Elias Hj Idris

PERMULAAN DALAM PENCIPTAAN (drp SQAJ: Sirrur Asrar)

Semoga Allah s.w.t memberikan kamu kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan.

Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya. Dalam hadis Qudsi Dia berfirman: “Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-Ku”.

Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya:

“Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci”.

“Mula-mula Allah ciptakan qalam”.

“Mula-mula Allah ciptakan akal”.

Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah 'ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad s.a.w, Kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah. Dia dinamakan nur, cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat jalal Allah. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”. -  Al-Maaidah, ayat 15

Ia dinamakan akal yang meliputi (akal universal) kerana ia telah melihat dan mengenali segala-galanya. Ia dinamakan qalam kerana ia menyebarkan hikmah dan ilmu dan ia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.

Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda s.a.w menyatakan hal ini dengan sabdanya, “Aku daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku”

p/s  Hakikat kejadian awal makhluk adalah daripada Allah maka betapa boleh ada orang yang menafikannya?

Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh daripada roh baginda s.a.w di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. ‘Muhammad' adalah nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal-usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.

Empat ribu tahun selepas diciptakan cahaya Muhammad, Allah ciptakan arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain daripada arasy. Kemudian Dia hantarkan sekelian roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.

“Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat yang paling rendah” . (Surah Tin, ayat 15)

Dia hantarkan cahaya itu daripada tempat ia diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak.

p/s Inilah pertama dari ilmu martabat 7 iaitu bermula dgn alam lahut - di alam ini belum ada sifat dan belum ada nama (asma) tapi semata-mata zat.

Kenyataan sifat-sifat Ilahi.

p/s Ini pula alam jabarut kerana telah mempunyai sifat batin.

Kepada alam nama-nama Ilahi,

p/s Inilah alam malakut - zat tadi telah lengkap dgn nama.

Alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh universal). Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan ‘roh pemerintah'. Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh rohani'.

p/s Ini pula dinamakan alam rohani -  ada zat, ada sifat, ada nama dah lengkap semuanya namun dia wujud tetapi tidak wujud (nyata/zahir) lagi seolah-olah dah complete, tetapi masih dalam biji benih tak zahir lagi.

Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi ‘roh manusia'. Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.

p/s  Turun ke alam misal kemudian alam ijsan dan terakhirnya alam insan.

“Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan dibangkitkan sekali lagi”. -  surah Ta Ha, ayat 55

Selepas peringkat-peringkat ini Allah memerintahkan roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka pun masuk.

“Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku…”. -  surah Shad, ayat 72)

p/s Roh belum mendapat lagi pengiktirafan kemuliaan sekiranya dia tak masuk dalam jasad manusia untuk diuji. Maka roh sudah bersedia untuk masuk ke dalam jasad.

Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan badan, dengan darah dan daging dan lupa kepada asal-usul kejadian dan perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada alam arwah Dia telah bertanya kepada mereka;

“Adakah aku Tuhan kamu? Mereka telah menjawab:Iya, bahkan!.”

Mereka lupa kepada ikrar mereka. Mereka lupa kepada asal-usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali kepada tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, sumber kepada segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-Nya. Dia mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan rasul-rasul untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.

Nota:  Inilah yang kita kena ingat akan hakikat kejadian kita - yang kemudian roh yang satu masanya suci di alam lahut nak balik semula ke alam lahut; sebelum nak balik kena kenal diri kita dulu kemudian mohon dibersihkan roh suci kita dan dengan musyahadah sahaja maka roh kita akan menjadi bersih. 

Namun ada sesetengah 'bebudak' di mana-mana forum sibuk membicarakan hal jasad manusia lalu dengan mulut celabah (celupar!) dia sesatkan orang bila mengatakan jasad manusia bersatu dengan zat Tuhan (salah konsep wahdatul wujud!); punyalah teruk fahaman begini, sedangkan yang nak balik kepada Tuhan itu bukan jasad, tetapi ROH. Dan apa yang kita ceritakan sebenar-benarnya adalah tentang roh, iaitu asal kejadian roh bukannya asal kejadian jasad. Jasad nak bersatu dengan Tuhan lagu mana?

Roh sendiri akan balik kepada Allah, iaitu balik kepada asal mulanya roh dari cahaya Tuhan itu yang ahli hakikat bincangkan, bukan bincang pasal badan dan jasad manusia. Sebaliknya, ia pulang sebagai roh yang suci sama sucinya ketika datang dulu.

“Dan Sesungguhnya Kami telah utuskan Musa (membawa) ayat-ayat Kami (sambil Kami mengatakan): hendaklah kamu keluarkan kaum kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan ingatkan mereka kepada hari-hari Allah”.  -  surah Ibrahim, ayat 5

Yaitu ‘ingatkan roh-roh tentang hari-hari di mana ia tidak terpisah daripada Allah'.

Sekian ramai rasul telah datang ke dunia ini bagi melaksanakan tugas mereka dan kemudian pergi meninggalkan dunia ini. Tujuan semua itu adalah membawa kepada manusia perutusan, peringatan serta menyedarkan manusia daripada kelalaian mereka. Namun mereka yang mengingati-Nya, yang kembali kepada-Nya, manusia yang ingin kembali kepada asal-usul mereka, menjadi semakin berkurangan dan terus berkurangan ditelan zaman.

Nabi-nabi terus diutuskan dan perutusan suci berterusan sehingga muncul roh Muhammad yang mulia, yang terakhir di kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada kehancuran dan kelalaian. Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata manusia, iaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya ialah untuk mengejutkan manusia daripada kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk menyatukan mereka dengan keindahan yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah.

Allah berfirman:

“Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan pandangan yang jelas (basirah)”. (Surah Yusuf, ayat 108).

Ia menyatakan jalan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan kita telah bersabda, “Sahabat-sahabatku adalah umpama bintang di langit. Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan yang benar”.

Pandangan yang jelas (basirah) datangnya daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di dalam jantung hati orang-orang yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah. Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang datangnya daripada alam ghaib yang tersembunyi pengetahuan yang mengalir daripada kesedaran Ilahi.

“Dan Kami telah ajarkan kepadanya satu ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni)”. (Surah Kahfi, ayat 65).

Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak.

Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara dan saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah kerana melalui taubat kamu akan memohon kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan berjuanglah. Allah memerintahkan:

“Dan berlumba-lumbalah kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas) langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang berbakti. Yang menderma di waktu senang dan susah, dan menahan marah, dan memaafkan manusia, dan Allah kasih kepada mereka yang berbuat kebajikan”. (Surah Imraan, ayat 133 & 134).

Masuklah kepada jalan itu dan bergabunglah dengan kafilah kerohanian untuk kembali kepada Tuhan kamu. Pada satu masa nanti jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi ini untuk merosakkan dunia ini. Kita dihantar ke mari bukan untuk makan, minum dan berak. Roh penghulu kita menyaksikan kita. Baginda s.a.w berdukacita melihat keadaan kamu.

Baginda s.a.w telah mengetahui apa yang akan berlaku kemudian hari apabila baginda s.a.w bersabda;

“Dukacitaku adalah untuk umat yang aku kasihi yang akan datang kemudian”.

Apa sahaja yang datang kepada kamu datang dalam keadaan salah satu bentuk, secara nyata atau tersembunyi; nyata dalam bentuk peraturan syarikat dan tersembunyi dalam bentuk hikmah kebijaksanaan atau makrifat.

Allah Yang Maha Tinggi memerintahkan kita supaya mensejahterakan zahir kita dengan mematuhi peraturan syarikat dan meletakkan batin kita dalam keadaan yang baik dan teratur dengan memperolehi hikmah kebijaksanaan atau makrifat. Bila zahir dan batin kita menjadi satu dan hikmah kebijaksanaan atau makrifat dengan peraturan agama (syarikat) bersatu, seseorang itu sampai kepada makam yang sebenarnya (hakikat).

Nota:  maka setelah tingginya ahli hakikat itu mencapai makam tertinggi maka dia kena balik semula kepada syariat sebagai satu daripada 'kesempurnaan makhluk ciptaan-Nya. Sebab itu jika dilihat semulia-mulia dan sehebat-hebat makhluk yang mencapai hakikat adalah Nabi Muhammad saw. Kemudian sekelian sahabat Baginda diikuti oleh orang-orang terkemudian dan terkemudian yang kesemuanya kembali balik kepada asal, iaitu syariat.

Orang yang fana atau mabuk dengan Allah, tahan dia di rumah. Kalau dibiarkan dia mengeluarkan kalamnya maka rosak binasalah umat. Maka dengan sebab itu apabila seseorang itu fana kemudian dia tidak balik kepada syariat maka kata-katanya jangan diikut; ada yang mengaku jadi 'wakil tuhan'; pun jangan diikut dia yang dalam keadaan mabuk itu - mabuk dengan Allah. Jadi tunggulah sehingga dia kembali seperti asal berpegang kepada syariat semula - baru boleh diikut.


...sambungan petikan kitab sirur asrar;

“Dia alirkan dua laut, padahal kedua-duanya bertemu. Antara dua itu ada dinding yang kedua-duanya tidak mampu melewatinya”. (Surah Imraan, ayat 19 & 20).

Kedua-duanya mesti menjadi satu. Kebenaran atau hakikat tidak akan diperolehi dengan hanya menggunakan pengetahuan melalui pancaindera dan deria-deria tentang alam kebendaan.

Dengan cara tersebut tidak mungkin mencapai matlamat, sumber, iaitu Zat. Ibadat dan penyembahan memerlukan kedua-duanya, iaitu peraturan syarikat dan makrifat. Allah berfirman tentang ibadat:

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku”. (Surah Dzaariyat, ayat 56).

Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya mengenali Daku' . Jika seseorang tidak mengenali-Nya bagaimana dia boleh memuji-Nya dengan sebenar-benarnya, meminta pertolongan-Nya dan berkhidmat kepada-Nya?

Makrifat yang diperlukan bagi mengenali-Nya boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang menutupi cermin hati seseorang, menyucikannya sehingga bersih dan menggilapkannya sehingga bercahaya.

Kemudian perbendaharaan keindahan yang tersembunyi akan memancar pada rahsia cermin hati.

Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman melalui rasul-Nya:

“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali”.

Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.

Ada dua peringkat makrifat yang suci.

1) Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut.

2) Satu lagi ialah mengenali Zat Allah.

Di dalam mengenali sifat-sifat Allah manusia secara zahirnya dapat menikmati kedua-duanya, iaitu dunia dan akhirat.

Makrifat yang memimpin kepada Zat Allah tidak diperolehi dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau roh suci manusia yang berada di dalam dirinya yang zahir ini.

“Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan roh kudus”. (Surah Baqarah, ayat 87).

Orang yang mengenali Zat Allah menemui kuasa ini melalui roh kudus (suci) yang dikurniakan kepada mereka.

Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua aspek; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang di dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata.

Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkaan kebaikan. Nabi s.a.w bersabda,

“Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati manusia. Inilah yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita”.


tambahan...

1. ALAM LAHUT (Latain/Ahadiah)

Adapun alam lahut itu adalah mertabat Latain ertinya tidak ada kenyataan, maka dinamakan alam lahut itu ialah isma’ Zat, ertinya isma’ Zat Allah Taala, Zat yang belum bernama Allah, hanya dengan bernama Zat Ahadiah.

Di dalam mertabat alam lahut, isma’ Zat yang Maha Suci itu adalah tujuh isma’nya iaitu:-

HU ertinya Zat Tuhan yang Esa semata- mata;

GHAIBUL GHUYUB ertinya tidak ada berpihak dan tiada bertempat, tiada Dia di atas, di bawah, di kiri, di kanan, di hadapan atau di belakang.

-   AHADIAH ertinya daripada pihak yang tidak sampai kepada pengenalan para- para Nabi, apa lagi yang lain daripada Nabi-nabi, yang mengetahui hanya Dia.

GHAIBUL HAWIAH ertinya, daripada pihak Dia tiada berzat, berisma’ dan berakal seperti manusia.

-   UJUDUL MUTLAK ertinya tiada segala yang hakiki hanya DIA.

ABADAN ABADA ertinya tiada siapa yang mengetahui akan wujudnya sesuatu jua pun.

LATAIN ertinya tiada dapat difikirkan oleh akal, makrifat orang- orang yang Arifin Billah. Alam lahut pada mertabat Latain, Dialah ZATUL, MUTLAK yang tiada bercerai dan tiada berhimpun, semata- mata DIA, belum lagi bernama ALLAH, kerana belum ada NUR MUHAMMAD SAW. Berkenaan dengan ILMU TAJALI Alam Lahut tidak ada Ilmu pada Nur Muhammad, hanya DIA yang terjali semata- mata.

MARTABAT ITHLAQ ertinya ghaib yang sepenuhnya.

ZATUL BUHTI ertinya zat semata-mata.

GAHIBUL MUTLAK ertinya gahib yang sepenuhnya.

‘ZIHIN’ ertinya tatkala sunyi ia daripada sesuatu.

ALAM SIRR ertinya rahsia Allah.


Dari Abu Hurairah r.a;

"Aku telah menghafal dua karung ilmu daripada Rasulullah SAW adapun salah satunya telah aku sebar luaskan, sedangkan yang satu lagi andaikata aku sebar luaskan maka (pasti) leher ini akan dipenggal."  -  Bukhari di dalam Sahihnya, kitab al-'Ilm, bab: Menghafal Ilmu, hlm 213

Kalau bab-bab syariat, memang ajaran dari Rasulullah tersebar luas, tetapi dalam bab-bab hakikat/makrifat yang sukar dimengerti oleh orang awam, Rasulullah mengajarkannya dada ke dada kepada sahabat-sahabat Baginda, terutama Sayidina Ali & Abu Bakar r.a.

Dan pengetahuan yang sulit ini juga diajar daripada guru kepada murid kepada murid, juga dari dada ke dada. Ilmu seperti martabat 7 ini bukan benda yang pelik dan baru bagi yang menuntut ilmu hakikat-makrifat.
1 Response
  1. Black Ops Says:

    Berakhirnya Adam Awal suka tumpah darah berbunuhan.
    Maka bermulalah penciptaan Adam Akhir sebagai Insan.