Elias Hj Idris
"Err... Mat Kilau tu camne pula, tok?" teman masih mencungkil sambil memerhatikan riak di wajahnya yang pada bila-bila masa jua mesti terpejam mata. Itupun lambat dia menjawab.

Dia menegakkan duduknya sambil menarik nafas. Lama dia mengingat.

"Awai tu, tok kata kat dia, hang ni Mat lari cam kilat naa..." jelas Tok Su perlahan. "Badan dia tu kecik je orangnya, rendah. Lama-lama tukar jadi 'kilau'... tu jadi nama dia Mat Kilau."

"Pasei apa jadi lagu tu?"
teman mencungkil lagi.

"Peranan dia, jadi tukang kacau polis Bengali yang dok meronda kat jalan tu," sahut Tok Su lembut sambil menarik nafas. "Tujuannya, supaya depa hambat dia lari masuk hutan. Kami dah tunggu siap...".
 

"Abih tu..."

"Huhh... kena rodok la sorang, sorang," jelas Tok Su nampak puas sekali.
Masing-masing telah sedia bersembunyi di balik pokok dan semak-samun. Mat Kilau sudah hilang di balik semak melepaskan lelah. Ini kisah di peringkat awal pemberontakan, 1887 apabila Bendahara Wan Ahmad menerima konsul British di Pahang dan Inggeris terus mengiktirafnya sebagai sultan.


----------------------------------


Selepas Raja Mahadi berundur ke Bernam dan kemudian ke Johor, Tok Su balik ke Matang dan dibawa bersama Tengku Temenggong- memandangkan keadaan yang tidak menentu di Selangor - turut mendapat ancaman daripada Tengku Kudin.

Bila landasan keretapi yang pertama dibina di negara ini, iaitu dari Taiping ke Port Weld bagi tujuan mengangkut bijih timah dari kawasan Larut, Ayer Kuning dan Kemunting 1882, Tok Su cuma memerhatikan gelagat buruh India yang membinanya. Dia mula rimas.

Kerja tak sebanyak mana, tetapi sembang yang lebih. Bunyi macam kumbang tersepit dalam lubang. Sesekejap menceritkan air sirih yang berkumpul dalam mulut - lelaki perempuan kuat makan sirih. Ya la bekerja tanpa upah. Mereka diberi makan saja serta tinggal dalam sebuah berek panjang yang cukup daif. Selayaknya bagi banduan-banduan yang diangkut dari penjara Bangkahulu, Sumatera.
Kenapa penjaranya di sana?

Mereka terdiri daripada banduan tegar India - yang tidak layak pun ditempatkan dalam penjara di India, yang cukup tebal sistem kastanya. Kesemua yang ada itu dari kasta paling rendah - Dalit atau paria.

"Sebatang rel panjang 40 kaki tu depa angkat 40 orang, letak atas slipper. Terhegeh-hegeh, tuk tengok," jelas Tok Su sambil merenung jauh ke luar rumah. Sesekali dia jeling mereka di ruang tengah rumah yang tidak tekun melakukan jabat yang baru seminggu diambil. Ada juga murid-murid tua yang datang juga - mengulang kaji.

"Semua orang India?" saya menyoal.

"Ya, semua buruh India," sahut Tok Su perlahan, "Cina kerja lombong. Orang Melayu dok kampung."
"Abik tuk buat apa kat depa?"

"Ada sekali tu, tuk bangkit pi tolak depa ke tepi. Terhegeh-hegeh. Tuk angkat rel tu letak atas pelapik kayu empat segi yang depa letak atas batu tambak tu," sahut Tok Su. Serius.

"Erm... tak berat ke?"

"Tatau aaa... tuk angkat besa je..."

Aku termenung memikirkan sebatang rel dengan berat hampir satu tan itu diangkat oleh Tok Su sorang. Ada hantu raya ke? Tak mungkin, sbb pada seluruh tubuh Tok Su apa satu benda pun takde... tangkal ke, cincin ke. Kain pakainya pun dah lusuh. Tubuh badan keding je.

"Tuk letak... susun panjang, depa mai pi pasang klip paku tu je," jelas Tuk Su. "Mula-mula tu depa heran... tuk sergah, apa tengok-tengok? Tuk pegang je hulu golok, terus depa tak pandang muka."

Aku tertanya-tanya. Ilmu apa yang tuk ni pakai? Jenis berhantu atau jin juga yang datang menerjah.

"Tu la dalam amalan jabat... masing-masing ada habuannya yang Tuhan bagi," jelas Tok Su sambil memerhatikan pakcik dan sepupu aku yang sedang upar tangan - mengucapkan syukur, 'bismillah, alhamdulillah, masyaALlah, astaghfirullah- al 'aziim'... dan seterusnya.

"Klu nak kebal... boleh la, kan tuk?" saya mula tak sabar, sedangkan malas beramal. Bukan apa, bila 'tarik' satu round saja dah cukup untuk keluar peluhnya di seluruh tubuh. Basah baju dan kain.

Saya tau, pak ndak sebagai murid tua yang belajar sejak zaman komunis dulu boleh dicuba dengan parang yang sedang diasah kat belakangnya. Bedebuk... bunyi cam tetak getah beku. Sorang lagi pakcik Misran Jawa yang tinggal kat hujung kampung tu bila dia mengasah pisau toreh getah, dicubanya pada lengan saja - melantun-lantun pisau getah tu melompat. Tak luka sikit pun.

Saya teringin nak jadi kebal sebab bila di sekolah nanti, murid-murid yang nakal dan yang kuat buli orang tu akan gerun tengok bila dicucuk-cucuk lengan dengan pisau tajam, tapi tak luka.

"Jangann... ilmu ni bukan untuk dibuat main," jelas Tok Su sambil menarik nafas, kemudian terhenti "Gunanya untuk sihat badan, kuat kerja dan tak mudah nak rasa letih."

Alaa... boringnya. Saya bukan kerja di sawah nak suruh kerja kuat dan tak mudah letih. Menurut cerita abah, di zaman Jepun dulu ada murid-murid yang berlawan panjat pokok nibung yang penuh berduri itu. Dah naik sampai ke atas, kemudian turun sambil melurut duri-duri sepanjang dua inci itu yang melekat pada kulit. Cam melurut kekabu kembang saja.

"Masa Pak Su tengah dok mengajar, depa boleh main luncur pisau belati sesama sendiri," kata abah. Punca aku tertarik untuk belajar ilmu ini. Aku nak jadi orang yang kebal.

Tetiba di televisyen kelihatan seorang menteri bersama dengan beberapa orang pengikutnya mengiringi seorang tua sambil dikerumuni ramai wartawan yang membuat liputan. TV buat siaran langsung, kononnya pahlawan Mat Kilau telah ditemui dari tempat persembunyiannya. Mata terpaku pada sosok berbadan kemas, kurus yang terpampang kat TV tu. Betul ke Mat Kilau, teman seperjuangan Tok Su dalam pemberontakan di Pahang.

"Bukan dia tu..." sahut Tok Su sambil mengalihkan pandangan dari TV.

"Tu, depa semua kata pahlawan Mat Kilau!" saya cuba meyakinkan berdasarkan kata pengulas di TV.

"Mat Kilau yang betul, ada tanda di pinggang dia," jelas Tok Su seakan-akan jengkel. "Depa kena tengok hat tu..."

Kebetulan masa itu peristiwa berdarah tragedi 13 Mei, 1969 masih tergiang-giang di ingatan. Punca rasa tidak puas hati itu maka meletus kekacauan perkauman. Pada masa yang sama ada pihak-pihak yang cuba nak menakut-nakutkan pendatang asing bahawa orang Melayu ini ada pahlawan mereka sendiri. Maka Mat Kilau itulah yang dicari dan dihebahkan.
0 Responses