Elias Hj Idris
Oleh: musrights (TKO)



Sepintas lalu berkenaan;
~suasana hati mutmainnah ~suasana hati rodhiah ~suasana hati mardhiah


dengan merujuk kepada ayat;

*Wahai jiwa yang telah mencapai ketenteraman
*Kembalilah kepada Tuhanmu, dalam keadaan redho dan diredhoi
*Maka masuklah ke dalam golongan hamba2-Ku
*Dan masuklah ke dalam syurga-Ku


"Wahai jiwa yang telah mencapai ketenteraman"

SUASANA HATI - Nafsu Mutmainnah; ini adalah kunci kepada martabat-martabat nafsu yang seterusnya.


*

*ALlah berfirman; "Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya." (Al-Ahzab:41)

*"Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring." (Ali-Imran:191)

*"Apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, hendaklah kamu ingat akan Allah waktu berdiri dan duduk dan berbaring" (An-Nisa’:103)

*"Dan ingatlah Tuhanmu di dalam hatimu serta merendahkan diri dan takut, dan bukan dengan suara yang keras, ketika pagi dan petang dan jangan kamu termasuk orang-orang yang lalai." (Al-A’raf:205)

Apa yang tersebut di atas tadi, ialah kata-kata ALlah berkenaan peri pentingnya "ZIKRULLAH" @ Melayunya; "mengingati ALlah" sebagai kunci kepada martabat NAFSU MUTMAINNAH.

MUTMAINNAH - Melayunya; iaitu "jiwa yang aman-tenteram"


Penuhnya 'mutmainnah' itu adalah penuhnya zikrullah pada diri insan; iaitu penuhnya diri itu 'mengingati ALlah'. Maksud penuh itu, tiada ruang sedikit pun hati itu daripada mengingat yang lain kecuali Allah semata-mata.

Jiwa yang aman-tenteram @ 'mutmainnah' itu, suasana hatinya;
~tiada bisikan syaitan;
~tiada bisikan jin;
~hatinya tidak berbisik-bisik akan perkatan yang sia-sia apatah lagi dengan mencaci-mencela.
~hatinya sentiasa 'zikrullah'.. [Melayunya; "mengingat ALlah"].. "ALlah Hu... ALlah Huu... ALlah Huu... ALlah Huu... terus menerus tanpa henti" dalam jaga mahupun dalam tidur malah dalam mimpi sekalipun.

Jika hatinya aman-tenteram, iaitu hakikat jiwa MUTMAINNAH;
*sudah tentulah aQalnya juga aman-tenteram daripada sesuatu yang kurang (kurang-aQal - sakit mental - kecelaruan fikiran; iaitu kusut, serabut dsbnya).
*sudah tentulah mulutnya juga aman daripada menuturkan perkataan yang sia-sia apatah lagi yang tercela..
*sudah tentulah matanya juga aman-tenteram daripada penglihatan yang membawa kepada hati yang cela.
*sudah tentu telinganya juga aman-tenteram daripada mendengar perkataan-perkataan dan suara yang membawa kepada hati yang cela.
*sudah tentu juga perbuatannya aman-tenteram daripada melakukan sesuatu yang sia-sia apatah lagi yang tercela..
*sudah tentulah akhlaknya juga akhlak yang mulia sahaja, iaitu akhlak yang terpuji.. aman-tenteram daripada akhlak yang tercela..
*sudah tentulah diri ampunya yang sentiasa "MENGINGAT ALLAH @ Zikrullah" itu, aman-tenteram daripada gangguan anasir luar, sama ada daripada makhluk yang zohir mahupun makhluk yang ghoib... serta kejadian-kejadian yang mengakibatkan diri ampunya yang sentiasa "Zikrullah" itu menjadi celaka.
*sudah tentu juga, sesiapa yg didekati oleh ampunya diri yang sentiasa “Mengingat Allah” itu... mahupun sesiapa yang mendekatinya juga akan merasa aman sejahtera dengannya.

Jelaslah bahawa inilah yang dikatakan "MUTMAINNAH". Barangsiapa yang telah menemukan suasana hati yang begini maka berbahagialah dia; sesungguhnya telah aman dirinya... amanlah juga di hatinya; aman fikirannya maka aman jasadnya dan amanlah ROHnya..

Dalam hal ini jasad dan roh si empunya diri yang sentiasa “Mengingat Allah” itu, telah kamil. Jasadnya telah ‘kamil’ dengan pekerjaan roh... Pekerjaan roh itu adalah pekerjaan Allah. Roh itu tidak pernah engkar dengan arahan dan sentiasa menurut sunnatullah... Sunnatullah itu adalah pekerjaannya - di sini bererti bahawa Insan Kamil sentiasa berada di bawah naungan Allah.

Begitu juga jika diperhatikan sekalian alam ini di mana setiap makhluk itu sentiasa patuh dengan sunnatullah dan sunnatullah itu adalah pekerjaan mereka kecuali jin dan manusia - di mana mereka sentiasa engkar kecuali hanya sedikit yang patuh dengan sunnatullah.

“...mu ingat AKU, AKU ingatmu... mu telah aman”


"Kembalilah kepada Tuhanmu, dalam keadaan redho"

SUASANA HATI - Nafsu RODHIAH.

Kembali kepada Tuhanmu
~memberi maksud kembalikan jasad-mu... kembalikan perbuatan-mu... kembalikan perasaanmu... kembalikan seluruh dirimu zahir-batinmu kepada Tuhanmu.
~Tiadalah yang melihat ini melainkan hanya Tuhanku.
~Tiada yang berkata-kata ini melainkan hanya Tuhanku.
~Tiada yang mendengar ini melainkan hanya Tuhanku.
~Tiada daya dan tiada upaya melainkan hanya Tuhanku.
~Tiadalah batinku ini melainkan hanya Tuhanku.
~Tiadalah Zahirku ini melainkan hanya Tuhanku.

Diri sesungguhnya tiada punya apa-apa; apa-apa pun ku tak punya;
~tiada punya jasad... yang empunya jasad adalah Tuhanku.
~tiada punya roh... yang empunya roh adalah Tuhanku.
~tiada punya kehendak... yang empunya kehendak hanya Tuhanku.
~tiada punya zat... yang empunya zat itu adalah Tuhanku.
~tiada punya sifat... yang empunya sifat itu adalah Tuhanku.
~tiada punya nama [Asma’]... yang empunya Nama itu adalah Tuhanku.
~tiada punya perbuatan [Af’al]... yang empunya perbuatan itu adalah Tuhanku.

Jadi dengan terus-menerus “Mengingati ALlah” [@Zikrullah] maka tenggelam, larut dan kamillah  di dalam lautan ‘Mengingati ALlah’ itu secara aman-tenteram zahir dan batinnya; redholah sepenuh-sepenuhnya hati dan perasaan... merasa kepuasan akan penyerahan diri itu sehingga dirinya ‘BINASA’ sepenuhnya - ‘TOTAL BINASA’... di mana yang ada hanya Tuhannya semata-mata.

Maka dalam suasana inilah maka martabat nafsu MUTMAINNAH telah meningkat naik kepada  martabat nafsu ‘RODHIAH’.

"Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redho"

Sebenarnya, bukanlah mudah untuk mencapai suasana hati seperti ini;
~sudah tiada ketakutan yang empunya diri yang sentiasa “Mengingati ALlah” itu kepada segala makhluk; 
~sudah tiada ketakutan yang empunya diri yang sentiasa “Mengingati ALlah” itu kepada segala perasaan, kesusahan, kesedihan, kelupaan, kesakitan malah penderitaan dan segala bentuk perasaan.

Di sinilah bermulanya mudah baginya akan segala urusan agama; sentiasa menta’ati perintah ALlah dan segala peraturan sunnatullah.


“...mu telah kembali kepada AKU, tiadamu hanya AKU... mu telah redho”

"Dan diredhoi"

SUASANA HATI - Nafsu MARDHIAH.


Setelah si empunya diri yang sentiasa ‘Mengingati ALlah’ ini kembali kepada Tuhannya dengan sepenuh keredho’an sepuas-puasnya lalu si empunya diri yang sentiasa ‘Mengingati ALlah’ itu dapat mengenal ROH-nya... dengan zikir-zikir khusus tambahan yang diberi kepadanya oleh guru pembimbing... mengenallah dia kepada ROH.

Pengenalan kepada ROH itu, maka bermulalah perjalanan ROH ke alam-alam yang tinggi. Alam-alam ROH tinggi ini dikenali sebagai Alam Cahaya atas Cahaya.

Bermula dengan alam ROH kehidupan @ Alam Nyawa @ Alam Nafas lalu ia terbang ke alam ROH Rohani.

Alam ROH Rohani itu, adalah alam cahaya - alam Malaikat... ALAM AF’AL.
Alam Malaikat ini akan terbukalah pengetahuan jalan-jalan rohani... perjalanan ROH yang sepantas cahaya - ia terbang tinggi hingga ke alam ROH SULTAN.

Alam ROH SULTAN itu adalah alam cahaya yang lebih tinggi, iaitu ALAM ASMA’.
Alam ROH SULTAN ini akan terbukalah pintu-pintu ma’rifatullah... ia terbang lebih tinggi hingga ke Alam ROHHul Quddus.

Alam ROHHul Quddus ini adalah alam cahaya yang lebih tinggi, iaitu alam SIFAT.
Alam ROHHul Quddus akan terbukalah dan kelihatanlah ‘Cahaya Wajah-KU di dalam alam kewujudan mutlak bagi Zat-KU’, akan terlihat lah ke-Esa-an ALlah iaitu kenyataan bagi ZAT ALlah..


Apakala sampai di sini si empunya diri yang sentiasa “Mengingati ALlah” [MUTMAINNAH], yang telah kembali kepada Tuhannya dengan sepenuh-penuh REDHO dan kepuasan itu [RODHIAH] setelah perjalanan kembara ROHnya menempuhi setiap alam maka berolehlah dia akan REDHO ALlah [MARDHIAH].

“... mu dan AKU adalah serupa, tiada beza; mu itu AKU, AKU adalah mu. AKU telah redho dengan mu.”

Maka masuklah ke dalam golongan hamba2-Ku.. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku

Setelah itu, diri si empunya yang sentiasa ‘Mengingati ALlah’ [MUTMAINNAH], yang telah kembali kepada Tuhannya dengan sepenuh-penuh REDHO dan kepuasan itu [RODHIAH] - yang telah beroleh REDHO ALlah [MARDHIAH] itu.. maka kembara ROHnya yang telah kembali kepada ZAT Yang Esa - pergi semula turun ke alam-alam ROH yang rendah... sehinggalah ke alam ROH Nyawa @ ROH Kehidupan @ Nafas.. kemudian zahir sebagai diri yang empunya itu.

Inilah yg nabi s.a.w sebut; “Aku [MUHAMMAD], AHMAD tanpa mim [AHAD]”... sesungguhnya MUHAMMAD itu diturunkan untuk ‘akhlak yang terpuji, iaitu MUHAMMAD yang mengenal dirinya... yang mengenal Tuhannya dan mengenal akan ALlah.

MUHAMMAD inilah yang sebenar-benar; “Hablum min ALlah.. hablum minan naas...”

Inilah yang dikatakana sebagai insan kamil-mukammil, iaitu insan yang mengkamilkan Jasad dan  ROH.. ROH dan Jasad... di mana Jasad tidak bercerai dengan ROH dan ROH pun tidak bercerai dengan Jasad; BATIN pun ALlah, ZAHIR pun ALlah.

Syurganya adalah syurga di dunia ini;
~Syurga yang tiada bidadari
~Syurga yang tiada mahkota dan singgahsana
~Syurga yang tiada istana
~Syurga yang tiada mengalir sungai-sungai susu di bawahnya
~Dalam syurga ini, hanya wajah ALlah sahaja yang asyik dipandang.

... Ini hanya sekadar sepintas lalu sahaja. Bagaimana situasi suasana hati yang sebenar, setiap kembara ROHANI pasti akan merasaianya beserta dengan segala Rahsia-rahsia-Nya.

Semoga semua beroleh manfaat... walaupun begitu guru mursyid adalah paling utama dicari supaya dapat membimbing jalan kembara ini. Wink
2 Responses
  1. ABS Says:

    Lama tak nampak tuan haji di TKO. Teman pun jarang ke sana sebulan dua nih.


  2. Dah tak ble nak log-in. Masalah kat komputer kot...