Elias Hj Idris
2



KEESOKAN harinya mereka bertemu selepas Kamarul Izzat menelefon. Dia mengajak Nur Anita keluar untuk belanja bersempena dengan hari jadinya itu dan pertunangan mereka. Pada mulanya ayah tidak benarkan, tetapi dia berubah fikiran apabila Kamarul Izzat sendiri yang datang meminta izin. Dia datang menjemputnya di rumah.

“Saya minta izin pakcik sebab nak raikan hari jadi Nita,” kata Kamarul Izzat sebaik dipelawa duduk di anjung. “Ada juga perkara yang nak dibincangkan nanti....”

“Baik la, tapi... jangan lambat baliknya,” pesan Pak Bandar.

“Err... lepas makan balik la,” sahut Kamarul Izzat sambil menjeling ibu yang ikut sama di ruang tamu itu. “Saya mohon izin dari mak cik juga.”

“Baik la. Jaga diri tu sebab orang baru bertunang ni darahnya manis,” pesan Mak Cik Encom dengan gembira.

“Ya, insyaAllah, minta-minta tiada aral yang melintang, mak cik err... pak cik,” sahut Kamarul Izzat sebelum meminta diri.

Nur Anita sudah pun siap dan bersedia di muka pintu. Kemudian dia menemui ayah dan ibu sambil meminta izin. Dia mencium tangan mereka. Ia kali pertama mereka keluar setelah diikat dengan tali pertunangan.

“Err, yang ini untuk...,” kata Izzat sebaik menyeluk ke dalam beg plastik yang dibawanya. Itulah buah tangan yang dibawa untuk adik-adik Nur Anita. Sama seperti selalu Kamarul Izzat memang pandai merasuahkan dengan membawa pelbagai buah tangan. Selalu dibawakannya kek, buah-buahan dan kali itu cokelat pula.

Sebenarnya, Nur Anita pun berasa bangga kerana mempunyai seorang bakal suami yang pandai mengambil hati keluarga. Mereka pun telah menganggapnya sebagai seorang pemuda yang cukup baik; bertimbang rasa dan berhemah tinggi. Cuma dalam hati Nur Anita sahaja yang masih menyimpan sedikit rasa sangsi.

Entah kenapa?

Rupa parasnya pun tidaklah seperti yang diidamkan. Kamarul izzat berbadan kecil dengan rambut agak keras dan menegak. Renungan matanya pasti memikat setiap wanita dengan kesan jerawat batu masih ketara di kedua-dua belah pipinya. Dia berada dalam carta pilihan yang ketiga jika hendak dibandingkan dengan lelaki yang pernah hadir dalam hidup Nur Anita selama itu. Lelaki yang kuat menjeling ini jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan Roy yang agak tinggi dan berbadan sasa.

Demikian juga jika hendak dibandingkan dengan Jeff yang agak tinggi dan mempunyai renungan yang redup dan mengancam. Gayanya tangkas dan ringkas.

Selalunya, Nur Anita akan berasa selamat setiap kali bersama mereka. Mereka biasa keluar pergi jalan-jalan dan bergurau mesra. Jika hendak dibandingkan, dia tidak pernah pun keluar berdua-duaan dengan Kamarul Izzat, tetapi sebaliknya pula yang terjadi dalam hubungan mereka.

Kamarul Izzat pula yang menjadi tunangannya! Kenapa?

Kehadiran Kamarul Izzat pun selalunya dengan disertai oleh teman-teman yang lain. Nurul Asyira sebagai teman yang paling rapat dan sering ada bersama. Demikian juga Sarah, teman sepejabat yang galak dan inginkan sangat agar Nur Anita berkenalan dengan Kamarul Izzat.

Nur Anita telah dipertemukan ketika majlis harijadi Sarah yang diadakan di rumahnya di Kampung Kepayang, tidak jauh dari rumah Kamarul Izzat di Kampung Tanjung. Itulah satu-satunya kampung Melayu yang masih ada di tepi laluan baru untuk menuju ke Cameron Highlands dari bandar Ipoh. Persimpangnya terletak di pekan Simpang Pulai. Jadi pada hujung minggu itu mereka ke sana bagi tujuan tersebut.

“This is my cousin, Izzat. Kamarul Izzat,” jelas Sarah sebaik memperkenalkan lelaki penggoda itu.

“How are you?” tegur Kamarul Izzat sambil menggenggam tangan Nur Anita. Lama.

Renungannya tajam sekali sebab sejak mula perhatiannya memang asyik tertumpu pada gadis ayu anak Pak Bandar dengan Mak Cik Encom itu. Orang baru bagi lelaki berhidung belang spesis Ipoh seperti Kamarul Izzat. Yeah... artis berhidung belang pun cukup ramai yang datang dari sekitar Bandaraya Ipoh.

Debar hati masing-masing mengencang. Nur Anita segera melarikan matanya daripada menjadi bahan tenungan. Dia bimbangkan makrifat mata yang bakal menyusul. Tenungan yang boleh menghancurkan segala kerak nasi di lubuk hatinya.

Walaupun masing-masing bertugas di ibu kota, tetapi di kampung itu mereka dipertemukan. Kelangsungan itu berterusan dan hubungan itu berpanjangan biarpun setelah masing-masing kembali semula ke ibu kota. Kamarul Izzat masih menggunakan sepupunya buat menjinakkan hati Nur Anita. Sarah pula yang jadi tukang kempen bagi pihaknya.

Apatah pula Sarah pun memang inginkan gadis temannya itu menjadi sebahagian daripada anggota keluarga mereka. Dia mahu merapatkan hubungan silatur-rahim dengan keluarga ternama Nur Anita dari Jalan Melawis, Klang itu.

Selepas pergi makan di sebuah restoran makanan segera dekat padang hoki di Petaling Jaya, mereka pergi bersiar-siar. Nur Anita tahu kereta yang mereka naiki itu bukan milik Kamarul Izzat. Ia mungkin kereta yang dipinjam daripada orang lain atau mungkin kakaknya. Jadi ketika di dalam kereta itu memberi kesempatan untuk mereka berbual-bual tentang hari pertunangan yang baru berlalu. Mereka turut bercerita tentang keluarga juga.

“Sebenarnya, abang minta maaf sebab ucapan hari jadi tu,” jelas Izzat sambil mencapai tangan tunangannya. Selamba.

Nur Anita terperanjat lantas menarik tangannya itu. Sambil menjeling dia tersenyum memaniskan mukanya yang tiba-tiba serasa menebal kulitnya. Malu.

“Tak ada apanya... mungkin you tak sengaja. Excited juga,” serunya lembut sambil melarikan pandangan matanya daripada tertusuk. “Lagi pun tentu you sibuk dengan persiapan kat sana ari tu....”

“Memang sibuk pun malam tu... semua anggota keluarga datang berhimpun,” jelas Kamarul Izzat seakan-akan tergagap. Sedangkan dia sebenarnya sedang dalam proses memutuskan hubungan dengan kekasih lamanya.

“Tentu seronok ye?”

Kamarul Izzat mengangguk. “Seronok. Dia orang pun suka sebab akhirnya I dah dapat apa yang dihajatkan.”

“Ooo...,” Nur Anita mengangguk sambil lidahnya menjilat bibirnya yang menipis itu. Berair.

Tanpa disedari kerana asyik berbual, Kamarul Izzat telah memandu hingga ke luar ibu kota. Entah bagaimana mereka sudah tiba di Selasa Homes dekat Bukit Tinggi. Ia sebuah kawasan penginapan dan rihat yang istimewa buat warga kota. Ada unit yang dimilik dan tidak kurang pula untuk disewa.

Belum apa-apa lagi dah nak sewa masuk bilik!

Kamarul Izzat mengajak Nur Anita menyewa bilik di situ, tetapi gadis itu menolak. Dia enggan, sebenarnya. Adalah tidak masuk dek akal apabila baru sahaja bertunang dan tidak pun sampai seminggu sudah mahu duduk berdua-duaan di dalam bilik! Kesangsiannya menerjah.

“Err... kita jalan-jalan aja sudah la,” pujuk Nur Anita sambil merenung Izzat di sebelah.

Engin kereta sudah dimatikan, sedang Kamarul Izzat terdiam sambil benaknya ligat mencari akal. Dia mengetapkan bibirnya.

“Sekali aje! Kita duduk-duduk sambil bercerita,” Izzat cuba merengek. Wajah ayu tunangnya itu ditenung. Lembut. Sambil sesekali dia menelan liur keringnya... tidak tertahan melihat keayuan Nur Anita dengan bibir nipis berair serta pipi yang kemerahan halus kulitnya. Kali itu dia sudah tidak berani untuk mencapai tangan tunangnya. “Err... nanti boleh juga baring-baring.”

Nur Anita menggeleng. Perlahan sambil menjeling, kemudian dilemparkan pandangannya ke luar - pada suasana sunyi hening petang di samping deretan bangunan bertingkat-tingkat seperti kondo itu. Kawasan parkir keretanya penuh sambil di reception kelihatan agak sibuk dengan kakitangan.

“Nape?”

“Pada mulanya memang la sekali, tapi nanti akan melarat... jadi banyak kali.” Nur Anita bersuara sinis.

“Err... Nita tak caya ke?” Izzat semakin melembutkan suarannya. Manja.

“Takkan tak sudi kot!”

Nur Anita tersenyum tawar, kemudian menggeleng.

“Err... buat apa duduk dalam bilik... kat luar ni pun okey,” jelas Nur Anita sambil menghalakan pandangannya ke sekeliling - tanpa menjawab soalan tunang yang baru mulai rapat itu. “Tu haa... ada macam-macam pemandangan yang dapat dilihat.”

Izzat tidak terkata apa-apa. Dia mulai faham akan feel tunangannya itu, terutama apabila setiap kali Nur Anita menyatakan tidak.

“Hope... this is the last...,” Suaranya seakan-akan mendesak.

Nur Anita menjeling. Tajam.

Izzat mengalah juga akhirnya. Mereka hanya pergi berjalan-jalan melihat keadaan sekitar dan duduk berbual-bual di suatu penjuru dekat kawasan atas bukit itu. Ia terletak di bahagian hujung kawasan tersebut.

Sambil itu sempat juga beberapa ekor nyamuk dapat ditampar dan dibunuh oleh Nur Anita. Nyamuk senja yang keluar lebih awal datang menghurung. Ia mencari kulit gebu yang putih kekuningan itu.

Sambil itu dapat juga beberapa kali Izzat memegang tangan Nur Anita sambil mengusap-ngusapnya. Nur Anita tidak mengelak, tetapi riak di wajahnya jelas nampak tidak menyenangkan.

Izzat cuba mengusap dengan rasa nan asyik. Gaya erotiknya yang cuba dititipkan. Bahasa isyaratnya memaparkan. Ia seakan bertambah galak lalu Nur Anita mengelak lalu menarik tangannya. Dengan sengaja dicuba untuk mengalihkan perhatian Kamarul Izzat yang mulai nampak merah mukanya. Nafasnya seakan mengencang.

“Cantik sekali pemandangan di sini... berkabus bila petang menjelang,” ujar Nur Anita seakan-akan tidak mengerti. Dijeling tunangnya di sebelah.

Izzat sekadar mengangguk sambil mengetap bibirnya. Dia yang masih galak menelan liur keringnya cuba rapat. Dicapai tangan Nur Anita lagi.

Hati dan perasaannya nampak membuai dengan rasa asyik yang mendambakan, tetapi Nur Anita bertindak bijak. Dia cuba mengelak.

“Kenapa, Nita?” Izzat bersuara akhirnya. Sabarnya berada di penghujung.

Nur Anita tidak menjawab. Sebaliknya dia tunduk merenungi hujung kasut tumit tinggi Bruno Magli yang dipakai itu. Digoyang-goyangkan bahagian hujungnya bagaikan menurut kata hatinya juga, yang mengatakan tidak. Namun seperti sesuatu yang dirasakan masih asing serta prejudis yang masih tebal tetap tersemat kukuh di dalam hatinya.

Nur Anita mulai berasa sangsi terhadap lelaki di sebelahnya. Walaupun mereka telah sah bertunang, tetapi dia masih menyimpan satu rasa ragu yang galak untuk bersarang.

Namun dia tetap tidak sampai hati untuk menyatakannya.

Sebenarnya, Kamarul Izzat, pemuda licik dari Kampung Tanjung dekat Simpang Pulai itu bukanlah pilihan yang mutlak. Lelaki itu cuma orang ketiga yang baru sahaja hadir dalam hidupnya. Dia terdesak dan mungkin tersilap kerana menyatakan persetujuan. Sedangkan dia telah pun mempunyai lain pilihan. Mungkin mereka itu yang terlebih baik.

Malah dia dapat merasakan bahawa mereka itu lebih menyayanginya. Lantaran dia lebih mengenali hati budi mereka berbanding dengan lelaki rakus yang sedang duduk di sebelahnya itu.

Dia menggeleng, sambil bibirnya berdecit. Matanya sedikit dipejamkan, kemudian menarik nafas dalam lalu dilepaskannya perlahan.

“Why?” Lelaki itu segera menoleh.

Suasana terus sepi, hening sekali.



NUR ANITA telah mengenali Roy sejak di sekolah menengah lagi. Ketika itu dia bersekolah di Ipoh. Mereka belajar di sekolah yang sama - berdua ke makmal, makan di kantin dan apabila ke padang jika ada sukan, mereka ikut di tepi padang memeriahkan.

Kemudian apabila tamat persekolah, Roy terus bekerja. Bukan kelulusannya tidak baik, malah ada tawaran pun untuk masuk ke universiti, tetapi disebabkan oleh tanggungan terhadap adik-adik yang masih membelenggu.

Abangnya yang tua telah berumahtangga dan punya tangggungjawab sendiri. Dia turut mempunyai seorang kakak, pun telah berumahtangga juga. Sedangkan Roy masih punya tiga orang adik yang masih bersekolah. Jadi beban tanggungan itu terletak di atas bahunya. Jadi, dia terpaksa menangguhkan hasratnya untuk terus belajar, apatah pula untuk berumahtangga.

“Kalau kau ada pilihan yang lain... jangan la tunggu, Nita,” bisiknya sambil cuba mengelak agar mata tidak bertentangan. “Tanggungan I masih berat....”

Nur Anita hanya memerhatikan lelaki yang berbadan kemas, tinggi siap dengan renungan mata yang tajam dan mengasyikkan itu tanpa terkata apa-apa. Lidahnya kelu, mulut hanya mampu membisu.

“Kalau ayah masih ada... lain juga la,” jelasnya lagi.

Begitu juga dengan Jeff yang beria-ia mahu Nur Anita berjanji agar tidak meninggalkannya. Setiap kali menulis, dia akan memberitahu tentang wang simpanannya. Ia masih belum cukup untuk masuk meminang anak orang, katanya.

Cuma dalam hal seperti itu tentunya Kamarul Izzat yang lebih cekap dan pantas memintas. Tanpa banyak bicara dia meminta persetujuan Nur Anita selepas berkenalan tidak pun sampai enam bulan. Sarah, sepupunya yang menggalakkan. Sarah yang kenal benar akan isi hati Nur Anita; dan paling malang dia berasakan jika gadis semulia dan secantik Nur Anita itu jatuh ke tangan orang lain. Jauh lebih malang jika jatuh ke tangan lelaki berhidung belang.

Kamarul Izzat segera masuk meminang dan ibu bapa Nur Anita pula tanpa banyak kerenah sedia menerima. Puncanya, apabila Kamarul Izzat yang kerap mendesak dan membentak juga membuatkan Nur Anita sering serba salah. Dia akhirnya bersetuju. Itupun dia percaya bahawa tempoh bertunang adalah masa untuk mengenali hati budi pasangan masing-masing.

Jika ada kesesuaian ia boleh diteruskan. Begitu juga sebaliknya.

Namun Nur Anita sering berharap agar ia tidak akan berpanjangan.... Itulah bisik di hati kecilnya.

Jadi, dalam tempoh bertunang itu Nur Anita akan menghadapi beban yang amat berat. Dia harus memupuk rasa suka terhadap lelaki yang bakal menjadi suaminya itu. Malah sejak tarikh tersebut dia masih berusaha gigih untuk menumpukan perhatian terhadap Kamarul Izzat seorang.

Mungkin disebabkan pertunangan yang masih terlalu baru, jadi Nurul Anita sering gagal.

Roy dan Jeff juga yang lebih menarik hati dan perhatiannya. Terkadang-kadang dia yang rasa bersalah terhadap mereka. Kenapa harus dia yang bertindak serakah? Sementelah mereka masih belum tahu duduk perkara dan apa yang telah berlaku? Kedua-duanya masih belum tahu tentang majlis pertunangan yang telah pun berlangsung itu.

“Jom kita balik,” Nur Anita bersuara lembut.

Kamarul Izzat mengetap bibirnya cuba mengawal diri yang sejak dari mula resah gelisah. Dia masih asyik dengan liur keringnya itu - berdegup-degup telan yang tidak lepas. Sambil duduknya rapat sekali dan masih cuba-cuba untuk mencapai tangan tunangnya.

“Err... ayah dah pesan balik cepat”.

Nurul Anita pun bimbang sebab senja sudah semakin menjelang. Keadaan serta suasana di tempat tersebut nampak terlalu asing buat pasangan baru sepertinya. Nur Anita bangun sambil merongkai tangannya yang digenggam erat.

“Err... tak baik. Dosa.” tegas Nurul Anita. Serius.

Dia segera berjalan menuju kereta, sementara Kamarul Izzat tinggal longlai mengekorinya dari belakang. Dia masih keberatan. Sedang Nur Anita menoleh sambil memerhatikan gelagat lelaki yang selalu dicap lambat matang.

Diperhatikannya gelagat Kamarul Izzat sambil tersenyum, kemudian menggeleng. Dengan malas lelaki itu masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjinnya. Mereka harus beransur pulang di kala Izzat sudah tidak banyak bersuara dibalut oleh rasa kecewa yang mencengkam.

Bibirnya berdecit kemudian menggeleng. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil melepaskannya perlahan.

“Kenapa?” Nur Anita menegur sambil menjeling.

Kamarul Izzat tidak menjawab. Dia bungkam.

Dan masing-masing melayani lamunan sendiri di sepanjang perjalanan itu. Bukit Tinggi yang penuh dengan peristiwa itu ditinggalkan, buat sementara.



MOHD Rasyidi Duni menelefon ketika Nur Anita sedang berkemas dalam bilik. Abang Leman, iaitu abangnya yang kedua menjawab panggilan. Memang sejak mereka kenal, Roy sebagai nama timang-timangannya jarang sekali menelefon. Pada hari itu menurut katanya dia baru seminggu pulang bercuti.

Dia bekerja di pelantar gerudi minyak di Duyong 3 dekat luar pantai negeri Terengganu.

“Sekarang ada kat Ipoh ni... dah dua hari balik tengok mak dengan adik-adik,” jelas Roy dengan suara yang galak dan ceria. Begitulah dia setiap kali dapat berbual-bual dengan temannya itu. Dia tidak pernah memaparkan rasa sedih atau bermurung. Katanya, dia memang tidak suka Nur Anita berkongsi kedukaan orang lain. Dia mahu Nur Anita sentiasa gembira dan ceria.

“Err. ada kat Manjoi la ni!” Nur Anita cuba meneka.

“Haa... argh! Kat Manjoi... baru la dapat rasa masakan mak bila balik ke sini.”

Nur Anita dapat merasakan kerinduan temannya itu. Demikian sifat semulajadi Roy yang cukup mengambil berat akan keluarganya. Pasti entah apalah yang dibeli dari pasar buat ibunya memasak. Pastinya kepala ikan jenahak untuk masak gulai! Dia tahu Roy teramat sukakan gelambir di bawah dagu dan pipi ikan tersebut.

“Masakan ni pun ikut serasi tangan orang juga. Resepinya mungkin sama, tapi lain orang lain pula cara adunannya...,” Nur Anita pernah mengulas.

“Betul la cakap you tu, Nita. Puas mak ajar masakan kegemaran I, tapi bila masak sendiri kat pelantar huhh... entah apa-apa je rasanya!”

“Err... tangan dan sifat keras orang lelaki manakan nak sama? Keserasiannya tak ada....”

“Yeah la... kalau Nita yang masak tentu sedap, kan!” Roy menduga sambil melunakkan suaranya.
“Mmm... ‘ntah!”

Hatinya terusik mendengar ketulusan itu.

“Err... lagi dua hari I akan turun ke sana,” jelas Roy dengan suara yang ceria tanpa sangsi dan curiga. “Err... kalau dapat, rasa-rasanya I teringin nak jumpa Nita. Boleh!”

Nur Anita tersentak. Dia serba salah, lantaran hatinya tidak tergamak untuk mengatakan tidak. Memang sejak dua tahun sebelum itu, sejak Roy bekerja di pelantar Nur Anita tidak pernah menolak permintaan bekas teman sekolahnya itu. Mereka biasa pergi keluar menonton wayang atau melihat persembahan di mana-mana tempat yang sesuai apabila berpeluang. Mereka pernah juga pernah melihat persembahan teater di Istana Budaya. Lantaran jiwa mereka sama, peminat teater.

Dalam pada itu Nur Anita tidak sanggup untuk memberi tahu tentang status dan keadaan dirinya. Dia tidak tergamak untuk menyampaikan berita pertunangannya. Nur Anita tidak sampai hati untuk mengusik perasaan temannya. Walaupun Roy tidak pernah menyatakan hasrat hatinya, tetapi sejak bersekolah di Ipoh lagi mereka memang telah berkawan rapat. Roy begitu mengambil berat tentang dirinya sehinggalah mereka tamat pengajian di sekolah menengah. Kemudian Roy mendapat kerja di pelantar gerudi minyak nun di tengah lautan di Laut China Selatan.

Nur Anita percaya Roy sanggup untuk tidak meneruskan persekolahannya walaupun dia layak untuk masuk ke mana-mana pusat pengajian. Roy berusaha mencari wang untuk menanggung persekolah adik-adiknya di samping untuk membuat persiapan. Dia ingin mengumpulkan wang secepat mungkin dan bersiap-siap untuk masuk meminang.

Nur Anita pun tahu akan perasaan temannya itu sejak mula. Cuma sikapnya sahaja yang terkadang-kadang membuatkannya seakan-akan harap, tetaspi percayanya tidak!

Roy sering tidak mahu ambil hirau, terutama apabila berada jauh di luar pantai. Hanya sesekali dia menulis surat kerana di pelantar agak sukar untuk menggunakan telefon. Dia sukar menelefon Nur Anita di rumah. Cuma apabila pulang ke darat baru mereka berkesempatan dan dapat bertemu. Dapatlah Nur Anita peluang untuk pergi berjalan-jalan.

Setakat itu. Pun hanya sekitar enam bulan sekali!

Kini fikirannya buntu. Apa yang hendak dicakapkan kepada Roy nanti?

Patutkah dia berterus-terang tentang kedudukan dan statusnya itu? Patutkah Nur Anita memberitahu tentang rombongan peminangan Kamarul Izzat, seorang pemuda dari Ipoh yang mungkin Roy kenali juga?

Dia menggeleng sambil sesekali diamuk rasa cemas. Cemas apabila mengenangkan Roy dan Kamarul Izzat datang dari tempat yang sama. Ipoh.

Bibirnya berdecit.

Namun jauh di sudut hatinya jelas rasa tidak sanggup untuk mengusik apatah lagi melukakan hati temannya itu. Kemudian dengan tidak semena-mena timbul rasa kesal yang tidak terkira atas apa yang telah terjadi?

Dia kesal kerana terlalu gopoh dan bodoh!

Pun begitu dia harus bertindak bijak agar peristiwa yang berlaku itu tidak dapat dihidu oleh Roy. Sekurang-kurangnya untuk beberapa hari itu; sementara teman itu menghabiskan cutinya seminggu. Yeah... cuma ada beberapa hari sahaja lagi.

Jadi Nur Anita hanya dapat memberitahu Roy supaya menelefon sahaja apabila tiba nanti di ibu kota. Dia akan berusaha untuk pergi menemuinya. Lagi pun sudah lebih daripada enam bulan Nur Anita tidak menemui kawan lamanya itu. Itupun kira-kira seminggu sebelum dia menemui Kamarul Izzat buat kali yang pertama di majlis harijadi di Kampung Tanjung.

Bila difikir-fikirkan terasa juga bebalnya Nur Anita. Kenapa dia tidak mendapatkan kata putus daripada Roy terlebih dahulu? Mengapa dia harus menerima pinangan Kamarul Izzat dengan cara mendadak? Sedangkan dia masih tidak pasti. Dia pun masih tidak begitu mengenali tunangannya itu. Kamarul Izzat masing juga asing buat dirinya.

Secara jujur, hatinya membisik yang dia lebih tertarik kepada anak muda yang berada jauh di pelantar minyak. Roy, temannya yang paling awal... dari kalangan lelaki yang dikenali hati dan budinya.

“Kenapa ya boleh jadi gitu?” seru Pak Jali. “Sepatutnya, Arab mesti la jadi pembela agama Islam yang syumul ni. Sebab ia turun di sana... Nabi pun dari kalangan bangsa mereka.”
0 Responses