Elias Hj Idris
Dan... yang ini pula adalah berita daripada Bernama, berita yang rasional tanpa dipaksa-paksakan seperti yang terdapat pada liputan Utusan Malaysia, 21hb Oktober (muka surat 12) dan Harian Metro pada tarikh yang sama di muka surat 44.
 

Pemberitaan pun ada etikanya, bukan dilihat sembrono n bodo.


Terdapat Persamaan Ketara 

Antara Novel Aku Bohsia

 Dengan Filem Arahan Syamsul

Diterbitkan: Isnin, 19 Oktober 2015 9:30 PM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa terdapat persamaan ketara antara novel "Aku Bohsia" dengan filem "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam", yang dilakonkan dan diarahkan oleh Syamsul Yusof terutama dari segi plot (jalan cerita), tema, watak dan mesej.
Penulis novel, Elias Idris, 63, memberitahu persamaan itu tidak mungkin berlaku secara kebetulan apabila terdapat babak-babak di dalam filem berkenaan sama dengan jalan cerita dalam novel yang diterbitkan pada Mac 1995.

"Pada asasnya, kebanyakan idea yang dibawa oleh filem "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" tidak lari daripada yang terdapat dalam novel "Aku Bohsia".

"Perbezaan cuma terdapat pada daya kreativiti dan imaginasi penulis skrip dan pengarah filem mengubah persembahan untuk menampakkan kelainannya," katanya ketika membaca pernyataan saksi dalam perbicaraan kes samannya terhadap pelakon dan pengarah Syamsul Yusof, bapanya Datuk Yusof Haslam dan syarikat mereka berhubung dakwaan plagiat.

Elias menamakan Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Md Yusof, 31, sebagai defendan pertama manakala Md Yusof Md Aslam (Yusof Haslam), 61, sebagai penerbit filem berkenaan, defendan kedua dan syarikat Skop Production Sdn Bhd, defendan ketiga.
Mereka diwakili peguamAizul Rohan Anuar.

Elias berkata antara persamaan itu ialah babak ayah merogol anak sendiri, persamaan dari segi kecurangan, watak kecurangan seorang isteri, tukang hantar pelacur, ayah pemabuk dan kaki rogol serta adegan rogol.

Ketika ditanya peguam M. Kumar mengenai perasaannya selepas menonton filem itu, Elias berkata dia berasa sedih dan terhina apabila hasil karya sasteranya ditiru dan diangkat ke filem tanpa pengetahuan dan keizinan daripadanya selain  tiada catatan penghargaan atau pemakluman yang mengiringi penerbitannya.

Katanya, dia juga tidak boleh berdiam diri apabila mendapati haknya diceroboh sehingga mendorongnya menulis surat kepada Syamsul untuk mengadakan satu pertemuan berhubung pencerobohan dan peniruan itu namun tiada jawapan daripada defendan pertama itu.

"Pada 26 Oktober 2013, sekali lagi surat dihantar dengan menyatakan beberapa persamaan utama yang nyata antara cerita filem dan kandungan novel berkenaan namun masih tiada jawapan," katanya.
Elias berkata dia terus membuat susulan terhadap surat tersebut dan akhirnya dengan bantuan Megat Farieq, bagi pihaknya, satu pertemuan telah diaturkan di pejabat Skop Productions Sdn Bhd, pada awal Disember 2013.

Menurutnya, selepas setengah jam tiba di pejabat itu, barulah dia dapat menemui Yusof di bilik pejabatnya.

"Dia (Yusof) tetap menafikan peniruan, sebaliknya dia menekankan bahawa mereka ada panel skrip sendiri, cerita ditulis anaknya dengan idea asal milik anaknya malah jika ada persamaan, ia cuma kebetulan yang tidak dapat dielakkan.

"Malah dia tidak tahu pun ada sebuah novel dengan plot, tema, mesej dan watak seperti yang dimaksudkan. Pertemuan itu diakhiri dengan dia memberitahu jika saya berhasrat untuk saman mereka, sila teruskan," katanya.

Elias memfailkan saman terhadap Syamsul, Yusof dan syarikat Skop Production Sdn Bhd pada 24 Nov tahun lepas kerana didakwa meniru novel Elias itu dalam filem "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" yang diterbitkan pada 2009.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Elias mendakwa beliau menulis novel itu pada 1995 menggunakan nama pena Anne Natasha Nita serta merupakan pemilik hak cipta terpelihara karya itu.

Sehubungan itu, beliau menuntut satu deklarasi bahawa kesemua defendan telah melanggar hak cipta terpelihara plaintif sebagai penulis asal, memohon injunksi untuk melarang defendan menyiarkan semula filem itu dan satu perintah ganti rugi serta faedah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datin Azizah Nawawi bersambung pada Selasa. - BERNAMA



Nota: Peguam plaintif di peringkat awal dulu ialah M. Kumar, tetapi yang menjalankan kes ini sekarang ialah K. Periasamy daripada Periasamy & Co.
0 Responses