PENYATUAN dua parti Melayu terbesar, UMNO-Pas bukan untuk mengancam kaum
lain seperti mana kenyataan `tidak masuk akal pemimpin-pemimpin
DAP.UTUSAN
zulkifleebakar@gmail.co
Nota: Ulasan pedas di akhbar Utusan Malaysia ni - sebelum ia dipadamkan.
PEMIMPIN-pemimpin DAP terus menunjukkan keceluparan dalam menentang habis-habisan kerjasama UMNO-Pas.
Mereka
bagaikan `cacing kepanasan’ apabila tidak menyangka kedua-dua parti itu
bersatu, justeru mereka tidak ada pilihan selain cuba memberi gambaran
melampau terhadap kerjasama itu seolah-olah kalau UMNO-Pas bersepakat
maka `berakhirlah dunia.’
Penulis boleh memahami kenapa DAP gelabah. Ia disebabkan mereka tahu
sejauh manakah kekuatan parti-parti yang dipimpin orang Melayu dalam
Pakatan Harapan (PH) menarik sokongan kaum tersebut selepas Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU-14). Kekalahan dua pilihan raya kecil di Cameron
Highlands dan Semenyih memberi isyarat kekuatan parti-parti tersebut
yang selama ini `diperalatkan’ oleh DAP bagi meraih kuasa semakin
luntur.
DAP bimbang jika orang Melayu terus menunjukkan kesepakatan dan
penyatuan dengan memberi sokongan kepada UMNO-Pas maka ia akan menjadi
malapetaka politik kepada mereka. Jika tidak, kenapa mereka begitu
beria-ia benar menentang kerjasama tersebut?
Bukankah selama ini DAP berasa cukup hebat dengan adanya Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah)
sehingga sanggup bekerjasama dengan seorang pemimpin yang selama
berpuluh-puluh tahun menjadi musuh politik mereka?
Sepatutnya DAP tidak perlu campur tangan apatah lagi melatah tidak tentu
hala apabila UMNO-Pas berbaik-baik. Ia memandangkan apa yang dilakukan
oleh kedua-dua parti itu sama sekali tiada kaitan dengan mereka. UMNO
mahupun Pas bukannya berada dalam PH, justeru kenapa hendak menyibuk?
Kita faham selama ini DAP cukup berkuasa dalam PH sehingga mampu
memastikan Bersatu, PKR dan Amanah tunduk dengan kehendak politik
mereka. Demi kuasa politik, tiada pemimpin-pemimpin Melayu dalam
ketiga-tiga parti itu berani menyangkal DAP. Lagipun mereka tiada
kekuatan untuk berbuat demikian, tetapi DAP tiada hak untuk menyerang
UMNO-Pas.
Apa yang dilakukan oleh UMNO-Pas adalah demi penyatuan ummah dan apabila
sebut perkataan `ummah’ ia sudah pastilah berkaitan umat Islam, oleh
itu apa hak DAP untuk campur tangan? Adalah lebih baik DAP diam! Tumpu
sahaja perhatian kepada parti-parti dalam PH yang dilihat `berada di
bawah telunjuk’ parti tersebut.
DAP mungkin boleh berkongsi sentimen dengan pemimpin-pemimpin Melayu
dalam PH dengan menuduh macam-macam terhadap kerjasama UMNO-Pas, tetapi
percayalah ia sama sekali tidak akan menjadi `kudis’ apatah lagi
`penghalang’ kepada orang Melayu untuk memberi sokongan kepada kedua-dua
parti tersebut.
Apa yang dilakukan oleh UMNO-Pas bukanlah untuk mengancam kaum lain
seperti mana kenyataan `tidak masuk akal’ pemimpin-pemimpin DAP,
sebaliknya ia hanya berkaitan demi kepentingan orang Melayu dan agama
Islam tanpa menggugat kaum lain.
Mungkin juga DAP gelisah kerana sudah nampak tanda-tanda dalam kalangan
bukan Melayu pun mula meninggalkan PH, biarpun setakat ini tidak ketara
tetapi ia dijangka meningkat berikutan kegagalan kerajaan PH menunaikan
janji-janji PRU-14.
Apapun DAP tidak berhak campur tangan dalam urusan UMNO-Pas. Tidak
payahlah memberi hujah `bodoh’ kononnya apa yang dilakukan oleh
kedua-dua parti itu boleh menyebabkan Malaysia menjadi negara Taliban
atau bertujuan menyasarkan bukan Melayu. Semua itu hanya menampakkan
ketakutan pemimpin-pemimpin DAP kerana tahu parti-parti di dalam PH
tidak sehebat UMNO-Pas.
Maklumlah selama ini pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH menyerang UMNO
dan Pas habis-habisan. UMNO dikatakan akan hancur dan Pas pula
digambarkan menerima rasuah daripada UMNO. Paling lucu ada pemimpin PH
berhujah kerjasama kedua-dua parti itu untuk kepentingan Datuk Seri
Najib Tun Razak, tetapi berdasarkan reaksi rakyat terutamanya orang
Melayu, mereka ternyata menyambut baik apa yang dilakukan oleh UMNO-Pas.
Inilah yang dibimbangi oleh DAP. Parti itu tahu Bersatu tidaklah sekuat
mana, di peringkat cawangan dan bahagian pun caca marba dan kekuatannya
hanya bergantung kepada seorang pemimpin sahaja, PKR pula sedang
berhadapan dengan kemungkinan krisis dalaman manakala Amanah seperti
biasa hanya mengikut sahaja apa kata DAP dan tiada apa-apa daya penarik
untuk membolehkan orang Melayu menyokong mereka.
Faktor-faktor inilah yang membimbangkan DAP. Oleh itu mahu tidak mahu
DAP berusaha memburuk-burukkan kerjasama tersebut semaksimum mungkin.
Mereka cuba memberi gambaran kepada rakyat bukan Melayu betapa bahayanya
kerjasama berkenaan.
Kita pun tahu kaum mana paling kuat menyokong DAP, tidak payahlah
penulis nyatakan, namun tidak mengapa itu hak mereka untuk meraih
sokongan dan hak rakyat menyokong parti mana pun, tetapi janganlah
menyibuk hal berkaitan penyatuan orang Melayu dan umat Islam. Sama ada
kerjasama itu benar-benar akan mengancam bukan Melayu atau tidak,
biarlah rakyat menilai. Lagipun sejak bila pula UMNO atau Pas menganiaya
kaum lain bila ada kuasa?
Kesimpulannya, adalah wajar DAP diam sahaja. Tidak payah nampak takut
sangat dengan kerjasama UMNO-Pas, walaupun kita tahu DAP bimbang
kedudukan politik PH akan terancam.
Kerjasama itu urusan orang Melayu dan umat Islam, biarlah kami uruskan.
Soal sama ada kaum itu akan bersama PH atau tidak, selepas ini, biarlah
Bersatu,PKR dan Amanah fikirkan, maklumlah mereka kan sahabat setia DAP.