Elias Hj Idris


[FIKIH] APAKAH STATUS MUSLIM YANG MENGAKU LIBERAL?

Oleh : Farisha Aris (Aktivis MHTM)

Kalau musang yang datang, pastilah ayam-ayam lari bertempiaran. Tetapi jika yang datang ialah musang berbulukan ayam, yang sopan perilaku dan tutur katanya, mudahkah ayam-ayam biasa mencium penipuan berselubungkan bulu-bulu ayam ini? Itulah gambaran umat Islam ketika ini yang sedang hangat dihujani dengan pelbagai ancaman baru yang telah dan bakal menggugat akidah umat Islam dan generasi akan datang di Malaysia. Ancaman yang pada hakikatnya lebih berbahaya daripada dakyah Kristian, Hindu atau mana-mana agama lain kerana ia datang daripada kalangan umat Islam sendiri.

Ancaman yang dimaksudkan ialah kemunculan pemikiran moden yang dikenali sebagai Islam Liberal. Golongan Islam liberal sememangnya lebih berbahaya daripada pendakyah-pendakyah agama-agama lain kerana suara mereka lebih didengari oleh kaum Muslimin kerana sebahagian mereka adalah golongan cerdik pandai Muslim hari ini yang memiliki latar belakang pendidikan Barat. Mereka ibarat duri dalam daging atau musuh dalam selimut sebagaimana firman Allah SWT:


“Di antara manusia ada yang berkata, "Kami beriman kepada Allah dan hari akhir," padahal mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri sedang mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu; mereka mendapat seksa yang pedih, kerana mereka berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka "Janganlah berbuat kerosakan di bumi.” Mereka menjawab, "Sesungguhnya kami justeru orang-orang yang melakukan kebaikan." Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang berbuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedari” [TMQ al-Baqarah (2): 8-12].

Siapakah Golongan Islam liberal?

Pada hakikatnya matlamat yang ingin dicapai oleh golongan Islam Liberal ini ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam dalam kalangan penganut-penganutnya sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak sesuai lagi pada zaman moden hari ini. Sebagaimana firman Allah SWT:
“Sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian lain kata-kata dusta yang indah-indah untuk memperdaya (manusia)” [TMQ al-An’am (6): 112].

“Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri sedang mereka tidak menyedarinya” [TMQ al-Baqarah (12):9].

Golongan Islam liberal ini memiliki pegangan dan prinsip yang jelas condong kepada pemikiran Barat yang berpaksi kepada ideologi Sekular-Liberal yang menyalahi akidah Islam yang dianuti oleh para Muslim. Prinsip dan pegangan golongan ini antara lain adalah:

1) Memperjuangkan prinsip kebebasan. Fahaman Islam liberal berakar pada kebebasan akal tanpa batasan ditambah pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam. Bagi pendukung fahaman Islam liberal, tidak ada dalam agama suatu yang dianggap kudus dan suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai. Bagi mereka penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada penilaian akal dan rasional untuk memastikan kebenaran ajaran-ajaran agama tersebut.


Firman Allah SWT :
“Dan sesiapa antara kamu yang menjadikan mereka sebagai teman rapatnya (orang kafir sebagai pemimpin), maka sesungguhnya ia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim” [TMQ al-Maidah (5): 51].

2) Cubaan untuk mengubah syariat Islam. Golongan Islam liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama tetapi berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam syariat dan fiqh. Mereka juga menolak sebahagian apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan disepakati oleh sahabat (ijma’ sahabat) kerana dianggap lama dan kolot serta tidak sesuai pada zaman moden hari ini. Menurut mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi’ (realiti) semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah dijelaskan dengan nas-nas syarak secara qath’ie (pasti). Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau seboleh-bolehnya digugurkan.


Firman Allah SWT:
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya? Sesungguhnya Kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdosa” [TMQ as-Sajdah (32): 22].

3) Menolak dan mengambil ajaran Islam mengikut logik akal dan nafsu semata-mata. Golongan Islam liberal juga gemar menolak dan menerima ajaran-ajaran Islam mengikut selera dan kepentingan mereka. Mereka akan setuju dan mengekalkan ajaran Islam tersebut apabila perkara itu selari dan tidak mengganggu kepentingan mereka. Jika sebaliknya, maka mereka akan menolak ajaran tersebut. Namun begitu, mereka tidak menolak begitu sahaja tetapi seterusnya mereka cuba meminda dan mengubah ajaran itu sehingga menjadi ajaran baru dengan menjenamakan semula (rebranding) konsepnya daripada ajaran asal. Adakalanya mereka ini menolak Al-Quran tetapi mengambil Hadis ataupun menolak Hadis tetapi mengambil Al-Quran. Terdapat juga yang menolak separuh isi Al-Quran dan Hadis dan mengambil separuh yang selebihnya.

Padahal Allah SWT berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”
[TMQ al-Baqarah(2): 208].

Rasulullah SAW bersabda:
“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. (Hadis Sahih Lighairihi, H.R. Malik; al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Nashr, Ibnu Hazm. Disahihkan oleh Syeikh Salim al-Hilali di dalam At Ta’zhim wal Minnah fil Intisharis Sunnah, hlm. 12-13).

4) Menyokong idea Pluralisme. Golongan Islam liberal mengiktiraf agama lain selain Islam juga betul dan benar. Mereka menggunakan alasan menghormati agama-agama lain dan sikap keterbukaan. Padahal seorang Muslim wajib meyakini Islam satu-satunya agama yang benar sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Barangsiapa mencari agama selain daripada agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” [TMQ Ali-Imran(3): 85].

Golongan Islam Liberal telah Tersesat Jauh dari Jalan Kebenaran.

Berdasarkan prinsip dan pegangan golongan Islam liberal di atas, hakikatnya cara berfikir dan juga pandangan-pandangan mereka ini telah berada jauh dari landasan Islam yang benar. Para pendukung Islam liberal ini juga boleh jatuh ke dalam golongan orang-orang munafik dan fasik tanpa mereka sedari kerana mereka ini menzahirkan keimanan tetapi menyembunyikan kekufuran mereka.
Sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami telah beriman". Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok. Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka” [TMQ al-Baqarah (2): 14-15].

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

“Tanda orang munafik itu tiga, apabila ia berucap berdusta, jika membuat janji berdusta, dan jika dipercayai mengkhianati” (HR Al-Bukhari, Kitab Iman, Bab Tanda-tanda Orang Munafik, no. 33 dan Muslim, Kitab Iman, Bab Penjelasan Sifat-Sifat Orang Munafik, no. 59).

Namun yang lebih parah lagi, ada kalanya antara pendapat dan buah fikiran mereka amat jelas bertentangan dengan akidah Islam dan boleh merosakkan iman dan mengeluarkan seseorang itu daripada Islam atau terbatal keislamannya. Ini dapat dibuktikan apabila mereka telah membuat pengakuan secara terang-terangan atau penampakan melalui perkataan atau perbuatan dengan mengiktikadkan bahawa agama lain juga benar, mendakwa al-Quran terdapat penyelewengan dan perlu ditafsirkan semula, menolak hadis atau as-Sunnah secara mutlaknya, menghina syariat dan undang-undang Allah SWT dan meragui peribadi Rasulullah SAW yang mana kesemuanya itu adalah tunjang kepada keyakinan seorang Muslim kepada Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar” [TMQ an-Nisa’ (4): 48].
Seterusnya, Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab,Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.’ Katakanlah, ‘Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya, dan RasulNya kalian selalu berolok-olok?’ Tidak usah kalian minta maaf, karena kalian kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kalian (lantaran mereka bertaubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa” [TMQ at-Taubah(9): 65-66].

Bersegera Bertaubat kepada Allah SWT

Sesungguhnya mereka yang tergolong dalam kelompok atau pendukung-pendukung Islam Liberal, maka kembalilah kepada jalan kebenaran dengan bersegera memohon keampunan Allah SWT dan bertaubat dengan tulus kepadaNya selagi masih ada kesempatan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuha (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb Kami, sempurnakanlah bagi Kami cahaya Kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” [TMQ at-Tahrim(66): 8].

Justeru itu, apa yang dimaksudkan dengan bertaubat dengan tulus adalah memenuhi syarat-syarat taubat nasuha sebagaimana berikut:

“Imam Nawawi rahimahullah berkata, “Para ulama mengatakan: Taubat itu wajib dilakukan untuk setiap dosa yang diperbuat.” (Syarah Riyadhu Shalihin, I/56). Beliau juga berkata, “Taubat itu memiliki tiga rukun: meninggalkannya, menyesal atas perbuatan maksiatnya itu, dan bertekad kuat untuk tidak mengulanginya selama-lamanya. Apabila maksiat itu berkaitan dengan hak manusia, maka ada rukun keempat iaitu membebaskan diri daripada tanggungannya kepada orang yang dilanggar haknya. Asas daripada taubat adalah penyesalan dan penyesalan itulah rukunnya yang terbesar” (Syarah Sahih Muslim, IX/12).


Khatimah

Sesungguhnya Islam itu wajib dipertahankan kesuciannya kerana ia adalah agama dan wahyu terakhir daripada Allah SWT. Oleh itu, menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam di semua peringkat dan status sosial untuk menggembleng tenaga bagi mempertahankan keagungan Islam sebagaimana kaum Muslim terdahulu yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membela dan meninggikan syiar Islam dengan melawan pendukung-pendukung ideologi Barat yang bertentangan dengan akidah Islam melalui cara menyebarkan dan menyampaikan kebenaran.

Oleh yang demikian, untuk memelihara akidah agar tidak terpengaruh dengan pemikiran tersebut, umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam kerana ia adalah satu-satunya jalan lurus yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW yang mana dapat menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan penyelewengan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa” [TMQ al-An’am (6): 153].


Wallahu'alam.


Sumber:
1. Al-Quran al-Kareem;
2. https://tafsirq.com/
3. https://mykhilafah.com/sn535-ancaman-liberalisme-terhadap-…/
4. https://alquranmulia.wordpress.com/…/11/04/tafsir-ibnu-kat…/
5. Asbabun Nuzul; Edisi Kedua; Penerbit Diponegoro Bandung; 2000.
#fikih #liberal #liberalisme #sekularisme
0 Responses