Tentera dengan rifel Steyr
Bayangkan, setakat ini hanya 13 mayat (itu pun belum tepat sepenuhnya walaupun disebut oleh Menteri Pertahanan) yang ditemui. Pada hari ini sahaja sudah 4 kali tembak-menembak antara pengganas dengan pasukan keselamatan yang dilaporkan.
'Mopping Out' atau pembersihan saki-baki pengganas sudah berlangsung lebih 24 jam dalam kawasan yang sepatutnya hanya seluas 4 kilometer persegi pada awalnya. Takkan tak habis lagi?
Kononnya, ada 2,000 komando tentera dan polis bergerak masuk ke kawasan pengeboman semalam untuk tujuan 'mopping out'. Jika komando bergerak satu baris dan bergerak sejauh 200 meter setiap kali sebelum berhenti untuk tujuan 'mopping out', takkan belum dapat lepas kawasan seluas 4 kilometer persegi lagi?
Kini, 'mopping out' diperluaskan kepada 10 kilometer persegi pula; menjadikan persoalan seterusnya ialah macam mana mereka boleh terlepas daripada kepungan 4 kilometer persegi sebelum ini?
Apa yang hendak ditekankan di sini 13 mayat yang ditemui hari ini bukan di lokasi pengeboman semalam. Ia adalah mayat-mayat penganas yang dibawa lari rakan mereka yang masih hidup. Bukan sekadar bawa lari, tetapi masih sempat untuk ditanam lagi.
Jika 13 mayat yang dibawa lari bermakna ada berapa ramai mereka yang sebenarnya masih hidup? Setiap satu mayat bukannya ringan; kalau dua orang mengangkut satu mayat pun, paling kurang ada 36 orang yang masih hidup dalam kumpulan itu sahaja. Belum mengambil kira kumpulan yang lain.
Daripada hampir 180 pengganas yang masuk ke negara ini, baru dalam 30 lebih mayat sahaja yang ditemui (termasuk pertempuran awal) minggu lalu - selepas pengeboman yang begitu menyeluruh termasuk oleh jet pejuang dilakukan pagi semalam.
Persoalannya di manakah baki 100 lebih pengganas itu sekarang? Adakah mereka masih hidup? Sudah berkecai... atau sudah menyamar menjadi orang awam? Jika pun mereka menyamar…alangkah hebatnya penyamaran mereka sehingga boleh terlepas daripada 'moping-out' pasukan keselamatan kita. Dan begitu ramai boleh terselamat daripada serangan jet pejuang dan bom semalam.
Jadi hakikatnya ialah kita sebenarnya sedang berdepan dengan satu kumpulan pengganas yang berada dalam kelas mereka yang tersendiri. Mereka adalah dari suku Tausug - suku yang paling garang di antara suku-suku yang ada dalam masyarakat Moro. Tentera Filipina juga takut untuk berhadapan dengan mereka itu.
Berperang adalah gaya hidup bagi mereka. Mereka umpama hantu yang boleh bergerak di celah-celah medan perang. Nur Misuari yang mengetuai MNLF sendiri pernah pergi bertemu dengan kumpulan berkenaan untuk meminta bantuan dan sokongan.
Agak menarik sebelum operasi semalam, salah seorang pemimpin pengganas di Lahad Datu ada memberitahu bahawa mereka tidak takut dengan kematian dan tidak takut berperang kerana sudah berpuluh tahun mereka berperang dalam hutan di negara mereka sendiri.
Dan agak malang sebahagian besar anggota pasukan keselamatan kita mungkin baru ini kali pertama hendak menembak orang!
Pengalaman adalah sesuatu yang sangat besar beza jurangnya di sini. Soviet Union pernah tewas di Afghanistan dan Amerika pernah tewas di Vietnam. Pengalaman dan semangat adalah sesuatu yang amat penting. Peralatan ketenteraan sahaja belum tentu cukup.
Pun kita tidak berhajat untuk mengangkat penceroboh, tetapi kita harus sedar yang kita sedang berdepan dengan siapa di ketika ini? Jika kita berasakan bahawa peralatan kita sudah cukup, hanya masa sahaja yang akan menentukan segalanya.
Jika sehingga esok kita masih tidak melihat 100 lebih pengganas itu sama ada masih bernyawa atau tinggal jasad memang sah kita sedang berperang dengan hantu di Lahad Datu.