleh satu orang saja, ia perlu satu team atau
satu pasukan. Saya cuma memikul tugas ini setakat yang saya mampu dan
mengharapkan kawan-kawan lain bersama saya sanggup membenarkan saya
melepaskan tugas ini dan mereka sendiri pula memegangnya.
Soalan: Apa sebab
PKM memilih bapak sebagai Pengerusi
PKM sedangkan bapak juga adalah Pengerusi atau Ketua
PKMRM?
Abdullah C.D.: Memang ada kawan-kawan bertanya tentang masalah ini.
Ramai kawan berpendapat pemilihan seorang tokoh Melayu menjadi pucuk
pimpinan
PKM memang selaras dengan sejarah dan perkembangan masyarakat
negara kita serta dengan tuntutan orang ramai. Pendapat ini tepat.
PKM
menyedari keperluan ini dari dulu lagi.
Kami kawan-kawan angkatan
lama dalam
PKM, baik Melayu, mahupun bukan Melayu, ada kebaikan dan
kekurangan masing-masing. Masing-masing ada pengalaman dan kecekapan
dalam kerja memimpin. Mungkin kawan-kawan pimpinan yang lain dalam
PKM
merasakan pucuk pimpinan
PKM paling sesuai disandang oleh saya, kerana
itu saya dipilih.
PKMRM pula meneruskan cita-cita
PKMM, yang
merupakan pewaris kepada
KMM. Dalam sejarah,
PKMM bekerjasama dengan
PKM. Rejimen ke-10 pula merupakan kesinambungan
PKMM, dan kemudian,
lahirlah
PKMRM. Dengan lain perkataan, perjuangan kaum patriot Melayu
dalam
KMM dulu diteruskan dalam
PKMM, kemudian, sebahagian pokoknya
dalam Rejimen ke-10, dan selanjutnya, dalam
PKMRM. Adanya golongan
komunis dalam
PKMRM memang selaras dengan perkembangan sejarah ini.
Badan pimpinan
PKMRM bukan seorang, dan bukan di hutan saja. Ia terdiri
daripada satu kolektif golongan nasionalis, agama, sosialis dan
komunis, masing-masing mempunyai hak untuk menentukan dasar
PKMRM.
Memang antara kami, kadang-kadang terdapat perbezaan pendapat. Ini
perkara biasa. Prinsip dan cara kami ialah berbincang dan mencari
titik-titik persamaan melalui musyawarah dan permuafakatan, akhirnya,
mencapai kata bulat tentang dasar dan pelaksanaannya.
PKMRM juga
bukan parti atas kertas. Ia ada perlembagaan dan programnya sendiri, ada
susunan organisasinya sendiri, ada cawangan-cawangannya di pelbagai
tempat di tanah air. Sebagai parti bawah tanah, sudah tentu
organisasinya serta keanggotaannya tidak sebesar parti yang terbuka dan
halal. Lagipun,
PKMRM baru berumur tujuh tahun lebih saja pada masa itu.
Tapi, saya percaya ia mempunyai pengaruh tertentu dalam arena politik
nasional hari ini.
Memang PKMRM ada kelemahan dan kekurangan. Ini
kami telah baiki dari semasa ke semasa. Sesiapa saja yang ada pendapat
atau ingin mengkritik, menegur kami, kami sambut dengan hangat.
Soalan: Apakah pendapat bapak tentang peranan orang Melayu?
Abdullah C.D.: Kita perlu melihatnya dari dua segi, iaitu segi sejarah
dan masa sekarang. Dari segi sejarah, orang Melayu telah membangunkan
satu tamadun yang besar di Alam Melayu. Dan apabila tamadun ini
diruntuhkan dengan kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bangkit silih
berganti melawan penjajah. Orang Melayu pandai berperang, namun mereka
kalah. Ini bukan kerana mereka kurang semangat berjuang, tetapi kerana
mereka dibatasi oleh syarat-syarat sejarah. Pendek kata, orang Melayu
adalah satu bangsa yang berani, yang tidak tunduk pada penjajahan,
penindasan dan kezaliman. Sekarang, dalam arena politik tanah air kita,
orang Melayu memainkan peranan yang amat penting dan menentukan,
lebih-lebih lagi dengan pertambahan pesat kaum buruh dan kaum terpelajar
Melayu.
Soalan: Bagaimana soal perpaduan orang Melayu dan bukan Melayu?
Abdullah C.D.: Orang Melayu telah menjalin hubungan persahabatan dengan
orang Cina, India, Arab dan lain-lain sejak 2,000 tahun dulu lagi.
Lebih-lebih lagi, sejak Kerajaan Melaka, hubungan ini menjadi lebih
erat. Setelah orang Cina dan India menetap di Malaya dan sama-sama
membangun tanah air kita dan membelanya, orang Melayu beransur-ansur
menerima mereka. Perpecahan berlaku kerana dasar pecah dan perintah
penjajah.
Sekarang, orang Melayu dan bukan Melayu semakin
sedar yang mereka mempunyai kepentingan bersama. Pelbagai parti dan
pertubuhan patriotik-demokratik juga ambil berat memupuk perpaduan
antara kaum. Cadangan mereka supaya ditubuhkan Majlis Perundingan
Kebangsaan Tentang Hubungan Antara Kaum memang munasabah. Pokoknya,
pelbagai kaum mesti saling belajar, saling membantu dan saling memahami.
Sekarang, ramai orang Cina, India dan lain-lain sudah menguasai bahasa
Melayu serta memahami kebudayaan dan adat resam Melayu. Selain itu,
semakin ramai pula anak-anak Melayu yang belajar bahasa Cina. Ini satu
perkembangan yang sihat.
Soalan: Soalan kami yang terakhir, apa pendapat bapak tentang barisan bersatu?
Abdullah C.D.: Ada sedikit orang, apabila saja disebut barisan bersatu,
mereka akan segera memberikan cap yang ia front komunis dan mesti
dijauhi atau ditentang. Orang ini lupa bahawa Barisan Nasional yang
berkuasa sekarang ini pun terbentuk atas dasar barisan bersatu juga.
Yang berbeza ialah isinya.
Yang kita perlukan ialah barisan
bersatu yang demokratik, di mana pelbagai parti, pertubuhan dan orang
perseorangan yang patriotik-demokratik berpadu tenaga, menggabung
kekuatan dan bekerjasama atas dasar satu program bersama yang diterima
oleh semua pihak.
Parti politik Melayu yang awal seperti KMM,
PKMM, kemudian
Partai Rakyat di bawah pimpinan Boestamam, dan
PAS di
bawah pimpinan Dr. Burhanuddin juga terbentuk atas dasar gabungan
kekuatan patriotik demokratik pelbagai aliran khasnya nasionalis,
sosialis dan agama.
Nota: temubual ini dibuat pada tahun 1989 oleh wartawan majalah Suluh Rakyat.
Che'gu Rosman of RPAD