Elias Hj Idris
Dengan keadaan yang sudah biasa pada sistem sekular,
dapatkah dia berubah untuk berpurdah?

6



PADA petang itu, sebaik tiba di rumah selepas pulang dari bekerja, Nur Anita ternampakkan sepucuk surat di atas peti televisyen. Melihat pada sampulnya dia tahu ia adalah tawaran bekerja di tempat baru yang dipohonnya. Tanpa berlengah Nur Anita mencapainya lalu menghempaskan punggung di sofa. Dengan rakus dia mengoyakkan sampulnya untuk melihat kandungan surat tersebut.

“Sssurat aaappa tuuu?” tanya Abang Leman yang datang dari arah dapur.

“Err... surat tawaran kerja agaknya,” jawabnya perlahan. Endah tak endah.

Melihat daripada isinya memang jelas Nur Anita telah berjaya dalam temuduga yang telah dihadirinya bersama dengan Nurul Asyira empat bulan yang lalu. Itupun dia secara tidak sengaja pergi menghadiri temuduga tersebut setelah Nurul Asyira mendesak untuk menjadi teman. Dia dan Nur Anita sama-sama ikut ditemuduga.

Nur Anita telah berjaya, tetapi dia tidak tahu bagaimana dengan nasib Nurul Asyira pula. Dia percaya tentu temannya itupun turut berjaya. Ada ramai kakitangan baru yang diperlukan memandangkan kerajaan pun sedang galak dengan promosi pelancongan. Banyak promosi luar negeri sedang dan bakal diadakan.
Melihat daripada tawarannya, Nur Anita cukup tertarik. Gajinya lebih besar di samping syarat-syarat perkhidmatan yang lebih baik. Tawaran bonusnya tidak kurang daripada dua bulan gaji pada setiap tahun. Kalau prestasi syarikat baik dia mungkin boleh menerima bonus sehingga enam atau lapan bulan gaji.

Selain itu rawatan perubatannya tidak terhad kepada dia seorang sahaja. Ibu dan ayah juga akan mendapat kemudahan rawatan secara percuma. Demikian juga sekiranya Nur Anita telah berkeluarga boleh mendapatkan rawatan di mana-mana pusat perubatan swasta yang menjadi anggota panelnya.

Oleh kerana syarikat itu terlibat dalam bidang pelancongan, jadi Nur Anita boleh ke mana-mana destinasi yang ada hubungan setiap tahun. Syarikat ada beberapa cawangan di seluruh dunia. Benaknya mula menerawang teringatkan Australia, Eropah, Amerika, Jepun, Taiwan dan juga Afrika Selatan. Nur Anita mula berangan-angan dengan mengatur jadualnya sendiri.

“Kkerja kkat mannaa ppula tuuu?” tegur Abang Leman sebaik beralih daripada menjenguk ke luar di muka pintu. Jalannya goyang, sambil mengagak atur langkahnya yang tidak stabil. Dia masuk ke dalam semula menuju ke arah adiknya itu di ruang tengah.

“Agensi pelancongan,” jawab Nur Anita, masih membelek surat tersebut. “Dah lama minta.”

Abang Leman mengangguk. Dia duduk di sofa yang berhadapan dengan Nur Anita. Dia menatap wajah adiknya dengan pandangan yang kosong.

“Kkerja yang bberkait ddengan ddunia lluar ni bbagusss... ccorak fikiran kkita terbukaa luasss,” jelas Abang Leman sambil sekali sendawa dengan bau barli peram yang menyenakkan rongga hidung.

Dia lebih selesa bekerja sendiri dengan menguruskan harta kepunyaan ayah. Pada waktu pagi dia membawa ayah ke mana-mana perjabat yang ada urusan. Ayah ada hubungan dengan orang-orang di pejabat daerah dan majlis perbandaran juga. Selepas menghantar ayah pulang ke rumah baru Abang Leman pergi ke kilang. Dia membantu kakak dalam industri kulitnya. Kalau tidak pun dia akan pergi ke kebun mereka di Jalan Banting.

Apabila petang dia akan melepak bersama-sama dengan rakan Indiannya di kedai belakang rumah. Di sana dia pun ikut sama kengkawannya itu minum arak. Lebih teruk terkadang-kadang mereka minum todi. Ada India yang menghantar tuak ke situ dengan motosikal.

“Abang Leman mabuk ya?” Nur Anita menegur. Jeran sahaja rupa wajahnya. Rimas.

“Tttakde la... mmanna aada mminum?” jelasnya sambil berdiri semula... yang tidak tetap.

“Pandai aje nak bohong!”

“Mai la tengok! Cium... cium... aada bbau ke?” Tangannya menggelepar sambil menggoyangkan badan seperti bapok.

“Eh, abang pegi ke luar sana tu la... kang muntah kat atas carpet tu!”

Abang Leman segera menurut sambil menjeling, walaupun dia tidak mengaku mabuk dan minum arak. Dia keluar duduk di kerusi dekat beranda yang menghadap ke Jalan Melawis.

Nur Anita bercadang untuk menerima tawaran tersebut. Cuma dia harus memulakan tugas di tempat baru kira-kira lima hari sahaja lagi. Ia amat mendesak dan menjadi trend sejak kebelakangan itu di mana kakitangan baru tidak diberikan peluang berlama-lama sebelum memberikan notis berhenti kerja. Nur Anita harus memulakan tugas barunya pada 1hb nanti. Ini bererti dia terpaksa meletakkan jawatan 24 jam dari tempat lama dia bekerja.

Sebenarnya, Nur Anita tidak gemar cara begitu. Ia tidak adil kepada syarikat lama memandangkan mereka tidak sempat membuat persediaan ataupun bertindak mengambil kakitangan yang baru. Ia hampir sama dengan tindakan merampas pekerja. Namun, apa boleh buat? Kakitanganlah yang sering tersepit di tengah-tengah.

Sementara itu Nur Anita teringatkan tunangnya, Kamarul Izzat. Patutkah dia memberitahu tawaran berkenaan kepadanya? Kemudian dia berasakan ia sebagai tidak perlu. Sebagai hak peribadi, Nur Anita harus menentukan haluan hidupnya sendiri. Dia tidak perlukan campur tangan orang lain dalam urusan hidupnya itu. Kalau Kamarul Izzat bertanya pun selepas itu, barulah dia ceritakan.

Kemudian dia terdengar Abang Leman muntah di luar sana. “Uwekkk....”

“Haa... mentekedagah arak tu lagi!” teriak Nur Anita dari dalam rumah.

“Kenapa?” Kak Bedah datang dari arah dapur.

“Huhh... apa lagi? Tonggak la....”



NUR ANITA memulakan tugas di tempat baru di Petaling Jaya. Ia sebuah syarikat pelancongan yang besar dan mempunyai cawangan di Pulau Pinang, Johor Baru, Kuching dan Kota Kinabalu. Corak kerjanya pun tidak banyak berbeza dengan tugas di tempat lama. Ia masih berkaitan dengan tempahan tiket penerbangan dan pakej pelancongan.

“Kenapa kau nak berhenti, Nita?” tegur Sarah yang bertugas di bahagian tempahan ketika mereka masuk ke bilik taklimat. Ada bahan promosi yang baru kat sana. “Sunyi la Nita nanti. Nurul Asyira pun nak berhenti juga.”

“Nita sayang kat tempat ni, tapi err... mungkin dah sampai masa untuk beralih angin.”

“Kau pakat dengan dia, ye! Tiba-tiba aje ni....”

“Tak la. Dia yang ajak Nita pergi interview ari tu.”

“Kenapa tak ajak aku sama? tanya Sarah sambil memilih risalah “Tahun Melawat Malaysia” yang terbaru.”

“Ntah. Mungkin dia kesiankan bos dan syarikat juga kalau dah ramai nanti yang tinggalkan tempat ni.”

“Tapi jawatan Nurul Asyira lebih lebih besar kat sana, kan!”

Nur Anita mengangguk. Dia tidak pula terasa iri hati. Lagipun dia juga yang membuka peluang untuk Nur Anita di tempat yang baru itu. Namun begitu Nita bersyukur kerana ada juga peningkatannya dalam kerjaya.

“Alaa... tu kan nasib dia.”

Sarah tersenyum. “Baik hati kau.”

Nur Anita tersenyum, kemudian berpeluk dengan teman baiknya itu.

“Aku akan merindui kau, Nita,” bisiknya perlahan.

Berbanding dengan Nurul Asyira, Nur Anita tidak dapat bertangguh untuk berhenti kerja. Walaupun dia mendapat tawaran yang lebih baik, tetapi dia hanya perlu memberikan notis sebulan untuk berhenti kerja. Ramai kawan yang mengucapkan selamat jalan di satu majlis perpisahan ringkas yang diadakan. Ada jamuan setakat ala kadar. Banyak juga hadiah yang diterima.

Sebenarnya, mereka tidak perlu bersedih. Tugas di bidang tersebut memberikan mereka peluang untuk sering bertemu. Malah pada setiap tahun sekelian agensi pelancongan mengadakan pertemuan dan hari pelancongannya.

Oleh kerana hari tersebut dikira cuti di Wilayah Persekutuan, jadi Kamarul Izzat tidak bekerja. Sibuk Kamarul Izzat menelefon Nur Anita di tempat lama, sedangkan dia sudah tiada di situ lagi. Dia cuba menghubungi telefon bimbit Nur Anita, kebetulan baterinya pula mengalami masalah. Nur Anita terlupa untuk dicaskan pada malam sebelumnya. Pada sebelah petang baru Kamarul Izzat datang mengambil Nur Anita. Itupun setelah dia bertanyakan Nurul Asyira.

Kamarul Izzat sedia memasamkan mukanya apabila Nur Anita masuk ke dalam kereta. Nur Anita tahu tunangnya marah, tetapi apa boleh buat, silapnya juga. Selama itu Kamarul Izzat sendiri yang tidak pernah ambil tahu tentang dirinya. Apabila Kamarul Izzat tidak bertanya masakan Nur Anita mahu berceloteh dan membebel itu ini dengan menjaja tentang kisah dirinya?

Itu pun tidak lama marah Kamarul Izzat rupa-rupanya. Setelah Nur Anita bercerita tentang keadaan di tempat baru, dia sudah mahu berbual semula. Dia turut gembira kerana gaji yang bakal diterima di tempat baru itu nanti hampir sama banyak dengan gajinya juga. Cuma yang berbeza Nur Anita tidak mendapat elauns perjalanan. Kamarul Izzat lebih banyak bekerja di luar pejabat, sedangkan Nur Anita saban masa asyik berada di pejabat - melayani pelanggan dan mereka yang membuat tempahan.

“Kita pun masih muda dan pendapatan tu saja dah hampir lima ribu ringgit sebulan,” kata Kamarul Izzat dengan nada gembira. “Tu dah boleh dikira besar untuk kita berdua selepas kahwin nanti”.

Nur Anita gembira kerana mereka akan mempunyai pendapatan yang cukup lumayan. Jadi dia dapat melihat masa depan yang cukup cerah sekiranya mereka sama-sama pandai menguruskan hidup berumahtangga.

“Err... I belanja you makan ari ni,” jelas Kamarul Izzat sambil menjeling.

“Ooo... thank you... thank you!” sahutnya. “I love it.”

Kamarul Izzat belanja Nur Anita makan di Kompleks Jaya pada petang itu. Kononnya, kerana mahu merayakan kejayaan tunangannya itu bertugas di tempat yang baru.

Kali itu pun dia mengecek lagi. Kamarul Izzat mengajak Nur Anita pergi menempah sebuah bilik di Hotel Dayang Sari, tidak jauh dari situ.

“Err... tak nak la!” Nur Anita mengelak. “Penat ni.”

“Isyy...,” Kamarul Izzat menggerutu. Bibirnya dimuncungkan.

Dia asyik menelan liur keringnya yang tidak mau lepas.
0 Responses