Elias Hj Idris
Inikah Kak Wateenya?

ABANG Fuad, adik kepada Abang Leman mendapat anaknya yang kelima. Lama sebelum itu dia telah berjanji sekiranya mendapat anak perempuan juga, dia akan menyerahkan anak itu kepada Nur Anita. Ia akan dipelihara sebagai anak angkat. Memang benar, abang yang tidak banyak kerenah itu mendapat anak perempuan lagi. Nur Anita menamakannya Intan Noor Jasmin. Dia membawa pulang anak itu ke rumah untuk menjadi anak angkat. Jadi buat sementara waktu ibunyalah yang akan memelihara anak itu.

Pada petangnya Nur Anita pergi ke kompleks Perada Subang untuk membeli segala keperluan untuk anak itu. Nur Anita mula dan perlu belajar untuk menjadi seorang ibu - ketika di usia yang masih muda. Bukan seperti sesetengah orang yang terlanjur, ramai juga di kalangan artis yang anak sendiri, tetapi mengaku anak angkat. Sebabnya, seperti ramai yang tidak ketahui - ia adalah anak mereka sendiri hasil daripada hubungan gelap yang akhirnya tidak dapat disembunyikan. Namun buat Nur Anita, dia pasrah lantaran anak itu adalah dari darah dagingnya jua - anak abang kandung sendiri.

Cuma dia seakan tidak betah untuk melibatkan Kamarul Izzat dalam hal tersebut. Nur Anita tidak kisah pun akan penerimaan oleh tunangnya itu nanti. Kalau ditakdirkan Kamarul Izzat tidak bersetuju pun tidak boleh juga. Intan Noor Jasmin adalah anak Abang Fuad, abangnya sendiri. Darahnya masih ada mengalir dalam tubuh anak kecil itu.

Sambil memilih barang-barang keperluan bayi di butik bayi terkenal itu, dia menelefon Kamarul Izzat. Sayang, tiada jawapan - telefonnya dimatikan. Hanya pesanan peti suara sahaja yang kedengaran; berulang-ulang. Dia pun pelik, ke manalah tunangnya itu menghilang - dan feel yang paling tidak digemarinya... ialah mematikan telefon. Bukan apa, dia sekadar ingin menyampaikan pesan. Ada keluarga dari sebelah tunangnya itu yang menelefon - mencarinya kerana ada suatu hal di kampungnya - Kampung Tanjung.

Dalam keadaan seperti itu dia cuba untuk tidak menanam sebarang rasa syak-wasangka atau apa-apa prasangka buruk terhadap Kamarul Izzat. Tempoh bertunang adalah masa untuk mengenali hati-budi masing-masing; mencari kesesuaian dan menerapkan kebolehan menerima segala kekurangan dan memberi terhadap segala kelebihan yang ada. Itupun konsep pertunangan yang dipraktikkan dalam budaya Melayu serta direstui oleh agama jua. Jika puas dicuba, namun jika tiada jua menemui kesesuaian maka jalan keluar masih ada buat masing-masing menuju haluan sendiri.

Ia perpisahan sebelum keadaan menjadi lebih parah. Dan adakah Kamarul Izzat sedang menempah laluan berkenaan? Hatinya di dalam pernah membisikkan. Ia ekoran daripada kejadian Kamarul Izzat pulang dari Kuala Terengganu dengan seseorang, bukan dengan 'flight' seperti yang dijangkakan ketika bercuti. Dan ia masih belum dijelaskan oleh tunangnya itu. Ia membuatkan dia masih tertanya-tanya; dengan siapa? Kenapa? dan banyak lagi tanda tanya.

Kadang-kadang terlintas juga di benaknya; adakah ia berpunca daripada sikapnya jua - yang bersikap liar terhadap segala kehendak Kamarul Izzat? Sudah puas tunangannya mengecek sejak di Selesa Homes membawa kepada pemergian mereka ke Singapura dan dalam pertemuan-pertemuan kemudiannya pada hari-hari hujung minggu. Soalnya, perlukah dia mengorbankan segala yang amat berharga itu? Lantaran ia adalah harga diri - maruah diri yang tidak ternilai harganya.

Dan paling utama dia tidak ingin mengalami seperti apa yang telah dilalui oleh teman-teman baiknya yang lain; habis madu sepah pun dibuang! Tinggallah diri menangis seorang - dengan sesal yang sudah tidak berguna lagi.

Itu jika belum lagi berkahwin. Bagaimana jika sesudah bernikah dan timbul masalah yang mungkin boleh melibatkan talak?

Setahunya talak cuma dibolehkan dua kali; yang bermakna seseorang suami boleh mentalakkan atau menceraikan isterinya sekali atau dua kali dan boleh dirujuk kembali tanpa melalui satu perkahwinan yang baru. Ia cukup sekadar melafazkan 'aku rujuk (kembali) kepada engkau!' Rujuk itupun hanya dapat dilakukan sekiranya si isteri masih lagi dalam 'iddah. Jika tidak, ia mesti melalui satu pernikahan yang baru.

Jika talak itu telah mencapai tiga kali maka si suami tidak boleh rujuk atau bernikah lagi dengan bekas isterinya itu. Mereka hanya boleh bernikah selepas isteri itu bernikah lain dan bercerai kemudiannya. Itupun perceraian itu bukan semata-mata kerana ingin membolehkan perkahwinan baru di antara mereka. Perceraian itu hendaklah atas sebab-sebab biasa - tiada persefahaman, umpamanya.

Inilah apa yang paling ditakutinya dalam menempuh gerbang perkahwinan; cerai sampai talak tiga kemudian menghadapi kesukaran untuk bersama semula - jika tidak si isteri melalui satu perkahwinan lain. Moral ceritanya, usah diambil mudak dalam soal talak di mana si suami jangan terlalu mengikutkan perasaan sehingga begitu mudah perkawataan 'talak' itu bermain di bibirnya.

Ketika masih memilih barang-barang yang diperlukan, tiba-tiba telefonnya berdering.

"Hello... kat mana you?" kedengaran sayup suara itu menyapa.

"Ermm... kat Subang ni. Apa hal?" dia membetulkan kelek barang-barang yang telah dipilih sambil berjalan menuju kaunter.

"Sorang?" suara itu seakan-akan cemas.

"Yeah... nape Kak Watee? Cakap la," dia mula tertanya-tanya.

"I kat KL ni you tau!"

"Err... makan angin dengan famili ke?"

"Tak! I dengan anak-anak... I lari!"

"Aiks... kenapa pulak? Husband kak mana?" Nur Anita mengerutkan keningnya sambil mengingatkan kakak angkat yang telah dikenalinya sejak lama. Kini kakak angkatnya itu yang terlebih awal berkahwin kini menghadapi masalah rumahtangga. Soalnya, apa masalah mereka dan kenapa dia harus lari? Sedangkan setahunya mereka itu merupakan usahawan yang berjaya - punya lesen kontraktor kelas 'A' dan punya wang berjuta-juta.

Kakak angkatnya itu juga mempunyai sebuah butik di Bandar Kuala Terengganu walaupun asal mereka suami-isteri dari Johor. Dan ceritanya agak panjang berliku sehingga membawa pasangan itu ke bandar pantai timur itu. Dia sendiri pun belum pernah sampai ke sana lagi walaupun telah banyak kali Jahlelawatee mempelawanya ke sana.

"Never mind... nanti I cerita bila kita jumpa. Dah dua hari I kat sini tumpang di rumah kawan sementara cari rumah," gugup sekali Watee menjelaskan.

"Okey... okey, kakak mesti telefon. Kalau tak pun kita sama-sama nanti pi cari rumah sewa untuk kakak," Nur Anita memberikan kesanggupan. "Lama tak jumpa...."

"Okey... nanti kakak call, tapi kena cari rumah tu dulu," Jahlelawatee memberikan kesanggupan.

Dan sepanjang perjalanannya ke Klang fikirannya bersimpang-siur. Ia pasti melibatkan masalah rumahtangga yang serius, fikirnya memandangkan kakak angkatnya itu punya kedudukan dan wang yang banyak. Malah sebagai kontraktor besar mereka tentu dikenali serta punya kedudukan dalam masyarakat. Namun itupun masih belum cukup untuk membahagiakan sampai kakak angkatnya itu mengambil keputusan lari dari rumah. Sedangkan dia baru sahaja ingin menempuh dan cuba belajar tentang alam rumahtangga yang begitu asing buat dirinya. Dan mungkin asing buat bakal suaminya juga.

Nur Anita menggeleng sambil bibirnya berdecit... lalu dia mengetap bibirnya.
4 Responses
  1. Anonymous Says:

    bila nak sambung ne?tak sabar nak tau kisah selanjutnya...dub dab dub dab...


  2. Adeh... orang dah nak nikah tu.


  3. Anonymous Says:

    gementar la bab nikah2 ne..hehhee


  4. Alhamdulillah moga Sdri (?) bergembira dalam menghadapinya nanti. Gementar itu adalah kemanisannya di pra-alam berumahtangga.