Elias Hj Idris
Kritikan pandangan dan kenyataan beliau dalam isu Uyghur dan China

SAYA
sungguh terkejut, sedih, dan kecewa membaca tulisan saudara se-Islam saya yang terkenal iaitu Ayman Rashdan Wong mengenai isu Uyghur dan rejim Komunis China.

Beliau bukan sahaja menentang perjuangan pembebasan umat Islam Uyghur, bahkan turut menjunjung tinggi kedaulatan rejim Komunis China yang jelas menindas agama dan umat Islam. 

Pokoknya terdapat tiga kesalahan besar dalam tulisan Ayman: Analisis geopolitik yang tidak lengkap, analisis rancangan rejim Komunis China yang tidak komprehensif, dan yang paling memberi kesan ialah analisis Sekular beliau yang terpisah dari sudut pandangan alam Islam (Tasawwur Islam).

Sebagai seorang penganalisis politik dan geopolitik, wajib bagi kita memberi data dan fakta lengkap mengenai tindak-tanduk rejim Komunis China dan juga perancangan geopolitik mereka di Timur dan juga di Barat.  Sebaliknya Ayman mempromosikan sudut pandangan Sekular yang bukan sahaja tidak lengkap, bahkan terpisah dengan pandangan alam (Tasawwur) Islam. 

Paling mengecewakan ialah apabila Ayman menulis bahawa kita tidak sepatutnya “mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman. Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja”.  Ayman juga menyebut bahawa kita hindari daripada “mensensasikan sentimen agama dan perkauman”. 

Kenyataan ini bukan sahaja bersifat Sekularisasi (secularization) ke atas pandangan politik umat Islam, tetapi juga bertentangan dengan seruan persaudaraan Islam.  Bahkan mempromosikan kebaculan yang sangat tidak sepatutnya.

Ketahuilah, sesungguhnya Islam menegaskan betapa seorang Muslim itu bersaudara, jika dicubit paha kanan, paha kiri terasa juga.  Apatah lagi jika ada umat Islam yang dikurung, dipaksa menukar akidah Islam kepada Komunisme, dipaksa berpisah daripada keluarga, diugut, dan dibunuh kerana cuba menegakkan Syariah Islam.  Bagaimana Ayman tergamak menyeru kita supaya “tidak mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman. Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja”?

Wajib untuk Ayman renungi Hadis Rasulullah ini:

“Perumpamaan kaum mukminin satu dengan yang lainnya dalam hal saling mencintai, saling menyayangi dan saling berlemah-lembut di antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota badan sakit, maka semua anggota badannya juga merasa demam dan tidak lena untuk tidur”

(HR. Bukhari dan Muslim)

Rasulullah S.A.W. juga bersabda;

“Hancurnya dunia lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang muslim”.

Malah, al-Quran jelas mengizinkan peperangan sekiranya umat Islam diperangi secara sistematik seperti mana di China saat ini:

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu, (yaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali karena mereka berkata: “Tuhan kami hanyalah Allah”.  (Al-Hajj: 39-40)

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”  (Al-Baqarah: 190)

“Dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya.”  (At-Taubah: 36)

Malah Allah memberi amaran kepada umat Islam agar jangan bersikap apologetik sekiranya mereka dan saudara mereka diperangi:

“Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosak sumpah (janjinya), padahal mereka telah keras kemahuannya untuk mengusir Rasul dan merekalah yang pertama mulai memerangi kamu? Mengapakah kamu takut kepada mereka padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”  (At-Taubah: 13)

Ayman mengatakan bahawa kita tidak sepatutnya “mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman. Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja”.  Kalau pun umat Islam Uyghur yang dibunuh, dipenjara, dipisahkan dari keluarga, dan diseksa dengan pelbagai cara oleh rejim Komunis di sana itu bukan saudara rapat beliau, namun mereka masih dianggap sebagai saudara seakidah, se-Islam.

Sekali lagi ditegaskan bahawa kenyataan Ayman supaya kita hindari daripada “mensensasikan sentimen agama dan perkauman” bukan sahaja bersifat Sekularisasi (Secularization) ke atas pandangan politik umat Islam, tetapi juga bertentangan dengan seruan persaudaraan Islam. 

Ayman juga bertindak membela ‘kedaulatan China’ sebagai keutamaan dalam tulisan beliau. Bukan sahaja hak umat Islam Uyghur untuk memperjuangkan kemerdekaan mereka diperkecilkan seolah-olah hanyalah perancangan dan menguntungkan Barat, Ayman juga lebih sensitif dengan ‘perasaan’ China jika kita menyokong kemerdekaan Turkistan Timur, berbanding perasaan jutaan umat Islam yang dibunuh, dipenjarakan, diseksa, dipisahkan dari keluarga secara besar-besaran semata-mata kerana enggan tunduk kepada doktrin Komunisme China.

Selain itu, Ayman juga mempromosikan kita agar mengambil ‘jalan tengah’ – jalan yang bertentangan dengan Islam dalam keadaan saudara seakidah kita di sana dibunuh, dipenjarakan, diseksa, dipisahkan dari keluarga secara besar-besaran semata-mata kerana enggan tunduk kepada doktrin Komunisme China.

Dalam menganalisis isu Uyghur, wajib bagi kita mendedahkan rancangan jangka panjang China untuk menjadi kuasa besar menjelang 2049.  Wajib kita mendedahkan rancangan China yang bertindak menguasai Wilayah Turkistan Timur yang asalnya majoriti umat Islam di mana peratusan umat Islam Uyghur telah dikurangkan dari 75 peratus pada 1953 kepada 46 peratus sahaja pada 2015.  Wajib bagi kita menilai juga tingkah-laku Imperialis China ala Zionis di Laut China Selatan. 

Ayman mengatakan bahawa kita tidak patut bersolidariti dengan perjuangan pemisah Uyghur China?  Tahukah Ayman bahawa China telah sejak beberapa tahun ini menjajah perairan kita dan juga Filipina dan Vietnam?  Ini semua fakta, bukan ‘konspirasi’ seperti mana yang dinyatakan dalam isi ke-58 tulisan Ayman.

Bahkan Ayman dalam isi ke-58 menuduh isu Uyghur sebagai “diapi-apikan lagi dengan dakwaan ada konspirasi China terhadap Muslim hanya merumitkan isu”. 

Sesungguhnya, usaha rejim China meng‘Komunis’kan umat Islam di sana bukanlah ‘konspirasi’, sebaliknya benar-benar berlaku.  Beliau boleh pergi sendiri berkunjung ke Turkistan Timur (yang dipanggil Xinjiang oleh China) dan saksikan sendiri berapa banyak kem tahanan yang kononnya ditubuhkan sebagai ‘kelas vokasional’.  ‘Kelas vokasional’ apanya jika ratusan ribu umat Islam dipaksa, disumbat ke sana dan tidak dibenarkan hidup bebas?

Ayman juga wajib saksikan sendiri betapa banyak masjid telah ditutup dan diruntuhkan secara bersistematik di seluruh China, bukannya hanya di Wilayah Turkistan Timur sahaja, bahkan juga masjid yang didirikan oleh umat Islam berketurunan Hui.

Tahukah Ayman, seorang ulamak yang paling dihormati dan terkenal dalam kalangan umat Islam Uyghur di China iaitu Muhammad Salih Hajim telah meninggal dunia selepas diseksa rejim Komunis. Beliau amat dihormati kerana menjadi ulamak pertama yang menterjemahkan al-Quran ke dalam Bahasa Uyghur.

Tahukah Ayman, ahli keluarga Muhammad Salih Hajim yang lain turut ditahan secara besar-besaran – termasuklah anak saudara beliau, Nurmemet Hajim yang pernah menuntut di Malaysia dan bekerja di pelbagai pejabat kedutaan.

Selain itu turut ditahan ialah anak perempuan Muhammad Salih Hajim iaitu Nezire Muhammad Salih (guru agama) dan Asiye Muhammad Salih (pensyarah universiti), anak lelaki beliau Nejip Muhammad Salih (petani), dan juga cucu lelaki beliau Imran Tuniyaz. Tidak ketinggalan, adik beliau iaitu Mehsud Abley Hajim dan isterinya Ayshemqiz turut ditahan manakala anak lelaki sulung mereka kini tinggal dalam buangan di luar negara.

Sebagai seorang Islam, wajib bagi kita mengikuti panduan al-Quran dan Hadis dalam memacu segala tindakan dan analisis kita – bukannya menyuruh umat Islam tidak “mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman. Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja”.

Apatah lagi dalam keadaan analisis kita itu melibatkan nyawa, keselamatan, hak beribadah, dan juga hak saudara Uyghur dan Hui kita di China untuk hidup sebagai manusia dan mengamalkan agama Islam.

Ayman ada menulis bahawa “Kena ada siasatan impartial dari pihak PBB”.  Bagaimana boleh PBB diharapkan untuk buat siasatan jika kita dalam masa yang sama mengangkat ‘kedaulatan’ rejim Komunis itu?

Menurut Ayman dalam isi ke-48 beliau, isu Uyghur “Cuma isu diperalatkan untuk agenda geopolitik. Negara perlu berhati-hati supaya tidak terjebak dalam usaha untuk mengabsahkan gerakan kemerdekaan”.  Pandangan ini telah disangkal oleh Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Mukhriz Mat Rus.

Menurut Dr. Mukhriz Mat Rus, “Masalah saya dengan tulisan ini adalah kegagalan Sdr. Ayman Rashdan Wong mempertimbangkan hak ‘self-determination’ (DBP: Penentuan nasib sendiri) yang diiktiraf Undang-undang Antarabangsa. Maka kita dapat lihat kecenderungannya menjadikan gerakan menuntut kemerdekaan sebagai suatu yang keji. ‘Separatist’ dilihat sebagai ‘pengganas’ yang tak layak lansung disokong oleh sesiapa pun. Inilah naratif yang diulang-ulang China, ‘melawan terrorisme’. Sedangkan ‘separatist’ tidak semestinya pengganas, tidak semestinya mengangkat senjata. Apakah semua orang Scottish dan Irish pengganas kerana ingin keluar dari UK?”

Menurut Dr. Mukhriz lagi, “kita perlu skeptikal tehadap maklumat dari Barat, tapi pada masa yang sama, waspada juga apabila menerima maklumat dari China mengenai jumlah ‘serangan-serangan terrorist‘ yang dikatakan didalangi penuntut kemerdekaan. Ingat, Parti Komunis China (CPC) bukan baru semalam belajar propaganda”.

Kesalahan berikutnya apabila Ayman Rashdan dalam isi ke-49 beliau menyempitkan isu Uyghur hanya kepada dua – binari – menurut beliau, “kita kena bezakan bersolidariti atas kemanusiaan dan menyokong gerakan East Turkestan”.

Tiada salah sama sekali untuk umat Islam menyokong gerakan separatis Turkistan Timur. Seperti mana penegasan Dr. Mukhriz, umat Islam di Uyghur – yang secara sistematik dikurangkan dari segi demografi mereka oleh rejim Komunis China – sememangnya berhak untuk merdeka.

Lebih mengecewakan ialah hakikat bahawa Ayman menyedari betapa rejim Komunis hari ini ada menindas umat Islam seperti mana dalam isi ke-32 “Ada juga beberapa langkah ‘de-radicalization’ Xi yang kontroversial seperti ‘Kempen anti-Halal’ sebab Kerajaan Xi melihat ‘halal’ ini sebagai tanda Islam radikal. Undang-undang De-Radicalization yang dikeluarkan pada tahun 2017 ada sebut “泛化清真” (fan hua qing zhen) iaitu mengaplikasikan konsep halal selain untuk tujuan makanan adalah dilarang (Artikel 2.6). Muslimah dilarang pakai burqa kerana itu tanda radikal (Artikel 2.7). Lelaki dilarang menyimpan janggut di ‘luar kebiasaan’ (非正常蓄须 / fei zheng chang xu xu – Artikel 2.8)”.  Namun Ayman masih memilih untuk menjunjung tinggi ‘kedaulatan China’, lebih daripada nasib umat Islam yang ditindas secara bersistematik.

Turut mendukacitakan ialah kenyataan Ayman dalam isi ke-36 “Susulan daripada, pelbagai cerita horror mengenai kekejaman yang berlaku di dalam re-education camp mula memenuhi media antarabangsa. Ada yang sahih, ada yang boleh diragui. Ada yang pakai gambar ahli Falun Gong kena seksa, tapi letak tajuk kesengsaraan Uyghur”.  Sepatutnya beliau mengutamakan untuk mengecam cerita ‘horror yang sahih’, sebaliknya beliau bertindak meminta kita “tidak mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman” dan “Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja”.

Dalam isi ke-50, Ayman seolah-olah memperkecilkan jenayah rejim Komunis China ke atas saudara se-Islam dengan kenyataan “Benda ini universal, terpakai untuk Uyghur, terpakai untuk Tibet, terpakai untuk Cina Han. Kisah kena electric shock dan tuai organ sudah lama dilaporkan di kalangan penganut Falun Gong yang diharamkan pada tahun 1999. Pengikut Falun Gong kebanyakan ialah Orang Han. Benda ini juga berlaku kepada separatis Tibet. Malah laporan McDougall juga ada sebut Mongol dan Tibet”. 

Habis?  Bukankah wajib bagi kita umat Islam mengecam sekeras-kerasnya sebarang kezaliman ke atas saudara kita dan juga kezaliman ke atas bangsa-bangsa yang lain?  Maka mengapa Ayman sebaliknya memilih untuk menegaskan “benda ini universal” dan “tidak mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman” serta “Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja”?  Mengapa Ayman memilih untuk mengutamakan kedaulatan China berbanding mengecam kezaliman China?

Dalam isi ke-59, Ayman menulis “Walaupun layanan China terhadap Uyghur teruk, tapi China ialah penyokong teguh Palestin dan Muslim di Kashmir”.  Ini ialah bacaan geopolitik yang agak sempit.

Sebagai kuasa besar yang ada kepentingan dengan negara-negara Islam dan negara Arab, sedang dalam masa yang sama cuba mencabar Amerika dan India, tentulah China akan mengambil kedua-dua langkah ini.  Maka mengapa harus kita umat Islam tidak mengecam kezaliman China ke atas saudara kita hanya semata-mata kerana sokongan retorik China kepada Palestin dan Kashmir?  Kita tidak perlu terhutang budi dengan sokongan China kepada Palestin dan Kashmir sama sekali.

Dalam isi ke-51 hingga ke-56, Ayman menulis “Isu kedua melibatkan kedaulatan (‘sovereignty’) China ke atas Xinjiang”… “Selain Turki, markas utama separatis Uyghur ialah US dan Jepun. Jepun menyokong gerakan East Turkestan sejak 1930-an lagi, dengan cita-cita menjadikan East Turkestan sebagai ‘Manchukuo’ di Asia Tengah (Manchukuo ialah negara boneka Jepun di Manchuria yang digunakan untuk memperluaskan kepentingan Jepun). Rebiya Kadeer ada kabel kuat di Jepun. Uyghur menjadi satu bidak penting dalam percaturan US-Jepun terhadap China”.

Jadi? Sebagai umat Islam tentulah kita wajib menyokong segala usaha untuk meruntuhkan kedua-dua hegemoni Barat dan juga China – bahkan memanfaatkan persaingan antara mereka satu sama lain.

Tahukah Ayman bahawa China hari ini mampu membina ‘electromagnetic railgun’ mereka sendiri?  Mengapa kita harus mengizinkan China terus bangkit sebagai kuasa dunia dalam keadaan menzalimi umat Islam dengan selesa tanpa bantahan besar-besaran?

Tahukah Ayman bahawa China hari ini mampu membina kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) mereka sendiri? Mengapa kita harus mengizinkan China terus bangkit sebagai kuasa dunia dalam keadaan menzalimi umat Islam dengan selesa tanpa bantahan besar-besaran?

Tahukah Ayman bahawa China hari ini mampu membina pesawat pejuang generasi kelima Chengdu J-20 mereka sendiri? Mengapa kita harus mengizinkan China terus bangkit sebagai kuasa dunia dalam keadaan menzalimi umat Islam dengan selesa tanpa bantahan besar-besaran?

Tahukah Ayman bahawa China hari ini mampu membina hypersonic glide vehicle DF-17 mereka sendiri? Mengapa kita harus mengizinkan China terus bangkit sebagai kuasa dunia dalam keadaan menzalimi umat Islam dengan selesa tanpa bantahan besar-besaran?

Tahukah Ayman bahawa China hari ini sedang membina Industri Kecerdasan Buatan (AI) mereka sendiri menjelang 2030? Mengapa kita harus mengizinkan China terus bangkit sebagai kuasa dunia dalam keadaan menzalimi umat Islam dengan selesa tanpa bantahan besar-besaran?

Tahukah Ayman mengenai pencerobohan berterusan China ke atas perairan kita sejak 2013?  Malah rejim Komunis itu tidak segan silu melakukan latihan ketenteraan unilateral dalam wilayah kita. Terbaru Kapal Peronda Pengawal Pantai China (CCG) di kawasan blok penggalian Minyak dan Gas SK308, Beting Patinggi Ali (South Luconia Shoal)?

Blok berkenaan ialah lokasi di mana terdapatnya Platform Sapura Esperanza yang merupakan milik Syarikat Malaysia iaitu Sapura Energy yang sedang menjalankan proses penggalian medan gas asli F14 milik Shell Sarawak.

Tahukah Ayman bahawa Kapal Pengawal Pantai China itu tidak bersendirian sebaliknya turut mengiringi Haiyang Dizhi 8 yang merupakan kapal hidrografi milik China?

Kedua-dua kapal berkenaan jelas bukan sahaja mengganggu proses penggalian minyak dan gas syarikat milik Malaysia, malah turut mencabuli kedaulatan negara kita dengan bertindak melakukan kerja pengukuran untuk penggalian minyak dan gas di dalam wilayah perairan milik kita.

Tahukah Ayman bahawa Portal ketenteraan seperti Malaysia Defence Review dan Malaysia Military Power, serta portal pemerhati antarabangsa Asian Maritime Transparency melaporkan bahawa kapal Pengawal Pantai China itu bukan sahaja menceroboh wilayah perairan Malaysia, tetapi juga wilayah perairan Vietnam? 

Mujurlah, kapal China iaitu Haijing 37111 itu dilaporkan meninggalkan kawasan Blok SK308 milik kita susulan kehadiran Kapal TLDM – menggamit insiden pertembungan kapal pengawal pantai China dengan Kapal Kelas Kedah TLDM pada 2015 yang lalu.

Tahukah Ayman bahawa pada awal Julai lalu – buat pertama kalinya, Pentagon melaporkan bahawa China telah menembak peluru berpandu dalam latihan ketenteraan di dua kawasan berbeza di Laut China Selatan?

Tahukah Ayman bahawa tembakan peluru berpandu yang digelar sebagai ‘pembunuh kapal pengangkut pesawat udara’ itu didakwa dilakukan di Utara Kepulauan Paracels dan juga Utara Kepulauan Spratly?

Tahukah Ayman bahawa tindakan Beijing ini bertentangan dengan janji Presiden China, Xi Jinping pada September 2015 kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu iaitu Barack Obama bahawa China tidak akan menjadikan Laut China Selatan sebagai wilayah persaingan ketenteraan?  Tidakkah ini sahaja sudah cukup untuk menunjukkan betapa China ialah kuasa besar yang tidak boleh dipercayai sama sekali?

Tahukah Ayman mengenai ‘penembusan China’ ke dalam sektor teknologi dan ketenteraan Amerika?

Tahukah Ayman mengenai laporan Bloomberg yang bertajuk ‘The Big Hack: How China Used a Tiny Chip to Infiltrate US Companies’? Laporan itu memperincikan bahawa data menunjukkan pihak risikan China kini menerobosi hampir 30 syarikat Amerika – termasuklah Amazon dan Apple.

Tahukah Ayman mengenai penyusupan China melalui mikrocip yang dipasang ke dalam perkakas yang dikeluarkan di Amerika, pihak China berupaya untuk mengawal gear komputer yang menggunakan perkakas tersebut – bahkan melibatkan Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA)?

Tahukah Ayman mengenai Laporan Pentagon yang mendedahkan risiko bekalan peralatan ketenteraan Amerika di tangan China sejak 2017 lagi? Laporan tersebut menunjukkan bahawa bekalan dari China sahaja dinyatakan sebanyak 230 kali.

Malah, China merupakan pembekal tunggal bagi sebahagian bahan kimia yang diperlukan untuk menghasilkan peluru dan peluru berpandu Amerika, di samping kebergantungan Amerika ke atas bekalan sel dan panel solar China untuk pesawat perang mereka.

Faktor campur tangan ‘China’ juga menjadi-jadi dalam menentukan peralihan kuasa beberapa rejim di Asia.

Contohnya di sebuah negara Islam iaitu Maldives.  Ramai yang tidak menyedari bahawa Maldives – di sebalik reputasinya yang terkenal sebagai destinasi pelancongan – sebenarnya sejak sekian lama telah menjadi sasaran orbit Inisiatif ‘Belt and Road’ Beijing.

Secara keseluruhannya, Maldives telah berhutang sekitar US$1.3 bilion dengan China di mana menurut bekas Presiden Maldives yang tinggal dalam buangan, Mohamed Nasheed, 80 peratus daripada keseluruhan hutang Maldives adalah dengan China.

Kemuncaknya, Maldives telah mengizinkan tiga kapal perang China untuk berlabuh di Male pada Ogos 2017 sedang dalam masa yang sama, Maldives menolak sama sekali jemputan latihan tentera laut India.

Dengan pendedahan bahawa 16 pulau kecil Maldives telah dipajak kepada China serta pelbagai langkah penangkapan besar-besaran kepada ahli politik pembangkang, akibatnya Kerajaan Abdulla Yameen ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Presiden 2018.

Dalam kes Sri Lanka, campur tangan China cukup jelas; menjelang Pilihan Raya 2015, Duta China melobi secara terbuka hingga ke padang golf demi memenangkan bekas Presiden Mahinda Rajapaksa yang menandatangani pelbagai pinjaman China bagi pihak Colombo.

Antara projek China di Sri Lanka yang mendapat perhatian di seluruh dunia ialah pelabuhan Hambantota yang akhirnya diserahkan Kerajaan Sri Lanka kepada China akibat ketidakmampuan untuk membayar hutang pembinaanya.

Demi mengekalkan Presiden Rajapaksa di puncak kuasa, New York Times melaporkan bahawa “sekurang-kurangnya $7.6 juta telah dibelanjakan daripada akaun Harbor milik China di Bank Standard Chartered untuk membantu kempen Rajapaksa”.

Namun begitu, Rajapaksa telah tewas dalam Pilihan Raya 2015 tersebut – akibat sentimen anti-China di Sri Lanka. Rajapaksa ‘mewariskan’ hutang sebesar US$8 bilion buat Sri Lanka kepada China.

Di Pakistan pula, sejak 2011 China telah memesatkan kehadiran mereka di negara tersebut – antaranya ialah projek Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) yang bernilai sekitar $60 bilion. 13 November 2016 menyaksikan operasi China di Pakistan mula berjalan apabila kargo China dipindahkan dari darat ke Pelabuhan Gwardar untuk dipindahkan melalui kapal maritim ke Afrika dan Asia Barat.

Walau bagaimanapun, segala terma yang sensitif tidak didedahkan oleh Kerajaan Pakistan yang terdahulu. Maka apabila pemimpin pembangkang – yang juga merupakan legenda kriket Pakistan – Imran Khan mengambil alih teraju kepimpinan, terdapat desakan supaya segala-galanya didedahkan.

Di Asia Tenggara pula, faktor China turut memainkan peranan. Di Kemboja, China telah menjadi ‘penyebab utama’ kepada kegagalan ASEAN pada 2012 – dipengerusikan Kemboja – untuk mengeluarkan kenyataan bersama berkait dengan Laut China Selatan.  China juga campur tangan dalam kempen Pilihan Raya 2018 buat Perdana Menteri Hun Sen. 

Pelaburan modal China di Kemboja berjumlah US$1.08 bilion pada 2016 sahaja. Duta China di Kemboja bahkan turun menyertai majlis kempen Pilihan Raya Hun Sen di Phnom Penh.

Malah ketika kempen sedang berlangsung, China mengumumkan tambahan pinjaman $259 juta kepada Kemboja.

Kesemua kes campur tangan China ini membuktikan satu perkara: tesis ‘Sharp Power’ atau ‘Kuasa Penembusan’ China seperti mana yang didakwa The Economist dan sarjana Joseph Nye semakin berleluasa di Asia.  Bagaimana Ayman boleh bersimpati dan menyeru kita supaya sensitif dengan perasaan China hinggakan kita tidak boleh menyokong perjuangan saudara seakidah kita di sana?

‘Kuasa Penembusan’ bermaksud campur tangan asing secara halus dengan menggunakan pinjaman dan modal sebagai ‘senjata geopolitik’. ‘Kuasa Penembusan’ ini menyasarkan negara dengan pemimpin yang tidak telus dan bermasalah dari segi tadbir urus.

Dunia sudah serik dengan ‘Hard Power’ dan ‘Soft Power’ Amerika Syarikat – tidak perlu ditambah lagi dengan ‘Sharp Power’ China ini.

Sebaliknya, betapa Ayman menyanjung ‘kedaulatan China’ lebih daripada seruan Islam yang memerintahkan agar kita membela hak saudara seagama dan menegakkan kekuasaan Islam boleh dilihat dalam isi ke-57 “Kita boleh tekan China untuk memperbaiki layanannya terhadap Uyghur, tapi kalau kita nak kata ‘Free Uyghur’ ‘Free East Turkestan’ itu dah kira mencabar kedaulatan China”.

Malah, dalam isi ke-62 Ayman jelas menulis ‘Secara peribadi aku rasa tak wajar promote simbol East Turkestan dalam masa bersolidariti. Tapi itu kebebasan kau orang, aku tak berhak untuk halang. Cuma kalau kita tak suka orang buat dekat kita, kita jangan buat dekat orang’. 

Pandangan peribadi Ayman ini bercanggah sama sekali dengan semangat persaudaraan Islam dan juga kepentingan menegakkan Islam dalam aspek kekuasaan dan politik. Islam bukannya semata-mata agama ritual yang apologetik, lemah, kalah, dan menyerah dengan kezaliman politik.

Ayman juga perlu membaca tindak-tanduk imperialisme China dengan menyeluruh.  Tidak cukup dengan membunuh ulamak yang menterjemah al-Quran dan pengharaman ibadah umat Islam Uyghur, tidak cukup dengan menyuntik ubat pencegah kehamilan ke atas para wanita Islam Uyghur, tidak cukup dengan penjajahan ke atas demografi majoriti Islam di Xinjiang, tidak cukup dengan menahan berjuta umat Islam Uyghur untuk dihapuskan identiti Islam dan diserapkan idealogi komunis, terkini dilaporkan rejim Komunis China membantah tindakan Malaysia menghantar tuntutan persempadanan pentas benua di Utara Laut China Selatan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Wajib diketahui bahawa perangai hari ini China ibarat ‘Israel yang bersaiz besar’ – mengganas ke atas umat Islam Uyghur di Xinjiang, dan dalam masa yang sama mengganas di Laut China Selatan.

Tulisan Ayman tidak komprehensif: beliau tidak menceritakan ‘big picture’ percaturan geopolitik China.  Sikap tamak China jelas terserlah; rejim Komunis ini bukan sahaja cuba untuk memonopoli Wilayah Turkistan Timur yang strategik di Laluan Sutera menghubungkan Barat dan Asia Barat dengan Timur melalui jalan darat serta tamaknya mereka cuba membolot seluruh Laut China Selatan di sebelah Timur – termasuklah Wilayah Zon Ekonomi Eksklusif kita, Malaysia.

Tindakan Malaysia menghantar tuntutan itu – yang kedua selepas kali pertama melakukannya untuk bahagian Selatan di Laut China Selatan pada 2009 bersama-sama Vietnam – jelas selari dengan Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) yang menyatakan bahawa mana-mana negara berhak menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika dari garis pantainya.

Portal South China Morning Post memetik alasan bantahan Komunis China kononnya Malaysia telah “melanggar kedaulatan China, hak berdaulat China, dan bidang kuasa China di Laut China Selatan”.

Di sebalik bantahan rejim Komunis itu, Suruhanjaya PBB untuk Had Sempadan Pentas Benua tetap menyatakan bahawa tuntutan sebahagian Utara Laut China Selatan oleh Malaysia itu akan dimasukkan dalam agenda sesinya yang ke-53 di New York pada 2021.

Ayman tidak menulis bagaimana pada 2009, selepas Malaysia dan Vietnam mengirim tuntutan pentas benua, China telah bertindak mengeluarkan peta bergaris sembilan di Laut China Selatan – dua garisan secara jelas mencerobohi perairan Sabah dan Sarawak kita.  Bagaimana kita boleh memahami dan bersimpati dengan kuasa besar seperti China yang jelas merancang untuk melahap wilayah kita?

Langkah ini disusuli pula siri pencerobohan pengawal pantai mereka beserta aktiviti pembinaan pulau buatan lengkap dengan infrastruktur ketenteraan, di samping latihan ketenteraan oleh Tentera Laut Republik Rakyat China (PLAN) di kawasan bertindih.

Jika dari segi diplomatik pun China tidak segan untuk berbohong menyanggahi Konvensyen Undang-undang Laut PBB, apatah lagi dari segi ketenteraan.

Portal Forbes beberapa hari lalu yang bertajuk “The Chinese Navy Is Building An Incredible Number Of Warships” bahkan mendedahkan betapa rejim Komunis itu cuba untuk meluaskan penjajahan mereka ke atas Laut China Selatan melalui pembinaan kapal-kapal perang secara besar-besaran.

Laporan Forbes itu disertakan dengan bukti bergambar bahawa terdapat tidak kurang daripada sembilan buah kapal perang sedang dibina rejim Komunis China di Shanghai sahaja. Terdapat beberapa jenis kapal pembinasa Type-052D yang setanding dengan kapal pembinasa Arleigh Burke Class AEGIS milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

Dengan berat 7,500 tan, ia mampu membawa 64 peluru berpandu bersaiz besar termasuklah peluru berpandu permukaan ke udara jarak jauh (SAMs) dan peluru berpandu krus.

Beberapa buah kapal lagi dikenalpasti sebagai Type-055 Class yang lebih besar – dua kali ganda berbanding saiz Type-052D – dan mampu mengangkut lebih daripada 100 peluru berpandu bersaiz besar.

Jumlah kesemua kapal China ini adalah sembilan – sebagai perbandingan, jumlah keseluruhan kapal pembinasa yang dimiliki Tentera Laut Diraja UK hanyalah enam buah sahaja.

Namun begitu, imej yang paling menarik perhatian dalam laporan Forbes itu ialah pembinaan kapal induk pengangkut pesawat generasi baharu buatan China sendiri.

Setakat ini, China sudah pun memiliki dua unit kapal induk pengangkut pesawat udara, namun kapal baharu ini – dikenali sebagai Type-003 – dipercayai memiliki pelancar elektromagnetik seperti mana yang dimiliki oleh Kapal Induk Pesawat Ford Class milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

Sebelum ini, tidak cukup dengan tindakan ‘Imperialisme’ yang tidak ada bezanya dengan rejim Zionis di Palestin, China bukan sahaja berterusan membina pulau-pulau buatan di wilayah pertikaian di Laut China Selatan, bahkan membangunkan pula infrastruktur ketenteraan dengan cukup pesat di pulau-pulau berkenaan.

Seruan Ayman supaya kita “tidak…mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman. Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja” sebenarnya bukan sahaja boleh menyumbang kepada ‘kestabilan’ dan ‘kebangkitan’ China yang sedang dalam proses menjadi hegemoni besar untuk menandingi Amerika Syarikat, tetapi juga menjanjikan impak negatif kepada wilayah perairan kita di Laut China Selatan. 

Mungkin Ayman sudah lupa bagaimana Duta Besar China juga pernah campur tangan dalam isu kaum Cina di Malaysia melalui satu kenyataan di Petaling Street dahulu hinggakan beberapa orang Menteri Malaysia bertembung (bekas Datuk Nazri Aziz dengan Menteri Luar ketika itu, Datuk Anifah Aman). Mengapa kita hari ini perlu ‘jaga hati’ China daripada gerakan pemisah sedangkan mereka bebas membantai umat Islam di sana?

Jelas bahawa sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya menjunjung tinggi kedaulatan China.  Sebaliknya wajib bagi kita menyokong perjuangan pembebasan umat Islam Uyghur dan segala rencana untuk melemahkan hegemoni China. China bukan sama sekali harapan umat Islam untuk berdepan dengan cengkaman Barat dan Zionis.

Sebagai saudara seakidah dengan Ayman Rashdan Wong, suka saya ingatkan beliau dengan Hadis Rasulullah mengenai kesatuan politik umat Islam akhir zaman. 

Rasulullah S.A.W bersabda;

“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”

Maka para Sahabat R.A pun bertanya;

“Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”

Sabda Baginda S.A.W:

“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”

Sahabat bertanya lagi;

“Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”

Jawab Rasulullah S.A.W;

“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”

Sahabat bertanya lagi;

“Apakah itu al-Wahn?”

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”


Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah pensyarah program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
HARAKAHDAILY 23/12/2019