Elias Hj Idris
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Sesungguhnya kubur itu adalah satu taman dari taman-taman syurga dan merupakan lubang dari lubang-lubang neraka."

Cara penguburan mayat: bantal & ketulan tanah penahan

Rasulullah s.a.w.dalam sebuah hadisnya yang lain bermaksud, "Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat. Bila mana sesorang itu telah selamat dalam tahap pertama ini, maka untuk tahap seterusnya akan lebih ringan lagi. Namun jika tidak selamat dalam tahap pertama tersebut maka tahap-tahap seterusnya akan lebih dasyat lagi."

Setiap hari bumi (tanah) akan memanggil manusia dengan 10 panggilan;

1. Wahai anak adam! Kamu berjalan di atas punggungku, tetapi tempat kembalimu adalah di dalam perutku.

2. Kamu melakukan maksiat di atas punggungku dan kamu disiksa di dalam perutku.

3. Kamu bergurau di atas punggungku, tetapi kamu menangis di dalam perutku.

4. Kamu makan benda haram di atas punggungku, tetapi seluruh cacing akan makan kamu di dalam perutku.

5. Kamu bergembira di atas punggungku, tetapi kamu akan susah di dalam perutku.

6.Kamu mengumpul harta haram diatas punggungku tapi kamu hancur dalam perutku.

7.Kamu sombong di atas punggungku, tetapi kamu menjadi hina di dalam perutku.

8. Kamu berjalan megah dan sukaria di atas punggungku, tetapi kamu jatuh kesedihan di dalam perutku.

9. Kamu berjalan dalam cahaya di atas punggungku, tetapi kamu akan duduk dalam kegelapan di dalam perutku.

10.Kamu berjalan beramai-ramai di atas punggungku, tetapi kamu akan sendirian dalam perutku.

Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi bermaksud,

"Adakah kamu dapat mengelak dari maut itu?Adakah kamu berkuasa melepaskan diri daripada masuk ke neraka? Adakah kamu sudah wajar menerima balasan syurga? Sudahkah ada hubungan kasih sayang antara kamu dengan Allah? Adakah nikmat dan kesenangan melekakan kamu? Adakah kamu telah binasa kerana kebaikan dan kamu terpedaya oleh dunia dengan panjang angan-angan?

Mengapa kamu tidak mempergunakan kesihatan dan keselamatan? Tempoh kamu sudah ditentukan dan nafas kamu ada batasnya. Berbuatlah sesuatu yg memberi kebaikan bagi kamu selagi kamu mempunyai kesanggupan. Wahai sekalian manusia,sesungguhnya kamu masih leka dalam perbuatamu, sedangkan setiap hari engkau terus menerus menghabiskan umurmu.Semenjak engkau keluar dari perut ibumu,setiap hari engkau semakin dekat menuju kubur dan engkau pasti memasukinya."
Sistem liang lahad

Begitulah dalil yang Allah tunjukkan mengenai adanya alam kubur kepada manusia. Sama seperti adanya mati bagi mengakhiri hayat manusia, begitu juga adanya kubur sebagai tempat menunggu untuk menerima balasan baik dan jahat dari Allah.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Sesungguhnya kubur itu adalah merupakan satu taman dari taman-taman syurga dan merupakan lubang dari lubang-lubang neraka."
Elias Hj Idris
Lambat-laun UMNO yang zalim akan tersungkur jatuh tergolek-golek walaupun pecacai dan dajainya berkerja tanpa henti-henti mempertahankannya. Itulah sunnatullah.

Kita benci mereka, tapi belum tau siapa musuh selepas ini?

Soalnya apakah golongan Islam mampu merebut kepimpinan dan kekuasaan setelah jatuhnya UMNO? Nik Aziz kata tak mampu, jadi Anwar yang layak jadi ketua!

Sewaktu Raja Farouk jatuh, ramai yang menjangka Naquib akan membina Mesir baru berdasarkan Islam; terdapat pimpinan Ikhwan yang terpesona dan terlibat dalam kerajaan walaupun sehingga terpaksa menanggalkan 'pakaian' Ikhwan mereka. Akhirnya Gamel Abdel Nasser memburu, menangkap, memenjara dan membunuh ribuan ahli Ikhwan; masihkah diingat akan Abdul Kadir Audah, Syed Qutb, Farghli, Yusuf Hawasi dll?

Dr Siddique Fadhil seketika dulu pernah membandingkan kisah ini dengan cerita penolak kereta buruk yang rosak. Sebaik kereta itu hidup enjinnya, pemandu terus memecut laju; konon bimbangkan enjinnya akan mati semula. Si penolak kereta hanya mendapat asap hitam yang tebal... dan ditinggalkan di jalanan yang sunyi meraba di malam nan kelam.

Usaha mengenepikan golongan dakwah setelah menang, sering berlaku di mana-mana pelosok dunia atas alasan tidak ingin mengganggu proses reformasi. Akhirnya golongan Islam menjadi musuh kepada sang pemerintah.

Kata Ahmad Syauki: "Teman dalam politik, musuh apabila berkuasa!"

Aku bimbang ahli-ahli PAS adalah penolak kereta itu!

-  abuadil_alkaf
Elias Hj Idris
HAKIKAT TASAWWUF


Unsur terpenting dalam tariqat sufiah adalah muryid atau syeikh yang mewarisi ilmu Nabi zahir dan batin.

Tanpa kehadiran seorang syeikh yang kamil, yang bersilsilah hingga sampai kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, yang memenuhi syarat-syarat wasilah sebagai pemimpin rohani dan jasmani, kapal yang dinaiki bakal tersesat di tengah samudera luas, penumpangnya kemungkinan besar akan dirompak dan dibinasakan kerana telah berwasiat segala syeikh yang mulia;

"Sesiapa yang tiada syeikh baginya, maka syaitanlah syeikhnya."


Ulama Nusantara yang Amalkan Tariqat Sufiah

Ramai yang mengenali ulama-ulama Ahlus Sunnah Nusantara seperti Syeikh Daud Fathani, Syeikh Arshad Al Banjari, Syeikh Ahmad Al-Fathani, Syeikh Abdul Rashid Al-Fathani, Syeikh Abdus-Samad Al-Falimbani, Syeikh Idris Al-Marbawi dan ramai lagi. Namun tidak ramai yang sedar bahawa ulama-ulama ini adalah pengamal tariqat sufiah yang ulung, menjadikan tariqat sebagai nadi kekuatan dalam pendidikan, dakwah dan seluruh perjuangan hidup mereka.

Syeikh Daud al-Fathani (Tariqat Syathariyah)

Ketokohan Syeikh Daud al-Fathani dalam bidang fiqh diperakui oleh semua ulama di Asia Tenggara yang memahami dan mengkaji sejarah Islam di rantau ini. Demikian juga ketokohannya dalam bidang usuluddin, tauhid dan ilmu kalam yang kiranya tidak perlu dijelaskan lagi.

Ketokohan beliau dalam bidang tasauf serba ringkas telah disentuh sebelum ini. Juga dibicarakan dengan mendalam dalam buku berjudul 'Perkembangan Ilmu Tasauf' (Jilid 1). Namun begitu, masih belum dianggap lengkap dan sempurna sekiranya tidak dibicarakan ketokohannya dalam orde Tariqat Syathariyah, yang mana adalah salah seorang syeikh mursyid kamil mukammilnya.

Pada suatu masa dahulu tariqat ini pernah memainkan peranan yang penting dalam dakwah Islamiah di Asia Tenggara. Bahkan ia adalah satu orde tariqat yang terbesar pengikutnya di Asia Tenggara sebelum masuknya Tariqat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah.

Syathariyah berkembang di Pulau Jawa, yang terbesar pengikutnya di Cerebon, Jawa Barat. Penyebarnya yang terkenal ialah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, murid Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri iaitu Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, semuanya adalah murid Syeikh Abdur Rahman al-Fansuri.

Di mana sahaja Tariqat Syathariyah dikembangkan di zaman mutakhir iaitu dimulai akhir abad ke-18 hingga ke abad ini, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetap dikenal dan disebut namanya.
Salah seorang muridnya mengenai tariqat ini seumpama Syeikh Zainuddin Sumbawa. Nama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih bersemi di hati umat Islam pengikut Tariqat Syathariyah di Alam Melayu, bahkan sampai-sampai ke Champa dan Burma. Salasilah tariqat ini di Asia Tenggara banyak bersambung dengan beliau.

Daripada Syeikh Daud al-Fathani dikenal pula ulama besar yang berasal dari Pattani sebagai khalifah-khalifah mursyid Tariqat Syathariyah seperti Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mustafa al-Fatani dan lain-lain.

Tata cara berzikir pula yang disalin dari naskhah tulisan tangan Syeikh Daud al-Fathani adalah sebagai berikut;

Duduk bersila menghadap ke arah kiblat.


Kedua tangan diletakkan di atas kedua lutut.Mata dipejamkan. Setelah itu diawali dengan lafaz ‘Laa’ dari bawah susu sebelah kiri, yang terletak hati ‘sanubari’, qasadnya ialah menarikkan pada hati sanubari daripada ‘aghyar dan maa siwallaahi Taala’.


Ditarik terus hingga memanjang bunyi lafaz ‘Laa’ hingga sampai ke bahu sebelah kanan, terus dilemparkan dengan lafaz ‘ilaaha’ dengan meniatkan bahawa melemparkan sekelian yang tersebut ke belakang.


Sesudah itu lalu lafaz ‘illa’ di atas bahunya yang kanan. Terakhir sekali memukulkan lafaz ‘Allah’ dengan sekeras-kerasnya ke dalam hati.

Demikianlah zikir pada setiap kalinya, bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Dengan memuji kepada Allah telah talkinkan zikir Syathariyah ini serta dengan bai'ahnya dan ‘Labsul Khirqati’ dan kaedah yang tersebut itu oleh faqir ilallahi Taala Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani.

Syeikh Daud bin Abdullah al- Fatani berpendapat bahawa pimpinan seorang syeikh mursyid sangat penting, beliau menulis sebagai berikut;

“Ketahuilah! Kadang-kadang seorang salik yang belajar itu melihat bahawa tiada sesuatu jalan untuk sampai kepada Allah, dia ragu dengan bermacam-macam amalan yang sangat banyak. Kadang-kadang dia tercengang dengan banyak ilmu pengetahuan yang telah dikuasainya. Apabila murid yang salik itu mempunyai syeikh yang arif billah (ahlil hakikat), maka hendaklah dia kembali kepada syeikhnya dan berpegang teguh atas petunjuknya”.

Dalam bahagian lain beliau menulis:
“Dan dengan benar orang yang berzikir iaitu benar murid serta syeikhnya sampai ia pada martabat siddiqiyah, hendaklah dia mengemukakan apa-apa yang terlintas di hatinya dari perkara yang jahat dan yang baik."

Berkata sebahagian orang yang arif:
“Tiada syarat syeikh itu mengetahui dan melihat atas batin murid, tetapi sebahagian dari syarat murid ialah bahawa memberitahu kepada syeikhnya sekelian yang terlintas pada hatinya."

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis selanjutnya:
“Bahawa dia (syeikh) adalah penolongnya dari pertolongan Nabi Muhammad s.a.w. Selamanya berhadap ke hadrat Tuhannya, apabila dikerjakan maka limpah pertolongan Ilahiyah daripada Allah pada hati penghulu kita dan dari hati penghulu kita - Nabi Muhammad s.a.w - kepada sekelian hati pada syeikh (masyaikh), dari satu kepada satu sampai kepada hati yang melakukan zikir. Bahawa yang demikian itu menjadi pertolongan dan pemberian Allah”.

Perlu diketahui oleh setiap penganut tariqat, terutama Tariqat Syathariyah adalah mengenai adabnya. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani mengatakan bahawa adab zikir itu terbahagi kepada tiga iaitu:

* Adab sebelum melakukan zikir;
* Adab ketika berzikir.; dan
* Adab setelah berzikir.

Keterangan Syeikh Daud yang diringkaskan oleh penulis daripada kitab Dyiaa’ul Murid mengenai adab-adab berzikir adalah sebagai berikut;

a) Adab sebelum melakukan zikir

i. Taubat nasuha, iaitu taubat daripada sesuatu yang tidak memberi faedah kepada agama yang tersalah dari perkataan, perbuatan dan kehendak yang tidak muafakat dengan syarak.

ii. Suci badan daripada hadas-hadas besar dan hadas kecil dan kekotoran pada tubuh dan pakaian. Hendaklah mandi dan mengambil air sembahyang serta membersihkan pakaiannya.

iii. Mengharumkan pakaian dengan bau-bauan dan menyucikan mulut dengan bersugi (siwak).

iv. Dengan niat menegakkan perintah Allah bukan kerana lainnya kerana mengambil faedah dunia dan keinginan hawa nafsu.

v. Membesarkan Allah. Ketika menyebut Allah terasa benar akan kebesaran dan kehebatan-Nya.

b) Adab ketika berzikir

i. Hendaklah dia duduk di tempat yang suci seperti duduk dalam sembahyang bagi orang yang mubtadi, duduk bersila bagi orang yang muntahi.

ii. Meletakkan kedua telapak tangan di atas kedua lutut.

iii. Menghadap ke kiblat kalau dia berzikir seorang diri, jika berjemaah hendaklah membuat lingkaran keliling.

iv. Memakai wangi-wangian di tempat duduknya kerana tempat berzikir adalah tidak sunyi daripada malaikat dan jin yang beriman.
v. Berkekalan ikhlas iaitu semata-mata kerana perintah Allah bukan kerana lainnya.

vi. Benar zikirnya pada zahir dan batin hingga bersamaan antara keduanya. Juga benar hati terhadap sheikhnya pada zahir dan batin.

vii. Sedapat-dapatnya hendaklah sekelian yang dimakan dan yang dipakai adalah halal.

viii. Duduk di tempat yang kelam iaitu antara terang dan gelap.
ix. Memejamkan mata.

x. Menghadirkan makna zikirnya setiap kali mengucapkannya.

xi. Dinafikan tiap-tiap yang maujud pada hatinya selain daripada Allah.

xii. Diucapkan dengan nyaring (jahar).

xiii. Dengan kuat yang sempurna. Iaitu ditarikkan dari tengah kepala hingga ke anak jarinya.

xiv. Terkenang kepada syeikhnya.

xv. Menjauhkan lafaz yang lahan yang boleh mengubahkan maknanya.

c. Adab selepas berzikir

i. Menahan nafas beberapa kali kerana yang demikian itu lebih cepat menerangkan hati dan membukakan hijab (dinding), dan memutuskan khuatir nafas dan syaitan.

ii. Jangan meminum air selepas dari berzikir hingga berselang beberapa saat, kerana zikir itu bersifat panas, rindu dan menaikkan kegemaran kepada yang diingat (Allah) inilah tujuan zikir, sedangkan minum itu memadamkan yang demikian itu. Juga kalau minum adalah bertentangan dengan ilmu kedoktoran kerana boleh mengakibatkan penyakit muntah.

iii. Diam beberapa ketika sesudah berzikir serta dengan khusyuknya. Perkara ini ulama membahagikannya kepada tiga adab iaitu;

* Seakan-akan dia berhadap dengan Tuhannya, bahawa Tuhannya melihat kepadanya.

** Mengheningkan cipta (menumpukan fikiran) seakan-akan sehelai roma pun tidak bergerak seumpama kucing tatkala mengintai tikus.

*** Menafikan sekalian khuatir dan melaksanakan zikir itu di dalam hati.

iv. Meniatkan bagi wirid zikir. Mudah-mudahan menghidupkan hati sehingga tercapai cahaya makrifatullah sehingga diperolehinya sekalian sifat kamalat (kesempurnaan) seumpama zuhud dan lain-lain.

v. Mensyukuri akan nikmat-nikmat Allah. Bahawa Allah telah permudahkan melakukan suruhanNya dengan mengucap istighfar daripada taqsir yang hasil daripadanya tiga kali, seperti katanya: “Aku memohon pengampunan dari Allah dari segala taqsirku pada ibadatku sebilang-bilang nafasku”

Nama-nama kalimah nafi dan isbat

Sebagaimana telah dijelaskan bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tokoh sufi Tariqat Syathatiyah. Salah satu karya tulisan beliau tentang tersebut dapat dilihat melalui kitab 'Dhiyaa’ul Murid'.

Bahagian terakhir karyanya itu beliau tulis nama-nama kalimah Laa ilahaa illallah. Dalam kitab Jawi yang lain dari kitab Dhiyaa’ul Murid tidak membicarakan hal ini. Oleh itu, penulis salin seringkasnya mudah-mudahan menambah keghairahan memperbanyak bacaan zikir Laa ilaaha illallah (nafi dan isbat) yang sangat dianjurkan oleh ahli warak dan solihin.

Menurut Syeikh Daud al-Fathani kalimah Laa ilaaha illallah itu mempunyai banyak nama yang disebut dalam kitab suci al-Quran, sebahagiannya penulis nyatakan seperti berikut;

i. Kalimah taqwa, dalam surah al-Fath : 26. Maksudnya:
"Dan biasakanlah mereka itu dengan taqwa. Taqwa tersebut adalah La ilaaha illallah.

ii. Kalimah Thaiyibah dalam surah Ibrahim ayat 24. Maksudnya:
"Allah telah membanding seumpama kalimat yang baik iaitu La ilaaha illallah seperti pohon kayu yang baik asalnya terhunjam pada bumi dan cabang-cabangnya menjulang ke langit".

iii. Kalimah Sabit dalam surah Ibrahim ayat 27. Maksudnya:
"Allah telah menetapkan sekelian orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap dalam hidup di dunia dan akhirat iaitu perkataan Laa ilaaha illallah."

Banyak lagi yang ditulis oleh Syeikh Daud al-Fathani dalam tulisannya yang tidak dapat disenaraikan semuanya. Antara lain-lain yang secara ringkasnya adalah berikut :

iv. Kalimatul ‘Ulya dalam surah at-Taubah ayat 40.

v. Kalimah Stabat dalam surah Muhammad ayat 19.

vi. Kalimah Husna dalam surah Yunus ayat 26.
vii. Kalimah ‘Adli dalam surah an-Nahl ayat 90.

xii, Kalimah Istiqamah dalam surah Fussilat ayat 30.

ix. Kalimah ‘Ahdi dalam surah Maryam ayat 87.

x. Kalimah Maqalid dalam surah Zumar ayat 63.

xi. Kalimah Tasydid dalam surah al-Ahzab ayat 70.

xii. Kalimah Haq dalam surah az-Zukhruf ayat 86.

xiii. Kalimah Shiratal Mustaqim dalam surah al-An’am ayat 15.

xiv. Kalimah Sidqi dalam surah az-Zumar ayat 33.

xv. Kalimah Iman dinamakan juga Kalimatul Khulud fi Jannah.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud:
"Barangsiapa yang adalah pada penghabisan perkataannya Laa ilaaha illallah hal keadaannya suci hatinya lagi jernih daripada hatinya, masuk syurga itu bersama-sama orang-orang yang mendapat kemenangan tiada terdahulu seksa".

xvi. Kalimatus Ishmati wan Najah

Sabda nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Apabila mereka mengatakan Laa ilaaha illallah terpelihara daripadaku darah dan hartanya.”

xvii. Kalimatu Miftahil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.

xviii. Kalimatu Stamanil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.

xix. Kalimatul Ikhlas iaitu Laa ilaaha illallah.

xx. Kalimatu Da’watil Haq iaitu Laa ilaaha illallah.

xxi. Kalimatu ‘Urwatil wustqa iaitu Laa ilaaha illallah.

Kesimpulannya masih banyak amalan Syeikh Daud al-Fathani yang tidak dapat dibicarakan keseluruhannya, yang tentunya amalan wirid beliau sangat banyak. Di antara yang tidak pernah beliau tinggalkan adalah membaca selawat Dalailaul Khairat dan lain-lain.



Susunan: Tok Kelana
http://ulama-nusantara.blogspot.com/2008/05/daud-al-fathani-tokoh-tarekat.html
Elias Hj Idris
F.  KESAKSIAN ULAMA AKAN TARIQAT & SUFI

Syeikh Hisham

Dari sini kita akan melihat pula bahawasanya ulama-ulama muktabar yang diakui oleh ummat Islam sepanjang zaman mengamalkan tariqat sufiah. Beradasarkan keterangan yang ada ulama-ulama ahlus Sunnah yang terkenal dengan ketinggian ilmu dan wara' mereka menyebutkan tentang kebenaran ahli-ahli sufi dan tariqat sufiah.

Imam Hanafi (Imam Abu Hanifah 81-150H)
"Jika tidak karena dua tahun, saya telah celaka kerana dua tahun saya bersama Sayyidina Ja'far as-Sadiq dan mendapatkan ilmu kerohanian yang membuat saya lebih mengetahui jalan yang benar". (Ad-Durr al-Mukhtar, Jilid 1. m.s. 43)

Di dalam kitab Risalah Ma'rifat Shaikh Yahya Al-Kholidi menyebut; Imam Hanafi dan Imam Malik mengambil ba'iat tariqat daripada Syeikh Ja'afar Siddiq r.a. (Shaikh Ja'afar Siddiq diberi gelaran Imam-at-Toriqah wal Haqiqat disebabkan banyaknya silsilah tariqat melalui beliau dan juga disebabkan ketinggian beliau dalam ilmu haqiqat dan makrifat.)

Imam Shafi'e (150-205 H)

“Mempelajari ilmu fiqih tapi tidak menjalani tasawuf (jalan ahli sufi), maka hatinya tidak dapat merasakan (nikmatnya) taqwa, sedangkan orang yang hanya menjalani tasawuf tapi tidak mempelajari ilmu fiqih, maka bagaimana mungkin dia menjadi baik?" (Dewan Al-Imam Asy-Syafi'i).

Imam Ahmad bin Hambal (164-241 H)

"Wahai anakku wajiblah di atas engkau mendampingi ahli-ahli tasawwuf itu, kerana mereka itu boleh menambahkan banyaknya ilmu kita, menambahkan sifat takut dan taqwa kepada Allah Ta'ala dan kasih kita kepadaNya." (Risalah Qushairiyyahi).

Wasiat Imam Ahmad kepada anak beliau:
"Anakku jika kamu perlu duduk bersama orang-orang sufi, kerana mereka adalah mata air ilmu dan mereka tetap mengingat Allah dalam hati mereka. Mereka orang-orang zuhud dan mereka memiliki kekuatan spiritual yang tertinggi," (Tanwir al-Qulub, m.s. 405, Shaikh Amin al-Kurdi)

Pendapat Imam Ahmad tentang sufi:

"Aku tidak melihat orang yang lebih baik dari mereka" (Ghiza al-Albab, jilid. 1, m.s. 120)

Imam Al-Muhasibi

Imam Al-Muhasibi bercerita tentang usaha beliau mencari kebenaran dari kalangan berbagai kelompok agama yang mendakwa sebagai golongan yang benar. Beliau berusaha sambil benar-benar mengharap petunjuk Allah kepada golongan yang benar-benar mengikuti Al-Qur’an dan sunnah Nabi. Akhirnya beliau menemui di dalam hati beliau yang diberi sinar petunjuk oleh Allah bahawa golongan sebenar yang bertaqwa kepada Allah dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi adalah ahli tasawwuf (ahli makrifat).

“Yang Maha Pengasih menunjukkan aku, satu kaum yang dalam diri mereka terdapat tanda-tanda ketaqwaan, simbol kewara’an dan utamakan akhirat daripada dunia.” “Aku menjadi yaqin bahawa mereka lah (ahli makrifat, ahli tasawwuf) yang menempuh jalan akhirat dan mengikuti jejak Rasul. Mereka adalah lampu penerang bagi orang yang meminta penerangan bagi mereka. Dan mereka adalah penunjuk jalan bagi yang memerlukannya”  (Abu Abdullah Haris Al-Muhasibi wafat 243 H, Al-Wasaya : m.s 27-32)

Imam Al-Qushairi

"Allah membuat golongan ini yang terbaik dari wali-waliNya dan Dia mengangkat mereka di atas seluruh hamba-hambaNya sesudah para Rasul dan Nabi, dan Dia memberi hati mereka rahsia kehadiran IlahiNya dan Dia memilih mereka di antara umatNya yang menerima cahayaNya. Mereka adalah sarana kemanusiaan, Mereka menyucikan diri dari segala hubungan dengan dunia dan Dia mengangkat mereka ke kedudukan tertinggi dalam penampakan (kasyaf). Dan Dia membuka kepada mereka kenyataan akan KeesaanNya. Dia membuat mereka untuk melihat kehendakNya mengendalikan diri mereka. Dia membuat mereka bersinar dalam wujudNya dan menampakkan mereka sebagai cahaya dan cahayaNya ." (ar-Risalat al-Qushayriyya, m.s. 2)

Imam Al-Ghazali 

"Aku yaqin dengan benar bahawa para ahli sufi adalah para pencari jalan Allah, dan bahawa mereka melakukan yang terbaik, dan jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka paling suci. Mereka membersihkan hati mereka dari selain Allah dan mereka menjadikan mereka sebagai jalan bagi sungai untuk mengalirnya kehadiran Ilahi [al-Munqidh min ad-dalal, m.s. 131].

Imam Fakharuddin Ar-Razi
 
"Jalan para sufi adalah mencari ilmu untuk memutuskan diri mereka dari kehidupan dunia dan menjaga diri mereka agar selalu sibuk dalam pikiran dan hati mereka dengan mengingat Allah, pada seluruh tindakan dan perilaku" ." [I'tiqadat Furaq al-Musliman,m.s. 72, 73]

Ibnu Khaldun 

"Jalan sufi adalah jalan salaf, ulama-ulama di antara sahabat, tabi'een dan tabi' at-tabi'een. Asalnya adalah beribadah kepada Allah dan meninggalkan perhiasan dan kesenangan dunia" [Muqaddimat ibn Khaldun, m.s. 328]

Imam Tajuddin As-Subki 

"Semoga Allah memuji mereka dan memberi salam kepada mereka, kaum sufi dan menjadikan kita bersama mereka di dalam syurga. Banyak hal yang telah dikatakan tentang mereka dan terlalu banyak orang bodoh yang mengatakan hal-hal yang tidak berhubungan dengan mereka. Dan yang benar adalah bahawa mereka meninggalkan dunia dan menyibukkan diri dengan ibadah"

"Mereka adalah Ahlillah yang doa dan solat mereka diterima Allah, dan melalui berkat doa mereka Allah menurunkan pertolonganNya. [Mu'eed an-Na'eem wa Mubid An-Niqam, m.s. 190

Imam Jalaluddin As-Sayuti 

"Sesungguhnya tasawwuf adalah ilmu yang mulia. Ian adalah mengikuti sunnah, meninggalkan bid’ah, membebaskan diri dari hawa nafsu, menyerahkan diri kepada Allah sepenuhnya, mecari redha dan cintaNya!" [Ta'yid Al-Haqiqah al-Aliyyah ]

Ibnu Abidin 

" Para pencari jalan ini tidak mendengar kecuali kehadiran Ilahi dan mereka tidak mencintai selain Dia. Jika mereka mengingat Dia mereka menangis. Jika mereka memikirkan Dia mereka bahagia. Jika mereka menemukan Dia mereka sadar. Jika mereka melihat Dia mereka akan tenang. Jika mereka berjalan dalam kehadiran Ilahi, mereka menjadi lembut. Mereka mabuk dengan rahmatNya. Semoga Allah merahmati mereka". [Rasa'il Ibn Abidin m.s. 172-173]

Rashid Rida 

Dia berkata,"tasauf adalah salah satu pilar dari pilar-pilar agama. Tujuannya adalah untuk membersihkan diri dan mempertanggungjawabkan perilaku sehari-hari dan untuk menaikan manusia menuju maqam spiritual yang tinggi" [Majallat al-Manar, 1st year, m.s  726].

Abu Hassan Ali An-Nadwi 

Maulana Abul Hasan 'Ali an-Nadwi anggota the Islamic-Arabic Society of India and Muslim countries. Dalam Muslims in India, m.s 140-146, "Para sufi ini memberi inisiasi (bai'at) pada manusia ke dalam keEsaan Allah dan keikhlasan dalam mengikuti sunnah Nabi dan dalam menyesali kesalahan dan dalam menghindari setiap maksiat kepada Allah SWT. Petunjuk mereka merangsang orang-orang untuk berpindah ke jalan kecintaan penuh kepada Allah" "Di Calcutta, India lebih dari 1000 orang mengambil inisiasi (bai'at) ke dalam tasauf"

"Kita bersyukur atas pengaruh orang-orang sufi, ribuan dan ratusan ribu orang di India menemukan Tuhan mereka dan meraih kesempurnaan melalui Islam".

Imam Hassan Al-Banna 

“Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai mertabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).”

“Tidak syak lagi bahawasanya dengan berpegang kepada kaedah-kaedah tasawwuf dalam bidang tarbiah dan suluk membawa kesan yang sangat kuat dalam jiwa dan hati seseorang. Bahkan, kata-kata para sufi dalam bab tarbiah ini mempunyai kesan yang sangat mendalam, yang tidak akan didapati daripada kata-kata selain daripada golongan sufi.”  (Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah)

G.  KESIMPULAN 

Daripada penjelasan di atas, adalah diharapkan kita mendapat gambaran asas mengenai tariqat sufiah. Ia bukanlah perkara baru yang direka oleh para ulama, tetapi ia adalah amalan Nabi saw yang bersumberkan wahyu Ilahi. Penjelasan ini juga diharapkan dapat menolak kefahaman dan tanggapan yang salah berkenaan ilmu yang murni ini. Sama ada ia berupa penolakan mutlak oleh golongan jahil atau penyalahgunaan oleh golongan sesat!

Semoga kita semua tergolong kedalam mereka yang mengikuti jalan kemuliaan Rasulullah ini. Atau sekurang-kurangnya menyanjung dan mengasihi mereka semua!

Rujukan Utama;
Munqiz Ala-Dhalal,
Risalah Qushairiyyah
Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah
Elias Hj Idris
A. Muqaddimah

Seribu lima ratus tahun adalah satu jangka waktu yang panjang. Gunung-gunung telah menjadi busut. Sungai-sungai telah pun kering. Bumi kehilangan wajah aslinya namun warisan amalan Nabi صلى الله عليه وسلم tetap teguh. Tali Allah yang Nabi hulurkan tetap menjadi pegangan sebahagian ummat yang cintakan Baginda. Allah tetap akan memelihara agamaNya.

Istilah-istilah tariqat sufiah, ahli-ahli sufi, ilmu tasawwuf adalah di antara amalan Nabi صلى الله عليه وسلم yang menjadi bahan perhitungan sepanjang zaman. Ada yang mencemuh, ada yang menghina, ada yang salah gunakannya, ada pula yang mengambil kesempatan di atas kelebihannya.
Penyerahan diri...

Sangat sedikit manusia yang berjalan di atasnya dengan kebenaran!

Banyak huraian yang telah dibuat sebelum ini oleh pelbagai pihak untuk merungkai masalah ini. Dalam kesempatan ini kita cuba untuk melihat apa itu tariqat sufiah yang sebenar. Dari mana pengambilannya. Apa amalan-amalannya secara praktikal, tanpa berlebih-lebihan pada istilah yang sukar dengan cara yang paling mudah untuk difahami.

B. Tafrif Tariqat Sufiah

Sekalian ulama arif billah, ulama ahlus sunnah yang haq telah mengemukakan berbagai istilah dalan mentakrifkan tariqat sufiah. Kita cuba untuk melihat sebahagian daripadanya;

i) Tariqat Sufiah adalah ilmu mengerjakan zikrullah, muraqabah (tafakkur/merenung) dan musyadah (syuhud/menyaksikan) sehingga seseorang menjadi hamba Allah yang benar dalam tauhidnya serta menjadi ubudiah dengan sebenar ubudiah.

ii) Tariqat sufiah menerangkan cara-cara seseorang itu menjalani jalan ketuhanan sehingga menjadi hamba Allah yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Allah.

iii) Tariqat sufiah adalah ilmu melatih jiwa seseorang hamba Allah sehingga ia bercahaya dengan cahaya Rabbaniah. Dengan demikian membebaskan dirinya daripada sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat kekejian) kemudian menghiasinya dengan segala sifat mahmudah (sifat-sifat kepujian) serta menyucikan hatinya dari segala macam syirik khafi (syirik yang tersembunyi)".

iv) Tariqat sufiah adalah satu disiplin ilmu kerohanian yang tersusun terdiri daripada berbagai latihan kerohanian berdasarkan kitabullah dan sunnah RasulNya. Dengan bersungguh-sungguh menjalani latihan ini seseorang hamba bakal dibukakan oleh Allah Ta'ala (dengan rahmatNya) kepada hakikat Islam, iman dan ihsan.

Ada banyak lagi makna serupa yang diberikan oleh sekalian arifin billah yang kesemua itu tidak bertentangan. Sebaliknya ia menuju kepada satu matlamat, iaitu kembalikan jiwa seseorang hamba kepada fitrah (asal kesucian diri) bebas daripada segala sesuatu selain Allah. Sehingga hanya Allah yang bertahta di dalam hatinya.

C. Adakah Ia Bersumberkan Al-Quran dan Sunnah Nabi?

Seluruh ilmu dan amalannya adalah diambil dari perjalanan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang bersumberkan wahyu Ilahi. Asas ilmu ini diterima dari Nabi صلى الله عليه وسلم. Para sahabat Nabi dan ulama-ulama yang mengikuti mereka kemudiannya menunjukkan cara-cara dan kaedah beramal.

Di zaman Nabi masih hidup, amalan-amalan yang berkaitan dengan kerohanian ini wujud tanpa nama. Maksudnya tariqat dan tasawwuf adalah amalan Nabi صلى الله عليه وسلم , tetapi belum diberi nama dengan nama tertentu!

Sebagaimana juga disiplin ilmu-ilmu Islam yang lain, istilah tariqat sufiah mula diperkenalkan oleh para ulama pada kurun pertama dan ke-2 Hijrah sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun. Mereka telah menghimpunkan seluruh ilmu kerohanian ini menjadi satu ilmu Islam yang tersusun dengan menunjukkan beberapa cara mengamalkannya dengan betul beradasarkan petunjuk Nabi saw.

D. Apakah Latihan-latihan Kerohaniannya serta Dalilnya?

Berikut kita cuba bentangkan amalan-amalan pokok dalam tariqat sufiah ini yang semuanya bersumberkan wahyu Ilahi serta diamalkan oleh Nabi dan para sahabat Baginda.

1. Taubat dengan taubat yang benar.

Inilah unsur paling penting dan amalan yang terus menerus yang dikehendaki oleh si salik (orang yang menuju Allah) melakukannya. Kerana sifat manusia sentiasa lalai dan lupa kepada Allah Ta'ala. Sentiasa melakukan dosa dan maksiat zahir dan maksiat batin. Maka wajib membersihkan diri bersungguh-sungguh dengan taubat.
Firman Allah:  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُواْ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحاً

"Wahai orang-orang yang beriman! Taubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang sungguh) " -  At-Tahrim :8 

Firman Allah:  إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَبِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang mensucikan diri."  -  Al-Baqarah : 222

2. Zikrullah dengan zikir yang banyak-banyak

Ini adalah asas kepada semua tariqat sufiah. Zikirnya berperingkat-peringkat bermula dari jihar (lafaz dengan lidah) sehingga keperingkat ke dalam hati.

Firman Allah:  أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tetap. (tenang, tenteram)"  -  Ar-Ra’d : 28

Firman Allah:  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اذْكُرُواْ اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً

"Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya."  -  Al-Ahzab (33) : 41

Firman Allah:  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تُلْهِكُمْ أَمْوَلُكُمْ وَلاَ أَوْلَـدُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْخَـسِرُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." -  Al-Munafiqoon, (63) : 9

Zikir adalah penyuci kepada hati. Dengan banyak-banyak zikrullah hati seseorang akan suci sedikit demi sedikit dari kekotoran duniawi lalu bercahaya dengan cahaya Rabbaniyyah. Melalui cahaya ini seseorang akan dibukakan oleh Allah kepada ketuhanan, yang menerbitkan tauhid dan keimanan yang teguh kepada Allah Ta'ala.

3. Suluk, khalwah, atau uzlah

Amalan ini berdasarkan sunnah Nabi berkhalwah, iaitu mengasingkan diri di Gua Hira' Jabal Nur. Amalan ini telah diakui oleh seluruh ulama muktabar sebagai amalan yang sangat berkesan ke dalam hati dan roh.
Seseorang yang ingin menyucikan dirinya daripada segala kekotoran jiwa serta segala aghyar (selain Allah) perlu mengasingkan dirinya beberapa waktu dari manusia untuk beribadat, berdoa dan munajat kepada Allah.

Keheningan dari keriuhan dunia akan memberikan ketenangan jiwa dalam menghadap Rabbul Jalil. Dengan ketenangan itu seseorang akan dapat memusatkan ingatan dan rohnya kepada Allah Ta'ala.

4. Banyakkan selawat

Kebanyakan kita telah mengetahui perintah Allah Ta'ala supaya bersolawat atas Nabi صلى الله عليه وسلم .

Ramai di antara kita yang mengamalkannya untuk mendapatkan berbagai kelebihan sama ada kebaikan dunia atau kebaikan akhirat.
Menurut pandangan ahli makrifat/ahli sufi, selawat atas Nabi adalah menempati zikrullah, iaitu ia menyucikan hati dan menerbitkan cahaya keimanan di dalam hati. Cahaya keimanan ini membukakan hati kepada alam ketuhanan dan tauhid serta menerbittkan taqwa yang tinggi serta kasih kepada Allah dan RasulNya yang tiada berbelah bahagi. Maka benarlah kata Nabi, orang-orang yang paling banyak berselawat atas Baginda akan berada bersama Baginda di akhirat kelak.

Firman Allah Ta'ala;

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. -  Surah Al-Ahzab: 56

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah Ta'ala akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”.  - riwayat Muslim

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku”. - riwayat at-Tirmizi

Dari Anas Radiyallahu 'Anhu, sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

"Barangsiapa yang berselawat ke atasku (Nabi) dengan sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh selawat, dan menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan diangkat pula sepuluh darjat -  riwayat oleh Ahmad, Nasa'ie dan Al-Hakim.

Dari Abi Darda' Radiyallahu 'Anhu, bersabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa beselawat ke atasku (Nabi) sewaktu pagi sepuluh kali dan sewaktu petang sepuluh kali maka engkau akan mendapatkan syafaat pada hari Kiamat" - riwayat Attabrani

5. Perbanyakkan solat sunnat

Paling utama adalah solat taubat dan solat tahajjud. Dalil-dalil tentang kelebihan dan kebaikan solat sunnat juga telah diketahui umum.

Bagi kebanyakan orang awam, solat sunnat dilakukan dengan tujuan tertentu sama ada untuk mendapat pahala atau untuk kebaikan di dunia.

Di sisi ahli makrifat ia bukan sahaja bertujuan untuk mendapat kebaikan bahkan ia dijadikan sebagai suatu ibadah untuk mensyukuri nikmat Allah yang terlalu banyak serta munajat dan menyungkur sujud di hadapan Allah menyatakan kehinaan mereka sebagai hamba Allah - di hadapan Tuhan Rabbul Jalil Yang Maha Agung!

Bangun di tengah kesunyian malam menghadap Allah ketika insan lainsedang lena, menimbulkan ketenangan berhubung dan bermunajat kepada Allah.

6. Bermujahadah melawan keinginan nafsu kekejian.

Melatih diri dengan bermujahdah secara berungguh-sungguh melawan hawa nafsu yang suka kepada kekejian dan bersedap-sedap pada keduniaan dengan cara;

*  mengurangkan makan;
*  mengurangkan bercakap. Hentikan bercakap yang tiada faedah dan sia-sia;
*  mengurangkan tidur; dan
*  mengurangkan pergaulan yang tidak perlu.

Kurangkan bercakap, banyak zikir... pergaulan yang tidak perlu!

Nafsu manusia memang inginkan kesenangan, suka berpoya-poya dengan segala keindahan dan keseronokan duniawi. Seseorang yang mengikuti hawa nafsunya akan merosakkan hati dan imannya. Akibatnya seseorang akan jauh dari rahmat Allah dan akhirnya membinasakan diri sendiri.

Menuruti segala kemahuan hawa nafsu kejahatan yang cenderung kepada keduniaan adalah dicela dan dikeji dalam syara’.

Firman Allah:  أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً

"Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? - Al-Furqan : 43

Firman Allah:   وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَـهُ بِهَا وَلَـكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الاٌّرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـثَايَـتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."  - Al-Araf (7) : 176

Sebaliknya Allah Ta’ala memuji hamba-hambaNya yang sentiasa menyucikan hatinya serta mengengkari kemahuan nafsu kejahatan hatinya.

Firman Allah: وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى - فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِىَ الْمَأْوَى

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya." -  An-Nazi’at (79) : 40, 41

Firman Allah: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَبِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang mensucikan diri." -  Al-Baqarah : 222

7. Lazimkan membaca Al-Qur'an

Latihan asas sejak zaman kaanak-kanak

Banyak kelebihan dan keistimewaan diberikan oleh Allah Ta'ala kepada mereka yang berjinak-jinak dan memuliakan kalam Allah.

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم .

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkan” -  Riwayat Bukhari

“Siapa saja yang membaca satu huruf Al Qur’an, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan menjadi sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan bahawa alif-lam-mim itu satu huruf, melainkan alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf” - riwayat at-Tirmizi - hasan shahih

Menurut pandangan ahli makrifat, Al-Quran adalah cahaya dan menerangi hati mereka yang membacanya dengan tadabbur dan penuh khusyu'.

Demikian kami bentangkan sebahagian dari amalan-amalan penting dalam tariqat sufiah. Kita melihat kesemua amalan tersebut adalah bersumberkan Al-Qur’an dan Hadis Nabi صلى الله عليه وسلم .

Kita cuma sebut secara umum tanpa perincian yang panjang, terutama dalam amalan zikrullah yang menjadi asas kepada didikan kerohanian ini, terdapat banyak sekali tingkatan zikir dan bentuk-bentuk zikir yang berlainan. Mulai dari zikir lisan kemudian disusuli zikir hati, zikir nafas, zikir ruh dan lainnya. Kemudian ini disusuli pula dengan berbagai tingkatan muraqabah dan musyahadah. Semua ini mengambil masa yang sangat panjang serta memerlukan kesungguhan dan istiqamah. Perkara ini akan di bincangkan pada masa akan datang jika perlu.

E.  Unsur-unsur Penting dalam Tariqat Sufiah

i). Syeikh atau imam atau dipanggil juga mursyid yang memimpin tariqat sufiah.

Seorang syeiikh adalah seorang mukmin yang telah mendapat limpahan hikmat Ilahiyyah serta mahir dalam ilmu kerohanian mendidik jiwa manusia. Dan beliau ini mestilah telah mendapat ijazah daripada Syeikhnya atau imam yang memimpinnya sebelumnya sambung-menyambung silsilah perguruan ini hingga sampai kepada Rasulullah saw.

Untuk melihat syarat-syarat lengkap seorang syeikh sila rujuk;
http://tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=694&start=0

ii). Sistem pendidikan kerohanian yang tersusun dan lengkap.

Setiap amalan/wirid/zikir/latihan kerohanian mempunyai adab, peraturan dan kaifiyyat (susunan cara mengerjakannya) tertentu yang mempunyai kesan yang sangat kuat kepada hati.

iii). Zikrullah sebagai teras dan asas kepada didikan jiwa dan roh.

Seluruh ahli makrifat/syeikh tariqat sufiah bersepakat mengatakan unsur zikrullah adalah menjadi unsur terpenting dalam didikan hati, penyucian hati dan roh sehingga ia bercahaya dengan cahaya Rabbaniyyah, memperoleh tauhid yang benar dan tahqiq serta melaksanakan ubudiyyah kepada Allah dengan penuh keikhlasan.

Firman Allah:  اتْلُ مَا أُوْحِىَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَـبِ وَأَقِمِ الصَّلَوةَ إِنَّ الصَّلَوةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”


Elias Hj Idris
Perbahasan kita ini masih berlegar di sekitar bidang tariqat tentang usaha dalam menuju ke jalan Allah swt. Ia bermula sejak 'Dorongan Batin Untuk Menuju ke Jalan Allah' lagi. Bagaimana memelihara rahsia kebatinan, kemudian bertaubat lalu memelihara diri daripada dosa dan memelihara hati itu.

Memang ada tabiat manusia yang suka menganiaya orang, iaitu terhadap saudara-saudara dengan memandang rendah atau suka mencela (ia kesan daripada sifat dan sikap orang Melayu yang suka banyak cakap serta mengomel secara tidak berfaedah dan sembrono). Jika saudara-saudara termasuk ke dalam golongan yang dihadapkan dengan mehnah berkenaan maka hendaklah dikuatkan hati itu dengan sabar.

Jangan sekali-kali cuba untuk membalasnya (ia kebiasaan sifat/perangai orang Melayu!). Hati hendaklah sentiasa bersih daripada sifat dengki dan dendam atau menyimpan perasaan jahat terhadap orang lain. Dan awas, perlu diingatkan juga agar jangan sekali-kali mendoakan sesuatu yang tidak baik terhadap orang itu. Jika ditakdirkan dia ditimpa musibah atau terkena celaka pun, maka jangan saudara mendakwa yang ia adalah balasan Allah swt terhadap penganiayaannya terhadap saudara.

Jika saudara dapat berbuat lebih daripada sabar terhadap penganiayaan berkenaan maka adalah yang terlebih utama - di mana saudara dapat memaafkan sambil mendoakan kebaikan untuk dirinya. Ia adalah akhlak dan kelakuan para siddiqin. Anggaplah segala penganiayaan orang itu sebagai sebesar-besar nikmat pemberian daripada Allah swt. Lantaran, jika mereka itu semua menyanjungi saudara pun mungkin ia boleh memasyghulkan saudara dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah swt. Kita akan terlupa diri apabila dibuai dek sanjungan dan pujian yang melambung!

Al-fatehah - Hamba yang disayangi: Dalam setahun selepas memeluk Islam
dia berkurung dalam studio kerana menyiapkan rakaman lagu-lagu barunya

Demikian juga sekiranya saudara diuji dengan sanjungan, penghormatan, kepujian dan berpusu-pusu kehadiran manusia datang berkunjung kerana sesuatu hal, maka hendaklah diawasi diri itu supaya tidak terfitnah oleh mereka. Hendaklah sentiasa mensyukuri akan Allah swt yang telah menutup segala kekurangan dan kecacatan diri saudara daripada penglihatan mereka.

Sekiranya jika kita berasa bimbang ia mungkin boleh mendorong saudara untuk mengambil sikap berpura--pura atau bermuka-muka ketika berada dalam majlis mereka atau dengan pergaulan itu sehingga boleh menghalang saudara daripada mengerjakan ketaatan kepada Allah swt, maka jalan terbaik ialah dengan bertindak segera mengasingkan diri daripadanya. Jika perlu ditutupkan pintu rumah supaya mereka itu tidak datang lagi atau saudara tinggalkan tempat itu dengan beralih ke tempat lain yang tidak diketahui oleh mereka.

Hendaklah saudara sentiasa memilih untuk mengasingkan diri, jauhkan diri daripada mencari nama atau kedudukan kerana di sebaliknya itu tersimpul fitnah dan bencana. Berkata sesetengah para salaf; "Demi Allah, tiada seorang pun hamba yang berlaku benar kepada Tuhannya, melainkan dia suka jika tiada seorang pun yang mengetahui tentang kedudukannya."

Seorang salaf yang lain pernah berkata; "Sepanjang yang kutahu, bahawasanya tiada seorang pun yang ingin agar dirinya dikenali orang, melainkan akan binasa agamanya dan akan pecahlah tembelangnya."


Jangan Takut Akan Manusia

Carlos Slim:
Manusia paling kaya & berpengaruh di Amerika Tengah

Saudara yang budiman, dalam menempuh jalan ini kita hendaklah berusaha untuk menghindarkan diri daripada takut dengan sesama manusia; dan tamakkan hak yang ada di dalam tangan mereka. Ia akan menahan saudara daripada membantah akan kebatilan yang mereka lakukan - sehingga saudara membisu dan mendiamkan diri terhadap orang-orang yang gemar meringan-ringankan agama dan meninggalkan amar ma'ruf, nahi munkar. Ia kelak meletakkan saudara sebagai seorang yang hina di sisi Allah swt. Sedangkan, seseorang mukmin itu tarafnya adalah mulia di sisi Tuhannya tanpa takut atau mengharapkan sesuatu daripada pihak lain selain daripada Allah swt.

Jika ada seseorang mukmin yang menghulurkan sesuatu bantuan atau berbudi dengan niat yang baik maka bolehlah saudara menerima pemberiannya itu - dengan syarat saudara memang memerlukan. Kemudian saudara hendaklah mensyukuri akan Allah swt terhadap pemberian tersebut kerana Dialah Pemberi yang sebenarnya. Dan jangan lupa untuk berterima kasih kepada orang yang menyampaikan pemberian itu ke tangan saudara.

Sekiranya saudara tidak berhajat kepada pemberian itu, maka hendaklah ditanyai diri itu terlebih dahulu. Jika bisikan hati memberitahu yang saudara lebih baik menerimanya, maka terimalah. Jika hati itu berkata yang ia tidak diperlukan maka hendaklah saudara menolaknya dengan lemah-lembut dan berhemah agar tidak mengecilkan hati orang yang memberi. Perlu diingat, menjaga hati seseorang mukmin dan penghormatannya adalah perkara pokok yang amat dipandang berat oleh Allah swt.

Jangan sekali-kali saudara menolak pemberian itu kerana menyombongkan diri, ataupun sebaliknya menerima pemberian itu dek kerana menurutkan kehendak hawa nafsu. Namun jika ia diterima kerana tuntutan hawa nafsu - adalah lebih baik daripada menolaknya kerana menyombong diri. Atau ia ditolak konon kerana mahu menunjukkan kezuhudan saudara; kononnya saudara membelakangi dunia dan tidak mencintainya lagi!

Pada seseorang yang sentiasa bertindak dan bersikap benar tidak akan mudah terkeliru dalam hal-hal tersebut. Allah swt akan tetap memberikan petunjuk di hatinya sehingga mudah baginya untuk menentukan mana satu yang harus diputuskan?

"Kalau Allah menghendaki, nescaya Dia jadikan kamu umat yang satu, tetapi Dia hendak mencubai kamu tentang apa yang diberikanNya kepadamu, sebab itu berlumba-lumbalah kamu (memperbuat) kebaikan. Kepada Allah tempat kembalimu sekelian, lalu Allah mengkhabarkan kepadamu tentang apa-apa yang telah kamu perselisihkan."  - akhir Al-Maidah: 48
Elias Hj Idris
Ketahuilah wahai sekelian sahabat dan para murid sekelian, bahawasanya rezeki adalah ketentuan yang telah dibahagi-bahagikan oleh Allah swt. Ada di antara hambaNya yang diluaskan rezekinya dan dilapangkan kehidupan mereka. Manakala ada yang lain pula dikurangkan rezeki dan disempitkan kehidupannya menurut kebijaksanaanNya.

Jika kita adalah di antara mereka yang disempitkan rezekinya maka hendaklah kita bersabar, kemudian redha terhadap keputusan Allah swt itu. Kita hendaklah bersifat qanaah (iaitu cukup) dengan bahagian yang ditentukan oleh Allah swt untuk kita. Sementara itu jika ada di antara kita yang diluaskan rezekinya maka hendaklah diambil secukupnya sahaja sekadar memenuhi hajat dan keperluan terhadap rezeki itu. Selebihnya, ia hendaklah dibelanjakan pada jalan-jalan kebajikan dengan berderma dan berbakti.

Dalam bab hantaran perkahwinan;
dapatkah kita berpada-pada dengan apa yang ada?

Kita perlu sedar, barangsiapa yang ingin memasuki jalan Allah swt, maka tiada wajib ke atas dirinya buat membelanjakan kesemua harta kekayaan yang ada jika seseorang itu memang dari kalangan berharta. Malah tidak perlu baginya meninggalkan pekerjaan atau perniagaannya jika sekiranya dia seorang pekerja atau ahli perniagaan. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan bertaqwa dan sentiasa redha kepada Allah swt dalam segala urusan.

Kemudian hendaklah bersederhana dalam segenap pekerjaan dan perniagaannya supaya jangan sampai meninggalkan yang fardhu ke atas dirinya; dan juga mana-mana yang sunat - supaya tidak terjerumus ke dalam urusan yang haram ataupun ada campurtangan dalam hal-hal yang tidak berkaitan dengan urusannya. Semua itu tidak baik bagi orang-orang yang ingin menuju ke jalan Allah swt.

Sekiranya kita pasti bahawa hati itu tidak akan boleh lurus dan agamanya tidak akan selamat daripada bencana yang mengancam melainkan dengan menghindarkan diri daripada segala harta dan kekayaan serta apa jua yang boleh menarik kepadanya, maka wajib atas seseorang itu menghindarkan diri daripada segala harta dan kekayaan tersebut.

Jika sekiranya dia seorang yang mempunyai anak-isteri yang wajib diberikan nafkah dan keperluan maka wajiblah atasnya menyediakan segala keperluan itu. Maka wajib dia berusaha mencari wang untuk menampung keperluan nafkah dan pakaian anak-isterinya itu. Namun sekiranya sesudah berusaha, dia masih juga tidak berjaya sehingga sampai ke peringkat syara' yang menguzurkan maka barulah seseorang itu terbebas dan selamat daripada dosa.


Inginkan kasut yang cantik dan mahal?

Jangan Panjang Harapan dan Angan-angan

Kita juga hendaklah sentiasa ingat bahawa kita tidak akan berkuasa melazimkan diri dalam ketaatan dan menjauhkan diri daripada tuntutan syahwat dengan membelakangkan dunia dan segala keindahannya. Lainlah jika kita sentiasa mengingatkan diri itu bahawa hidup di atas dunia hanya ada beberapa hari sahaja lagi; dan tidak berapa lama lagi kita akan mati. Di waktu itu baru kita melihat ajal yang telah pun berada di depan pintu, dan kita telah pun bersedia untuk menemui maut - dengan menjangkakan yang ia bakal tiba pada bila-bila masa sahaja.

Awas, jangan sekali-kali tertipu oleh panjang harapan dan angan-angan untuk hidup yang lebih lama di atas dunia ini. Ia kelak akan menarik kita untuk mencintai dunia dan saudara-saudara akan mulai sugul sehingga menjadi sukar untuk melazimkan diri dalam ketaatan. Kita sudah tidak akan cenderung untuk beribadat dan mengasingkan diri dalam menuju ke akhirat.

Dan dengan yang demikian, sekiranya kita asyik berkira-kira bahawa maut telah pun semakin hampir dan masanya sudah terlalu dekat adalah lebih baik. Jadi turutilah akan anjuran ini semoga Allah swt memberikan taufiqNya.
Elias Hj Idris
Walaupun tinggal serumah, tujuh orang teman serumah kami jarang dapat bersama selalu. Jika dua orang ada di rumah, lima lagi entah di mana? Paling jarang dapat bersua muka ialah dengan Cikgu Roshidi yang mengajar di Sekolah Menengah Sains - sekolah elit yang terulung di Kota Bharu. Ia di antara sekolah menengah Sains yang terawal dibuka di negara ini. Dia guru pendidikan jasmani yang pakar dalam sukan ragbi - yang ditukarkan dari MCKK, Kuala Kangsar - seorang cikgu veteran. Jadi, bidangnya sukan maka dia tidak pernah pakai 'smart' selain daripada track-suit dan T-shirt.

Landmark utama pekan Kota Bharu - mesjid

Dek kesibukan itu, dia jarang-jarang pulang ke rumah. Selain, mungkin dia tidak betah untuk bergaul rapat dengan guru-guru muda - sekitar 24 dan 26tahun, sedangkan dia sudah punberusia 35 tahun. Lantaran di sekolah itupun ada bilik gurunya sendiri untuk berihat yang bertempat di kawasan asrama.

Cikgu Samad dan Azra'ei memang dapat dicamkan jadualnya sebab mereka sama-sama mengajar di satu sekolah - Jelawat. Cikgu Hassan walaupun mengajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, tetapi dia mesti sering berada di rumah dalam menyusun aktivitinya. Dia seorang pendidik yang langsung tidak tahu berdikari dan tidak boleh menghadapi masalah. Dia mudah pening dan serabut. Jadi, dia perlukan Cikgu Fatah, yang lebih cekap dengan selok-belok di bandar dan persekitarannya serta dengan perancangan mereka setiap malam. Demikian juga sebaliknya, Cikgu Fatah perlukan Cikgu Hassan kerana masalah kenderaan.

Cikgu Hassan ada kereta Mini Cooper S warna biege serta berbumbung petak hitam-putih; top of the list sebagai kereta mat remeo di pekan KB. Manakan orang tidak tergoda dan terpukau dengan bunyi ekzos yang lemak dan mengancam. Itulah satu-satunya kereta yang boleh dikira sport yang sering berlegar di sekitar bandar. Selalunya, dia akan bersama Cikgu Fatah yang sentiasa 'smart' penampilan mereka - baju 'Arrow' mahal - RM24 dan RM28. Seluar mesti ada sait tajam, cuma pakai sendal tali silang. Kasut kulit jarang-jarang dipakai, melainkan apabila ada mesyuarat besar.

Seorang lagi ahli dari dalam klik ini adalah Cikgu Shuhaili berasal dari tempat yang sama dengan Cikgu Hassan di Telok Anson - kaki 'Arrow' yang rajin membeli. Cermin mata 'Ray-ban' warna cokelat tidak pernah tanggal. Badan kering, tidak banyak bercakap. Minyak rambut mesti dari jenis 'Tancho' hijau tu. Jadi, mereka ini selalunya keluar bersama - pergi makan dan apabila malam mesti pergi jalan-jalan - meronda ke segenap ceruk.

Sebagai orang baru, teman tidak jelas dengan kehidupan di bandar ini. Memang teman biasa dengan kehidupan di bandar Johor Bahru, itupun sebab latihan yang diterima itu di sana. Bukan bermakna teman sering keluar - kecuali semasa Cikgu Tin sedang 'mengorat' teman. Jadi, kebanyakan masa tinggal dalam kawasan maktab, berkawan dengan pelatih maktab. Oleh kerana teman seorang yang aktif dengan segala jenis persatuan dan pertubuhan, selain daripada bersukan jenis padang pada setiap petang - jadi masa senggang untuk santai itu jauh sekali.

Jadi, teman banyak memerhatikan keadaan dan gerak laku mereka di rumah itu; pada setiap individu. Kalau dalam istilah pendidikan, teman sedang mengalami proses pembelajaran. Cuma pada waktu-waktunya teman berasa bingung. Apa tidaknya, selain daripad kami bertujuh terkadang-kadang ada perempuan yang tidak dikenali di rumah itu; tentunya bukan mereka itu datang sendiri. Mereka dibawa pulang oleh kengkawan pada waktu malam - selepas pulang dari berjalan-jalan; di waktu teman sedang nyenyak tidur di bilik tengah.

Hanya pada keesokan harinya baru nampak kelibat mereka sebaik bangun tidur; jam 11.00pagi selepas Cikgu Hassan pergi ke sekolah. Cikgu Samad dan Azra'ei pun sudah bertukar mengajar ke sessi petang meninggalkan teman mengajar di sessi pagi. Jadi, teman perlu menumpang kereta Cikgu Hassan ke pertengahan jalan sebelum mengambil bas atau kereta sewa untuk ke sekolah di Seri Gunung.

Ia keadaan yang amat menyeronokkan memandangkan si Jamilah itu masih di sana. Cuma di antara kami sudah dibatasi rasa segan-silu apabila kisah kami sebelumnya sudah menjadi buah mulut orang. Bubur asyura punya pasal, kami berdua terlekat 'getah'nya; punca teman berpindah tinggal di Kota Bharu.

Jadi di rumah itu, eadaan agak meriah hanya apabila di hujung minggu. Masing-masing baru dapat berkumpul dan rancak berbual tentang pengalaman mereka sepanjang minggu. Pengalaman di sekolah dengan murid-murid atau dengan Guru Besar. Entah kenapa cikgu-cikgu ini, termasuk teman juga begitu anti dengan Guru Besar! Kenapa?

Ada Guru Besar yang berkelulusan ijazah - tanpa pengalaman sudah dilantik menjadi Guru Besar sekolah (pada masa itu pengetua sekolah menengah masih dipanggil Guru Besar). Ada sesetengahnya baru 1-2 tahun pengalaman mengajar, tetapi sudah dapat naik pangkat dengan cepat disebabkan oleh kelulusan mereka. Rata-rata kalangan manusia yang rajin belajar ini (hingga masuk ke universiti) biasanya tidak pernah ada aktiviti luar. Sebelumnya, mereka cuma mengajar (kebanyakannya dari kalangan guru biasa) dan apabila malam mereka belajar matapelajaran tingkatana enam di sekolah swasta dan kemudian apabila lulus masuk ke universiti. Mereka belajar lagi.

Ada pula Guru Besar yang berpengalaman mengajar - naik pangkat dek kerana pengalaman itu. Cuma skel gajinya jauh berbeza daripada guru berijazah yang kurang pengalaman itu. Jadi, kedua-dua jenis Guru Besar ini menghadapi masalah penyesuaian diri - 'feel inferior' dengan guru-guru yang ada, tetapi berkebolehan. Itu masalah yang dihadapi oleh Cikgu Rashidi - pakar dalam bidang sukan di sekolah yang terbaik dihantar dek kementerian ke kawasan pantai timur. Cikgu Samad pun sama - pun aktif dalam sukan. Kemudian Cikgu Fatah, seorang guru yang handal dalam permainan hoki. Seterusnya, Cikgu Shuhaili, Cikgu Hassan dan Cikgu Azra'ei yang memang handal dalam permainan sepak takraw dan bola sepak.

Teman pula, selain daripada aktif dalam di hampir kesemua persatuan, aktif juga dalam sukan acara padang - melempar cakera, melontar peluru dan merejam lembing. Maka inilah jenis manusia yang dihantar oleh kementerian konon untuk mendidik anak-anak murid dan orang tempatan agar berjinak-jinak dengan bidang berkenaan. Dan seperti biasa, kelebihan yang ada ini bukan sahaja tidak disenangi oleh Guru Besar, tetapi oleh orang tempatan juga. Mereka teramat sensitif dengan kelebihan tersebut! Tunjuk agah, kata deme.

Jadi, selalunya apabila masing-masing berkumpul - Guru Besar adalah sasarannya. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Itupun ada benarnya juga, Guru Besar adalah orang tempatan di mana guru-guru yang berkebolehan ini datangnya dari luar. Ada perbezaan taraf di situ, di mana Guru Besar akan berasa tercabar apabila pendapat bodoh mereka dibantah. Mereka 'ulat buku', tetapi dihadapkan dengan kerenah orang yang jauh lebih aktif. Itu puncanya. Dan ia tidak habis di situ - akan ada unsur balas dendam dan 'penderaan' halus oleh Guru-guru Besar berkenaan; dari pelbagai aspek.

Sebagai orang berkebolehan, guru-guru ini apa peduli dengan segala tindakan balas dendam dan 'penderaan' itu? Ia biasa dihinguskan sahaja. Senang cakap, 'pegi mampus la sama lu...'. Dan inlah yang berlaku di mana cikgu-cikgu ini hanya bertugas sekadar makan gaji - ada kerja, ada gaji. Nak berlebih-lebih, selain daripada tidak disenangi akan timbul kemudian diskrimninasi dan soksek-soksek iri hati. Ia akan menjalar jadi buah mulut dan fitnah juga. Jadi, guru-guru yang tertekan ini akan mencari jalan 'pelarian'nya. Maka timbullah gejala hiburan malam seperti yang dilalui oleh cikgu-cikgu muda yang tinggal serumah dengan teman ini.

Dan teman masih memerhatikan.

Tiba-tiba pada malam itu kedengaran riuh-rendah di ruang tamu. Jam menunjukkan 3.00 pagi. Kereta yang dipinjam dek Cikgu Hassan (apabila keretanya dihantar servis) terkena batu. Ada orang baling dengan batu besar ke keretanya ketika masuk ke kawasan perumahan itu.

"Cemas la tak kena kat cermin... kalau tidak berderai le muka aku," sayup-sayup kedengaran suaran Cikgu Hassan dengan gaya kelam-kabutnya itu.

Ia hanya kedengaran di hujung-hujung telinga. Dek kerana masih diulit mimpi, jadi teman tidak berhasrat untuk bangun mengetahui apakah kisahnya yang diriuhkan? Esoknya, apabila bangun pagi baru keadaan agak jelas.

Memang kereta mereka dibaling batu besar apabila membawa pulang perempuan jalanan ke rumah. Untung kereta Cikgu Samad tidak kena walaupun ia kereta tidak berbumbung - MG Midget Sports.

"Depa menyorok dalam hutan... di balik pokok nangka dekat simpang tu," Cikgu Hassan dengan gaya beria-ia dengan gelagatnya sekali. "Tau-tau nampak gelap aje ketul tu berdentum kat pintu."

"Aku ingatkan apa benda," sahut Cikgu Shuhaili dengan gaya selamba sambil membetulkan sunglass 'Ray-ban'nya itu. "Kau pi tengok lekuk kemek tu."

"Abih, nepa tak berhenti? Kejar la depa tu...," sahut Cikgu Azra'ei dengan serius.

"Kamu nak mampus... tu dua ekor mata ayaq dok ada sama - duduk kat belakang," jelas Cikgu Hassan.

"Err... salah engko orang la. Dok bawa pompuan tu watpe?" Azra'ei membebel.

"Kalau aku pun takkan berhenti. Nak mampus kat tempat orang," sahut Cikgu Samad sambil tersengih. "Ni bukan baru sekali diaorang 'mark' kita ni. Tentu dah banyak kali."

Teman cuma mendengarkan, tidak boleh nak kata apa-apa sebab mereka itu pun kawan sendiri juga. Salahnya pun ada... angkut pompuan jalanan bawa balik ke rumah.

"Mana pompuan tu semua?" Azra'ei mengerutkan keningnya sambil jalan mundar-mandir di ruang tamu. "Korang tak introduce kat aku pun."

"Dah... kami dah hantar depa balik malam tadi tu juga. Bagi naik teksi," sahut Cikgu Hassan sambil mengerutkan keningnya.

"Kenapa? Takut ke?" Azra'ei mengusik.

"Huh... buatnya depa bawa tuk imam datang ke mari, hah lagi haru," Cikgu Hassan mengomel. Dia memang risau sebab tunangnya sedang menunggu tarikh pernikahan mereka yang belum ditentukan di kampung sana.

"Kau takut ye, Asan?" Azra'ei tersengih. "Kau takut tunang kau tau betapa nakalnya kau kat sini."

"Ah, itu cite orang tua-tua... aku pun tak ready lagi. Camne nak nikah ada anak-bini?"

"Haa... cuba kau buat macam aku. Takde sape yang yang nak ditakutkan... tunang takde, bini jauh sekali," jelas Cikgu Samad sambil menyerongen.

"Kau Li... bila nak pergi Golok lagi?" Azra'ei menujukan soalannya pada Cikgu Shuhaili pula yang asyik termenung di muka pintu.

Cikgu yang kurus kering itu menjeling. Dia jenkel apabila hal peribadinya diperkatakan di hadapan ramai walaupun dia bukan dari jenis rewang. Dia hanya suka keluar makan dan minum-minum, khayal sendiri. Gerakannya kerap secara tertutup. Dia pun nakal, tetapi tidak di kawasan ramai yang jadi tumpuan orang. Jadi, tempat regularnya tentulah di pekan Golok sana.

Mekong pun murah sahaja.
Elias Hj Idris
Ada kalanya seseorang murid yang mengikuti jalan tasauf ini akan diuji dengan kemiskinan, kepapaan dan kesempitan hidup. Sayugia hendaklah dia bersyukur kepada Allah swt kerana dia harus mengira bahawa itu adalah takdir Allah swt yang menjadikannya miskin, papa, dan sempit itu sebagai sebesar-besar nikmat.

Perlu diingat, dunia itu adalah 'seteru' Allah swt. Dia menggembirakan seteru-seteruNya dengan keindahan dunia, dan melindungi para auliaNya daripadanya. Jadi sekelian murid yang mengikuti jalan ini harus mensyukuri Tuhan yang telah menyamakan kamu dengan para anbiya, para auliya dan sekelian hambaNya yang solehin.

Adalah tidak kena jika sampai memiliki sebuah jet peribadi
siap dengan segala perhiasan yang eksklusif sekali

Bukankah Nabi Muhammad saw yang merupakan penghulu dari sekelian Rasul dan sebaik-baik makhluk Allah di atas muka bumi ini pun pernah mengikat batu di perutnya disebabkan terlalu lapar. Ada kalanya berlalu dua bulan berturut-turut, atau lebih sedang di dapur rumah baginda tidak berasap. Nabi dan ahli keluarganya memadai dengan makan sedikit kurma dan minum air sejuk sahaja.

Sekali peristiwa seorang tetamu datang ke rumah baginda, maka baginda meminta orang pergi bertanyakan makanan ke rumah-rumah isteri baginda yang sembilan orang itu.  Malangnya, tidak ada sebuah rumah pun yang ada menyimpan makanan. Demikian juga pada hari baginda wafat, baju besinya masih tergadai kepada seorang Yahudi, kerana membeli beberapa gantang gandum, sebab di rumahnya tiada apa-apa lagi yang hendak dimakan, kecuali segenggam gandum.

Oleh itu wahai sahabat dan murid sekelian, ambillah dari dunia itu sekadar sekeping kain lusuh buat menutup auratmu dan tidak lebih daripada beberapa suap makanan untuk menghilangkan laparmu. Dengan syarat makanan itu mestilah dari sumber yang halal.

Awas kamu daripada racun yang akan membinasakan diri kamu; iaitu jangan sampai terpengaruh dengan kenikmatan dunia sehingga kamu dipermain-mainkan oleh tarikan syahwat. Seterusnya kamu akan berasa dengki terhadap orang-orang yang dikurniakan Allah kenikmatan dan kelazatan dunia itu.

Ingatlah bahawa mereka itu akan disoal tentang kenikmatan tersebut, dan akan diperhitungkan terhadap semua yang mereka peroleh dan telah bersenang-senang dengan syahwatnya. Andainya kamu dapat bayangkan betapa beratnya tanggungan yang mereka rasakan, dan betapa besar tanggungjawab yang akan mereka hadapi, di samping menanggung duka-nestapa di hati serta ketidak-tenteraman di dada dalam mengejar dunia, dan berlumba-lumba untuk menambahkan harta kekayaan serta amat sayang untuk membelanjakannya; maka kesemua itu akan membuatkan mereka rela hidup lebih susah dan berat daripada apa yang mereka rasakan apabila menikmati kelazatan dunia (itupun kiranya boleh dikatakan ia satu kelazatan!).

Memadailah dengan firman Allah swt yang mencegah kamu daripada mencintai dunia dan menganjurkan kamu supaya hidup berzuhud terhadapnya, iaitu;

"Dan kalaulah tidak manusia itu semua menjadi umat yang satu (semuanya gila kekayaan) nescaya Kami buatkan untuk orang-orang yang tiada percaya kepada Tuhan Pemurah atap rumah dan tangga tempat naik mereka, semuanya dari perak. Dan pintu-pintu rumahnya dan ranjang tempat mereka bersandar (daripada perak juga). Dan dibuatkan juga perhiasan keemasan. Bahawa semua itu hanyalah keindahan hidup di dunia, sedang akhirat itu disediakan oleh Tuhanmu bagi orang-orang yang bertaqwa."  -  Az-Zukhruf: 33-35

Sabda Rasulullah saw;
"Dunia itu adalah penjara orang mukmin, dan syurga orang kafir. Sekiranya dunia itu dipandang berharga di sisi Allah senilai sayap seekor lalat sahaja, nescaya Dia tidak akan memberi minum kepada orang kafir itu walau seteguk air sekalipun."

Ketahuilah, bahawa Allah swt tidak pernah pandang kepada dunia itu sejak hari ia diciptakan.
Elias Hj Idris
Ketahuilah wahai sekelian sahabat yang budiman bahawasanya permulaan jalan menuju kepada Allah swt itu ialah sabar dan kesudahannya syukur. Ada permulaannya siksa dan kesudahannya gembira; permulaan yang sukar dan kesudahannya terbuka semua pintu, tersingkap segala rahsia dan tiba ke kemuncak cita-cita dan harapan - iaitu ma'rifatullah, sampai ke hadrat Allah swt, bermesra-mesra dengan berada di sisiNya bersama sekelian para malaikatNya.

Sesiapa yang mengiringkan (menjalankan) kesemua urusannya dengan sabar yang elok dan manis, nescaya akan memperoleh segala kebaikan, akan sampai kepada semua cita-cita dan tujuan serta berjaya mencapai segala maksud yang dituntut.

Melakukan segala urusan dengan sabar

Kategori Nafsu

Ketahuilah kita bahawa nafsu itu pada mulanya ammarah bis-su', yakni menyuruh berbuat yang jahat dan melarang daripada yang baik. Jika seseorang itu menentangnya dengan sabar dan melawan kesemua tuntutan hawa nafsunya maka bertukarlah ia kepada nafsu lawwamah. Ia adalah nafsu yang mencela kejahatan, dengan satu muka ke darjat mutma'innah dan muka yang lain ke darjat ammarah; sekali ia menyuruh berbuat jahat dan sekali lagi menyuruh berbuat baik.

Jika seseorang itu seterusnya mendapat taufiq dari Allah swt lalu memimpin nafsunya ke jalan Allah Taala dengan pimpinan yang penuh kecenderungan kepada apa yang ada di sisi Tuhannya, maka ia bertukar lagi ketika itu menjadi mutma'innah. Ia menyuruh kepada berbuat baik dengan merasakan penuh kemesraan dan kelazatan, serta melarang membuat jahat sambil merasakan kebosanan dan kebencian.

Bagi orang-orang yang memiliki nafsu mutma'innah ini akan berasa takjub dan hairan apabila melihat sesetengah manusia yang mengabaikan ketaatan kepada Allah swt. Padahal dalam ketaatan itu terisi perasaan mesra, kelapangan dada dan kelazatan. Sedangkan bagi mereka yang cenderung melakukan maksiat dan menurut kehendak nafsu syahwat - di mana sewaktu dalam kemaksiatan itu terisi perasaan duka-nestapa, pahit-getir dan rasa ketidak-tenteraman!

Bagi orang yang telah mencapai nafsu mutma'innah itu menjangka bahawa mereka itu tentu telah mencapai dan merasakan kedua-dua keadaan berkenaan sebagaimana dia pernah mencapai dan merasainya sendiri. Kemudian dia akan kembali menyelidiki akan dirinya sekali lagi dengan mengingatkan dirinya bahawa segala yang pernah dirasai sebelum itu, iaitu ketika mengecap kelazatan dalam menurutkan kehendak hawa nafsunya, dan ketika dia merasakan pahit-getirnya dalam menjalankan ketaatan maka barulah dia sedar bahawa dia tidak sampai ke tingkat di mana dia sedang berada di waktu itu - melainkan sesudah dia melalui satu perjuangan yang panjang dan percubaan yang berat daripada Allah swt.

Oleh yang demikian wahai sahabat yang budiman sekelian, ketahuilah bahawasanya sabar dalam menjauhi maksiat dan meninggalkan kesemua kehendak syahwat, dan sabar dalam melazimkan diri untuk mengerjakan ketaatan itulah yang bakal menyampaikan kita kepada segala rupa kebaikan, dan yang akan menjamin bagi diri masing-masing memperoleh kedudukan yang mulia dan keadaan yang istimewa di sisi Allah swt.

Firman Allah swt;
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan sempurnakanlah kesabaran itu dan perteguhkanlah kekuatan kamu serta patuhlah kepada Allah, moga-moga kamu beruntung."  -  Ali-Imran: 200

FirmanNya lagi;
"Telah sempurnalah perkataan yang baik dari Tuhan untuk anak-anak Israel disebabkan kesabaran mereka."  -   Al-A'raaf: 137

FirmanNya lagi;
"Dan Kami jadikan di antara mereka itu beberapa pemimpin yang akan memberikan pimpinan dengan perintah Kami, apabila mereka bersabar, dan mereka yakin kepada keterangan-keterangan Kami."  -  As-Sajdah: 24

Sabda Rasulullah saw;
"Di antara kurnia-kurnia yang sangat sedikit diberikan kepada kamu ialah sifat yakin dan keteguhan dalam sabar."

Apabila seseorang mukmin telah memperoleh nasib yang cukup dari kedua-dua sifat tersebut, yakni keyakinan dan kesabaran nescaya dia tidak akan peduli (berasa kesal lagi) seandainya ada yang terluput dan terlepas daripada bangun di tengah malam ataupun berpuasa di siang hari.
Elias Hj Idris
Live Traffic Feed di http://ikanlepu.blogspot.com/


pada 4 . 11 . '11 ialah 11,111 entri pada jam 1.11 pagi.
Elias Hj Idris
Bersempena dengan tahun baru yang disambut oleh manusia yang tidak kenal akan matlamat kehidupan itu elok kiranya kita berbicara sedikit perkara asas tentang asal kejadian dan kelahirannya di atas muka bumi ini. Kesnya ialah berkenaan dengan orang Islam masih menentang undang-undang Islam/perintah Allah. Natijahnya sama dengan kes iblis laknatullah yang angkuh! Dan di akhirnya, nasib mereka pun akan sama dengan iblis juga.
Membuka aurat dan bergaya erotik...

Azazil, adalah keturunan Iblis yang ada sekarang dijadikan begitu adalah sebagai imbalan/contoh bagaimana Allah tidak akan memandang siapa kamu atau kita semua? Walaupun asalnya dia hamba yang terbaik kerana zuhudnya beribadat selama 20,000 tahun. Dek kezuhudan itu dia dilantik menjadi ketua malaikat, hingga layak mengajar sekelian para malaikat tentang cara bagaimana mahu menyembah Allah? Namun, apabila angkuh sahaja, bagi Allah swt 'out you go!"  Azazil itu dilaknatkan tanpa pengampunan sehingga hari kiamat dan masuk neraka.

Jadi dalam bab ini kita jangan sekali-kali terkeliru atau jahil tentang konsep kejadian tentang sesuatu hal kejadian oleh Allah akan di sekeliling hamba-hambaNya.

Surah Al-Hijr: 39; "Berkata iblis: Hai Tuhanku! Demi sebab Engkau menyesatkanku akan kuhiaskan kepada mereka (kejahatan yang ada) di bumi (sehingga mereka pandang baik) dan demi akan kusesatkan mereka itu semuanya."

Setelah dilaknatkan pun iblis masih berkeras. Dia memohon sambil berjanji untuk menyesatkan anak-cucu Adam a.s (kalau boleh kesemuanya sekali). Kejadian ini berlaku selepas Iblis memperdayakan Adam a.s. agar mendekati pohon larangan; di mana kedua-duanya didenda dengan menghantarkannya turun ke alam dunia.

Jadi kita kena faham bahawa mereka, iaitu manusia yang menentang dan menjadi kafir itu adalah dengan permintaan sang iblis (bukan dengan kehendak Allah pada asasnya atas sifat adilNya itu); Allah benarkan, tetapi Dia tidak redha dengan kemungkaran/kekafiran hambaNya itu.

"Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas." - Al-Hijr: 40, sambung iblis sebagai lapik yang bererti jenis hamba Allah yang macam itu dia tidak berupaya - hamba yang ikhlas, tulus dan mulus. Dan Allah akur ("Allah berfirman: Inilah jalan yang lurus bagiKu" - Al-Hijr: 41).

Dan ini pula adalah jaminan Allah akan hamba-hambaNya yang taat dan tahu menjaga diri; "Sesungguhnya, hamba-hambaKu tidak ada bagi engkau kekuasaan atas mereka kecuali orang yang mengikut engkau di antara orang-orang yang sesat." - Al-Hijr: 42.

"Sesungguhnya neraka jahannam, tempat siksaan mereka kesemuanya." - Al-Hijr: 43.

Semoga kita semua jelas tentang kederhakaan hamba itu; di mana mereka itu telah jatuh ke dalam 'tawanan' iblis, BUKAN dengan kehendak Allah - tetapi ketetapan Allah yang Dia benarkan sebab si hamba itu derhaka dan sedia mengikut kehendak/ragam iblis (maknanya, masing-masing menuai daripada apa hasil yang disemai!).

Contohnya, manusia dilarang melakukan maksiat dan kejahatan - minum arak, berzina, zalim dsb melalui pengutusan para Nabi dan Rasul. Ada empat kitab keterangan (Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran) yang menjelaskan tentang apa yang boleh dan tidak; yang dimurkai dan disukai Allah swt di mana isi pedomannya ialah tauhid - beriman akan Allah swt.

Kemudian ada di antara manusia yang berkata bahawa jangan dihina sesama sendiri walaupun telah ada orang Melayu yang murtad dan kafir (seolah-olah berasakan bahawa itu adalah dengan kehendak Allah!).

Lihatlah apa yang diperintah oleh Allah kepada Nabi saw, "Hai Nabi, berjuanglah terhadap orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan keraslah terhadap mereka. Dan tempat mereka dalam neraka jahannam. Itulah tempat kembali yang jahat." - At-Taubah: 73

Ini perintah Allah (bukan setakat jangan hina) malah mesti berlaku keras dan diperangi - kalau masa teman mengaji di pondok, ada tuk guru kata 'dibunuh' malah sang kafir itu terhutang nyawa dek kerana dosa derhakanya itu yang terlalu amat besar.

Dan supaya kita lebih jelas, Allah perkuatkan dengan peringatan ini, "Janganlah engkau sembahyang atas seseorang yang telah mati di antara mereka selama-lamanya dan jangan pula engkau berdiri di atas kuburnya (buat ziarah). Sesungguhnya, mereka itu kafir terhadap Allah dan rasulNya, dan mereka mati - sedang mereka itu fasik." - At-Taubah: 84.

Jadi, Allah larang kita solatkan mayat sang munafik. Ziarah ke kubur pun tidak boleh sebab sewaktu hidupnya, dia telah mungkar dan fasik - sebagai makhluk yang paling hina. Jadi, mana mungkin kita tidak boleh hina orang yang semacam ini?

Nota: Cuma kita kena faham tentang pengasingan di antara kehendak iblis ATAU kehendak Allah swt. Itu sebab kita di atas dunia ni ada dua persimpangan; ikut jalan iblis atau jalan Allah!

Cuma kita semua kena ingat; Allah memang berkehendak dalam menentukan seseorang itu munkar atau kafir. Jika dijadikan seseorang itu baik pun, akhirnya dia akan munkar dan jahat juga. Itu sudah memang berada di dalam pengetahuan Allah swt sejak di azali. Ini yang paling ditakuti - ketetapan celaka yang telah ada sejak mula. Namun Dia tidak redha di atas kekafiran dan kemungkaran itu. Sedangkan apa yang kita cari dalam hidup dan mati nanti adalah keredhaanNya.

Dan secara mudah mereka yang jadi kafir itupun adalah dek kerana permintaan iblis juga.

Sama dengan sesiapa yang matinya celaka; kemalangan maut contohnya, itu adalah hasil permintaan iblis yang disetujui Allah - kerana si hamba di waktu itu langsung tidak ingat akan Tuhannya dek terlalu seronok, megah dapat motosikal baru atau kereta laju (sebab menjadikan musabbab lalu berada dalam  tawanan iblis! Allah yang lebih mengetahui), bawa laju-laju langgar pokok dan mati. Matinya itu ketika terlalu seronok atau bangga kerana berada di bawah pengaruh dan penguasaan sang iblis - maka jadilah geng iblis sebab di waktu itu mungkin dia tidak sempat untuk mengucap sebagai pengakhiran yang baik - husnul khotimah.

Itupun tujuan sebenar iblis - menyesatkan anak-cucu Adam a.s.; sebab dia masih tidak puas hati kerana dapat sekali sahaja berjaya menipu Adam a.s. Jadi, dendamnya masih belum tuntas lalu meminta untuk nak disesatkan anak-cucu baginda sekali di kemudian hari. Dan Maha Suci Allah, Dia benarkan, tetapi dengan bersyarat (Al-Hijr: 42).

Jadi, itu semua berbalik kepada permintaan iblis dalam Surah Al-Hijr: 39 itu; "... demi Engkau telah menyesatkan aku...".