Elias Hj Idris

Apa Pendapat Anda?
 

















































































Sumber: chedet.cc/?p=1624#more-1624

1. Ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.

2. Ia bermula dengan kes pembunuhan Altantuya, wanita Mongolia yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam.

3. Dua orang anggota polis dituduh menembak mati wanita berkenaan, dibicara, didapati bersalah, kemudian didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Kemudian dibicarakan semula dan dikena hukum bunuh.

4. Seorang daripada mereka berada dalam tahanan, tetapi Sirul seorang lagi berada di Australia. Dia membuat kenyataan bahawa dia diarahkan untuk membunuh.

5. Rakyat tertanya-tanya siapakah yang memberi arahan? Sebagai pengawal peribadi Dato Seri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapakah yang memberi arahan, tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.

6. Kemudian kes 1MDB. Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang berbillion ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain daripada berkata ia adalah pembohongan!

7. Kononnya aset 1MDB berjumlah RM52 billion sedangkan hutang hanya RM42 billion. Aset tidak jadi keuntungan sebelum dijual (dicairkan). Kenapa untuk membayar faedah sebanyak 2 billion pun terpaksa berhutang daripada Ananda Krishnan? Kalau 1MDB tidak rugi kenapa terpaksa hutang? Kenapa wang Kerajaan sebanyak RM1 billion diberi kepada 1MDB setelah hutang dibayar?

8. Kononnya wang yang disimpan di Cayman Island sudah dibawa balik. Tetapi separuh daripadanya disimpan dalam bank Swiss (BSI) di Singapura. Ke mana pergi separuh lagi dari RM6 billion? Kenapa wang ini tidak digunakan untuk bayar faedah RM2 billion?

9. Kononnya ia disimpan di Singapura kerana Bank Negara akan menyoal simpanan lebih dari RM50 juta. Jikalau duit itu duit kita yang hanya disimpan di Cayman, apa masalahnya menjelaskan kepada Bank Negara akan punca wang itu>? Lagi pun duit ini dimiliki oleh 1MDB yang dikuasai sepenuhnya oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan!

10. Soalan-soalan lain berkenaan 1MDB tidak dijawab selain daripada berkata asetnya besar. Soal harga tanah kerajaan yang dibeli oleh 1MDB tidak dijelas. Sudah tentu jika dibeli dengan harga yang murah dan dinaik nilai berkali ganda, aset ini menjadi besar. Tetapi kerajaan rugi banyak dengan tanah miliknya dijual dengan harga yang tidak mencerminkan harga pasaran.

11. US$700 juta dibayar kepada Petro Saudi untuk apa? Sudahkah ditentukan Petro Saudi memiliki konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina dan Turkmenistan sebelum membayar wang yang begitu banyak?

12. Jho Low dilaporkan dalam New York Times, London Times dan Sarawak Report terlibat dalam pengurusan berbillion ringgit duit 1MDB. Siapakah dianya Jho Low yang begitu dipercayai oleh Dato Seri Najib? Pegawai Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku mereka diarah oleh Jho Low yang mendakwa dia mendapat kepercayaan penuh dan arahan dari Dato Seri Najib!

13. Gambar-gambar Jho Low dan kelakuannya, umurnya yang amat muda serta cara hidupnya tidak menggambarkan peribadi yang menyakinkan orang ramai. Tetapi dia dilaporkan membeli rumah di New York dan Hollywood beratus juta ringgit. Kemudian rumah-rumah itu dijual kepada anak tiri Najib dengan harga ratusan juta ringgit bagi setiap satu kerana kononnya Jho Low telah menemui  rumah yang lebih indah di Hollywood yang harganya lebih tinggi!

14. Dari manakah datangnya duit beratus juta ringgit kepada Riza Aziz tidak dapat dijelaskan? Keluarga Tun Razak termasuk Najib menafikan duit ini adalah daripada keluarga. Pelaburan ratusan juta dalam filem “Wolf of Wall Street” oleh Riza itu datang dari mana?

15. Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuhkan oleh Dato Seri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang tidak dijelas dan tidak dijawab selain daripada  menafi dan mendakwa semuanya itu bohong belaka. Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan London amat memalukan negara.

16. Sementara itu, walaupun kerajaan menghadapi kekurangan wang yang besar dan terpaksa berhutang, Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri membeli sebuah lagi pesawat mewah. Umum mengetahui pesawat ACJ319 yang sedia ada digunakan bukan sahaja untuk tugas rasmi, tetapi sebagai kenderaan peribadi untuk Dato Sri dan Datin Sri.

17. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa mem bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai ringgit yang merudum teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir serta kehilangan ratusan juta ringgit, kerajaan membazirkan wang ratusan juta ringgit untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik kerajaan.

18. Cara pembeliannya tidak dapat menyembunyikan bahawa akhirnya kerajaan terpaksa menanggung beban pembelian itu. Jika syarikat bukan kerajaan yang secara rasmi membelinya, bayaran melalui lease (sewa) akan lebih tinggi daripada belian secara langsung kerana terpaksa memberi keuntungan kepada pemilik dan faedah yang dimasukkan.

19. Selain daripada ini dasar-dasar pemerintahan Dato Seri Najib terhad kepada pemberian wang percuma, menimbul kemarahan orang Melayu dengan mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana ingin mendapatkan sokongan orang Cina. Namun penolakan BN dalam PRU 13 membuktikan orang Cina tolak pemerintahan Najib.

20. Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Dato Seri Najib. Ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan dengan itu BN akan kalah jika Dato Seri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14. Apabila UMNO kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali UMNO kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula.

21. Ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan negara saya terpaksa dedah semua ini.

22. Saya belum nyanyuk walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyuk sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri.

23. Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri.

Tun Mahathir
BBCD: 22 Tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia

0 Responses